Categories
AGENSI SELANGOR

322 pelajar Yayasan Selangor peroleh 5A SPM 2020, capaian terbaik sejak 2016

SHAH ALAM, 30 DIS: Seramai 322 orang atau 6.4 peratus pelajar tajaan Yayasan Selangor mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 5A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata peningkatan sebanyak 2.4 peratus itu merupakan pencapaian terbaik sejak 2016.

“Syabas diucapkan atas kecemerlangan keputusan SPM 2020 walaupun murid menghadapi pelbagai cabaran berikutan pandemik covid-19,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2019/2020 secara maya hari ini.

Beliau menambah prestasi murid Program Hipers juga menunjukkan peningkatan walaupun tidak mencapai KPI yang ditetapkan.

“Pencapaian 4A dan ke atas meningkat 4.6 peratus berbanding 2019.

“Manakala 57.8 peratus atau 144 murid berjaya peroleh 4A dan ke atas walapupun murid menghadapi pelbagai cabaran sebelum menduduki SPM,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan tawaran ke tingkatan enam diumum Isnin depan

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Keputusan tawaran kemasukan ke tingkatan enam bagi 2021 akan diumumkan Isnin ini (5 Julai), menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM memberitahu, murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran mulai 5 hingga 15 Julai secara dalam talian menerusi Portal Aplikasi Dalam Talian Tingkatan Enam di pautan https://sst6.moe.gov.my/.

“Bagi murid lepasan SPM tahun 2020 yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan memaklumkan keputusan tawaran dan membantu proses pendaftaran,” menurut KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, murid lepasan SPM 2020 yang memenuhi syarat kemasukan ke tingkatan enam tetapi tidak menerima tawaran, permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my/.

“Bagi murid lepasan SPM tahun 2020 yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan membantu menguruskan rayuan murid,” menurut KPM.

KPM memaklumkan yang tempoh rayuan adalah mulai 5 hingga 15 Julai ini dan keputusan permohonan rayuan kemasukan ke tingkatan enam semester 1 akan dimaklumkan pada 20 Julai melalui portal yang sama.

Bagi murid yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan memaklumkan keputusan permohonan rayuan pada tarikh yang sama.

Sesi pengajian bagi tingkatan enam semester 1 tahun 2021 akan bermula 25 Julai bagi sekolah dalam negeri kumpulan A dan 26 Julai bagi sekolah dalam negeri kumpulan B.

Kumpulan A adalah sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala kumpulan B sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan SPM 2020 diumum Khamis depan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan diumumkan pada 10 Jun, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin.

Dalam klip video ringkas yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasminya, beliau berkata calon boleh menyemak keputusan peperiksaan itu mengikut kaedah yang akan diperincikan.

“… kementerian akan mengeluarkan kenyataan media dan kita akan jelaskan apakah kaedah yang boleh digunakan oleh calon-calon untuk menyemak keputusan mereka,” katanya.

Seramai 401,105 calon menduduki SPM 2020 yang dilaksanakan pada 22 Feb lepas dan tamat 25 Mac, melibatkan 83 kertas peperiksaan di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon SPM 2020 merupakan kumpulan pelajar yang telah mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan, sehingga memaksa mereka beralih kepada pembelajaran secara dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype berikutan penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya memaklumkan calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah dalam talian dan pekhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS).

Menurut kenyataan itu semakan dalam talian boleh dilakukan di pautan http://myresult1.moe.gov.my atau http://myresult2.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh.

“Semakan keputusan SPM 2020 juga boleh dilakukan menerusi perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan  dengan menaip SPM (jarak) NoKP (jarak) Angka Giliran dan hantar ke 68886.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai 10 pagi 10 Jun hingga 6 petang 17 Jun,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan juga memaklumkan bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

Sementara bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet, pihak Jabatan Pendidikan Negeri / Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon terbabit dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap selamat maju jaya kepada calon SPM 2020

SHAH ALAM, 21 FEB: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mulai esok.

Menerusi catatan di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan semua calon dipermudahkan urusan menjawab soalan dan memperoleh kejayaan.

“Doa buat sekalian anak-anak tingkatan lima yang bakal menempuhi peperiksaan SPM mulai esok, semoga dipermudahkan urusan. Selamat maju jaya.

“Semoga segala usaha dan persiapan diiringi doa ibu bapa dan guru bagi menghadapi saat yang penting ini akan membuahkan hasıl yang cemerlang, insya-Allah,” tulisnya.

Seramai 401,105 pelajar seluruh negara bakal menduduki SPM 2020 bermula esok selepas ditangguhkan tahun lalu susulan penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Calon SPM diingat patuhi garis panduan, SOP cegah penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Semua 401,105 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bakal menduduki peperiksaan itu bermula Isnin, diingatkan sentiasa mematuhi Garis Panduan Pengurusan 2 dan Pengoperasian Sekolah Dalam Normal Baharu 2.0 serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

Ini bagi memastikan kelancaran peperiksaan serta mencegah penularan Covid-19.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini turut mengingatkan, semua calon merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my.

“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan,” demikian menurut kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan turut memberitahu bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian SPM 2020, seramai 48,014 petugas peperiksaan dilantik untuk bertugas di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Peperiksaan SPM 2020 akan berlangsung bermula 22 Februari hingga 25 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

SPM ketika pandemik, Yayasan Selangor pantau keselamatan pelajar

SHAH ALAM, 20 FEB: Yayasan Selangor memantau tahap kesihatan dan keselamatan pelajar tajaannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai Isnin.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata perkara itu dititikberat bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pembelajaran dan persediaan pelajar menghadapi SPM, namun kita berusaha sebaiknya membantu mereka termasuk aspek kerohanian.

“Kita berharap pelajar kekal fokus di sebalik cabaran yang mendatang dan mendoakan mereka terus cekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 779 pelajar tajaan Yayasan Selangor dari 60 sekolah seluruh negeri dan Kuala Lumpur bakal menduduki SPM bermula 22 Februari.

Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut berlangsung pada tarikh sama manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 8 Mac.

Categories
AGENDA NASIONAL

Format peperiksaan SPM 2020 kekal sama, tidak berubah

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tidak perlu gusar kerana format peperiksaan awam SPM kekal sama dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata ini kerana standard sijil SPM yang dikeluarkan telah diiktiraf pakar tempatan dan antarabangsa.

“Kurikulum dan standard soalan masih sama justeru tidak akan berlaku perubahan format dan jika berlaku sekalipun, ia perlu mengambil masa yang lama iaitu minimum tiga tahun dan boleh mencecah sehingga lima tahun kerana perlukan kajian.

“Sijil SPM ini bertaraf antarabangsa kerana itu ia tidak boleh diubah sewenang-wenangnya… jika tidak, sijil kita tidak laku, anak-anak tidak boleh sambung belajar di luar negara dan tidak boleh mendapatkan biasiswa termasuk sukar untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Peperiksaan Awam Tahun 2020 Dalam Norma Baharu’ terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebelum ini menegaskan format peperiksaan SPM 2020 kekal seperti sedia ada sekali gus menafikan laporan sebuah akhbar berkaitan perubahan format peperiksaan itu pada masa akan datang.

Pkharuddin juga berkata sekiranya terdapat calon yang didapati positif Covid-19 atau yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat, mereka tidak akan dibenar menduduki peperiksaan.

“Dalam garis panduan kita jelas menyatakan dua kumpulan calon ini tidak boleh menduduki peperiksaan namun selepas mereka disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat dengan surat pengesahan doktor, maka mereka layak untuk menduduki kertas peperiksaan yang dijadualkan semula,” katanya.

Peperiksaan utama iaitu SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dijadualkan bermula pada 22 Februari ini diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020, serta peperiksaan antarabangsa yang setara tahun lepas.

Peperiksaan awam ini akan berlangsung sehingga 25 Mac melibatkan 401,105 calon.

– BERNAMA