Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2021 dalam norma baharu di seluruh negara lancar

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Tahun 2022 menjadi tahun bersejarah buat 407,097 calon ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 apabila menduduki peperiksaan itu hari ini, berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik Covid-19.

Biarpun di tengah-tengah peningkatan jumlah kes Covid-19, serta bencana banjir di negeri-negeri pantai timur, pelaksanaan peperiksaan SPM dalam norma baharu dilihat teratur dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan seramai 50,514 petugas peperiksaan ditugaskan di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Namun bagi 708 calon di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas yang terjejas akibat banjir di Kelantan, mereka terpaksa bersabar, kerana mereka hanya akan mengambil peperiksaan itu pada sidang kedua April depan, susulan banjir di pusat peperiksaan berkenaan.

Turut dibenarkan menduduki SPM 2021 pada sidang kedua nanti adalah calon-calon yang disahkan positif Covid-19.

Calon SPM hari ini merupakan kumpulan pelajar yang paling terkesan sejak pandemik melanda dan lebih banyak mengikuti sesi pembelajaran melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbanding secara fizikal di sekolah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Bernama di sekolah-sekolah di seluruh negara mendapati seawal 6.30 pagi, kumpulan pertama pelajar yang menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dijadual bermula 8 pagi ini mulai tiba di perkarangan sekolah dengan menjalani pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka.

Di Kuala Lumpur, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Mohd Najib Ab Rahman berkata pelaksanaan SPM kali ini lebih rapi hasil pengalaman menguruskan SPM 2020 tahun lepas dalam norma baharu.

Beliau ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama, di sini, berkata peperiksaan SPM di seluruh Kuala Lumpur kali ini melibatkan 20,311 calon dengan 161 pusat peperiksaan.

Di Putrajaya, seramai 1,797 calon merangkumi 1,631 calon sekolah dan 166 calon persendirian menduduki peperiksaan itu di 11 pusat peperiksaan dan tinjauan mendapati pelajar serta guru yang hadir mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya Farizah Ahmad berkata daripada jumlah itu 68 pelajar tidak dibenarkan mengambil peperiksaan hari ini apabila 46 daripadanya disahkan positif Covid-19 manakala 22 lagi merupakan kontak rapat.

MENYUSUL LAGI

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

160 pelajar tingkatan lima di Kuala Berang ditempatkan ke pusat pemindahan sementara

KUALA BERANG, 28 FEB: Seramai 160 pelajar Tingkatan Lima yang tinggal di asrama di dua buah sekolah menengah di sini yang dilanda banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan lewat petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Imtiaz dan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah itu dipindahkan ke PPS SMK Seri Berang yang setakat ini belum dinaiki air.

“Dalam tempoh sejam sahaja air naik dengan sangat cepat sehingga ke bumbung, jadi pelajar ini dipindahkan segera ke tempat selamat,” katanya malam tadi.

Beliau berkata operasi menyelamat telah digerakkan dengan dua bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wakaf Tapai serta bot pihak badan bukan kerajaan (NGO).

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac dan berakhir 29 Mac melibatkan lebih 401,000 calon.

Banjir besar di Hulu Terengganu disifatkan sebagai paling serius berlaku susulan bencana itu turut melanda kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2021 diteruskan ikut jadual, SOP kementerian

JOHOR BAHRU, 12 FEB: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan seperti yang dijadualkan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata meskipun terdapat peningkatan ketara kes baharu Covid-19, peratusan pesakit membabitkan kategori empat atau lima adalah kecil.

“Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua SOP yang ditetapkan terus dipatuhi.

“Komitmen ini dibuat dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lepas berjalan dengan lancar dan kita juga sudah mempunyai SOP yang lengkap berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama dengan warga pendidik serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan juga sudah berbeza dengan lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 tahun ini lengkap divaksin berbanding mereka yang menduduki SPM tahun lepas.

SPM 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac dan berakhir pada 29 Mac.

Menyentuh jangkitan Covid-19, Mohd Radzi berkata memang terdapat kes melibatkan guru dan pelajar di kawasan sekolah namun peratusannya terlalu kecil.

“Kluster sekolah terlalu kecil iaitu hanya melibatkan 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah sekolah tidak berasrama iaitu lebih 10,000 buah di seluruh negara.

“Sementara itu, kita akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perjalanan operasi persekolahan dilakukan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak mereka yang berumur lingkungan 5 hingga 11 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Perak kekal 241 orang

IPOH, 25 OGOS: Mangsa banjir di Perak masih kekal seperti petang semalam dengan 241 orang daripada 66 keluarga yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah pagi ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata jumlah mangsa banjir di daerah Kerian iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak masih kekal seramai 111 orang daripada 26 keluarga.

“Mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga kekal 60 orang daripada 17 keluarga seperti petang semalam. Mangsa banjir di PPS SK Matang di daerah Larut, Matang dan Selama juga kekal 70 orang daripada 23 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, prihatin dengan nasib mangsa banjir dan petugas barisan hadapan termasuk media, seorang peniaga makanan Mohamed Fareed Mohamed Nainar, 46,  menyumbangkan hidangan mi goreng mamak di PPS Alor Pongsu.

Mohamed Fareed berkata usahanya itu bagi meringankan beban mangsa banjir, selain menukar selera mangsa yang berkampung di PPS terbabit sejak Jumaat lepas.

“Saya mengeluarkan modal sebanyak RM400 untuk menyediakan lebih 100 bungkusan mi goreng mamak. Saya ikhlas untuk membantu mereka dan berharap sumbangan kecil saya ini mendapat keberkatan dari Allah SWT bagi membantu mangsa banjir dan petugas barisan hadapan,” katanya yang berniaga di Jalan Harmoni, Alor Pongsu.

Menurutnya, sumbangan itu juga kerana mahu menunaikan nazar kejayaan anaknya Nur Faliha, 18 yang memperoleh 9A dalam periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

16,000 calon SPM daftar portal eptrs.my, belajar lima subjek teras

SHAH ALAM, 13 JULAI: Seramai 16,000 pelajar tingkatan lima di seluruh negeri mendaftar portal pendidikan Selangor eptrs.my setakat ini sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  tahun depan.

Urus setia Program Tuisyen Rakyat Selangor Siti Syazwani Ab Latib berkata angka itu berdasarkan pendaftaran calon peperiksaan menerusi dua pakej pembelajaran yang disediakan sejak Mei lalu.

“Pakej A menyasarkan pelajar kurang berkemampuan dan prestasi pelajaran sederhana. Mereka diberi bantuan dalam bentuk kelas tuisyen melalui bimbingan guru berpengalaman serta modul pembelajaran.

“Manakala pakej B turut menumpukan golongan pelajar susah namun mereka hanya dibekalkan modul pembelajaran,” katanya yang menyasarkan seramai 30,000 pelajar mendaftar program itu pada tahun ini.

Siti Syazwani berkata pihaknya belum bercadang menambah bilangan mata pelajaran kerana mahu memastikan calon peperiksaan menguasai sepenuhnya program pembelajaran sedia ada.

“Sekarang kita sedang memantapkan bahan kandungan eptrs kerana pelajar kena betul-betul skor mata pelajaran teras, jika tidak akan menjejaskan keputusan peperiksaan mereka,” katanya.

Portal pendidikan eptrs.my antara inisiatif terkandung dalam Pakej Kita Selangor yang dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Platform berkenaan menawarkan pembelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, matematik dan sejarah untuk SPM, manakala pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk calon STPM.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cabaran guru pakai pelitup muka didik pelajar masalah pendengaran

KUANTAN, 13 JUN: Mengajar seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berkeperluan khas yang mengalami masalah pendengaran tatkala pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi membendung penularan wabak Covid-19, sememangnya menjadi cabaran dan pengalaman berharga buat seorang guru Zainurah Muhamad.

Pelajarnya Hanees Daliela Hasbullah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom di sini, mengalami masalah itu dipercayai akibat demam panas semasa berusia lima tahun.

“Selain perlu menggunakan alat bantuan pendengaran, Daliela (panggilan anak muridnya) juga membaca gerakan bibir untuk memahami apa yang diajar dan sudah tentu pelitup muka menjadi penghalang terbesar untuk dia berbuat demikian.

“Disebabkan itu, saya membuat video yang dirakam seorang diri tanpa mengenakan pelitup muka supaya Daliela boleh membaca gerakan bibir saya untuk perkara yang sukar difahaminya,” katanya guru Bahasa Melayu itu kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di Aspa Cottage sini hari ini.

Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila Zainurah menerima berita gembira bahawa Hanees Daliela merupakan calon berkeperluan khas paling cemerlang bagi SPM 2020 di Pahang dengan memperoleh 2A+ termasuk subjek Bahasa Melayu, daripada 11 mata pelajaran yang diambilnya.

Zainurah berkata Hanees Daliela juga tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk sama-sama bersaing dengan rakan sekelas yang normal, biarpun hampir setiap bulan ‘ketinggalan kelas’ kerana perlu menghadiri janji temu doktor.

“Ada masanya, Daliela mengadu telinganya berdarah atau alat bantuan pendengaran berdesing menyebabkan dia tidak mendengar apa yang diajar. Paling saya ingat, pernah alat bantuan itu rosak dan hampir sebulan untuk dia menunggu ganti. Dalam tempoh itu, Daliela masih juga ke kelas dan kami (guru-guru) mengajar dengan nada suara kuat supaya dia boleh mendengar sambil membaca gerakan bibir.

“Jika sudah penat menjerit, kami terpaksa minta dia untuk berpindah ke hadapan. Dia tidak mahu menganggu konsentrasi rakan sekelas, maka jika dia masih tidak mendengar, dia hanya akan datang bertemu kami selepas kelas untuk mengakui dia memerlukan bantuan berkaitan topik yang baru diajar,” katanya.

Mengimbas kenangan mereka, Zainurah berkata beliau masih mengingati saat Hanees Daliela memaklumkan bahawa dia akan ‘menghadiahkan A+ kepadanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu’ semasa beliau menjadi guru kelas pelajar berkenaan di tingkatan empat, dan ‘hadiah’ itu sudah pun berjaya ditunaikan.

Ditanya sama ada beliau berdepan dengan cabaran baharu melaksanakan Pengajaran dan. Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila sekolah terpaksa ditutup kerana ancaman COVID-19, Zainurah mengakui perlu membiasakan diri menggunakan aplikasi Google Meet sebagai ‘medium baharu kelas’ manakala Telegram menjadi perantaraan kepadanya untuk menghantar latihan kepada pelajar.

“Jika ada subjek sukar difahami, saya akan membuat rakaman video dan hantar ke Telegram dan murid boleh memainkannya berulang kali sehingga faham,” katanya yang sedia untuk dihubungi pada bila-bila masa jika pelajar berdepan masalah.

Sementara itu, Hanees Daliela yang tinggal di Kampung Pasir Garam, Beserah di sini mengakui dirinya amat terhutang budi dengan jasa guru-gurunya yang tidak pernah jemu dengannya walaupun ‘kerap menganggu’ di luar waktu kelas.

“Selain itu, kawan-kawan juga sangat membantu. Mereka tahu masalah saya, jadi jika perlu mereka akan mengulangi apa yang diperkatakan cikgu. Tinggal di asrama sejak tingkatan satu juga memudahkan saya untuk lebih fokus dengan pelajaran.

“Setiap hari saya pastikan tidur sekitar 10 malam kerana mahu bangun pada 4 pagi untuk mengulangkaji kerana suasana sunyi dan badan masih segar,” kata anak kedua daripada lima beradik yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia.

Hanees Daliela berkata dia mula memakai alat bantuan pendengaran semasa di Tahun Tiga, selepas gurunya menasihatkan ibu bapanya Hasbullah Yusoff, 49, dan Nik Rokiah Nik Hassan, 45, membawanya menjalani pemeriksaan kerana dia seolah-olah tidak mendengar arahan yang diberikan di dalam kelas.

Walaupun dikategori sebagai murid berkeperluan khas, Hanees Daliela enggan diberikan sebarang keistimewaan sebaliknya suka mencabar diri mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin termasuk menjadi pengawas dan pengerusi kelab di sekolah.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru cipta modul khas bantu pelajar SPM tidak dapat ikuti PdPR

JOHOR BAHRU, 12 JUN: Modul ‘belajar sendiri’ yang dibuat seorang guru subjek Sains bagi membantu pelajar yang tidak berupaya mengikuti sesi dalam talian Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), membuahkan hasil apabila 22 daripada 29 pelajarnya meraih gred ‘A’ untuk subjek itu.

Norfarahana Amir, 37, guru di Sekolah Menengah Agama Jawahir Al-Ulum di Batu Pahat, juga tidak berkira untuk mengeluarkan bajet sendiri dalam menyediakan modul yang menarik bagi pelajarnya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pada ketika pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Mesra dipanggil ‘Cikgu Nana’, beliau berkata sebagai tenaga pengajar, menjadi tanggungjawabnya menyediakan modul yang berkesan untuk pelajar kerana tidak semua murid mampu mengikuti sesi pembelajaran dalam talian.

“Terdapat beberapa pelajar yang bakal menduduki SPM waktu itu tidak mempunyai telefon pintar di rumah, jadi saya sediakan modul yang saya hasilkan sendiri, cetak sendiri untuk semua pelajar saya. Alhamdulillah, dengan memberikan mereka modul yang berkesan, 22 daripada mereka berjaya mendapat A dalam mata pelajaran saya ketika keputusan SPM dikeluarkan.

“Modul yang saya berikan merupakan koleksi soalan peperiksaan SPM pada tahun sebelumnya dan ada juga koleksi soalan yang dikongsi oleh para guru melalui kumpulan ‘Cikgu Sains Kreatif Tingkatan 4 dan 5’ melalui aplikasi Telegram,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata modul-modul yang dihasilkan adalah secara “personalised” dan “customised” mengikut tahap prestasi murid, dan turut mengadakan sesi perbincangan bersama murid setiap kali selepas pelajarnya membuat latihan yang disediakan dalam modul tersebut.

Pada masa sama, Norfarahana yang sudah berkhidmat selama 12 tahun di sekolah itu, turut mendekatkan dirinya dengan pelajar walaupun di luar waktu pembelajaran selain menasihati murid untuk terus belajar.

“Apabila mendekatkan diri dengan pelajar, kita dapat tahu permasalahan yang mereka hadapi dalam pelajaran dan sedikit-sebanyak dapat membantu mereka sekiranya saya mampu,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu juga bangga kerana sekolahnya turut berjaya mendapat kedudukan kelima teratas di Batu Pahat dalam pencapaian SPM 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 90 pelajar Orang Asli cemerlang SPM, dua peroleh 9A

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seramai 93 pelajar Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan baru-baru ini dengan dua daripadanya, berjaya meraih keputusan 9A.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pelajar yang memperoleh keputusan 9A itu iaitu Juniza Ellyana Teo Sea Huang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin dan Rozainizam Azizian dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah.

Selain itu, katanya lapan pelajar mencatat keputusan cemerlang 8A, 10 pelajar memperoleh (7A), lapan pelajar (6A), 31 pelajar memperoleh (5A), manakala 34 pelajar meraih keputusan 4A.

“Umum mengetahui bahawa peperiksaan SPM tahun 2020 telah diadakan dalam norma baharu apabila negara dilanda dengan penularan pandemik Covid-19.

“Penularan pandemik ini menjejaskan persiapan pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM tahun 2020, namun, kita tetap berbangga dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh pelajar Orang Asli tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahman, kejayaan pelajar tersebut adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang berganding bahu dalam menyediakan pelbagai bantuan serta program kecemerlangan pendidikan yang dapat mendorong pelajar Orang Asli bersaing dengan masyarakat lain.

Jelasnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan bagi bantuan pendidikan pelajar Orang Asli melalui bantuan wang saku, pengangkutan, peralatan, pakaian serta bantuan lain dengan harapan mereka lebih bersemangat untuk mengubah nasib melalui pendidikan.

“KPLB mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang telah menjalin kerjasama erat dalam menentukan hala tuju pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tuisyen percuma Selangor bantu pelajar raih 8A SPM

SHAH ALAM, 11 JUN: Salah seorang peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bersyukur apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, yang mengambil aliran Sains Komputer meraih 8A dan 1B dalam keputusan yang diumumkan semalam.

Menurutnya, kejayaan itu sangat bermakna selepas melalui tempoh panjang sebelum menghadapi peperiksaan susulan pandemik Covid-19 selain kesukaran memahami pembelajaran secara maya.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya sangat terkejut dengan keputusan ini memandangkan kami (pelajar SPM) terpaksa belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sudah tentu cabaran besar buat saya kerana bukan semua topik boleh diajar dalam talian serta memerlukan tunjuk ajar guru secara bersemuka,” katanya ketika dihubungi.

Anak kedua dari tiga beradik itu berkata dia banyak bergantung kepada portal pendidikan Selangor eptrs.my ketika membuat persiapan akhir untuk menduduki SPM, akhir Februari lalu.

“Saya kekurangan bahan ulang kaji kerana tidak dapat ke sekolah, jadi saya manfaatkan platform ini untuk menambah pengetahuan serta mempelajari kaedah menjawab soalan dengan mudah dan tepat.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menawarkan inisiatif ini secara percuma kepada pelajar SPM,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat asasi dalam jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Semalam, menteri kanan pendidikan berkata keputusan SPM tahun lalu mencatat Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.80 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan calon yang layak memperoleh sijil SPM juga meningkat kepada 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada 2019.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PdPR bukan halangan pelajar raih keputusan cemerlang SPM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Kaedah baharu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ternyata tidak menghalang pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Mengakui PdPR tidak seperti kaedah konvensional yang membolehkan mereka berinteraksi secara terus dan bersua muka dengan guru, rata-rata pelajar menganggapnya sebagai cabaran dan tidak putus asa untuk mempraktikkan teknik pembelajaran baharu itu.

Aina Nurain Mohd Zamanshahril, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kelantan yang memperoleh keputusan 8A dalam sembilan mata pelajaran berkata kekangan tidak dapat belajar secara bersemuka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak pernah menghalangnya untuk berusaha dan berjaya.

“Hampir setiap hari saya akan memulakan ulang kaji sekitar 10 malam sehingga 12 tengah malam dan setiap kali membuat ulang kaji saya akan mengumpul soalan yang tidak faham untuk ditanya kepada guru pada keesokkan harinya,” katanya yang merupakan anak kedua daripada enam beradik.

Turut berkongsi pengalaman, Muhammad Azfar Nasution Sakaria dari Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian, Kelantan yang memperoleh 7A dalam sembilan mata pelajaran.

Pelajar SMK Kubang Kerian Muhammad Azfar Nasution Sakaria, 18, (tengah) bersama ayah Sakaria Musa, 57, dan ibunya Raja Bidah Raja Daud, 57, melihat keputusan SPM secara dalam talian ketika ditemui di Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian pada 10 Jun 2021. Foto BERNAMA

Menurutnya, beliau memanfaatkan kemudahan seperti telefon bimbit dengan menggunakan capaian internet untuk mengoptimumkan PdPR selain mengambil inisiatif mengulang kaji pelajaran sekitar lima jam sehari.

“Alhamdulillah dengan keputusan yang cemerlang ini saya bercita-cita untuk menyambung pengajian ke matrikulasi ataupun Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya yang berhasrat menjadi seorang guru.

Di Pulau Pinang, tiga kembar seiras melakar sejarah bagi Sekolah Menengah Agama Al-Maahadul Islami Tasek Junjung, di Simpang Ampat di sini kerana menjadi pelajar cemerlang sekolah itu selepas memperoleh 7A dalam SPM.

Mereka ialah Nadwa Insyirah Baharom, Nadwa Maisarah dan Nadwa Zafirah yang merupakan anak kepada pasangan bekerja sendiri serta pekerja am tidak pernah menyangka akan memperoleh keputusan yang sama.

“Kami bukan orang senang, jadi hanya pelajaran saja mampu mengubah hidup keluarga, jadi saya dan dua lagi adik kembar memang sentiasa belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah kehidupan kami pada masa hadapan.

Sementara itu, fokus semasa PdPR dan rajin bertanya dengan guru adalah antara rahsia kejayaan buat pelajar Nur Syamira Ishak dari Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk, Bukit Mertajam yang memperoleh 8A dan 2B.

“Walaupun kadang-kadang terdapat masalah internet ketika PdPR, saya kuatkan semangat dan terus fokus kerana mahu memperoleh keputusan cemerlang, lagipun emak dan ayah selalu beri dorongan…terima kasih juga kepada cikgu-cikgu yang banyak membantu saya dan rakan-rakan lain,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Di Kedah, Nur Nada Azhar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah yang mendapat 11A+ dan 1B+ dalam peperiksaan itu mengakui kaedah PdPR agak rumit, namun tidak mematahkan semangatnya.

“Waktu PdPR ini memang mencabar antaranya pelajar tidak boleh bertanyakan soalan secara bersemuka kepada guru dan yang paling rumit, pelajar aliran sains ketinggalan dari segi pelaksanaan eksperimen dan saya serta kawan-kawan jadi susah nak faham topik yang diajar dan latihan juga susah nak siapkan,” katanya yang menetap di Sungai Petani.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Asing pelajar kepada kelompok kecil, elak hilang fokus ketika PdPR

PETALING JAYA, 8 JUN: Golongan pendidik disaran mengasingkan pelajar kepada kelompok kecil bagi meningkatkan keberkesanan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata kajian menunjukkan pelajar hanya memberi fokus selama 20 minit sekiranya melaksanakan PdPR seperti dalam bilik darjah.

“Jika lebih lama PdPR dilaksanakan, fokus pelajar semakin kurang. Pakar mencadangkan topik pengajaran guru dipecahkan kepada unit lebih kecil terutama melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Misalnya satu topik dipecahkan kepada tiga atau empat sub-topik bagi setiap sesi PdPR. Selepas 20 minit guru akan berikan latihan, kemudian sambung lagi 20 minit PdPR,” lapor portal Kosmo! hari ini.

Annuar berkata, guru perlu mengajar berasaskan penyelesaian masalah serta menumpukan aspek latihan selain membimbing pelajar menyediakan jadual ulang kaji secara sistematik.

“Edaran nota dan bahan bantu belajar oleh guru dapat membantu pelajar yang tertinggal topik tahun lepas. Kerja berkumpulan secara dalam talian juga banyak membantu pelajar menelaah topik tertinggal,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peperiksaan SPM 2021 dianjak ke 2022 – menteri

PUTRAJAYA, 6 JUN: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan diadakan pada tahun depan, demikian umum Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin hari ini.

Beliau berkata ujian lisan dan amali sains bagi SPM 2021 akan diadakan pada Februari 2022 manakala peperiksaan bertulis pada Mac 2022.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) membuat keputusan itu setelah mengambil kira keadaan semasa dan cabaran yang perlu dilalui oleh calon SPM 2021.

“Pengalaman KPM mengurus SPM 2020 membolehkan kita menganjak tempoh atau tarikh peperiksaan 2021 ke 2022 dan yakin segala proses berkaitan dengan SPM 2021 akan berjalan lancar seperti yang dilaksanakan pada SPM 2020,” katanya pada sidang media secara maya mengenai pengoperasian sekolah.

Radzi berkata pelaksanaan SPM 2020 adalah mencabar kerana kali pertama dilakukan sejak negara merdeka dengan terlalu banyak penambahbaikan perlu dibuat serta melibatkan jumlah petugas yang ramai iaitu kira-kira 48,000 orang.

“Dalam pelaksanaan ini, belum ada dalam sejarah macam mana melaksanakan SPM dalam pandemik.

“Lembaga Peperiksaan mengeluarkan satu tatacara operasi piawai (SOP) yang cukup lengkap. Kalau dulu, jarak antara meja ialah 0.8 meter dan kita tingkatkan kepada 1.5 meter dan pelajar yang datang walaupun bukan tentu positif tetapi ada batuk diletakkan di dalam bilik khas yang hanya ada tiga hingga empat orang hingga hampir semua bilik darjah digunakan,” katanya.

Beliau berkata jika dulu guru-guru akan berhimpun untuk membuat pemarkahan, SPM 2020 menyaksikan buat pertama kalinya dalam sejarah negara pemeriksaan kertas peperiksaan dibuat secara dalam talian.

“Itu bukan satu perkara yang mudah kerana lebih lima juta kertas peperiksaan perlu diimbas satu persatu untuk dimasukkan dalam sistem bagi membolehkan pemeriksaan secara dalam talian,” katanya.

Radzi berkata keputusan SPM 2020 juga boleh disemak secara dalam talian berbanding dahulu yang memerlukan calon pergi ke sekolah untuk berbuat demikian.

Keputusan peperiksaan SPM 2020 akan diumumkan pada 10 Jun ini mulai 10 pagi melalui dua kaedah iaitu secara dalam talian dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS).

Untuk keputusan penuh, calon boleh ke pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my, manakala ringkasa keputusan boleh diperoleh melalui SMS dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 68886.

Seramai 401,105 calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2020 yang bermula pada 22 Feb hingga 25 Mac lalu.

Radzi berkata sijil SPM sebelum ini akan dicetak selepas lima atau enam bulan selepas keputusan keluar tetapi sijil SPM 2020 akan dicetak selepas keputusan keluar.

“Ini menunjukkan dalam tempoh yang singkat ini banyak yang kita telah laksanakan dalam memastikan kejayaan SPM 2020 yang bukan sahaja merupakan SPM yang banyak cabarannya tetapi juga terlalu banyak penambahbaikan dibuat kepada pelaksanaannya,” katanya.

– BERNAMA