Categories
NASIONAL

Anggota PSC PR Tiada Suara Majoriti

SHAH ALAM 6 APR : Dengan hanya tiga wakil dari pihak Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihanraya, amatlah sukar bagi memastikan tuntutan lapan perkara BERSIH 2.0 di laksanakan.

Menurut salah seorang wakil PR dalam PSC, Dr Hatta Ramli, PR memainkan peranan sepenuhnya untuk menyampaikan hasrat rakyat mengenai Pilihanraya dalam perbincangan jawatankuasa tersebut.

“Dalam 22 perkara dibentangkan, ada beberapa perkara yang kita tidak setuju sepertimana yang dilaporkan sebelum ini.

“Sebagai pihak minoriti, kita kalah undi. Kita juga sebenarnya banyak toleransi dan bertolak ansur untuk nampak tidak terlalu keras.

“Namun, mereka tetap berkeras menolak cadangan kita,” ujar Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Sehubungan itu, beliau berkata Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH ) yang diwakili Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhak untuk tidak berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

“BERSIH tiada wakil dalam PSC dan terang-terangan lapan tuntutan Bersih tidak diambil peduli dalam PSC.

“Mereka berhak untuk menilai laporan tersebut dan suarakan bantahan. Namun begitu, keputusan untuk mengadakan BERSIH 3.0 bukan kuasa Pakatan (Rakyat) kerana BERSIH adalah NGO,” jelas Dr. Hatta yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Walaubagaimanapun, menurut Dr. Hatta, beliau tidak positif bahawa tuntutan lapan perkata BERSIH 2.0 akan dipertimbang pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

“Dengan jelas, mereka tidak pernah setuju dengan BERSIH, apalagi untuk penuhi tuntutan.

“Sedangkan Laporan PSC sendiri belum tentu dipersetujui SPR sepertimana yang diulas Perdana Menteri Najib (Tun Razak),” akhiri Dr. Hatta.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri berhubung keputusan PSC yang juga diwakili pihak pembangkang beliau berkata sebagai orang politik Muhyiddin tidak perlu menipu rakyat.

“Cukuplah lebih 54 tahun pemimpin Umno-BN menipu rakyat, tak mungkin Muhyiddin tak faham bila hanya tiga wakil pembangkang dalam anggota yang lain majoriti anggota penyokong BN,” ujar Dr Hatta lagi