Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Pusat pengundian dibuka, bermula 8 pagi

MELAKA, 20 NOV: Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca hari ini pada sebelah pagi diramal cerah di kesemua tiga daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dan ribut petir pada waktu petang di kesemua kawasan.

Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19, pengundi diminta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

Pengundi yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius, akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan dan akan diuruskan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Ejen parti atau calon yang telah selesai bertugas atau pengundi yang telah selesai mengundi perlu segera meninggalkan pusat mengundi dan cadangan masa yang digalakkan bagi setiap pengundi untuk keluar mengundi dinyatakan apabila pengundi membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR.

Pada 16 Nov lepas, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

Secara keseluruhannya, jumlah pusat mengundi bagi PRN Melaka adalah sebanyak 248 dengan 1,156 saluran.

PRN Melaka menarik penyertaan seramai 112 calon bertanding membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Bebas.

Ia juga berlangsung dalam situasi norma baharu yang menyaksikan larangan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka dan menggunakan kenderaan dengan siar raya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi awal: SPR guna berus khas calit jari pengundi bergejala

JASIN, 15 NOV: Berus khas akan digunakan untuk mencalit dakwat pada jari pengundi bergejala sebagai sebahagian daripada tatacara operasi piawai (SOP) baharu semasa proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Pegawai Pengurus (RO) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan Luqmannulhakim Mohamad Idris berkata penggunaan berus itu khusus buat pengundi yang dikesan mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah Celsius dan bergejala batuk serta selesema.

“Seperti mana dalam SOP yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kita masih kekal dengan mencelup jari dalam dakwat khas sebagai tanda sudah mengundi dan setiap petugas SPR akan mengenakan sarung tangan dan pelitup muka.

“Namun sekiranya pengundi bergejala, individu tersebut akan dibawa ke khemah khas. Kita akan menggunakan berus pakai buang bagi mencalit dakwat di jari pengundi tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kertas undi pula akan dimasukkan ke dalam plastik khas dan disanitasi sebelum dimasukkan ke dalam kotak undi.

Sementara petugas di khemah bergelaja yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) pula akan mengenakan pakaian perlindungan khas (PPE), katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihati pengundi agar memeriksa dan datang mengundi pada waktu yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan di tempat mengundi.

“Ada empat slot waktu kehadiran dan pengundi boleh menyemaknya di aplikasi mySPR Semak atau Portal Semakan Daftar pemilih SPR. Waktu yang ditetapkan adalah 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang,” katanya.

Sementara itu proses persediaan di 31 pusat pengundian awal (PPA) didapati berjalan lancar dan telah mencapai 98 peratus.

Tinjauan ke beberapa Pusat Pengundian Awal (PPA) termasuk di Balai Polis Selandar juga mendapati saluran undian, kaunter semakan dan khemah khas telah dipasang di perkarangan balai tersebut dengan pemantauan oleh lapan petugas SPR.

Kerja-kerja sanitasi turut dilakukan di kawasan terlibat proses pengundian awal bagi memastikan persekitaran bebas dari Covid-19.

Simulasi juga dilakukan bagi memastikan perjalanan undi awal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan melibatkan 27 anggota polis berjalan lancar dan beberapa pelan kecemasan seperti hujan turut dirangka.

Proses pengundian awal melibatkan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia akan bermula pada 8 pagi hingga 5 petang dengan seramai 11,577 pengundi akan mengundi di 31 pusat mengundi awal di 24 DUN.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata jumlah pengundi awal itu terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR keluarkan 7,601 kertas undi pos PRN Melaka

MELAKA, 10 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 7,601 kertas undi pos kepada pemilih yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata jumlah itu meliputi 6,871 kategori Borang 1A  membabitkan petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

Beliau memberitahu sebanyak 511 kertas undi pos bagi kategori Borang 1B dikeluarkan kepada warganegara di luar negara dan 113 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) serta 106 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“Kertas undi pos berkenaan dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.

“Pengeluaran kertas undi pos pada 9 November (Selasa) dijalankan oleh petugas pilihan raya di semua 28 kawasan DUN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“Semua pengundi pos diingatkan supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi 20 November (Sabtu).

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala undi awal pada 16 November.

Pilihan raya negeri diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR benarkan calon positif Covid-19 bertanding PRN Melaka

MELAKA, 7 NOV: Tiada halangan bagi calon yang positif Covid-19 untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Bagaimanapun, beliau berkata borang pencalonan calon harus dihantar pada masa yang ditetapkan melalui wakil calon menerusi pencadang atau penyokong.

“Tiada masalah untuk mereka (calon) bertanding, asalkan mereka menghantar borang pencalonan itu pada masa ditetapkan,” katanya kepada Bernama di Menara Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata saringan Covid-19 melibatkan calon juga tidak diwajibkan namun semua calon digalakkan melakukannya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, SPR turut menempatkan khemah khas di pusat pencalonan sekiranya terdapat calon yang bergejala Isnin ini.

“Khemah ini akan diuruskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama SPR. Di pintu utama pusat penamaan calon, calon akan diperiksa saringan suhu badan, sekiranya suhu direkodkan melebihi 37.5 darjah Celcius, mereka akan dihantar ke khemah bergejala ini,” kata Abdul Ghani.

Beliau berkata segala proses semakan dan penyerahan borang penamaan calon akan diuruskan oleh pegawai SPR yang bertugas di khemah untuk mereka yang bergejala itu.

Katanya, sebanyak 12,900 petugas daripada pelbagai agensi termasuk KKM, polis dan pihak berkuasa tempatan terbabit pada PRN ini.

“Kita berharap semua penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak berkumpul serta berarak di kawasan pusat penamaan dan sentiasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pilihan raya negeri Melaka bermula 8 November

MELAKA, 18 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 8 November manakala pengundian awal pada 16 November.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Ghani berkata bagi tujuan PRN berkenaan, SPR telah melantik seramai 28 pegawai pengurus pilihan raya dan dibantu oleh 80 penolong pegawai pengurus pilihan raya.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang dianggotai wakil polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata daftar pemilih yang digunakan bagi PRN Melaka adalah Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Kedua 2021 (ST2/2021) yang dikemas kini sehingga 3 Oktober 2021.

Daftar pemilih itu mengandungi seramai 495,196 pengundi dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN berkenaan adalah sebanyak 70 peratus.

Menurut Abdul Ghani daftar pemilih tersebut membabitkan 482,550 pengundi biasa; 10,191 anggota tentera dan pasangan; 2,349 anggota polis dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Ditanya mengenai tatacara operasi piawai (SOP) pada PRN Melaka nanti, Abdul Ghani berkata pihaknya akan memberi cadangan masa keluar mengundi menerusi sistem SPR bagi mengurangkan kehadiran pengundi yang ramai pada hari mengundi.

“Kita akan beri cadangan masa keluar mengundi melalui sistem kita seperti yang digunakan di aplikasi MySejahtera. Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda.

“SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu.. kita ada masa lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata garis panduan berkaitan Covid-19 akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis dari semasa ke semasa.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semak pradaftar pemilih automatik mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 29 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru 5.8 juta bakal pemilih berusia 18 tahun dan ke atas untuk menyemak dan mengesahkan maklumat masing-masing mulai 1 Oktober.

Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata Semakan Prapendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) boleh dibuat melalui dua kaedah sehingga hujung bulan depan.

Kaedah pertama menggunakan MySPR SPPA melalui pautan https://mysprsppa.spr.gov.my atau hadir ke 594 tempat semakan di seluruh negara dengan mengimbas kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen.

“Dalam tempoh SPPA ini, mana-mana warganegara sebagai pemilih boleh menyemak, mengesahkan maklumat dan membuat aduan dengan SPR sebelum didaftarkan secara automatik,” katanya.

Ikmalrudin berkata pemilih yang tidak lagi tinggal di alamat dipaparkan perlu mengemas kini maklumat kad pengenalan mereka selewat-lewatnya hujung Oktober.

Orang ramai boleh menghubungi mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau talian bebas tol SPR 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my.

Berikut statistik lokasi semakan SPPA:

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Tinggi arah SPR laksana Undi 18 menjelang Disember

KUCHING, 3 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Mahkamah dengan ini membenarkan perintah mandamus bahawa responden mengambil semua langkah yang diperlukan bagi membolehkan Seksyen 3 (Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019) berkuat kuasa secepat mungkin dan dalam apa jua keadaan menjelang 31 Disember 2021,” katanya.

Beliau turut membenarkan permohonan kelima-lima anak muda untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden (Perdana Menteri ketika itu, kerajaaan dan SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 berkenaan selepas September 2022.

Seksyen 3 menyatakan bahawa umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Siew berkata mahkamah turut mendapati bahawa adalah tidak masuk akal bermula dari 2019 hingga 10 Mac 2021, responden berulang kali menyatakan bahawa mereka di landasan yang betul untuk melaksanakan Seksyen 3 menjelang Julai 2021 namun dua minggu kemudian pada bulan sama, mendakwa bahawa pelaksanaannya hanya boleh dilakukan paling awal pada September 2022.

“Mahkamah juga mendapati bahawa sebarang keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 selepas September 2022 bukan sahaja benar-benar tidak rasional malah tidak sah,” katanya.

Permohonan semakan kehakiman itu telah difailkan oleh kelima-lima anak muda yang berumur lingkungan 18 hingga 21 tahun pada 4 Mei lepas.

Mereka diwakili peguam Simon Siah dan Clarice Chan manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili responden.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK DUN Melor ditangguhkan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan yang sepatutnya diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu Dr Md Yusnan Yusof ditangguhkan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

“Memandangkan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Jan 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa maka Pilihan Raya Kecil bagi DUN N.23 Melor, Kelantan ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN itu, semalam.

Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan yang kekosongan sesuatu kerusi DUN Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

Semalam, Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Melor susulan kematian Md Yusnan pada 30 April lepas.

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.

Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Dakwaan pengundi 18 tahun belum matang tidak rasional

SHAH ALAM, 30 MAC: Pandangan pihak tertentu yang mendakwa pengundi berusia 18 tahun belum matang dianggap tidak munasabah dan wajar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama berkata perkara tersebut sepatutnya dibangkitkan sebelum parlimen meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan dua tahun lalu.

“Tidak masuk akal kalau mahu tarik balik atau menangguhkannya dengan alasan diberi sedangkan pada usia itu ramai dalam kalangan generasi muda membuktikan kemampuan dalam bidang diceburi.

“Saya tidak faham mengapa ada pemimpin berkata begitu sedangkan ia (Undi-18) sudah disokong dan diluluskan majoriti ahli parlimen di Dewan Rakyat,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tampil memberi penjelasan masalah teknikal dan pandemik Covid-19 sebagai faktor penangguhan pendaftaran pemilih serta kelayakan mengundi pada usia 18 tahun kerana telah memaklumkan akan menyelesaikannya selewat-lewatnya pada Julai ini.

“Selepas kelulusan dicapai, mereka (SPR) perlu memikirkan langkah untuk melaksanakannya tetapi sebaliknya berlaku dan tiada penjelasan apa kaitan isu pandemik dengan penangguhan tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, SPR memaklumkan Undi 18 yang dijadual bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia disusuli kelulusan Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis perundingan pelajar bantah SPR tangguh Undi 18

SHAH ALAM, 28 MAC: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menolak alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangguhkan kelayakan pengundi berusia 18 tahun (Undi 18).

Presidennya berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan pendaftaran Undi 18 secepat mungkin sekaligus memberi hak kepada lebih ramai rakyat memilih pada pilihan raya umum nanti.

“Usul Undi 18 mendapat sokongan 211 ahli parlimen sebelum ini yang membolehkan pelaksanaan dan pendaftaran Undi 18 dilakukan secara automatik.

“MPPK percaya golongan berusia 18 tahun sudah matang kerana sebahagian mereka bergelar mahasiswa dan sudah bekerja,” kata Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SPR mengumumkan Undi 18 yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 16 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia kemudian disusuli kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tangguh Undi 18 langgar keputusan Dewan Rakyat

SHAH ALAM, 26 MAC: Tangguhan kelayakan pengundi berusia 18 tahun ke atas (Undi 18) dan pendaftaran automatik melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN).

PAKATAN kesal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunda pelaksanaannya dari Julai tahun ini kepada 1 September tahun depan dan menyifatkan keputusan itu membelakangkan suara rakyat dan menafikan hak anak muda.

“SPR mesti bertanggungjawab sepenuhnya di atas penangguhan ini yang merupakan satu kegagalan besar kerana melanggari Perlembagaan Malaysia,” menurut majlis tersebut malam tadi.

Kenyataan dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PAKATAN juga menyifatkan SPR tidak bebas, menyalahi proses perundangan dan tidak berdedikasi terhadap semangat demokrasi.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus bertanggungjawab atas kegagalan berkenaan yang mengundang kemarahan golongan muda.

Majlis berkenaan turut berpendirian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak harus dibuat selagi Undi 18 tidak dilaksana sepenuhnya mengikut jadual iaitu Julai tahun ini.

“Sekiranya PRU15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ia menafikan suara 3.8 juta anak muda dan menjadi dosa terbesar Kerajaan PN kepada generasi yang akan datang,” kata kenyataan lagi.

Pada 25 Mac, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh menyatakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 hanya boleh dibuat selepas 1 September 2022 ekoran pelbagai kekangan termasuk wabak Covid-19.

Undi 18 dan pendaftaran automatik dirancang, digubal dan diusulkan PAKATAN ketika gabungan itu masih menjadi kerajaan.

 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Parlimen Gerik, DUN Bugaya 16 Januari 2021 – SPR

PUTRAJAYA, 27 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, dijalankan serentak pada 16 Januari 2021.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan kedua-dua PRK berkenaan hari ini, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 12 Januari.

Kedua-dua PRK berkenaan perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya susulan kematian kedua-dua penyandang kerusi tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 Nov, manakala penyandang kerusi DUN Bugaya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah kembali rahmatullah pada 17 Nov.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Raub, Pahang akibat serangan jantung. Pada PRU14, Allahyarham daripada Barisan Nasional mempertahankan kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti 5,528 undi.

Manis Muka, 65, pula meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu akibat masalah buah pinggang. Allahyarham daripada Parti Warisan Sabah mempertahankan kerusi DUN Bugaya pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 26 Sept lepas dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya.

Bagi kedua-dua PRK itu, Abdul Ghani berkata SPR menetapkan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hingga 11.59 malam pada 15 Jan 2021.

“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.

Abdul Ghani berkata bagi PRK Parlimen Gerik, SPR menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) suku ketiga (ST3/2020) yang mengandungi 36,750 pengundi, terdiri daripada 33,675 pengundi biasa; tentera serta pasangan (2,111); polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan (959) dan pengundi tidak hadir luar negara (5).

Bagi PRK DUN Bugaya pula, Abdul Ghani berkata SPR menggunakan DPPR ST3/2020 yang mengandungi 21,618 pengundi yang terdiri daripada 21,181 pengundi biasa dan 437 anggota polis.

Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi kedua-dua PRK berkenaan akan masing-masing diadakan di Dewan Serba guna Majlis Daerah Gerik dan Dewan Masyarakat Semporna, katanya.

Abdul Ghani berkata SPR menambah baik Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang digunakan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-12 lepas bagi pelaksanaan kedua-dua PRK itu.

Menurut beliau, semua aktiviti berkempen berbentuk ceramah, syarahan, kempen ziarah rumah ke rumah, walkabout atau pengedaran risalah secara bersemuka tidak dibenarkan.

“Calon digalakkan berkempen menggunakan saluran media sosial. Calon dibenarkan untuk memasang sepanduk di dalam kawasan pilihan raya,” katanya.

Abdul Ghani berkata petugas parti atau calon juga perlu mengelakkan pertembungan semasa pemasangan sepanduk bagi mengekalkan penjarakan fizikal.

Selain itu, aktiviti berkempen menggunakan kenderaan yang dilengkapi alat pembesar suara dibenarkan pada waktu yang munasabah, namun tidak boleh menyebabkan berlaku perkumpulan atau perhimpunan penyokong.

Menurutnya, seramai 1,309 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Gerik yang melibatkan 23 pusat mengundi dan 81 saluran dengan anggaran peruntukan sebanyak RM5.8 juta.

Bagi mengendalikan PRK DUN Bugaya yang melibatkan sembilan pusat mengundi dan 46 saluran dengan anggaran peruntukan sebanyak RM4.7 juta, SPR akan melantik 544 petugas, katanya.

-BERNAMA