OLEH : AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 5 JAN: Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Sungai Kapar Indah terpaksa menyewa rumah kedai bagi meneruskan perkhidmatan pendidikan berteraskan agama akibat pertambahan pelajar melebihi 700 orang bagi sesi 2016.
Meskipun berdepan kekangan, Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) serta tenaga pengajar tetap komited mengambil inisiatif menyediakan kemudahan asas pembelajaran tambahan berdepan kekangan kewangan.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut membantu dalam proses pembersihan semula bangunan tinggal yang kini disewa untuk dijadikan kelas.
Katanya yang juga Adun Sementa, enam buah penghawa dingin juga disumbangkan demi memastikan keselesaan semasa sesi pembelajaran.
“Inisiatif segera ini juga diambil setelah pentadbiran SRA menerima keputusan dari pentadbiran SK agar mencari premis lain kerana masalah tertentu. Satu tempoh masa diputuskan untuk tidak beroperasi di sana serta mengosongkan premis itu. Walaubagaimanapun, kelas SRA di bangunan lama masih digunakan sehingga hari ini.
“Kebersamaan kami ini sebagai suntikan semangat kepada pihak pentadbiran dan guru agar tidak mudah putus asa dan terus bersungguh-sungguh menyemai bakti mengajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Disamping terharu dengan inisiatif itu, Daroyah turut menyeru pihak berkemampuan tampil menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban.
“Besar harapan saya sekiranya mana-mana badan korporat, anak-anak syarikat, organisasi mahupun orang persendirian yang berhajat dapat bersama-sama menyalurkan bantuan.
“Ia bagi meringankan beban dalam usaha memastikan proses pembelajaran tidak terhenti dan akan berterusan,” katanya.
EZY