Categories
AGENDA NASIONAL

Najib dijatuhi hukuman penjara 72 tahun, denda RM210 juta

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman pada 6.30 petang, setelah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan, permohonan pendakwaan untuk hukuman berat dan kenyataan ringkas tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.

“Saya turut mengambil kira sumbangan tertuduh kepada negara,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan selesai, namun menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta lagi dan mengarahkan ia dikemukakan esok.

Sebelum ini, Najib diikat jamin RM1 juta.

Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri itu untuk melapor diri ke balai polis dua kali sebulan.

Najib meninggalkan mahkamah pada 7.34 malam, bersama peguamnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan seleweng dana SRC sebahagian kecil kes libat Najib

SHAH ALAM, 28 JULAI: Keputusan mahkamah hari ini mensabitkan hukuman salah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sebahagian kecil berbanding banyak lagi kes melibatkannya terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua penerangan KEADILAN berkata perkara berkenaan dibangkitkan sejak 2011 di Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan hari ini juga dicapai melalui kebebasan sistem kehakiman, prinsip yang diperjuang dan menjadi sebahagian asas penubuhan KEADILAN.

“Kita akan terus berjuang memastikan reformasi institusi dilaksanakan dan dipertahankan serta terus menambah baik persekitaran demokratik seiring dengan tata kelola kerajaan yang baik,” kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik keputusan mahkamah yang menyaksikan bekas perdana menteri berdepan tujuh pertuduhan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Shamsul Iskandar menjelaskan pihaknya bersama rakan-rakan dalam blok pembangkang akan terus bersama dan berikhtiar mengembalikan mandat rakyat untuk membolehkan reformasi menyeluruh dilaksanakan di segenap peringkat.

“Kami yakin rakyat mahukan reformasi dan akan terus menyokong pemimpin serta parti yang komited dengan agenda ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes SRC: Najib mula bela diri

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya berhubung dana SRC International Berhad (SRC).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 11 November memerintahkan Najib, 66, membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Pasukan pembelaan memulakan kesnya hari ini dengan Najib membaca pernyataan saksi setebal 243 muka surat, menyentuh antara lain mengenai pelantikan pengarah-pengarah 1Malaysia Development Berhad, Terengganu Investment Authority, Khazanah, Petronas, PNB, TNB, Telekom dan lain-lain.

Najib, yang juga Menteri Kewangan semasa memegang jawatan Perdana Menteri, juga menjelaskan dengan panjang lebar mengenai penubuhan 1MDB, peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam penubuhan TIA yang kemudiannya ditukar kepada 1MDB, serta idea di sebalik penubuhan SRC.

Beliau menyifatkan Jho Low sebagai individu yang sangat berpengaruh dan mempunyai hubungan luas dengan keluarga diraja Terengganu dan di Timur Tengah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata atas alasan berkenaan beliau mengekalkan Jho Low sebagai penasihat 1MDB selepas Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA pada 2009 dan menukar namanya kepada 1MDB, dengan sahamnya dipegang oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Beliau berkata beliau melihat adalah sesuai bagi 1MDB untuk mempunyai lembaga penasihat bersama-sama dengan model pendahulunya (TIA) (Najib merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB).

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib memberitahu mahkamah bahawa sebagai Perdana Menteri (ketika itu), beliau mempunyai kuasa mutlak dalam pelantikan pengarah-pengarah syarikat berkaitan kerajaan.

Najib yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia mulai April 2009 hingga Mei 2018, merupakan Perdana Menteri pertama di negara ini yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Beliau dituduh melakukan tujuh kesalahan antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Mahkamah menetapkan pembelaannya bermula pada 3 hingga 4 Disember, 9 hingga 12 Disember dan 16 sehingga 19 Disember.

Pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. Pasukan pendakwaan juga terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram manakala peguam Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Pada 22 dan 23 Oktober, mahkamah mendengar hujah daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan. Pendakwaan mengakhiri kesnya pada 27 Ogos, selepas 58 hari perbicaraan dengan 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Semasa perbicaraan itu, pendakwaan mengemukakan lebih 750 ekshibit, termasuk dokumen bank yang berkait dengan akaun Najib, urus niaga tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry Messenger mengenai transaksi akaun Najib.

Najib pertama kali dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pada 8 Ogos, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama. Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan semua pertuduhan digabungkan dalam satu perbicaraan.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika disabitkan kesalahan, bekas Perdana Menteri itu berdepan, bagi setiap pertuduhan, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

– BERNAMA