Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi CAC Stadium Malawati, Sri Andalas terkawal lepas ditambah baik

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kehadiran orang ramai di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini hari ini dilihat terkawal dengan jumlah kehadiran tidak seramai berbanding Isnin lepas susulan beberapa penambahbaikan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tinjauan Bernama di CAC Stadium Malawati hari ini mendapati keadaan lebih teratur berbanding sebelum ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di Selangor akhir-akhir ini, sehingga menyaksikan kawasan berkenaan menjadi tumpuan individu yang menetap di daerah Petaling bagi menjalani saringan Covid-19.

Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata beberapa penambahbaikan dilakukan sejak Isnin termasuk memperluaskan ruang Bahagian Kecemasan yang dilengkapi tangki oksigen manakala satu kawasan baharu dibuka di pekarangan stadium itu bagi tujuan saringan ke atas pekerja industri.

Jumlah pegawai perubatan serta ambulans turut ditambah, selain ruangan tempat duduk penonton di dalam arena stadium dipenuhkan bagi mengurangkan jumlah pengunjung yang berada di luar stadium.

CAC Stadium Malawati juga menerima sumbangan 10 buah khemah daripada Kerajaan Selangor, 14 buah khemah daripada Pasukan Bantuan dan Tindakan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) di samping sumbangan kotak makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Sementara itu, keadaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Taman Sri Andalas juga didapati lebih teratur dan terkawal berbanding hari pertama pengoperasian pusat berkenaan, Isnin lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar CAC Andalas mendapati walaupun jumlah individu yang hadir untuk menjalani saringan Covid-19 dilihat agak ramai dan terpaksa beratur panjang, keadaan masih terkawal.

Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pengurusan CAC di Selangor akan ditambah baik khususnya berkaitan proses pendaftaran pesakit, bekalan tangki oksigen dan penambahan bilangan petugas kesihatan.

Dalam pada itu, tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam yang ditutup semalam ekoran penularan kes Covid-19 dalam kalangan petugasnya, mendapati aktiviti pemberian vaksin kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu suntikan vaksin dijadualkan semula.

Hanya individu yang divaksin sahaja dibenarkan masuk dan menaiki lif yang diselia oleh petugas PPV dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

15,000 warga DUN Seri Andalas terima manfaat IPR

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JUL: 15,000 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas menerima pelbagai manfaat daripada pelaksanaan dasar Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sejak ia dilaksanakan.

Ahli Dewan Negerinya (ADN), Dr Xavier Jayakumar berkata, pencapaian itu diraih hasil usaha keras pentadbiran negeri dan pusat khidmat DUN turun padang menyantuni rakyat.

“Kita banyak mencapai perubahan terutamanya pelaksanaan di bawah program IPR membabitkan penglibatan masyarakat Seri Andalas.

XAVIER TURUN PADANG“Berpandukan jangkaan, seramai 15,000 warga Seri Analas sudah dibantu di bawah program kebajikan IPR bersama Kerajaan Negeri.

“Tentunya ini pendekatan yang sangat bermanfaat kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelumnya, Dr Xavier ditemui pada program Aidilfitri peringkat DUN Seri Andalas, baru-baru ini.

Terdahulu, IPR merupakan penjenamaan dasar baru yang dulunya dikenali sebagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Untuk rekod sebanyak 17 program IPR ditawarkan kepada rakyat Selangor sejak ia mula dilaksanakan pada 2008.

Antaranya dasar pemberian air percuma, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Kesihatan Wanita, Skim Hijrah dan Insentif Perkahwinan Belia.

Selain itu, pelaksanaan program bantuan Food Stamp, Rumah Selangorku, khidmat Bas Smart Selangor, Wifi Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Patut Tumpu Kerja Tingkatkan Pendapatan Petani

MB pc tie belang 01

KLANG 4 FEB : Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sewajarnya menumpukan usaha mempertingkatkan mutu pendapatan para petani di seluruh negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, seorang Menteri Pertanian yang terbaik adalah individu yang berjaya mempertingkatkan pendapatan per-kapita para petani ke tahap yang tinggi.

Abdul Khalid berkata demikian dalam responnya berhubung dakwaan Noh yang mengatakan Selangor negeri paling tinggi menerima aduan melalui Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri bagi tempoh Oktober dan Disember tahun lepas.

“Dia (Noh Omar) mesti ambil kira di mana Kementerianya yang mempunyai ramai rakyat Malaysia yang miskin.

“Berapakah ramai para petani yang melepasi kadar pendapatan RM3,000 sebulan?

“Berapakah Nelayan yang mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan?

“Jika beliau sendiri (Noh ) mempunyai kementerian yang terdapat masyarakat miskin teramai, maka saya rasa beliau sepatutnya berhenti kerja,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa lawatan beliau ke pusat dialisis Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Taman Sri Andalas di sini.

Ujar beliau, Pakatan Rakyat mempunyai perancangan bagi mengurangkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin khususnya dalam membela para petani.

“Kajian kita menunjukkan keupayaan Kementerian Pertanian dengan strateginya adalah sangat lembab (untuk mempertingkatkan pendapatan petani),” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Selangor Lancar Kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia

PETALING JAYA 21 SEPT : Bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus menerajui Selangor, PKR Selangor akan melancarkan kempen ?Jelajah Selangor Tawan Malaysia? yang akan bermula pada 14 Oktober depan.

Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei berkata program gerak gempur yang bertemakan ‘perkukuhkan kemenangan rakyat dan tawan Malaysia’ itu akan memfokuskan kawasan tumpuan.

Antaranya, kawasan Parlimen Selayang, Pandan, Bandar Tun Razak, Kuala Langat, Kapar, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan dan Subang.

Kawasan DUN yang terbabit adalah Kuang, Rawang, Sementa, Kota Anggerik, Batu Tiga, Batang Kali, Permatang, Sri Muda, Sri Andalas, Batu Caves, Bukit Antarabangsa, Ijok, Melawati, Seri Setia, Taman Medan, Bukit Lanjan, Dengkil, Semenyih, Kajang dan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata PKR akan berbincang dengan DAP dan PAS sekiranya mereka ingin dengan PKR dalam program itu.

“Selain mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya 2008, parti itu juga akan menawan kerusi Parlimen dan DUN milik Umno-BN.

?Salah satu misi pilihan raya umum ke-12, PKR Selangor menyasarkan sebanyak 11 kerusi Parlimen untuk dimenangi.
?Berdasarkan statistik terkini kami mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan lapan kerusi Parlimen sedia ada dengan tambahan tiga kerusi milik BN iaitu Sabar Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.

?PKR juga akan mempertahankan 14 kerusi DUN dan menawan tujuh kerusi DUN milik Umno-BN iaitu di kawasan Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,? katanya.

Shuhaimi berkata PKR juga yakin majoriti kemenangan akan meningkat berdasarkan kajian dilakukan parti itu.

?Parlimen Selayang, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kapar dan Kuala Langat kita yakin jumlah majoriti akan bertambah.?

Ketika ini Pakatan memperoleh 35 daripada 56 kerusi DUN manakala BN sebanyak 20 dan seorang Adun Bebas.

Di peringkat kerusi Parlimen pula PR memperoleh 17 daripada 22 kerusi di Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mesyuarat agung tahunan AMK Cabang PKR akan bermula pada 22 September hingga 13 Oktober depan.

Ia akan melibatkan 22 kawasan cabang PKR.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih 94,000 Borang Kaji Selidik Daftar Pengundi Diserahkan ke DUN

SHAH ALAM, 30 MEI : Sebanyak 94,474 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi diserahkan kepada tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjalankan proses mengenalpasti pengundi baru yang berdaftar di DUN berkenaan.

Tujuh DUN itu ialah Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sri Serdang, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sri Muda dan Sri Andalas.

Kesemua borang itu diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Adun kawasan masing-masing semasa sidang akhbar Mesyuarat Exco di SUK, hari ini.

Menurut Abdul Khalid, ADUN kemudiannya akan menyerahkan borang itu kepada Ketua Kampung untuk menjalankan tugas mengenal pasti pengundi baru yang berdaftar.

“Penyerahan borang ini adalah kesinambungan daripada Program Selangorku Bersih yang dilancarkan kerajaan negeri bagi membersihkan daftar pengundi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)” ujarnya.

Katanya, program Selangorku Bersih sudah memasuki Fasa Kedua selepas Fasa Satu dijalankan di DUN Batang Kali, 19 Mei lalu di mana sejumlah 13,034 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi dikeluarkan.

Tambahnya, setakat Isnin lepas, sebanyak 1,116 borang sudah dikembalikan.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan senarai daftar pengundi di Selangor dibersihkan bagi menjadikan PRU akan datang diadakan secara adil dan bersih.

“Kita juga mahu membuktikan kepada SPR bahawa peningkatan luar biasa pengundi baharu di Selangor adalah disebabkan wujudnya nama-nama yang meragukan atau pengundi hantu,” jelasnya.