Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs mohon runding lanjut cadangan sistem saraan baharu

KUANTAN, 13 MAC: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap dapat mengadakan rundingan lanjut bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secepat mungkin berkenaan cadangan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu.

Presidennya Adnan Mat berkata sistem baharu itu lebih komprehensif menepati kehendak semasa dengan peningkatan kos sara hidup selain disusun dengan mengambil kira pandangan daripada penjawat awam itu sendiri.

“Usul ini telah dibawa untuk perhatian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember 2019 sebelum perbincangan kali pertama dengan JPA telah dibuat pada 13 Jan 2020 untuk menggantikan sistem saraan kerajaan sedia ada.

“SSM ini telah digunakan sejak tahun 2002 sampai ke hari ini cuma ada sedikit tambahan dari SSM kepada SSM plus. Justeru, kita berharap dapat mengadakan perbincangan lanjut secara terperinci bersama JPA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada penjawat awam anjuran Cuepacs di sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi kenaikan gaji yang diberi pada 2007 dan 2012 hanya dibuat berdasarkan pada keadaan dan permintaan semasa yang tiada pelaksanaan dalam bentuk sistematik supaya kenaikan itu berlaku setiap lima tahun disebabkan tiada perjanjian kolektif.

Selain itu, Adnan berkata, Cuepacs turut melakukan kajian mengenai Bekerja Dari Rumah (BDR) kepada suami yang menyambut kehadiran anak yang baru dilahirkan selain menjaga orang tua yang sedang sakit.

“Hasil kajian Cuepacs itu akan dimuktamadkan pada 9 hingga 11 April depan yang akan diserahkan kepada kementerian terlibat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Isu tadbir urus Yayasan Selangor selesai, operasi ikut tatacara SSM

SHAH ALAM, 22 DIS: Yayasan Selangor yang beroperasi sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan dan berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyelesaikan isu tadbir urus yang tertunggak sejak 2015.

Agensi Kerajaan Negeri itu berkata Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor mengambil langkah proaktif bagi memperkemas isu tersebut melalui pelantikan ketua pegawai eksekutif baharu pada Julai tahun lalu dan meluluskan pelan tindakan strategik enam bulan selepas itu.

“Untuk makluman terkini, senarai ahli lembaga pemegang amanahnya dikemas kini di SSM pada 14 September selaras dengan keperluan Akta Syarikat 2016.

“Manakala penyata kewangan beraudit bagi tahun kewangan 2015 sehingga 2019 disiap dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor Ke-43 pada 18 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor memberi penjelasan terhadap soalan dikemukakan Ketua Pembangkang Rizam Ismail ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 11 November mengenai penyataan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) terhadapnya.

Yayasan itu memaklumkan Amirudin dalam ucapan penangguhan pada Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor Ke-43 menyatakan pengurusannya dan Kerajaan Negeri bersedia untuk maju bersama dengan memastikan penjanaan pendapatan yang berterusan.

Amirudin berkata kelangsungan pendapatan itu penting untuk mencapai obkjektif penubuhannya dan berharap pemegang taruh memberi sokongan serta kerjasama dalam memastikan pelan penstrukturan semula berjaya dicapai.

Categories
AGENDA NASIONAL

SSM sedia skim daftar niaga percuma kepada belia, ibu tunggal

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan merangka kaedah bersesuaian yang membolehkan golongan usahawan belia dan ibu tunggal mendapat manfaat skim pendaftaran perniagaan percuma.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata usaha SSM itu bakal mencetus minat berniaga dan menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan tersebut untuk menceburi bidang perniagaan.

“…(Ini dapat) menjana pulangan pendapatan tambahan yang dapat menampung kehidupan seharian mereka seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan di negara ini,” katanya pada sesi Waktu-waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu sekiranya SSM menyediakan sebarang bantuan untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia dan pelajar yang baru memulakan perniagaan mereka.

Nanta turut menyarankan golongan OKU untuk memanfaatkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) yang diperkenalkan pada 23 Oktober 2012 oleh SSM untuk mendaftar perniagaan baharu dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma.

Beliau berkata SSM juga menggalakkan belia dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) yang diperkenalkan pada 1 Jan 2017.

Sementara itu, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui SSM melaksanakan lapan inisiatif yang inklusif bagi mengurangkan beban masalah dan tekanan yang dihadapi sektor komuniti peniaga dan korporat akibat pandemik Covid-19.

Antaranya ialah melaksanakan tempoh moratorium 30 hari daripada tarikh berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyerahkan dokumen berkanun SSM, pengecualian fi lewat serah simpan bagi dokumen berkanun serta pelanjutan masa untuk serah simpan penyata kewangan kepada SSM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SSM tawar diskaun kompaun 90 peratus hingga hujung tahun

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menawarkan pengurangan kompaun 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi permohonan pembatalan nama syarikat di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 bermula 17 Ogos hingga 31 Disember ini.

SSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kadar pengurangan kompaun 90 peratus terpakai kepada semua kompaun yang ditawarkan di bawah Akta Syarikat 1965 (AS 1965) dan Akta Syarikat 2016 (AS 2016).

“Di bawah inisiatif ini, syarikat dan pengarah syarikat yang telah memohon atau diambil tindakan pembatalan syarikat menurut peruntukan di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 layak mendapat pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus,” menurut kenyataan itu.

Semakan status kompaun boleh dibuat melalui permohonan emel di [email protected], menghubungi talian 03-22995334 dan secara dalam talian melalui pautan https://www.ssm.com.my/Pages/Quick_Link/e-Compound.aspx atau di portal ezBiz Online di pautan https://ezbiz.ssm.com.my serta di mana- mana pejabat SSM seluruh Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar baharu syarikat melebihi tamat operasi sejak April

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan melebihi jumlah permohonan penutupan perniagaan berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tempoh 1 April hingga 19 Julai lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata sejumlah 4,542 permohonan penamatan perniagaan diterima oleh SSM manakala 82,555 perniagaan baharu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“Statistik itu menunjukkan jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan jauh melebihi jumlah permohonan penutupan perniagaan iaitu sebanyak 95 peratus bagi tempoh yang dimaksudkan itu,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin tahu jumlah perniagaan yang menggulung perniagaan pada April, Mei, Jun dan Julai 2020, serta jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan di dalam tempoh yang sama.

Dalam pada itu, Rosol berkata pendaftaran syarikat yang meningkat daripada April hingga Julai kebanyakannya adalah sektor e-dagang atau berniaga secara dalam talian memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“…kerana ketika itu kedai fizikal tidak dibenarkan beroperasi, jadi e-dagang dan dalam talian menjadi rebutan atau dipraktikkan oleh peniaga di negara ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jenis sektor perniagaan baharu yang didaftarkan sepanjang tempoh itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PNS, SSM laksana basmi kuman kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) mengambil langkah proaktif bagi mencegah warga kerjanya terdedah kepada jangkitan Covid-19 dengan melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman di Menara PNS di Bangsar Selatan.

PNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa proses pembersihan dan pembasmian kuman itu dijalankan pada 5 hingga 8 Mac bertujuan memastikan persekitaran yang bersih untuk pekerja, penyewa dan pelawat.

“PNS juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan Covid-19 dengan memeriksa suhu badan setiap warga kerja, penyewa dan pelawat sebelum memasuki Menara PNS dan menyediakan pembersih tangan di dua kaunter utama bangunan,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) sebagai langkah persediaan untuk mengatasi krisis Covid-19 dan pasukan itu bertanggungjawab memantau keadaan selain memberi peringatan dan arahan tindakan kepada semua warga kerja dan penyewa.

Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan ibu pejabatnya di Menara SSM, Sentral Kuala Lumpur akan melalui kerja-kerja nyah kuman atau sanitasi menyeluruh pada Ahad ini.

“Bagi memastikan pelaksanaan sanitasi yang optimum, pelanggan SSM dinasihat untuk tidak melawat ibu pejabat SSM pada 12 dan 13 Mac. Tindakan ini diambil sebagai langkah pencegahan dan kesediaan terhadap COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Sebagai alternatif, orang ramai digalakkan untuk menggunakan kemudahan dalam talian SSM dan mengelak daripada menggunakan perkhidmatan kaunter di Menara SSM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes kesalahan akta syarikat dua anak Shahrizat selesai

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kes membabitkan dua anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berhubung beberapa kesalahan akta syarikat, selesai selepas mereka membayar kompaun kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pegawai Pendakwa SSM, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Manira Mohd Nor bahawa kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) iaitu Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh ,35 dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh, 33, membayar kompaun terbabit.

“Pihak OKS sudah selesai membayar kompaun dan pihak kami memohon supaya saman dibatalkan,” katanya semasa sebutan semula kes itu.

Manira kemudiannya membatalkan saman yang dikeluarkan terhadap kedua-dua OKS itu.

Bagaimanapun, jumlah bayaran kompaun berkenaan tidak didedahkan dan bayaran itu dibuat di pejabat SSM bulan lalu.

Kedua-dua anak Shahrizat tidak hadir ke mahkamah.

Difahamkan saman itu dikeluarkan terhadap kedua-dua OKS berhubung beberapa pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 termasuk gagal membentangkan akaun untung dan rugi, gagal mengadakan mesyuarat agung taqwim dan gagal menyerah simpan penyata tahunan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 2012 dan 2015.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tony : Ismail Sabri Giat Siasat SUARAM, Syarikat Umno-BN Dilepaskan


KUALA LUMPUR 17 OKT: Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa menggunakan kuasanya untuk menyiasat pengkritik pentadbiran Umno-BN tetapi melindungi syarikat kroni Umno-BN yang melanggar undang-undang.

MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Ismail Sabri seharusnya berasa malu kerana gagal mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat tersebut yang tidak menyediakan laporan kewangan sejak 2007.

Akan tetapi Ismail Sabri sanggup mengarahkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat Suara Inisiatif Sdn Bhd (Suaram) kerana memiliki akaun meragukan.

Pada masa sama, Tony mendakwa laporan audit 2011 menunjukkan SSM gagal mengutip kompaun berjumlah RM 554.94 juta daripada syarikat yang melanggar undanga-undang SSM.

Antara syarikat yang didakwa gagal menyediakan laporan kewangan adalah YGP Holdings yang mana pengarahnya adalah MP Rembau, Khairy Jamaluddin dan MP Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dimiliki ahli keluarga bekas Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil juga didapati tidak menghantar laporan kewangan.

Dakwanya lagi, Industri Aeroangkasa Kebangsaan dan Pertahanan Sdn Bhd turut gagal menyediakan laporan kewangan sejak Disember 2007.

Syarikat ini dianugerahkan lesen subsidiari oleh Kerajaan Malaysia bagi menjalankan penerbangan di Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Razak.

“Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan SSM gagal untuk mengutip saman kompaun walaupun pengarah syarikat tersebut berhutang melebihi setengah juta ringgit.

“Selain itu juga, kes-kes yang dirujuk oleh SSM cawangan Kuala Lumpur untuk pendakwaan yang diterima hanya 1.5 peratus dengan nilai RM 8.59 juta denda kompaun, dan sebanyak RM 554.94 juta tidak dikutip,” katanya di sidang media di Parlimen hari ini.

Suaram adalah sebuah NGO yang berkempen agar pembelian senjata daripada Perancis yang bernilai berjuta-juta ringgit oleh Malaysia disiasat kerana terdapat unsur-unsur rasuah.

Kempen terbaru adalah penyiasatan pembelian dua kapal selam Scorpene yang bernilai RM 452 juta oleh Malaysia yang didakwa melibatkan rasuah dan penjualan rahsia Kerajaan Pusat.

Kes Scorpene sedang disiasat di dalam mahkamah Perancis dan Suaram mendakwa seorang bekas pembantu khas Najib terlibat di dalam kes tersebut.

Dakwa Tony, terdapat lebih daripada beratus-ratus syarikat lain yang secara terang-terangan melanggar Akta Syarikat 1965 namun tiada tindakan diambil oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM).

Sebagai contoh,katanya, laporan audit tersebut menunjukkan seorang pengarah telah mendaftarkan sebanyak 683 syarikat dan menerima 185 kompaun berjumlah RM 640,000 namun tiada tindakan diambil oleh SSM.

“Lebih menghairankan, pengarah-pengarah syarikat ini masih aktif mendaftarkan syarikat-syarikat baru tanpa menghadapi sebarang masalah,” katanya  sambil menambah terdapat empat kes sepertinya menurut laporan audit itu.

Categories
NASIONAL

Siasat SUARAM Taktik Balas Dendam Umno-BN

SHAH ALAM 12 SEPT : Tindakan Umno-BN menggunakan agensi kerajaan bagi menyiasat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) adalah taktik balas dendam terhadap NGO itu yang secara aktif mendedahkan beberapa skandal melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara skandal didedahkan Suaram adalah kes pembunuhan rakyat Monggolia, Altantuya Shaariibuu serta isu pembelian kapal selam Scorpene yang kini dibicarakan di mahkamah Perancis.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata siasatan dijalankan ke atas Suaram itu adalah satu cara Umno-BN bagi menutup isu sebenar melibatkan Najib yang masa kini mendapat perhatian umum serta masyarakat antarabangsa.

“Ia tindakan terdesak Umno-BN yang mana menggunakan beberapa agensi kerajaan bagi menyiasat Suaram. Malah penafian Suaram mengenai penglibatan spekulator matawang, George Soros menyalurkan dana juga tidak diendahkan.

“Ini pendekatan Umno-BN bagi menimbulkan isu Yahudi terlibat dengan NGO tersebut,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Pengarah Suaram, Kua Kia Soong sebagai berkata, siasatan demi siasatan yang dijalankan agensi kerajaan ke atas NGO tersebut merupakan satu bentuk salahguna kuasa oleh BN ke atas badan berkenaan.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM diminta menyiasat Suaram mengenai dakwaan NGO itu menerima dana daripada Soros lebih RM558,500 dalam tempoh 2007 hingga 2010.

Fariz berkata, Umno-BN perlu menghentikan tindakan prejudis itu yang ternyata menyalahi sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Jika Suaram disiasat, kerajaan Umno-BN perlu menjalankan tindakan sama ke atas NGO lain seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Gerakan Jalur Tiga (Jati), Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS).

“Semua NGO pro Umno-BN ini tidak harus dikecualikan. Siasatan mesti dilakukan dari mana sumber kewangan diperolehi dan pihak mana yang menyalurkan dana kepada mereka semua,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Tony Pua : Hentikan Ganggu Suaram

SHAH ALAM 6 SEPT : Kerajaan digesa untuk menghentikan tindakan ‘mengganggu’ dan melaksanakan pertuduhan terpilih terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan segera.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diharap untuk menjauhkan diri daripada tindakan bermotifkan politik yang hanya akan mencemarkan imejnya.

“Jika SSM bertindak terhadap Suaram, maka sesungguhnya tindakan mesti diambil terhadap syarikat-syarikat milk pemimpin Umno, ahli keluarga dan kroni yang melanggar undang-undang,” kata Tony dalam kenyataan medianya.

Tambahnya, sepanjang tahun lepas, beliau banyak mendedahkan syarikat yang melanggar Akta Syarikat 1965.

“Ia termasuk syarikat-syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang memiliki Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Sebagai contoh,pinjaman peribadi NFC dianggap unik yang diberikan kepada pengarah syarikat yang melanggar Seksyen 133 dan 133A Akta Syarikat, di mana pinjaman itu jelas dilarang,” katannya.

Sebagai contoh Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan (AGM) yang dimiliki oleh Pemuda Umno dengan Khairy Jamaluddin dan Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai pengarah, tidak pernah memfailkan akaun mereka sejak 2009.

“Kenapa sehingga ke hari ini, walaupun dibuat pendedahan itu sekurang-kurangnya enam bulan yang lalu, SSM gagal untuk bertindak walaupun pelanggaran terbukti oleh syarikat-syarikat itu,” katanya.

Adalah jelas bahawa tindakan terhadap Suaram itu dipercayai ekoran Suaram secara konsisten membuat pendedahan terhadap skandal Kapal Selam Scorpene yang menelan berbilion ringgit Malaysia.

“Kami berharap Suaram akan terus dan menggandakan usaha dalam memastikan pemimpin yang rasuah terus ditolak,” katanya.

Categories
NASIONAL

Suaram : Siasat Syarikat Terbabit Dalam Skandal Scorpene

SHAH ALAM 4 SEPT: Kerajaan dan agensinya didesak untuk menyiasat Syarikat Perimekar Sdn Bhd dan Terarasi Sdn Bhd serta mendedahkan kepada umum hasil sebarang penemuan.

Pengarah Eksekutif Suaran Rakyat Malaysia (Suaram), Nalini Elumalai berkata pihak Suaram menerima pelbagai bentuk tekanan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PERKESO , Umno, Perkasa serta pelbagai dakwaan daripada Utusan Malaysia dan News Strait Times ekoran pendedahan skandal salah laku dalam urusan pembelian Kapal Selam Scorpene.

Beliau mahu agar kerajaan menyiasat syarikat yang terbabit dalam skandal kapal selam itu sepertimana tekanan dan siasatan yang dikenakan terhadap Suaram.

“Malah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut membantu dalam ‘rutin menyiasat’ salah satu daripada rakan kongsi Suaram baru-baru ini,” kata Nalini dalam kenyataan media.

Ujar Nalini, Suaram diwujudkan sebagai kumpulan sokongan untuk keluarga tahanan bekas politik dalam ISA sejak tahun 1989.

Suaram juga dibangunkan untuk memperjuangkan isu salahlaku polis, hak pemohon suaka politik, pelarian, dan juga mendidik masyarakat berkenaan hak asasi manusia dan kebebasan awam.

Ujar Nalini lagi, kerajaan juga didesak untuk menghentikan mempergunakan Perkhidmatan Awam untuk cuba menjatuhkan imej Suaram dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan.

“Kita berjaya mencapai kemenangan moral ke atas pemasuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini dan tiga akta darurat selepas 23 tahun dalam perjuangan bersama-sama dengan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rugi Bawah BN, PNSB Jana Untung Bawah PR

SHAH ALAM, 18 JULAI: Rugi untuk empat tahun berturut-turut di bawah pentadbiran Umno-BN Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mula mencatat keuntungan di bawah Pakatan Rakyat.

Menurut Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, PNSB mengalami kerugian selepas cukai berjumlah RM 0.9 juta pada tahun 2005, RM7.5 juta (2006), RM1 juta (2007) dan RM15.6 juta pada 2008.

“Selepas beralih kepada Pakatan, PNSB merekodkan keuntungan RM8 juta pada 2009, RM23.4 juta pada 2010 dan RM 28.4 juta pada 2011,” kata Pua semalam di petik daripada portal web Free Malaysia Today.

Berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),menunjukkan PNSB mempunyai jumlah aset berjumlah RM761 juta bagi tahun 2010 dan RM823 juta bagi tahun 2011.

Pada tahun 2008 dan 2009 PNSB masing-masing memiliki aset bernilai RM111 juta dan RM115 juta.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan Pengerusi Biro Profesional Muda MCA, Chua Tee Yong mengenai beban hutang yang terpaksa ditanggung PNSB ekoran pembelian tanah di Bukit Beruntung 2 dan Bestari Jaya dari Kerajaan Negeri.

Beritahunya lagi, berdasarkan laporan akaun PNSB tahun 2009, perbadanan itu dalam keadaan kewangan yang sihat, bebas hutang serta memiliki wang tunai dan simpanan tetap sebanyak RM76 juta.

Tony turut mengulangi cabaran kepada Chua untuk berdebat bagi membuktikan kebenaran tentang isu ini.

“Walaupun Chua menolak tawaran debat saya, saya berharap bahawa dia akan menimbang semula tawaran itu untuk membahaskan hutang Talam yang dia bangkitkan atau mungkin sekurang-kurang boleh mengajar saya tentang perakaunan yang sepatutnya,” ujarnya lagi.