Categories
AGENDA NASIONAL

Petronas tarik balik rayuan berhubung keputusan isu SST

PUTRAJAYA, 3 OGOS: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Kerajaan Sarawak, pada masa sama juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai cukai jualan negeri (SST).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Petronas yang diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Pegawai Undang-Undang Negeri Datuk Seri JC Fong yang mewakili kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan negeri Sarawak mengesahkan rayuan itu ditarik balik.

Prosiding mahkamah itu dijalankan menerusi persidangan video.

Peguam Petronas, Alvin Chong yang menghadiri prosiding itu memohon rayuan itu ditarik balik.

Kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal SST Sarawak juga diwakili Peguam Besar Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Melalui pesanan WhatsApp, Fong berkata berikutan penarikan balik rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Pada 13 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi Azhahari Kamal Ramli berkata peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.

Petronas turut memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa bahagian tertentu dalam notis itu adalah ultra vires pada Perlembagaan Persekutuan dan adalah batal dan tidak sah, dan juga perintah certiorari bahawa notis bertarikh 28 Ogos 2019, 7 Okt 2019 dan 13 Nov 2019 dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak kepada Petronas dibatalkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Teruskan SST, tambah baik jika perlu

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kerajaan perlu meneruskan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan pada 1 September tahun lalu dengan melakukan penambahbaikan jika perlu daripada mengubahnya.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpendapat adalah lebih baik untuk kerajaan mengekalkan sistem itu dengan memperbaiki serta membuat penyesuaian yang perlu dan bukan mempertimbangkan untuk mengubahnya lagi.

“Perubahan akan menjadi masalah seperti yang dilihat dalam tempoh enam bulan selepas SST diperkenalkan,” katanya semasa sesi soal-jawab pada Persidangan Perlembagaan dan Peraturan Perundangan LAWASIA 2019 di sini, malam tadi.

Ketika menjawab soalan sama ada sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu diperkenalkan semula, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata sistem itu lebih cekap dan telus.

“Tetapi semua orang perlu membayar termasuk golongan berpendapatan rendah dan ia tidak adil kepada mereka,” katanya.

GST, yang diperkenalkan Barisan Nasional pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, dimansuhkan Pakatan Harapan pada 1 Jun 2018.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

SST: Selaras harga barang mulai 15 November

PUTRAJAYA, 18 OKT: Semua pasar raya besar dan kedai runcit berangkai di seluruh negara perlu menyelaras harga baharu bagi semua jenis barangan mengikut sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), bermula 15 November ini.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, kedua perusahaan itu diberi kelonggaran lebih dua bulan kerana terdapat masalah sistem penyelarasan harga berbeza.

“Ada kedai, stok lama mereka sudah habis dan ada beberapa kedai lagi masih mempunyai stok lama itu, justeru timbul persoalan adakah mereka boleh mengenakan harga baharu.

“Kedua premis ini mempunyai sistem harga yang mempamerkan harga sama bagi semua barangan, di seluruh negara yang ditetapkan di peringkat ibu pejabat.

“Jadi, mereka menulis surat kepada kementerian dan kami melakukan kajian sebelum memberikan kelonggaran ini,” katanya pada sidang media berhubung penguat kuasaan anti-pencatutan di bawah Operasi Catut 5.0, hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, kadar cukai jualan yang dikenakan tidak sama bagi semua barangan terdiri daripada 0 peratus, 5 peratus dan 10 peratus, manakala kadar cukai perkhidmatan adalah 6 peratus.

Berhubung Operasi Catut 5.0, Mohd Roslan berkata, pihaknya mengeluarkan empat kertas siasatan ke atas empat perniagaan yang dikenal pasti gagal mengikut sistem SST dan menunggu tindakan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara.

“Sehingga hari ini, sebanyak 20,259 premis diperiksa membabitkan 490,328 barangan dalam operasi fasa 2 dengan pemeriksaan pencatutan ke atas setiap rantaian perniagaan di seluruh negara menerusi kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

“Sebanyak 166 notis dikeluarkan di bawah seksyen 21 (2) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi melihat pematuhan peniaga terhadap perundangan dan 1,826 notis di bawah seksyen 53A AKHAP 2011 untuk peniaga menyenggara serta menyimpan rekod perniagaan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kurangkan harga rumah atau pengecualian SST disemak semula

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Kerajaan mungkin menimbang semula pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bahan binaan dan perkhidmatan jika pemaju gagal mengurangkan harga rumah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah positif dengan memberikan pengecualian, dan kini menunggu para penggiat hartanah untuk mengurangkan harga rumah.

“Kami mahu melihat harga diturunkan. Saya tidak berminat untuk melihat pakej tambahan, ini tidak bermakna,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan Pemaju Perumahan Siri CEO Institut Rehda 2018 di sini hari ini.

Dianjurkan oleh Institut Rehda, acara sehari itu menyaksikan peserta membincangkan idea-idea baharu untuk merangsang dan membangunkan semula ekonomi Malaysia, dengan pemimpin pelbagai industri memberi input kepada kerajaan sebelum Bajet 2019 akan datang, selain mengkaji penyelesaian baharu dalam menangani isu hartanah tidak terjual.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Datuk Soam Heng Choon berkata persatuan itu mengakui bahawa pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan pengecualian SST terhadap bahan binaan dan perkhidmatan menyediakan enam peratus penjimatan langsung kepada pengguna.

Beliau berkata Rehda kini menjalankan kajian mengenai kemungkinan mengurangkan harga rumah, dengan laporan itu dijangka dibentangkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan menilai struktur bayaran levi bagi lanjutan permit pekerja asing sementara bagi pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja lebih 10 tahun di negara ini untuk mengurangkan beban pekerja.

Beliau berkata menerusi struktur baharu, majikan hanya akan membayar 20 peratus daripada levi tahunan sebanyak RM10,000 untuk membaharu permit manakala selebihnya akan ditanggung oleh pekerja.

Sebelum ini, Lim berkata majikan perlu membayar jumlah penuh, sambil menambah bahawa langkah itu adalah untuk menggalakkan majikan mengekalkan pekerja yang sudah memiliki pengalaman 10 tahun yang sudah dianggap sebagai pekerja mahir.

“Tidak berbaloi untuk menghantar pulang pekerja terlatih dan mengupah pekerja asing yang tidak berpengalaman,” katanya.

Sementara itu Lim berkata kerajaan menentang pembangunan hartanah perbandaran semata-mata untuk warga asing.

“Kerajaan tidak akan menerima pembangunan hartanah atau perbandaran semata-mata untuk warga asing,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Pengendali restoran, kedai makanan diminta kurangkan caj perkhidmatan

GEORGE TOWN 23 SEPT: Kementerian Kewangan pada Sabtu meminta para pengendali restoran dan kedai makanan untuk mengurangkan caj perkhidmatan mereka agar tidak membebankan rakyat.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata kadar caj perkhidmatan di restoran dan kedai-kedai makanan sebanyak 10 peratus adalah agak tinggi.

Katanya kerajaan sekarang sudah memberikan banyak kelonggaran kepada mereka dan diharapkan mereka akan dapat mengurangkan kadar caj perkhidmatan itu.

“Saya berharap para pengendali restoran dan kedai-kedai makanan dapat meneliti semula kutipan caj perkhidmatan mereka sebanyak 10 peratus kerana saya berpendapat kadar itu agak tinggi dan membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Pesta Tanglung di Bukit Bendera di sini, Sabtu.

Lim berkata beliau faham akan kutipan caj perkhidmatan itu adalah bagi menampung bayaran gaji pekerja restoran dan kedai berkenaan tetapi kadar itu patut dikurangkan.

Katanya, kerajaan telah banyak beri kelonggaran seperti menaikkan nilai ambang ke RM1.5 juta ke atas makanan dan minuman, pengecualian cukai terhadap penjualan rokok di bawah nilai ambang RM500,000 dan pengecualian cukai kepada penyewaan warung-warung kecil di kedai-kedai makanan.

“Saya ingin membuat secara baik-baik dan memohon agar para pengendali restoran dan kedai makanan dan minuman akan meneliti semula caj perkhidmatan mereka demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Lim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih mengakui bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ada menyebabkan kenaikan harga barang tetapi tidak naik setinggi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau yang mengulas berkata jumlah kutipan SST setahun berjumlah RM21 bilion, manakala jumlah kutipan GST berjumlah RM44 bilion jelas menunjukkan GST lebih membebankan rakyat.

“Impak sebenar pelaksanaan kebaikan SST berbanding GST akan diketahui setahun kemudian,” katanya.

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Lim akhirnya mengakui pelaksanaan SST menyebabkan kenaikan harga barang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

SST: Kadar cukai kamera, telefon dikurangkan kepada 5 peratus

KOTA KINABALU 17 SEPT: Kamera dan telefon adalah barangan terbaru yang kadar cukainya telah dikurangkan kepada 5 peratus daripada 10 peratus kadar cukai yang dikenakan sebelum ini.

ASTRO AWANI melaporkan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pengurangan kadar cukai itu diambil berikutan permintaan dari pihak industri untuk mengurang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap dua barangan berkenaan.

“Kadar cukai terhadap kamera kita telah kurangkan kepada lima peratus, telefon pun kita telah kurangkan kepada lima peratus.

“Pengurangan kadar cukai ini menjadikan cukai yang dikenakan terhadap dua barangan ini lebih rendah satu peratus berbanding kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Taklimat Pelaksanaan SST bersama Kastam, di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Ahad.

Beliau juga menyatakan ketika ini, entiti perniagaan yang telah mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bawah sistem SST telah mencecah 100,000 dan dijangka jumlah ini akan terus meningkat.

Tambah Lim, kerajaan juga berhasrat untuk mengecualikan lebih 5,000 barang dan perkhidmatan dari SST berbanding 545 barangan yang dikecualikan cukai di bawah GST sebelum ini.

SUMBER: ASTRO AWANI

Categories
EKONOMI NASIONAL

SST: Model kereta Nissan lebih murah

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar tunggal kenderaan Nissan, di Malaysia menawarkan harga lebih rendah ekoran pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, harga bagi model tertentu lebih murah 1.4 peratus dan 3.4 peratus, berbanding di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST).

“Harga Nissan Almera, Grand Livina, Serena S-Hybrid dan X-Trail akan bermula daripada RM69,800 sehingga RM153,800 serta lebih rendah berbanding struktur harga GST.

“Nissan Navara bagaimanapun kekal pada harga kadar sifar GST sehingga stok masih ada,” katanya.

Katanya, perkhidmatan selepas jualan oleh Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhd adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan enam peratus bagi caj buruh.

 

Categories
EKONOMI NASIONAL

Guan Eng berdepan lebih 11,000 rakyat dengar maklum balas SST

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 8 SEPT: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sudah mengadakan pertemuan terbuka dengan lebih 11,000 rakyat bagi menjelaskan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, sebanyak 13 sesi pertemuan membabitkan pelbagai negeri untuk menjelaskan dan mendengar maklum balas mereka.

“Seperti apa yang saya lakukan dalam tempoh dua minggu ini tentang cukai SST, saya turun padang dan dengar pendapat rakyat.

“Saya juga baru balik dari Bentong, Pahang dan saya adakan 13 sesi bersama dengan lebih 11,000 orang dengar secara langsung.

“Berdepan dengan 11,000 orang ini adalah satu proses perbicaraan dengan rakyat, saya yakin selepas ini kita akan dengar suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) DUN Balakong, di Dewan Demesne Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Guan Eng berkata, jika sebelum pilihan raya, rakyat mendengar suara kerajaan dalam ceramah dan kempen kini tiba masanya untuk kerajaan mendengar pula suara rakyat.

 

Categories
NASIONAL

SST: 1 negeri 1 pegawai penerangan

SHAH ALAM, 4 SEPT: Setiap negeri akan mempunyai seorang pegawai khas yang bertanggungjawab memberi penjelasan berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada orang ramai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata individu itu bukan seorang pengarah tetapi pakar dalam sistem percukaian yang dapat membantu memberikan penjelasan lengkap berkenaan SST.

“Kita tidak perlukan ramai pegawai khas kerana bimbang akan memberikan jawapan berbeza dan boleh menyebabkan kekeliruan serta kelam-kabut,” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat SST bersama Menteri Kewangan, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Lebih 500 orang termasuk pemilik syarikat hadir mendengar sesi taklimat itu.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, pegawai itu perlu menjawab semua aduan dikemukakan orang ramai berkenaan SST secara lisan.

Bagaimanapun katanya, jika orang ramai perlukan jawapan bertulis, mereka boleh mendapatkannya daripada Pengarah Kastam di setiap negeri masing-masing dalam tempoh seminggu.

Categories
NASIONAL

SST: MOA arah FAMA pantau harga barang makanan

GEORGE TOWN, 1 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membuat pemantauan harga barang makanan di seluruh negara bermula hari ini.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata usaha tersebut dilakukan untuk memantau sekiranya terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Mulai hari ini semua pegawai FAMA telah turun padang untuk memantau harga barangan di pasar bukan sahaja di pasar FAMA tetapi juga di pasar biasa untuk kita pantau daripada pelbagai aspek sekiranya ada peniaga yang sewenangnya menaikkan harga barang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pulau Jerejak, di sini hari ini.

Beliau berkata pemantauan tersebut akan dilakukan dalam tempoh beberapa bulan dan sekiranya didapati kenaikan harga yang tidak munasabah FAMA akan melaporkannya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

Katanya pengguna perlu mengetahui kadar SST yang dikenakan terhadap barang yang dibeli kerana tidak semua barangan yang dikenakan cukai berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dicaj kepada semua barangan.

Sementara itu, Sim yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru berkata pihaknya sedang mengkaji satu teknologi sektor perikanan baharu, ‘Deep Sea Cage Culture’, untuk diaplikasikan di Malaysia bagi meningkatkan mutu industri perikanan sekali gus menjana sumber kekayaan negara.

“Saya difahamkan duta besar China telah memberitahu bahawa mereka sebenarnya ada teknologi baharu dan mereka sanggup kongsi dengan Malaysia. Saya nampak ini sebagai sumber kekayaan baharu untuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata biarpun negara China mempunyai populasi penduduk yang tinggi, namun kadar pencapaian tahap sara diri mereka juga tinggi berikutan penggunaaan teknologi dalam industri dan kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Sim mencadangkan para nelayan untuk turut serta dalam usaha penternakan ikan meskipun ramai di antara mereka yang lebih memilih untuk terus menjadi nelayan.

Beliau berkata adalah penting untuk para nelayan bersama-sama mengusahakan sangkar ikan kerana sumber laut kini semakin berkurangan.

“Saya mohon kalau boleh nelayan-nelayan juga tubuhkan sebuah koperasi dan turut serta buat sangkar ikan. Saya tahu mereka macam tidak suka untuk jadi penternak tetapi demi (pendapatan) keluarga mereka, kita kena ‘move forward’…rugi kalau mereka tak masuk,” katanya.

Pulau Pinang merupakan penyumbang terbesar dalam industri perikanan di Malaysia iaitu sebanyak RM1.6 bilion daripada jumlah keseluruhan RM2.9 bilion pada tahun 2017 hasil usaha 4,987 orang nelayan berdaftar serta 511 orang penternak ikan sangkar di seluruh negeri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada SST ke atas sate di kedai makan

IPOH 1 SEPT: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan dikenakan ke atas sate yang dijual di kedai makan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata SST yang dikenakan ke atas makanan popular rakyat Malaysia itu adalah di peringkat pemprosesan untuk tujuan pembungkusan dan jualan.

“Ini adalah satu penjualan (peringkat pemprosesan) yang dikenakan SST, bukan dekat kedai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat SST di sebuah hotel di sini, hari ini.

Lim berkata demikian semasa ditanya sama ada sate ayam atau daging yang dijual di kedai akan turut dikenakan SST memandangkan ia disenaraikan sebagai antara barangan dikenakan cukai tersebut di bawah ‘preparation of meat’.

Selain itu, Lim mengulangi saranan agar peniaga serta serta premis perniagaan yang belum mengemas kini sistem mereka untuk melaksanakan SST dapat berbuat demikian dengan segera.

Katanya kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka tidak boleh melaksanakan SST, malah perlu membayar cukai kepada kerajaan dengan menggunakan wang sendiri.

Saranan sama turut disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri T. Subromaniam yang berkata lawatan mesra pihaknya mendapati masih terdapat penyedia perkhidmatan belum mengemas kini sistem mereka.

“Kita nasihatkan mereka untuk buat ‘updating sistem’ berkenaan supaya cukai perkhidmatan enam peratus boleh dikenakan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para peniaga yang mempunyai masalah termasuk daripada sudut teknikal agar dapat menghubungi pihak kastam untuk bantuan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SST berjalan lancar, hanya aduan berkaitan harga makanan diterima

KULIM, 1 SEPT: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula hari ini secara keseluruhannya berjalan lancar, kecuali berkaitan aduan harga makanan di restoran-restoran di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata bagaimanapun aduan berkenaan telah ditangani dengan baik oleh pegawai kementerian berkenaan dan beliau sendiri.

“Adalah dijelaskan restoran-restoran berkenaan boleh mengenakan SST dan hasil siasatan kita berdasarkan resit, harga yang dikeluarkan adalah betul dan bukan kedai itu sengaja menaikkan harga seperti dakwaan.

“Saya telah mengarahkan Majlis Harga Barang Negara bersama lebih 1,000 pemantau harga agar memberikan tumpuan di kedai-kedai makanan untuk memastikan tidak ada pengusaha perniagaan yang membuat penipuan dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Penguatkuasaan Pencatutan di Bawah Operasi Catut 5.0 di sini, hari ini.

Sebelum itu Saifuddin bersama pegawainya membuat lawatan di sebuah syarikat penyelenggaraan kenderaan jenama Toyota di sini.

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Datuk Mohd Roslan Mahayuddin, Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah dan Pengarah KPDNHEP Kedah Mohamed Fitri Hassan.

Saifuddin berkata mulai hari ini pihaknya akan melaksanakan Operasi Catut 5.0 di seluruh negara yang merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan Operasi Catut 4.0 yang mula digerakkan pada 1 Jun lalu.

“Tindakan ini kita jalankan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di semua rantaian perniagaan di seluruh negara dengan memberikan tumpuan kepada tindakan ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian,” katanya.

Antaranya perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, adalah penandaan harga, petunjuk atau gambaran mengelirukan mengenai harga serta pengeluaran resit atau invois belian.

Selain itu, mulai hari ini kementerian itu membuka Bilik Gerakan dan beroperasi sehingga jam 10 malam bermula pukul 7 pagi yang bertujuan memudahkan pengguna membuat aduan dan pertanyaan melalui talian bebas tol 1-800-886-800.
​​​​​​​
​​Kementerian turut menyediakan pelbagai saluran aduan yang lain iaitu di portal rasmi KPDNKK, emel http://eaduan.kpdnkk.gov.my, SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN, aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNKK serta di media sosial Twitter dan Facebook KPDNKK.

“Bagaimanapun aduan itu mestilah jelas seperti butiran nama, alamat tempat yang diadu, butiran barangan dan harga serta resit pembelian untuk memudahkan kita membuat siasatan,” katanya.

Beliau menjelaskan peranan KPDNHEP dalam pelaksanaan SST ini bertujuan menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal terutamanya yang melibatkan stok-stok sedia ada semasa GST 0 peratus.

Sementara itu, beliau berkata kementerian akan memperkenalkan rang undang-undang mengawal harga caj perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan tidak lama lagi agar servis penyelenggaraan tidak dimanipulasi sehingga ia membebankan pengguna.

SUMBER: BERNAMA