Categories
SELANGOR

Baik pulih Stadium Hoki Pandamaran perlu dana RM4.45 juta

Oleh: Naeem Raffi

KLANG, 17 OKT: Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berharap Kerajaan Negeri dapat meluluskan peruntukan RM4.45 juta untuk kerja membaikpulih Stadium Hoki Pandamaran, di sini.

Amirudin berkata, keadaan stadium itu kini berada ditahap tidak memuaskan perlu menjalani proses pembaikan pada kadar segera bagi mengaktifkan kembali program pembangunan sukan hoki.

Amiruddin“Di harap cadangan ini dapat diluluskan dalam Belanjawan 2015 yang akan berlansung November depan.

“Kita akan gunakannya secepat mungkin (sekiranya lulus) dalam memastikan stadium ini dapat digunakan sekaligus memperkukuh program pembangunan skuad hoki dan menjadikan ia sebagai salah satu destinasi pengajuran sukan hoki,” katanya.

Amirudin berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Stadium Hoki Pandamaran, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Hoki Selangor, Datuk Seri Subahan Kamal, Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Zamri Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi peruntukan itu, stadium berusia 20 tahun itu akan menjalani kerja penambahbaikan kemudahan, bumbung, kerusi dan karpet padang.

“Keperluan mendesak adalah karpet padang, jadi kita akan dahulukan kerja-kerja menukar karpet padang, kemudiannya disusuli dengan yang lain.

“Bagi memastikan penukaran karpet padang itu nanti memenuhi spesifikasi ‘Federation International Hockey (FIH)’, kita menjemput Persatuan Hoki Selangor untuk menasihati kita,” jelasnya

Untuk rekod, sejak dibina pada 1984, Stadium Hoki Pandamaran hanya berganti karpet padang pada 1998.

EZY