Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 4,000 hadir ke CAC Stadium Malawati sejak pagi

SHAH ALAM, 12 JULAI: Hampir 4,000 individu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13 hari ini bagi membuat penilaian kesihatan.

Pegawai Perubatan CAC Dr Ziti Akhtar Supian berkata jumlah berkenaan antara yang tertinggi direkodkan sejak dibuka lima bulan lalu.

“Dari pagi tadi jumlah pengunjung termasuk pesakit Covid-19 tidak berkurang sehingga jam 4 petang ini. Bagaimanapun kita tidak dapat pastikan jumlah sebenar.

“Berdasarkan pemerhatian, kami yakin jumlah yang datang ini mencecah 4,000 individu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, tular di media sosial kesesakan di CAC berkenaan susulan peningkatan kes positif wabak sejak kebelakangan ini.

Orang ramai termasuk bayi dan warga emas terpaksa beratur lebih 500 meter selain ada pesakit yang membawa beg pakaian sebagai persediaan sekiranya ditahan di pusat kuarantin.

CAC bagi daerah Petaling itu beroperasi sejak 8 Februari lalu dengan kapasiti seramai 1,000 hingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

Pada Mei, Kerajaan Selangor menyediakan 20 khemah dilengkapi kipas, kerusi dan sistem audio untuk kegunaan pesakit dan petugas kesihatan di CAC terbabit.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kunjungi pusat penilaian Covid-19 daerah, elak sesak di Stadium Malawati

SHAH ALAM, 16 MEI: Selangor memiliki Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di sembilan daerah bagi membolehkan individu positif wabak mendapatkan rawatan.

Justeru, Dato’ Menteri Besar menasihatkan golongan tersebut untuk hadir ke pusat di daerah masing-masing bagi mengelak kehadiran ramai di Stadium Malawati di sini.

“Turut dikesan beberapa kes di mana pesakit Covid-19 dari luar Selangor ke CAC stadium berkaitan menyebabkan kesesakan dan kelewatan menunggu.

“Saya menggesa semua untuk patuh arahan tidak merentas negeri dan pergi ke pusat penilaian berdekatan bagi memudahkan urusan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Lokasi CAC di sembilan daerah seperti berikut:

1. Pejabat Kesihatan Daerah Petaling
– Stadium Malawati Shah Alam

2. Pejabat Kesihatan Daerah Klang
– Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang
– Klinik Kesihatan Pulau Indah
– Klinik Kesihatan Sungai Bertik
– Klinik Kesihatan Anika
– Klinik Kesihatan Bukit Kuda
– Klinik Kesihatan Meru
– Klinik Kesihatan Bandar Botanik

3. Pejabat Kesihatan Daerah Gombak
– Klinik Kesihatan Kuang
– Klinik Kesihatan Batu Arang
– Klinik Kesihatan AU2
– Klinik Kesihatan Batu 8
– Klinik Kesihatan Taman Ehsan
– Klinik Kesihatan Hulu Kelang
– Klinik Kesihatan Sungai Buloh
– Klinik Kesihatan Selayang Baru
– Klinik Kesihatan Rawang
– Klinik Kesihatan Gombak Setia

4. Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor
– Klinik Desa Ulu Yam Lama

5. Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat
– Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang
– Klinik Kesihatan Telok Datok
– Klinik Kesihatan Bukit Changgang
– Klinik Kesihatan Jenjarom

6. Pejabat Kesihatan Daerah Sepang
– Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi

7. Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor
– Klinik Kesihatan Bestari Jaya

8. Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam
– Klinik Kesihatan Sungai Besar
– Klinik Kesihatan Sungai Lima
– Klinik Kesihatan Sekinchan
– Klinik Kesihatan Sabak Bernam
– Klinik Kesihatan Parit Baru
– Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar
– Klinik Kesihatan Bagan Terap
– Klinik Kesihatan Merbau Berdarah

9. Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat
– Dewan Komuniti Taman Kajang Utama

Orang ramai boleh merujuk senarai lengkap nombor telefon berserta hari dan waktu operasi CAC seluruh negeri menerusi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan carian https://www.facebook.com/jknselangor

CAC dibentuk pada akhir Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke pusat berkenaan. Jika perlu rawatan lanjut, mereka dirujuk ke hospital.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Stadium Malawati hanya pusat penilaian, bukan tempatkan pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 16 MEI: Stadium Malawati di sini berperanan sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan tidak menempatkan pesakit dijangkiti wabak tersebut seperti didakwa.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menegaskan individu ke pusat terbabit akan dinilai sama ada perlu dimasukkan ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), PKRC swasta atau pemantauan di rumah.

“Sepertimana sedia maklum, bilangan kes positif di Selangor meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini. Ini secara langsung menambah beban tugas di CAC Stadium Malawati.

“Kami amat komited dalam membendung Covid-19,” kata JKNS sambil memaklumkan video yang tular memaparkan kedatangan harian untuk penilaian dan pelepasan.

Semalam, tular video selama seminit di media sosial menunjukkan orang ramai beratur untuk masuk ke CAC di Stadium Malawati yang dikatakan akan menghuni pusat berkenaan buat sementara waktu.

Jabatan itu menambah kesesakan juga berlaku berikutan terdapat saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan individu positif perlu menjalani calitan menggunakan kaedah tindak balas berantai polimeras masa nyata (RT-PCR) jika tiada epid link.

Jelasnya, jika kes tersebut mempunyai epid link yang kuat, kaedah PCR tidak perlu dilaksana memandangkan sudah dianggap sebagai kes pasti Covid-19.

“Di Selangor, itu amalannya kerana jumlah kes yang banyak dan perlu dipercepatkan proses rawatan pesakit. Jika semua keputusan RTK diambil kira, kerisauan akan ada kes positif palsu,” katanya.

Stadium Malawati beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling sejak 8 Februari lalu dengan kapasiti seramai 1,000 hingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

CAC dibentuk pada akhir Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke pusat berkenaan. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
AGENDA NASIONAL

Video tular orang ramai akan huni Stadium Malawati tidak benar

SHAH ALAM, 15 MEI: Video tular di media sosial berdurasi seminit yang menunjukkan orang ramai beratur untuk masuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati di sini yang dikatakan akan menghuni pusat itu buat sementara waktu, adalah tidak benar.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Dr Faridah Amin berkata pihak yang menularkan klip video itu telah salah faham, kerana stadium itu hanya dijadikan tempat penilaian Covid-19 sahaja, bukan untuk menempatkan pesakit.

“Kes positif datang untuk penilaian, selepas itu disambung dengan pengawasan di rumah, kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), ataupun kemasukan hospital; mengikut keadaan semasa pesakit ketika di bawah penilaian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Stadium Malawati telah beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling sejak 8 Februari lepas dengan kapasiti seramai 1,000 sehingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

Ia menggantikan CAC Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di SS15 berikutan kapasitinya yang boleh menampung lebih ramai pesakit Covid-19; dan selain Stadium Malawati, CAC turut beroperasi di lapan daerah lain yakni di Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Gombak, Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Anti dadah tema konsert Ella 16 April ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 APRIL: Ratu Rock, Ella kembali mengubat rindu peminat menerusi konsert solo terbesar tahun ini, Konsert ELLA 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam, 16 April ini.

Kemunculan semula penyanyi wanita rock popular itu yang kali terakhir berkolaborasi dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya Negara sekitar 2010, pasti dinantikan ribuan peminatnya selepas lama menyepi daripada sebarang persembahan dan konsert besar.

Bertemakan anti dadah, Konsert ELLA 2016 mendapat kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor dan Jawatankuasa Tetap Kebudayaan kelolalan Exco, Amirudin Shari.

ella2016Ella turut berbesar hati menyumbangkan RM2 dari setiap jualan tiket konsertnya untuk disalurkan ke tabung Pemadam Selangor.

“Ia adalah sumbangan ikhlas Ella dalam usaha memerangi gejala dadah dan supaya lebih banyak program anti dadah dapat dijalankan pada masa depan.

“Sebagai simbolik kepada mesej keprihatinan dibawa, Ella menyeru peminat ke konsert berkenaan memakai baju berwarna putih kerana ia melambangkan kesucian naluri bekas penagih dadah yang mahu kembali ke pangkal jalan dan putih umpama kelahiran semula mereka,” kata kenyataan media berkenaan.

Bagi memeriahkan konsert diterajui gitaris handalan Man Kidal, Ella akan menyampaikan lagu hitsnya seperti Dua Insan Bercinta, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Bayangan, Sembilu, Tiada Tangis lagi dan yang lain di samping turut disertai rakan artis lain seangkatan dengannya.

Sesuatu yang istimewa, Ella akan sekali lagi mengembalikan sejarah lamanya apabila beliau terbang bersama helikopter khas untuk ke stadium sebelum bermula konsert berkenaan.

Acara terbabit adalah salah satu promosi konsert dan dijangka mencipta sejarah bagi Konsert ELLA 2016 dan penganjur, Atlas One Event Sdn Bhd.

Orang ramai khususnya peminat yang ingin menyaksikan konsert boleh menghubungi penganjur atau mendapatkan tiket di premis terpilih.

-AA-

Sambutan Maulidur Rasul 1436 hijrah peringkat Selangor

Sambutan Maulidur Rasul 1436 hijrah peringkat Selangor berlangsung dengan jayanya di Stadium Malawati, Shah Alam.

Lebih 7,000 Meriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Selangor

Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor tahun 1435 Hijrah/2014 Masihi yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” disambut meriah di Stadium Malawati, Seksyen 13 di sini dengan kehadiran lebih 7,000 orang dari setiap pelusuk negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tidak Ugut Kakitangan Awam Yang Tidak Sokong Kerajaan Negeri

mb

SHAH ALAM 24 FEB :Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah melucutkan jawatan kakitangan awam di Selangor hanya kerana tidak menyokong atau tidak hadir dalam majlis-majlis anjurannya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini berbeza dengan pentadbiran yang diamalkan Kerajaan Umno-BN yang mengugut kakitangan awamnya supaya menyokongnya dan menghadiri setiap program yang dianjurkan.

“Kerajaan PR Selangor, kami tidak pernah melucutkan jawatan kakitangan awam di Selangor hanya kerana dia tidak menyokong atau tidak hadir dalam majlis saya atau pemimpin PR yang lain.

“Bukan seperti Kerajaan Umno-BN, tengok berapa ramai penjawat awam termasuk guru-guru yang ditukar tempat kerja kerana didapati mereka tidak hadir dalam majlis-majlis anjuran pemimpin Umno-BN,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberikan ucapan di Majlis Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor anjuran Madrasah Majlis India Muslim Malaysia (MIM) di Stadium Malawati, Shah Alam di sini semalam.

Abdul Khalid mengulas berkenaan aduan tentang terdapat orang tertentu daripada Kesatuan India Muslim Malaysia (KIMMA) yang mengugut golongan India Muslim supaya tidak hadir ke majlis itu dengan memberikan pelbagai alasan.

“Misalnya tadi saya terima aduan tentang terdapat orang tertentu daripada Kesatuan India Muslim Malaysia (KIMMA) yang mengugut golongan India Muslim supaya jangan pergi ke majlis hari ini, nanti Senator yang diberi oleh Kerajaan Pusat kepada India Muslim ditarik balik,” ujarnya lagi.

Tambahnya, ugutan tersebut turut menyatakan duit bantuan tahunan surau berkemungkinan diberhentikan dan visa atau permit ustaz tidak diperbaharui.

“Banyak lagi ugutan daripada pimpinan Kerajaan Umno-BN kepada rakyat,” tegasnya.

Sebelum ini, seorang guru agama di Labuan mendakwa diberhentikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (JAWI) hanya kerana menghadiri ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut guru tersebut, Qatrun Nada Mohd Latfi, beliau menerima notis pemecatan selepas mendapat panggilan daripada seorang pemimpin Umno-BN tempatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Majlis Madrasah India Muslim Akan Diberi Bantuan

1 1

SHAH ALAM 23 FEB : Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memberikan bantuan kepada Majlis Madrasah India Muslim Malaysia (MIM) yang memerlukan tapak tanah untuk membina sebuah pusat pengajian, masjid dan asrama sebagai usaha menyebarkan syiar Islam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menyediakan bantuan kepada semua yang layak, tanpa mengira agama, bangsa atau pegangan politik.

“Insya Allah perkara ini kita boleh bincangkan lagi, saya akan pastikan MIM menerima bantuan daripada JAIS,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberikan ucapan di Majlis Maulidur Rasul bersama MIM di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

2Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Presiden MIM, Jamal Abdul Hamid, Setiausaha Kebangsaan MIM, Kamal Batcha Noor Mohideen, dan dihadiri hampir 1,000 orang.

Menurut Abdul Khalid, sejak lima tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam negeri ini yang memerlukan bantuan.

“Saya suka beri jaminan di sini, bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor sentiasa berusaha untuk mendengar masalah rakyat dan bersikap adil dan sama rata memberi bantuan kepada rakyat yang berbilang kaum, berbilang agama atau berbeza fahaman politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden MIM, Jamal Abdul Hamid menyambut baik maklum balas yang diberikan Kerajaan Negeri berkenaan bantuan tersebut.

“MIM dengan kerjasama masyarakat Islam keturunan India di Malaysia bersedia memberi kerjasama kepada pihak yang membantu MIM demi agama Islam,” katanya ketika ditemui.