Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pelajar STDC uji kemahiran, baiki kereta tenggelam bah secara percuma

Foto FIKRI YUSOF

SHAH ALAM, 14 JAN: Satu persatu skru ditanggal, komponen kereta turut dibuka sebelum dipasang semula. Kira-kira lima jam dihabiskan untuk memeriksa sesebuah kenderaan.

Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) sedar kerja itu perlu dibuat teliti. Sedikit silap boleh mengundang risiko kerugian bukan sedikit.

Walau berlengas tubuh, lenguh tangan memutar spanar, itu antara cabaran yang dihadapi ketika mereka membantu mangsa banjir besar pada 18 dan 19 Disember tahun lalu. Lebih-lebih lagi, kenderaan itu ada yang langsung tenggelam, sesetengah lagi likat berlumpur.

Kerja mereka dipantau Pegawai Pengesah Dalaman STDC Sektor Teknologi Automotif, Faizal Azmi. Sekalipun perkhidmatan mereka percuma, beliau mahu memastikan pembaikan itu sempurna.

Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa bahagian dalam kenderaan yang rosak akibat banjir besar pada Disember 2021

Sebagai satu-satunya institusi pendidikan kemahiran bawah Kerajaan Selangor yang menumpukan bidang teknikal (TVET), STDC sejak 5 Januari turut menghulur bantuan tenaga dan kepakaran bagi meringankan beban mangsa bencana.

Berlumpur

Namun, pemilik perlu membersihkan kereta terlebih dahulu terutama lumpur sebelum pemeriksaan. Keadaan kering dapat menentukan pendawaian rosak atau sebaliknya.

“Biasanya kita tanya mangsa berapa paras air banjir, panel bateri dibuka atau tidak. Ia memudahkan kita mendapat gambaran awal sebelum diperiksa lebih teliti untuk kenal pasti kerosakan.

“Ya, kita ambil masa yang lama. Pemeriksaan bukan sekadar enjin tetapi keseluruhan kereta termasuk pendawaian. Sebab itu, dalam sehari hanya dua kereta sahaja kita mampu periksa,” kata Faizal.

Pemeriksaan bertujuan membantu pemilik mendapat gambaran jelas tahap kerosakan. Ia meliputi tiga skop utama iaitu ruang enjin, ruang penumpang dan keadaan kenderaan termasuk minyak pelincir, kotak gear, cecair, brek, stereng serta unit kawalan elektronik (ECU).

Selain khidmat nasihat, pelajar STDC turut membaiki kereta tanpa bayaran. Sekalipun bilangan kereta yang dibaiki hanya sembilan setakat 11 Januari, mereka sedia memberi perkhidmatan tersebut tanpa menetapkan tempoh masa.

“Kita ada kekangan tenaga kerja kerana terdapat 12 pelajar sahaja. Mereka dibahagi kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan bergilir-gilir hari.

“Lagipun kita baru sahaja bermula. Jadi selepas ini, kita akan cuba bantu bersihkan kereta mangsa yang dipenuhi lumpur,” kata Faizal.

C Poobalan, 20, mengakui teruja dapat membantu mangsa banjir. Namun, anak muda dari Bestari Jaya, Kuala Selangor itu mengakui bukan mudah bekerja di lokasi sisa banjir berbanding di bengkel.

Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa bahagian enjin kenderaan yang rosak setelah ditenggelami air

“Ruang sempit, hendak periksa agak kelam-kabut. Kerja tidak susah tetapi keadaan sekeliling beri cabaran kerana perlu dilakukan berhati-hati.

“Sejujurnya, ini pengalaman berharga kerana dapat berdepan situasi sebenar. Pada masa sama, saya dapat membantu mangsa banjir,” kata pelajar semester satu STDC.

Riak harapan

Muhammad Fariz Zainal Fitri, 20, yang baru dua bulan belajar di STDC mengakui gementar untuk membaiki kenderaan mangsa banjir. Bimbang berbuat silap, lebih-lebih riak wajah pemilik kenderaan yang begitu mengharapkan kesempurnaan. Namun, keyakinannya bernyala melalui bimbingan tenaga pengajar.

“Perkara yang susah sebenarnya adalah masa. Kena periksa satu persatu. Kalau tidak dapat kesan, jadi sia-sia kerana mungkin yang kita terlepas itu boleh menyebabkan kerosakan berulang pada bahagian tertentu yang telah dibaiki,” katanya.

Muhammad Mas Idham Mahamad, 18, agak terkejut dengan kepercayaan mangsa terhadap pelajar STDC. Ini seterusnya memberi keyakinan untuk memberi khidmat terbaik.

“Kami semua baru dua bulan belajar tetapi mereka percaya walaupun kami tidak ada pengalaman. Mereka cerita masalah kereta mereka, apa yang rosak. Ini beri kami lebih semangat untuk membantu mereka,” katanya.

Selain kenderaan, STDC melalui kumpulan khidmat teknikal elektrikal bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membaik pulih barangan elektrik mangsa bencana yang rosak.

Sebanyak 90 peratus barangan elektrik diselenggara antaranya soket alir keluar, suis lampu, kipas, perkakas mudah alih dan kotak fius agihan antara 27 Disember hingga 1 Januari lalu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa bah Kuala Selangor boleh periksa kenderaan secara percuma

SHAH ALAM, 5 JAN: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menawarkan khidmat nasihat dan pemeriksaan percuma untuk kenderaan mangsa banjir, kata Dato’ Menteri Besar.

Penelitian termasuk ruang enjin dan penumpang serta casis meliputi kondisi kenderaan, minyak pelincir, kotak gear, cecair, brek, stereng dan unit kawalan elektronik.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bantuan asas servis turut tersedia, namun pemilik kenderaan perlu menyediakan barang berkaitan.

“Inisiatif oleh STDC ini sangat bermanfaat dan mampu mengurangkan beban kewangan mangsa banjir,” tulisnya di Twitter hari ini.

Sementara itu, wakil STDC Faizal Azmi ketika dihubungi berkata perkhidmatan tersebut khusus buat mangsa banjir sekitar Kuala Selangor sahaja.

“Buat masa ini saya dimaklumkan inisiatif ini hanya ditawarkan kepada mereka yang terlibat dengan banjir di Kuala Selangor,” katanya.

Sebelum ini, STDC melalui kumpulan khidmat teknikal elektrikal bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam membaik pulih barangan elektrik mangsa bencana yang rosak.

Sebanyak 90 peratus barangan elektrik berjaya diselenggara seperti soket alir keluar, suis lampu, kipas, perkakas elektrik mudah alih dan kotak fius agihan antara 27 Disember hingga 1 Januari lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pascabanjir: Pusat kemahiran tawar khidmat periksa kenderaan percuma, ringan beban mangsa

SHAH ALAM, 3 JAN: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menawarkan khidmat nasihat dan pemeriksaan kenderaan secara percuma kepada mangsa banjir, kata ketua eksekutifnya.

Mohd Asyraf Amin memaklumkan inisiatif kelolaan Ketua Program Automotif Faizal Azmi bertujuan membantu pemilik kereta dan motosikal mendapat gambaran jelas tahap kerosakan kenderaan.

“Pemeriksaan meliputi tiga skop utama iaitu ruang enjin, ruang penumpang dan chassis membabitkan kondisi kenderaan, minyak pelincir, kotak gear, cecair, brek, steering serta unit kawalan elektronik (ECU).

“Bantuan asas servis juga diberikan tetapi barang perlu disediakan oleh pemilik kenderaan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata sebagai satu-satunya institusi pendidikan kemahiran bawah Kerajaan Selangor yang menumpukan bidang teknikal (TVET), pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan tenaga dan kepakaran bagi meringankan beban mangsa.

“Kita juga mengalu-alukan pelajar untuk mendalami ilmu kemahiran ini seiring kemajuan bidang TVET,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerjasama Selangor, Siemens latih tenaga mahir Revolusi Industri 4.0

PUTRAJAYA, 1 NOV: Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) menjalinkan kerjasama dengan Siemens Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja mahir memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu akan memperkasakan usaha negeri membangunkan pekerja industri menerusi program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISAS) yang diperkenal pada 2018.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, menerusi kerjasama itu industri dan institusi pendidikan akan merangka silibus memenuhi keperluan semasa yang menyokong lima kluster ekonomi Selangor termasuk pengangkutan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, tiga dari kiri) menandatangan dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Siemens Selangor di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 1 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Seperti kita maklum Siemens terbabit projek Transit Aliran Massa (MRT) dan menerusi kerjasama itu kita boleh wujudkan silibus berkenaan teknologi pengangkutan.

“Saya percaya dengan sinergi ini kita dapat selesaikan masalah keperluan industri, sebelum ini kita buat sesuatu tanpa menentukan apa diperlukan mereka,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Negeri, STDC dan Siemens di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Pengerusi STDC Dato’ Zamani Ahmad Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Adam Yee.

Menerusi kerjasama itu, Siemens akan memindahkan pengetahuan teknologi kepada STDC yang bakal melatih 1,000 peserta setiap tahun.

Kerjasama itu bagi merapatkan jurang bakat bagi memenuhi keperluan industri dalam aspek kemahiran IR 4.0.

Categories
PBT SELANGOR

MPKS sumbang tujuh kenderaan kepada STDC untuk kegunaan pembelajaran

SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyumbang tujuh kenderaan kepada Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) untuk kegunaan pembelajaran.

Tujuh kenderaan itu termasuk lima motosikal, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van diserahkan pada Khamis lalu.

“Kenderaan itu disumbangkan kepada STDC untuk digunakan oleh pensyarah dan pelajar dalam mempelajari bidang automotif khususnya teori dan praktikal secara langsung.

“Diharapkan pelajar dapat memperoleh pengalaman praktikal sama seperti keadaan sebenar dan dapat meningkatkan keyakinan dalam membaik pulih kenderaan,” maklum MPKS di Facebook.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar dengan STDC diwakili pengurus pusat bertauliahnya, Norzilawati Md Said.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kuis jalin kerjasama dengan industri lahirkan pelajar berkualiti

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) menjalin kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) serta Kumpulan Aerodyne Malaysia (Kumpulan Aerodyne) bagi memperkasakan bidang teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Kuis berkata kerjasama tiga tahun bersama STDC dan dua tahun dengan Kumpulan Aerodyne dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0. akan melahirkan graduan serta pakar yang kompeten, berdaya saing dan berkualiti.

“Kerjasama ini meliputi kursus jangka pendek, latihan dan jaringan industri serta program mobiliti. Langkah ini menjadi pemacu untuk meningkatkan keyakinan dan daya saing graduan selaras dengan keperluan industri global.

“Jalinan termeterai bersama Kumpulan Aerodyne juga dilihat bertepatan dengan kehendak masa kini dalam memajukan teknologi data dan transformasi digital negara,” katanya menerusi kenyataan.

Institusi pendidikan milik Kerajaan Selangor itu berharap kerjasama berkenaan menjadi penanda permulaan kepada pihak terlibat dan memberi manfaat khususnya kepada pemain industri Bumiputera.

Terdahulu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan secara maya antara Rektor Kuis Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri; Ketua Eksekutif STDC, Mohd Ashraf Amin dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul Muhamed.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyaksikan majlis selain menyampaikan penghargaan kepada Ab Halim yang menamatkan perkhidmatan hari ini selepas lapan tahun menerajui Kuis.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor tawar tajaan yuran pengajian kemahiran di STDC

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan Negeri menawarkan tajaan yuran pengajian bagi 10 kursus teknikal dan latihan vokasional (TVET) di Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC).

Kursus itu merangkumi bidang automotif, semburan cat, penyelenggaraan motosikal, sistem komputer, elektrik, penyaman udara, teknologi fesyen, terapi spa, kulinari dan pastri.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan, tawaran khas untuk pelajar 18 tahun ke atas yang lahir di Selangor atau bermastautin melebihi 11 tahun di negeri ini.

“Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat digalakkan untuk memohon. Gunakan peluang keemasan ini khasnya anak Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Pendaftaran yang dibuka sehingga 30 Jun ini boleh dibuat di laman sesawang https://stdc.edu.my/daftarsekarang.php atau http://www.wasap.my/60193424111/daftarSTDC.

Program ditawarkan ini adalah di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STDC tawar pengajian teknikal, yuran ditanggung Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 12 JUN: Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) menawarkan peluang pengajian dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) kepada individu berusia 18 tahun ke atas.

Pusat itu berkata yuran pengajian serta asrama ditanggung Kerajaan Negeri dan 10 kursus ditawarkan di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor iaitu:
1. Automotif
2. Semburan cat
3. Penyelenggaraan motosikal
4. Sistem komputer
5. Penyelenggaraan elektrik
6. Penyelenggaraan penyaman udara
7. Teknologi fesyen
8. Terapi spa
9. Kulinari
10. Pembuatan pastri

“Tawaran ini khas untuk pelajar berusia 18 tahun ke atas yang lahir di Selangor atau bermastautin melebihi 11 tahun di Selangor (tertakluk pada terma dan syarat),” katanya di Facebook.

Pendaftaran yang dibuka sehingga 30 Jun ini boleh dibuat di laman sesawang https://stdc.edu.my/daftarsekarang.php atau http://www.wasap.my/60193424111/daftarSTDC.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor, Aerodyne jalin kerjasama lahirkan pakar teknologi dron

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerjasama antara Kerajaan Selangor dengan syarikat dron terkenal, Aerodyne Group mampu melahirkan pakar teknologi dron terutama dalam bidang pertanian.

Dato’ Menteri Besar berkata syarikat itu melatih pelajar Pusat Kecemerlangan (COE) sekali gus membuka lembaran baharu sektor pembangunan sumber manusia negeri ini.

Pusat itu dibangunkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC).

“Dengan lahirnya ‘pilot’ dron dan pakar mekanik akan membuka peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing khususnya dalam bidang pertanian.

“Semoga penubuhan COE, teknologi dron di STDC yang merupakan yang pertama di Malaysia ini bakal membuka lembaran baharu bagi industri aeroangkasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berkenaan di Cyberjaya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada 50 pelajar serta 20 pengajar Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang berjaya menamatkan latihan pembangunan teknologi dron.

Pada 30 Oktober ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Amirudin memaklumkan kerjasama perjanjian usaha sama dengan industri antarabangsa akan dibentuk bagi memastikan bidang latihan memenuhi piawaian.

Categories
AGENSI SELANGOR

STDC perkenal modul keusahawanan, lahir teknokrat

SHAH ALAM, 4 NOV: Modul keusahawanan dan perniagaan bakal diperkenalkan kepada pelatih Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) bagi melahirkan lebih ramai teknokrat berjaya di negeri ini.

Ketua eksekutifnya Mohd Asyraf Amin berkata pihaknya akan menerapkan kursus yang sesuai sama ada secara teori atau praktikal kepada semua pelajar di pusat berkenaan.

“Bidang kemahiran bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada pelatih yang sesuai dengan industri malah boleh menjadi usahawan apabila tamat kursus kelak.

“STDC akan berusaha menubuhkan inkubator yang dapat membimbing pelajar kerana kita percaya pelatih yang berkemahiran mempunyai potensi ke arah itu (teknokrat berjaya),” katanya ketika dihubungi.

Pada 30 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi meneruskan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) tahun hadapan.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan 2021 berkata program itu bersifat holistik dan menyeluruh dengan penglibatan STDC bagi melengkapkan ekosistem pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional.

Mohd Asyraf turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kepercayaan dan peruntukan bagi meneruskan inisiatif tersebut khususnya dalam melahirkan tenaga mahir aras tinggi seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Categories
AGENDA NASIONAL

STDC perkukuh kerjasama pintar, penuhi keperluan tenaga kerja

SHAH ALAM, 4 NOV: Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) bertekad memperkukuh kerjasama pintar bersama pemain industri dalam mewujudkan kursus profesional berteraskan kemahiran serta teknologi.

Ketua eksekutifnya Mohd Asyraf Amin berkata ia mampu memenuhi keperluan tenaga kerja selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“STDC sebelum ini menjalankan kerjasama dengan syarikat pengeluar motosikal Jepun Yamaha Motor Company Limited (Yamaha), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan pengeluar jenama penyaman udara terkemuka (Daikin).

“Sudah tentu hubungan dengan industri berkaitan perlu diperkuatkan lagi bagi memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu Mohd Asyraf berkata kerjasama dengan pemain industri itu juga penting untuk memastikan pusat pembangunan berkenaan mampu menyediakan dan mengendalikan kursus yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Penasihat Teknikal.

“Industri akan membantu STDC membangunkan pusat latihan, hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan lain-lain yang sesuai,” katanya.

Pada 30 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi meneruskan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) tahun hadapan.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan 2021 memaklumkan kerjasama melalui perjanjian usaha sama diwujudkan dengan industri antarabangsa bagi memastikan bidang latihan memenuhi piawaian dengan penyediaan pusat latihan di rantau Asia Tenggara.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STDC mahu wujudkan kursus berteras kemahiran, teknologi IR4.0

SHAH ALAM, 4 NOV: Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) berusaha mewujudkan kursus profesional berteraskan kemahiran dan teknologi selari Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ketua Eksekutif Mohd Asyraf Amin berkata usaha yang bermula tahun depan itu sebagai mendukung agenda Selangor ke arah mencapai status negeri pintar serantau menjelang 2025.

“Kita akan perkenal kursus elektrik yang berkait rapat dengan bangunan pintar berlandaskan kepada internet untuk segalanya (IoT).

“Kursus ini diadakan dalam jangka masa pendek dan bidang Sijil Kemahiran Malaysia bagi memenuhi keperluan industri masa kini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya juga akan membangunkan kemahiran teknologi dron bagi melahirkan lebih ramai pakar pemandu alat tersebut dan melakukan analisis data bagi sesuatu projek.

Mohd Asyraf menjelaskan kebanyakan industri besar menggunakan alat itu dalam operasi mereka termasuk minyak dan gas, perlombongan, pelabuhan, pencawang elektrik serta pertanian.

“Malah, untuk sektor pertanian, STDC sedang berusaha membangunkan Pertanian 4.0: Masa Depan Teknologi Pertanian dengan merancang untuk melancarkan program agrimor (jurnal ilmiah yang memuat artikel tentang agro perniagaan) dan menjadi hab pertanian dalam bidang dron.

“Usaha ini akan membantu petani misalnya penggunaan dron dalam aktiviti penyemburan racun dan baja selaras dengan kaedah pertanian moden,” katanya.