Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Inisiatif negeri galak ramai ambil dos ketiga, cegah jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 8 DIS: Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster mampu meningkatkan jumlah penduduk mengambil dos penggalak sekali gus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata suntikan ketiga bagi meningkatkan imuniti badan seseorang selepas tiga hingga enam bulan lengkap divaksin.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan dos berkenaan khusus buat individu berusia 18 tahun ke atas dengan keutamaan kepada warga emas yang menghidap penyakit kronik.

“Kita minta lebih ramai penduduk memanfaatkan suntikan percuma ini secepat mungkin. Tambahan lagi selepas virus baharu Omicron sudah dikesan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 157,000 dos penggalak ditawarkan kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Maklumat berhubung program itu dan klinik terlibat boleh dicapai melalui pautan https://selcareclinic.com/our-clinics/.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkap dan mempercepatkan proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor rangka garis panduan fasa endemik, elak kes melonjak

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) merangka garis panduan serta langkah pengendalian wabak yang memasuki fasa endemik hujung bulan ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata panduan merangkumi cabaran mendepani kesihatan awam pada masa hadapan selain melibatkan aspek pasca pandemik.

Beliau memaklumkan cadangan dan pandangan berhubung perkara itu sudah diberikan kepada Kerajaan Negeri serta EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud selain bakal mengadakan pertemuan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak boleh ambil tindakan ketika penularan sahaja. Kita mesti buat persiapan menyeluruh dari aspek struktur, infrastruktur, kapasiti, kakitangan termasuk melihat cabaran andainya berlaku perebakan varian Delta atau virus lain.

“Kena buat semua kerana kita penyumbang KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Jadi Selangor perlu bersiap siaga dalam cabaran epidemik ini,” katanya ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor hari ini.

Sementara itu bekas menteri kesihatan berkata buat pertama kali Selangor mencapai nisbah positif ujian (TPR) seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu perlu kurang daripada lima peratus.

“Kalau tidak silap Selangor catat 4.83 peratus, berbanding negeri lain cecah 18 hingga 20 peratus. Bagimanapun saya tak selesa dengan pencapaian ini kerana sebenarnya lebih rendah. Sekarang ramai gunakan kit saliva (ujian kendiri air liur) jadi mereka yang negatif tidak kemas kini di MySejahtera.

“Saya yakin kalau kita terus patuh SOP (tatacara operasi piawai) kita catat lebih rendah walaupun populasi penduduk tinggi padat. Kita kena rancakkan FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) selain vaksin dan kawasan pengudaraan,” katanya.

Pada 14 September, menteri kanan pertahanan berkata SOP bagi mengawal penularan Covid-19 dikurangkan kepada 10 berbanding 181, yang turut membabitkan kebenaran rentas negeri.

Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjelaskan langkah itu bagi memudahkan orang ramai, golongan industri dan penguat kuasa memahaminya susulan peralihan ke fasa endemik dijangka Oktober.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFC: Saringan bersasar diterus meski kadar vaksin cecah 90 peratus

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Saringan Covid-19 secara bersasar tetap diteruskan di Selangor meskipun kadar vaksin penuh penduduk dewasa negara mencecah 90 peratus.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah pengesanan wabak memfokuskan kawasan yang mencatatkan jangkitan tinggi.

“Kaedah FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) perlu digerakkan ke kawasan sasaran. Contohnya berlaku di tempat kerja atau sekolah, jadi kita akan kesan di situ.

“Kena ingat vaksin bukan peluru hapuskan Covid-19. Jangan harapkan vaksin sahaja kerana kita hidup dengan varian Delta, jadi perlu bertindak awal sebelum berlaku keadaan lebih teruk,” katanya.

Mantan menteri kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor.

Setakat semalam seramai 20,317,843 individu atau 86.8 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Susulan itu, kelonggaran rentas negeri semakin hampir apabila negara hanya memerlukan 3.2 peratus saja lagi untuk mencecah angka 90 peratus.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran rentas negeri apabila kasar vaksin dewasa mencapai 90 peratus berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Segera tubuh pasukan khas langkah tepat tangani pandemik

SHAH ALAM, 16 SEPT: Langkah segera Kerajaan Negeri menubuhkan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) tepat dalam menangani pandemik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan penularan virus itu satu kejutan penting berikutan seluruh negara tidak berpengalaman menguruskan atau menanganinya.

“Kita mengambil pendirian untuk mendengar daripada pakar. Kita harus mendengar dengan banyak, berfikir tapi dalam masa yang sama kena cepat membuat keputusan.

“Kita wujudkan STFC yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (mantan menteri kesihatan),” katanya menerusi dokumentari khas ‘Selangor Gempur Covid-19’ yang disiar di Facebook hari ini.

STFC ditubuhkan pada 10 Mac untuk memantau dan mencegah penularan wabak yang turut dianggotai
empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan Unit Bencana Negeri.

Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pasukan itu turut membangunkan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengekang penularan virus di kilang.

Sementara itu, Amirudin berkata pandemik secara tidak langsung mempercepat usaha negeri melakukan proses pendigitalan selaras ke arah negeri pintar pada 2025.

Beliau menambah pelaksanaan kaedah mengenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan (FTTIS) menerusi saringan bersasar turut mendorong ke arah itu.

“Di peringkat awal mereka (orang ramai) rasa macam tidak begitu penting (saringan) tapi bila tengok kes makin tinggi kita jelaskan perlahan-lahan, akhirnya mereka berbondong-bondong datang.

“Dengan kehadiran lebih 1,000, ada mencecah 2,000 ke 5,000 di Subang Jaya sebenarnya kita dapati kes-kes asimptomatik begitu banyak. Itu satu penyebab kepada kes sporadik yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata pandemik juga memberi peluang untuk menilai semula kehidupan dan tindakan sebelum ini sama ada dalam pentadbiran, pengurusan, sistem kesihatan, sosial dan sokongan atau urus niaga.

“Dalam peperangan, pertempuran, perjuangan, kita tidak boleh putus asa. Selangor rakyatnya sangat progresif, saya juga sangat positif ke depan dan kita akan tabah.

“Sentiasa mengemas kini data, fakta, dapatan daripada pakar yang kukuh untuk sentiasa ke depan dalam menangani krisis,” kata Amirudin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penubuhan Pasukan Pencegahan Covid-19 pelengkap usaha tangani wabak

SHAH ALAM, 24 OGOS: Penubuhan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melengkapkan usaha kerajaan persekutuan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menangani pandemik di negeri ini, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif dibangunkan STFC seperti aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), sistem tahap amaran menerusi kod warga kepada beberapa sektor serta saringan bersasar di 56 DUN mampu mengesan kontak Covid-19.

“STFC turut memperkenalkan Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi membendung wabak di sektor perindustrian dan tempat kerja serta menubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) sebagai pasukan penyokong kesihatan.

“Menerusi STFC juga, Kerajan Negeri berjaya melaksanakan Program Vaksin Selangor (Selvax) bagi mencapai imuniti kelompok terutama kepada petugas hadapan sektor ekonomi,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Kerajaan Selangor menubuhkan STFC pada 12 Mac tahun lalu sebagai badan pemikir selepas negeri ini sentiasa mencatatkan kadar jangkitan harian yang tinggi sejak penularan Covid-19.

Badan itu dipengerusikan  mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta ahlinya terdiri dari pakar kesihatan antaranya bekas pengarah JKNS, Datuk Dr Khalid Ibrahim  dan pakar penyakit berjangkit negara Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nafi terima RM400 juta, STFC cari penyebar berita palsu

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengesan beberapa individu yang menyebar berita palsu berhubung dakwaan pasukan itu menerima RM400 juta.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya menyedari berita tidak benar disebarkan individu terbabit di media sosial Twitter dan Facebook semalam.

“Kami memandang serius tuduhan tidak berasas dan berniat jahat kerana perbuatan ini mencemar imej serta reputasi STFC.

“Oleh demikian, individu yang memuat naik tuduhan ini diminta menarik balik kenyataan dan membuat permohonan secara terbuka atau mereka bakal berdepan tindakan undang-undang,” katanya kepada SelangorKini.

Bekas menteri kesihatan itu turut menyuarakan kekesalan berikutan penyebaran berita tidak benar ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Semua petugas dalam pasukan melakukan tanggungjawab dengan ikhlas dan tidak menerima apa-apa sebagai upah,” katanya.

Terdahulu, tular dakwaan di media sosial yang menuduh STFC menerima RM400 juta daripada kerajaan Selangor untuk mengawal penularan Covid-19.

Foto dari Twitter Dzulkefly Ahmad
Categories
AGENDA NASIONAL

Tekan tiga aspek dalam tempoh PKP penuh untuk kekang Covid-19

SHAH ALAM, 30 JUN: Kaedah mengenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan (FTTIS), pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) serta pemberian vaksin perlu bersekali dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh bagi mengekang Covid-19.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata tanpa penekanan tiga aspek berkenaan, PKP yang dilaksana ketika ini adalah sia-sia.

“Mustahak untuk kita pastikan apabila melakukan ‘lockdown’ ini perlu bersekali dengan pendekatan tiga serampang (FTTIS, pematuhan SOP, pemberian vaksin).

“Kita terpaksa mengakui bahawa virus ini akan bersama kita…kena lebih bijak, lebih padu bukan sahaja pada ‘lockdown’,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika Bual Bicara – Covid-19: Mencari Jalan Keluar yang disiarkan secara langsung menerusi TV Selangor, malam tadi.

Dr Dzulkefly berkata gelombang yang dilalui ketika ini tercetus selepas Aidilfitri di mana kluster meningkat berkali ganda dengan angka kematian akibat Covid-19 juga turut meningkat.

“Selepas hari raya kita dapat lihat beberapa perkara iaitu kluster sejurus hari raya dengan jumlahnya tiga kali ganda, kematian juga begitu serta lonjakan penggunaan fasiliti kesihatan. Ini peringatan untuk kita semua.

“Saya rasa menjelang Aidiladha kita perlu kekang kehendak kita…kita sudah lihat pada hari raya sebelum ini bagaimana lonjakan itu berlaku,” katanya.

Sebelum ini, ketua pengarah kesihatan memaklumkan sebanyak 60 kluster perayaan membabitkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai dikesan sepanjang 13 Mei hingga 10 Jun.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 58 kluster Aidilfitri dan dua sambutan Gawai itu merekodkan 3,511 kes positif selepas 13,023 individu disaring.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Dzulkefly kecewa vaksin penduduk Selangor ‘masih tercorot’

SHAH ALAM, 22 JUN: Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) kecewa pemberian vaksin kepada penduduk di negeri itu ‘masih tercorot’.

Mengikut carta nisbah prestasi pemberian vaksin, pendaftaran dan kematian yang dikongsi beliau di Twitter, hanya 17.15 peratus penduduk telah menerima suntikan setakat 20 Jun lalu.

Sedangkan carta sama menunjukkan Selangor mencatat jumlah peratus kematian akibat Covid-19 tertinggi bagi tempoh sepuluh hari.

“Selangor ‘masih tercorot’ meskipun Sultan Selangor telah merakamkan rasa kecewa dan menegur Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF),” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau yang juga bekas menteri kesihatan turut mendakwa peratusan pemberian vaksin di Selangor tidak banyak berubah sejak mula membangkitkan perkara itu pada 28 Mei lalu.

Pada 8 Jun lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta seperti dakwaan sebelum ini.

Baginda juga menyifatkan nisbah jumlah pemberian dos vaksin tidak adil dan tidak seimbang dengan kepadatan penduduk Selangor yang berjumlah kira-kira 6.5 juta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jawatankuasa khas pantau kawalan kesihatan, vaksin petugas hadapan ekonomi

SHAH ALAM, 9 JUN: Jawatankuasa Khas Pematuhan Kawalan Kesihatan Industri Selangor ditubuhkan untuk memantau penularan Covid-19 di sektor perkilangan dan industri.

Dato’ Menteri Besar berkata jawatankuasa itu berperanan memastikan semua pihak mematuhi kawalan kesihatan serta membantu program suntikan vaksin petugas hadapan ekonomi.

“Seperti semua sedia maklum, peratusan kes dan pembentukan kluster banyak bermula di tempat kerja. Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif melaksanakan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

“Program selama tiga bulan memberikan solusi holistik bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di tempat kerja. Sehingga 30 Mei, lebih 120 syarikat merangkumi 50,000 pekerja menyertai program ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Beliau turut mengumumkan ahli jawatankuasa khas terdiri bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Bangi yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming serta Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) Dr Muhammad Farhan Rosli.

Sejumlah RM500,000 diperuntuk bagi melancarkan operasi pematuhan dan kawalan kesihatan industri.

Inisiatif itu antara terkandung dalam Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Pada 6 Januari Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor rekod jangkitan paling tinggi, lebih 3,000 kes sehari

SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor hari ini merekodkan jangkitan Covid-19 tertinggi sejak pandemik iaitu 3,125 kes.

Angka itu dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook.

Semalam, negeri ini turut melaporkan jangkitan yang tinggi iaitu 2,728 kes.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) pernah melaporkan negeri ini pernah melaporkan kes tertinggi pada 27 Mei iaitu 2,675 kes.

Menurut agensi, kenaikan jumlah kes ketika itu disebabkan Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri kepada penduduk di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei.

Hari ini, KKM melaporkan jangkitan baharu Covid-19 semakin meningkat kepada 8,209 kes berbanding 7,703 kes semalam.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

STFC syor guna kaedah FTTIS kekang penularan Covid-19

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan disaran menggunakan kaedah FTTIS (cari, uji, kesan, asing, sokong) yang digunakan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kaedah yang digunakan menerusi Saringan Komuniti itu disarankan memandangkan wabak semakin tidak terkawal dan jumlah kes kian meningkat.

“STFC syorkan supaya dilaksana FTTIS ‘Mass Testing’ memandangkan pandemik semakin tidak terkawal dengan kaedah yang lebih pantas.

“Selain itu, guna pakai sepenuhnya aplikasi digital dalam mengesan dan memantau pesakit dalam kuarantin, termasuk di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya menerusi segmen ‘Anda Tanya, Dr Dzul Jawab’ di Facebook.

Beliau juga menyeru kerajaan pertingkatkan jumlah penerima vaksin di Selangor selain menambah jumlah tenaga kerja, fasiliti kesihatan Kementerian kesihatan untuk menampung peningkatan kes wabak.

“Kurangkan birokrasi kerja sedia ada supaya usaha pencegahan lebih pantas dan tumpuan diberikan kepada pesakit dan bukan kepada kertas kerja. Libatkan juga kolaborasi dengan penjagaan kesihatan swasta secara optimum,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lewat kesan, asing kontak punca kes Covid-19 meningkat

SHAH ALAM, 25 MEI: Kelewatan mengesan kontak dan mengasingkan kes kluster adalah antara faktor peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menjelaskan perkara itu menjadi punca penularan secara meluas dan kes sporadik dalam komuniti.

“Sekarang ini kes komuniti sudah setanding, bahkan ada daerah dan mukim serta tempat kerja juga kilang yang melebihi kes kluster.

“Maka saringan bersasar sejak hujung tahun lepas dilanjutkan bermula 8 Mei lalu. Dijangka angka akan terus tinggi kerana akan dilakukan ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam.

Beliau berkata demikian di Facebook menerusi ‘Anda Tanya, Dr Dzul Jawab’ berkaitan punca kes positif Covid-19 tinggi di Selangor.

Seramai 29,239 individu menyertai Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri sejak 8 Mei sehingga Sabtu lalu dengan 1,494 positif.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.