Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Bantu pengurusan pangsapuri jana pendapatan, tampung kos selenggara

SHAH ALAM, 8 DIS: Kerajaan Negeri sentiasa membantu badan pengurusan bersama (JMB) membabitkan kos penyelenggaraan perumahan strata terutama jenis kos rendah.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata antara bantuan diberikan adalah melibatkan JMB bermasalah dalam program kebun komuniti sekali gus mempunyai pendapatan membayar semula caj penyelenggaraan.

“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada dasar khusus untuk membantu JMB berhubung penyelenggaraan perumahan berstrata terutama jenis kos rendah.

“Peruntukan Seksyen 9(1) Akta 757 menyatakan tanggungjawab penyelenggaraan di bawah pemaju jika belum diserahkan kepada JMB. Seksyen 21(1) akta sama pula menyatakan kewajipan JMB untuk menyelenggara melalui hasil kutipan daripada pemilik petak,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kota Damansara Shatiri Mansor berhubung dasar Kerajaan Negeri untuk membantu kos penyelenggaraan atau pembaikan perumahan strata dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan program yang dapat membantu meningkatkan sumber kewangan JMB pangsapuri terutama kos rendah dan sederhana rendah.

Program tersebut adalah Kebun Komuniti atau Laman Hijau Strata, K-Inovasi Pusat Kitar Strata dan Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor teliti kaedah bantu pembeli tukar hak milik strata

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri meneliti cadangan memudahkan pembeli unit pangsapuri menukar hak milik strata selepas menduduki kediaman bagi meringankan beban mereka.

Ia berikutan ramai pembeli tidak mampu menyempurnakan pindah milik kerana kos tinggi sekali gus mengekang penubuhan badan pengurusan bersama (JMB), kata EXCO kerajaan tempatan.

“Antara cadangan ialah memasukkan kos pindah milik pada peringkat awal pembelian hartanah dan bank selaku pihak yang membiayai pinjaman mengambil kira kos tersebut,” kata Ng Sze Han.

Beliau mewakili EXCO Perumahan Rodziah Ismail menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Sementara itu, Sze Han berkata sebanyak 549 pangsapuri kos rendah di negeri ini belum mempunyai JMB atas alasan fizikal bangunan yang uzur dan keengganan pemaju mengadakan mesyuarat pertama.

“Kita mewujudkan program bantuan pemulihan secara tunai untuk skim strata yang uzur dan tiada JMB bagi menaikkan semangat penduduk menubuhkannya serta mempergiat kempen kesedaran,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sumbang RM2.6 juta, bantu 1,642 keluarga peroleh hak milik strata

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 APR: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyumbang RM2.6 juta untuk membantu penduduk Pangsapuri Pinggiran Batu Caves menyempurnakan proses pindah hak milik strata.

Eksekutif Kanan Undang-undang MBI, Sharudin Ismail berkata, sumbangan itu membabitkan 1,642 keluarga yang mendiami pangsapuri terbabit.

“Sumbangan ini digunakan untuk membiayai kos guaman bagi 1,642 unit dan selebihnya untuk yuran juruukur untuk semua unit termasuk rumah kedai berjumlah 229 unit.

“Rumah kos rendah menerima kira-kira RM1,000 dan kos sederhana RM1,500 dengan selebihnya untuk dibayar kepada juruukur bagi mendapatkan hak milik strata ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Memorandum of Transfer di Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Gombak, di sini, hari ini.

MOT GOMBAK (2)Sementara itu, Ketua Jabatan Sosial Tanggungjawab Korporat, Mohd Jaafarruddin Md Ali, percaya bantuan itu mampu meringankan beban golongan terbabit dalam membiayai kos pindah hak milik.

“Kita akan buat bayaran secara terus tetapi untuk pemilik unit yang dah bayar, maka akan dipulangkan semula kepada peserta.

“Saya percaya jumlah ini amat bermakna bagi mereka kerana banyak meringankan bebanan terutama kini kos hidup semakin tinggi disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Ini adalah sebahagian usaha Kerajaan Negeri memastikan semua golongan merasai hasil negeri,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin menandatangani dan menyerahkan bantuan itu sambil disaksikan Pegawai Daerah, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan.

Categories
SELANGOR

Selangor tubuh jawatankuasa khas tangani isu geran strata

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 FEB: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mempercepatkan pemilik unit rumah bertingkat di Selangor memperoleh geran strata masing-masing.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, jawatankuasa itu akan berfungsi seperti yang dibentuk bagi mempercepatkan sijil menduduki (CF) sebelum ini.

rumah mampu milik sept 2012 01“Sebelum ini banyak juga yang berjaya diselesaikan. Ada yang dah 15 tahun belum dapat status starata lagi.

“15 tahun itu kira belum cukup lama, ada yang sampai 25 tahun masih menunggu,” katanya ketika menghadiri Majlis Penerangan Majlis Perundingan Rakyat Pandan (MPRP) di Dewan Ahli Majlis Pandan Indah, di sini, baru-baru ini.

Iskandar berkata, isu pemilikan geran starata adalah salah satu isu yang menjadi keutamaan beliau kerana kegagalan memiliki geran starata menimbulkan pelbagai kerumitan kepada pemilik seperti isu menukar nama.

Katanya, antara masalah yang mengakibatkan kesukaran pemprosesan geran strata seperti,pemaju yang sudah menghilangkan diri dan isu struktur bangunan akibat dibina secara tergesa-gesa.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Seragam Akta Pengurusan Strata dialu-alukan tingkat kecekapan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Negeri menyambut baik komitmen ditunjukkan Kerajaan Pusat bagi menyeragamkan pelaksanan Akta Pengurusan Strata 2013 demi kebaikan rakyat di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, bersesuaian dengan status negeri maju, Selangor mempunyai pembangunan yang banyak membabitkan bangunan strata.

Lawatan Menteri kementerian Perumahan ke SUK (3)Maka itu, katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak diperlukan demi memastikan akta berkaitan memberi manfaat kepada rakyat.

“Di pihak negeri, kita ada mengemukakan beberapa cadangan kepada kementerian dalam melaksanakan akta ini. Saya menyambut baik komitmen kementerian untuk memberikan pertimbangan ke atas cadangan berkenaan.

“Saya percaya cadangan penambahbaikan ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Azmin berkata demikian selepas mengadakan perbincangan denganMenteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengunjunginya.

Abdul Rahman berkata, Selangor mempunyai lebih 50 peratus rakyat yang mendiami kediaman bersifat strata maka ia memerlukan perkhidmatan pengurusan bangunan strata yang baik.

“Dewan Negeri Selangor perlu meluluskan satu resolusi untuk melantik jawatankuasa tribunal pengurusan ini yang dipersetujui kementerian.

“Terima kasih kerana Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk kelulusan resolusi ini dalam sidang dewan tahun depan,” katanya.

Katanya, biarpun persidangan dewan dijangka berlangsung pada Mac tahun depan namun kementerian berasa ia tidak menimbulkan masalah berikutan beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan lagi.

“Kita yakin untuk mewujudkan tribunal ini selewat-lewatnya pertengahan tahun depan,” katanya.

EZY