Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM: Jangan jual kuota tiket kepada penyokong Indonesia

SHAH ALAM, 17 NOV: Peminat bola sepak tempatan diminta tidak menjadi ‘orang tengah’ dengan menjual tiket diperuntukkan kepada penyokong Harimau Malaya kepada penyokong pasukan pelawat, Indonesia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama dalam perkara itu bagi memastikan tidak berlaku masalah terutama dari segi keselamatan serta aliran kemasukan penyokong kedua-dua pasukan ke dalam Stadium Nasional, Bukit Jalil pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa ini.

Untuk makluman, isu berkaitan berlaku pada perlawanan antara Malaysia dan Thailand di stadium sama, Khamis lalu, apabila jumlah kehadiran penyokong pasukan pelawat seramai kira-kira 5,000 orang, iaitu melebihi jumlah tiket diperuntukkan FAM sebanyak 2,500.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, ia berpunca daripada sikap segelintir warga bola sepak tempatan yang ‘membantu’ penyokong pelawat membeli tiket menggunakan kuota kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah sekali gus menyukarkan pihak keselamatan untuk menempatkan mereka di tempat sepatutnya.

“Bagi mengelak perkara sama berulang pada perlawanan Malaysia melawan Indonesia, FAM dan PDRM sekali lagi ingin menasihatkan warga bola sepak Malaysia supaya tidak menjadi punca kepada masalah ini dengan mengambil sikap bertanggungjawab tidak menjual hak penyokong negara.

“Saya percaya, jika semua pihak memberikan kerjasama dalam menangani masalah ini, sudah pasti tidak timbul masalah berkaitan tempat duduk penyokong Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Untuk makluman, beliau berkata, FAM memperuntukkan 4,500 tiket bagi penyokong Indonesia seperti mana dimohon Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi perlawanan berkenaan.

Katanya, semua penjualan tiket itu akan diuruskan sendiri oleh pihak PSSI.

“Bagi penyokong Harimau Malaya, anda masih boleh membeli tiket secara dalam talian di www.tickethotline.com.my tetapi hanya tempat duduk terbuka masih ada manakala bagi tempat duduk Grandstand dan FAM Premium telah habis terjual,” katanya.

Tiket bagi perlawanan itu dijangka habis terjual dalam masa terdekat memandangkan hanya tinggal sedikit kuantiti tiket masih boleh dibeli penyokong Harimau Malaya menerusi kaedah itu.

Berdasarkan situasi semasa, berkemungkinan besar tidak akan ada penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket di stadium pada hari perlawanan jika kesemuanya telah habis terjual secara dalam talian.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Enam pemain berguru di Jepun

SHAH ALAM, 1 SEPT: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar enam pemain untuk menimba pengalaman di Jepun bermula September ini secara berperingkat.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, pemilihan pemain itu dibuat selepas saringan berdasarkan prestasi yang dipantau FAM, Akademi Mokhtar Dahari dan Pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Penempatan pemain berkenaan di negara matahari terbit ini bertujuan memberi pendedahan, pengalaman dan peluang untuk mereka membiasakan diri dengan corak latihan dan permainan, serta cara hidup di sana jika mereka terpilih atau berpeluang untuk beraksi di Liga Jepun pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Empat pemain akan menimba ilmu dengan Cerezo Osaka dari 3 hingga 13 September iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari.

Manakala, Sikh Izhan Nazrel dan Ahmad Zikri Khalili bersama Luqman sekali lagi akan ke JFA Academy dan FC Tokyo pada Oktober depan.

Beliau berkata, kerjasama itu dimeterai ketika delegasi FAM diketuai Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengadakan perbincangan dua hala dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) selama lima hari di Tokyo bermula 26 Ogos lalu.

Kunjungan delegasi FAM itu juga susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 5 April lalu.

Categories
SUKANKINI

Selepas Liridon, De Paula, dua lagi pemain Eropah dinaturalisasikan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Selepas mengesahkan kehadiran dua pemain naturalisasi baharu iaitu pemain Melaka United, Liridon Krasniqi dan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, dua lagi pemain dijangka mengikut jejak sama.

Pemain muda berdarah kacukan Malaysia berpangkalan di Eropah itu dikatakan berminat menyarung jersi Harimau Malaya.

Perkara itu disahkan sendiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam seperti dilaporkan Fox Sports kelmarin.

“Dua pemain terbabit, salah seorang berusia 21 tahun dan kini sedang beraksi di Jerman manakala seorang lagi 18 tahun dan beraksi di England.

“Kedua-dua pemain serius untuk dipertimbangkan FAM dalam usaha memperkuatkan skuad Harimau Malaya,” katanya.

Katanya, FAM telah menghantar dokumen berkaitan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa lalu untuk dipertimbangkan dan disahkan mempunyai darah keturunan warganegara Malaysia.

Sebelum ini, bintang Pahang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh dan pertahanan kental Johor Darul Takzim berdarah kacukan Malaysia – Barbados, La-vere Corbin Ong dinaturalisasikan bagi menyarung jersi Harimau Malaya pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Selain Sumareh dan Corbin Ong, pemain naturalisasi lain dalam skuad sama adalah Matthew Davis (Pahang).