Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Suami isteri jalan kaki lapan kilometer redah banjir di Meru

KLANG, 19 DIS: Sepasang suami isteri terpaksa berjalan kaki sejauh lapan kilometer (km) untuk ke rumah dari tempat kerja selepas jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan ringan kerana dinaiki air.

Faizal Maszuki, 46, dan Norfauziah Maslan, 39, bekerja sebagai operator kilang memproses sarung tangan getah di Jalan Haji Salleh, Meru terpaksa meredah banjir untuk pulang ke Taman Desa Bukit Delima kerana bimbang keadaan anak perempuan mereka yang tinggal berseorangan.

Menurut Faizal, ketika mereka mula bertugas kira-kira jam 8 pagi semalam beberapa jalan sudah dinaiki air yang menyebabkan beberapa rakan kerjanya tidak hadir kerana terkandas.

“Mahu atau tidak, terpaksa juga balik kerana bimbang anak berseorangan di rumah dan ada jiran beritahu beberapa kawasan di taman perumahan sudah dinaiki air.

“Lagipun takkan hendak tidur di kilang pula, jadi kami jalan kaki sahaja. Jauh juga dalam lapan kilometer rasanya…redah banjir pula,” katanya ditemui di sini semalam.

Faizal berkata, kejadian banjir itu disifatkannya paling buruk sejak beliau dan keluarga berpindah dari Sabak Bernam serta menetap di Meru kira-kira 15 tahun lalu.

“Memang ada kawasan banjir tetapi tidak sebanyak kali ini, bagi saya ini satu bencana alam.

“Ramai orang terjejas dan rugi, banyak kerosakan harta benda saya lihat sepanjang berjalan pulang,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat Selangor santuni suami isteri mualaf, OKU

SHAH ALAM, 9 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menziarahi dan menyantuni sepasang suami isteri mualaf bagi meneliti bentuk bantuan asnaf yang akan disalurkan.

Agensi berkata Umar Abdullah dan Siti Aisyah Abdullah yang menetap di Hulu Selangor memeluk Islam sejak Januari tahun lalu.

“Umar yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal terus gigih mengusahakan perniagaan cucian kereta dibantu isterinya.

“LZS hadir bagi mengemas kini maklumat dan menyemak keperluan Umar dan keluarga agar dapat terus disantuni oleh pihak zakat,” tulisnya di Facebook.

Agensi juga mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat kerana wang yang disalurkan dapat membantu mereka yang memerlukan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suami positif dadah, isteri direman dera anak angkat 15 bulan

KOTA BHARU, 1 FEB: Seorang lelaki yang dikesan positif dadah bersama isterinya yang juga pembantu taska, ditahan polis selepas disyaki melakukan penderaan ke atas anak angkat perempuan mereka yang berusia 15 bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata, pasangan berusia 26 (suami) dan 31 tahun itu, ditahan di rumah mereka di sebuah taman perumahan dekat Kok Lanas pada pukul 1 pagi tadi.

Beliau berkata tangkapan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada ibu kandung mangsa, yang mengesyaki anaknya itu didera selepas melihat kesan lebam dan parut pada muka dan badan anaknya.

“Daripada laporan yang diterima, ibu kandung mangsa yang berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai, menyerahkan anaknya itu kepada pasangan berkenaan pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas diserahkan semula kepadanya pada November lalu, didapati ada kesan kecederaan di dahi, paha, tangan dan muka anaknya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Jelasnya, ibu mangsa yang juga ibu tunggal berasal dari Besut, Terengganu merasakan ada sesuatu yang tidak kena, kemudiannya membawa anaknya itu ke Klinik Kesihatan Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Katanya pemeriksaan yang dilakukan oleh pakar pediatrik mendapati, ada kesan kecederaan lama (sebulan) disyaki didera, sebelum satu laporan polis dibuat.

“Hasil pemeriksaan oleh pakar Ortopedik dapati, mangsa mengalami kesan patah lama pada kedua belah tulang lutut dan di bahagian buku lali di sebelah kanan. Kesan tersebut lebih kurang dua bulan dan tulang telah bercantum.

“Bertindak atas maklumat yang diterima sepasukan anggota polis dari JSJ IPD Kota Bharu menjalankan siasatan, dan berjaya menahan pasangan berkenaan di sebuah rumah di Kok Lanas, awal pagi tadi,” katanya.

Wan Khairuddin berkata, siasatan yang dijalankan mendapati lelaki itu turut positif dadah jenis Methamphetamine, selepas ujian air kencing dijalankan.

“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai penjual barang secara dalam talian dan pembantu taska direman selama tujuh hari, bermula hari ini sehingga 7 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001,” katanya.

Difahamkan, kanak-kanak itu adalah anak bongsu daripada enam beradik dan diserahkan kepada pasangan tersebut, selepas ibu kandungnya bercerai mankala lima lagi adik beradiknya dipelihara oleh bapa kandungnya sendiri.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO saran suami dera isteri dihukum jalani terapi pemulihan

SHAH ALAM, 28 JULAI: EXCO wanita menyaran suami yang mendera isteri dihukum menjalani terapi pemulihan bagi mengelak keganasan rumah tangga berulang.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata setakat ini tiada akta khas yang menjadikan hukuman secara mandatori itu diwajibkan ke atas pendera.

“Kebanyakan kes yang mendapatkan khidmat kaunseling adalah mangsa (isteri) kerana mengalami tekanan dan kemurungan, sebaliknya si suami tidak melakukan apa-apa untuk memulihkan dirinya daripada kecenderungan untuk memukul.

“Sekiranya kita tidak ambil langkah untuk memulihkan keadaaan maka isteri akan jadi mangsa keganasan dalam masa jangka panjang.

“Selain membuat laporan polis, saya harap ada akta yang memaksa suami untuk dapat pemulihan kerana banyak kes selepas berlaku dia (suami) akan pujuk dan merayu pada isteri, tetapi akan berulang (penderaan),” katanya kepada SelangorKini.

Pada 13 Julai lalu, beliau berkata talian khas bantuan keganasan dengan kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita menerima 361 panggilan pada Mac dan April (898), meningkat berbanding Januari (266) dan Februari (250).

Selangor merekodkan 90 kes keganasan rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac.