Categories
ADN SELANGOR

Kumpool Ride pusing Subang Jaya, atasi sesak di lokasi padat

SHAH ALAM, 27 JAN: Perkhidmatan e-panggilan bas ulang-alik diperkenal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya bagi menyurai kesesakan trafik dan parkir di kawasan berkenaan.

Dengan kadar serendah RM1, pengguna boleh mendapatkan akses pengangkutan lebih mudah, selesa dan selamat setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam, kata wakil rakyatnya.

Menurut Michelle Ng Mei Sze, lebih 200 hentian disediakan meliputi tempat tumpuan, stesen bas, Transit Aliran Ringan (LRT) dan kawasan perumahan yang padat.

“Ciri-ciri e-panggilan yang digunakan ialah sistem tempahan melalui aplikasi dan penjejakan bas untuk mengenal pasti masa ketibaan secara tepat.

“Jika dibandingkan dengan sistem e-panggilan sedia ada, ia juga lebih murah memandangkan penetapan kadar pada RM1,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pengerusi Kumpool berkata perkhidmatan tersebut mendapat sambutan baik dalam kalangan warga emas, pelajar dan ibu bapa sejak dilancar akhir Disember tahun lalu.

Goh Chun Hean menjelaskan kebanyakan ibu bapa mempercayai khidmat pengangkutan itu untuk menghantar anak-anak ke sekolah berikutan lokasinya boleh dikesan melalui aplikasi.

“Saya yakin pengangkutan ini dapat mengubah cara perjalanan orang ramai dan bakal menjadi salah satu perkhidmatan terkemuka dalam industri pengangkutan awam di Malaysia,” katanya.

Aplikasi Kumpool beroperasi di Johor sejak 2020 dan diperluas ke kawasan lain secara berperingkat. Sistem itu boleh dimuat turun di Apple Store atau Google PlayStore.

Categories
ADN SELANGOR

Klinik Selcare USJ 1 sedia dos penggalak untuk penduduk Subang Jaya

SUBANG JAYA, 13 JAN: Ahli dewan negeri Subang Jaya menyeru penduduk di kawasan terbabit yang mahu vaksin dos penggalak boleh dapatkannya di Klinik Selcare USJ 1.

Michelle Ng Mei Sze berkata mereka bagaimanapun dikehendaki mendaftar terlebih dahulu menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menunggu janji temu.

“Buat masa ini DUN Subang Jaya tidak bercadang untuk menganjurkan program Vaksin Selangor (Selvax) Booster kerana di sini sudah ada Klinik Selcare, mereka boleh dapatkan terus di situ.

“Selain itu, apabila anjurkan program kita bimbang kerana tidak ramai orang akan hadir. Jika ada yang mmeohon di pejabat kita akan minta mereka ke Klinik Selcare USJ1 sahaja,” katanya.

Pada 7 Disember lalu, Amirudin mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program itu mulai 8 Disember.

Menurutnya, individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi SELangkah.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM guna khidmat pekerja sokongan, pastikan kutipan sampah ikut jadual

SHAH ALAM, 7 OGOS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menggunakan khidmat pekerja sokongan bagi memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksana mengikut jadual.

Ketua media dan perhubungannya berkata tindakan itu bagi mengatasi gangguan operasi di Subang Jaya berikutan pekerja terlibat saringan dan sanitasi pada jentera bagi mencegah Covid-19.

“KDEBWM mendapatkan khidmat pekerja sokongan bagi memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksana mengikut jadual,” kata Mahfuzah Muhammad Tarmidi dalam kenyataan semalam.

Kawasan yang terlibat ialah SS17 dan SS19, sebahagian kawasan perindustiran USJ 1, sebahagian USJ1 dan USJ2, dan Taman Puchong Utama serta sebahagian Taman Puchong Utama 7.

“Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang dialami dan akan terus komitd dalam memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang terbaik kepada rakyat Selangor,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai aduan dan pertanyaan boleh menghubungi pusat aduan setempat ditalian 019-3759592, 019-3753980 dan 019-2742824.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 2,800 penduduk Subang Jaya dapat vaksin negeri

SHAH ALAM, 30 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Ahli Dewan Negerinya Michelle Ng Mei Sze berkata lebih 2,800 peserta hadir untuk mendapatkan suntikan pelalian Covid-19 bagi tempoh dua hari bermula kelmarin.

“Kita menyasarkan 2,600 peserta tetapi yang hadir lebih daripada jumlah ditetapkan. Lebih 50 peratus daripada penerima merupakan warga tempatan yang belum mendapat janji temu di MySejahtera.

“Mereka yang belum mendapat janji temu boleh hadir kerana objektif adalah untuk memastikan penduduk Subang Jaya dapat divaksin bagi memastikan kes di Selangor menurun,” katanya ketika dihubungi.

Seramai 1.04 juta atau 22 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos suntikan vaksin setakat semalam dengan 151,884 dos disuntik bawah program Selvax.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat sediakan pemandu bawa warga emas, OKU ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 1 JUN: Wakil rakyat Subang Jaya menyediakan pengangkutan percuma untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) ke pusat pemberian vaksin (PPV) sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Michelle Ng Mei Sze berkata inisiatif bermula minggu lalu menyasar golongan kurang berkemampuan bagi memastikan mereka tidak terlepas janji temu mendapatkan suntikan vaksin.

“Mereka perlu membuat tempahan mendapatkan perkhidmatan ini dua hari sebelum tarikh janji temu suntikan vaksin selepas menerima notifikasi melalui aplikasi MySejahtera.

“Pemandu akan mengambil individu berkaitan di rumah masing-masing untuk dihantar ke PPV sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selain menguruskan proses suntikan hingga selesai,” katanya ketika dihubungi.

Michelle berkata seramai 15 pemandu dalam lingkungan usia 20 hingga 55 tahun berdaftar secara sukarela dengan semuanya diberi surat kebenaran rentas daerah.

“Justeru, sangat penting untuk setiap orang memainkan peranan membantu individu seperti ini bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok,” katanya menambah kira-kira 50 warga emas dan OKU sudah dibantu.

Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu boleh menghubungi Pengerusi Rukun Tetangga USJ 2, Har di talian 012-2731336.

Categories
ADN SELANGOR

150 calon SPM 2020 Subang Jaya ikuti kelas dalam talian percuma

SHAH ALAM, 14 FEB: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sekitar Subang Jaya mendapat tajaaan pembelajaran dalam talian sebagai persediaan mendepani peperiksaan pada 22 Februari ini.

Ahli Dewan Negeri Michelle Ng Mei Sze berkata seramai 150 pelajar menerima 20 sesi pembelajaran secara percuma dari tenaga pengajar berpengalaman.

“Ini merupakan langkah membantu pelajar SPM 2020 memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tahun lalu terganggu akibat pandemik Covid-19.

“Kita tahu wabak ini memberi kesan. Jadi mereka yang mendapat tajaan ini berpeluang mengulang kaji pelajaran mengikut kesesuaian masa masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurut Michelle, program berkenaan merupakan kerjasama pihaknya dengan syarikat AskBee.

Susulan penularan pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan meminda tarikh peperiksaan SPM kepada 22 Februari hingga hujung Mac depan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Subang Jaya catat 1.8 juta pelancong, tertinggi pada 2019

SHAH ALAM, 4 NOV: Subang Jaya yang memiliki pelbagai kemudahan merekodkan seramai 1.8 juta pelancong tahun lalu, tertinggi di negeri ini.

Tourism Selangor berkata faktor itu didorong penyediaan pengangkutan awam yang baik, pusat membeli-belah dan komersial, hospital serta kawasan hiburan.

“Subang Jaya bukan sahaja moden dan pesat membangun, malah berusaha mengekalkan kawasan persekitaran yang harmoni serta bersih.

Pengunjung beriadah di Kolam Terbesar Taman Tema Sunway Lagoon ketika tinjauan pada 4 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Kemajuan itu sekali gus melayakkan Subang Jaya meraih status bandar raya pada 20 Oktober lalu,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan seramai 7.62 juta pelancong tahun lalu.

Berikut merupakan lokasi menarik di kawasan Subang Jaya:

1. Bandar Mines (The Mines Golf Club and Resort, The Mines Beach Resort & Spa, The Mines Shopping Fair dan The Mines Waterfront Business Park)

2. Bandar Sunway (Sunway Lagoon, Hotel Sunway Pyramid, Hotel Sunway Clio, Sunway Medical Centre)

3. Bandar Puchong (IOI Mall Puchong, Setiawalk Puchong, Uptown Puchong Night Bazaar)

4. Institusi pengajian tinggi (Kolej Universiti Taylor’s, Universiti Sunway, Kolej Inti)

5. Perubatan dan kesihatan (Pusat Perubatan Sunway, Pusat Perubatan QHC)

6. SS15 (Rojak dan Cendol SS15, Restoran Jibril, Nasi Lemak Warisan Sambal Opah, Gold Chilli)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan perkenan isytihar Subang Jaya sebagai bandar raya

SHAH ALAM, 20 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengisytihar dan menetapkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebagai bandar raya berkuat kuasa hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perbandaran itu kini hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) buat selama-lamanya.

Berikut adalah Titah Pengisytiharan Majlis Bandaraya Subang Jaya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor:

Beta, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor, dengan ini mengisytiharkan dan menetapkan bahawa Majlis Perbandaran Subang Jaya, akan bermula pada 20 haribulan Oktober 2020 bersamaan 3 Rabiul Awal 1442 Hijrah, menjadi sebuah bandar raya buat selama-lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Oleh yang demikian, gelaran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya hendaklah ditafsirkan sebagai Datuk Bandar Subang Jaya.

Manakala Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, hendaklah ditafsirkan sebagai Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Categories
ADN SELANGOR

PPKK Subang Jaya manfaat 3,500 kanak-kanak

SUBANG JAYA, 24 OGOS: Kira-kira 3,500 kanak-kanak menerima manfaat menerusi penubuhan Pusat Peduli Kanak-kanak (PPKK) di Pangsapuri Angsana di sini, kata Ahli Dewan Negeri(ADN) Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata PPKK yang diselaras Pertubuhan Peduli Kanak-Kanak Subang Jaya memberi peluang kepada golongan itu menyertai aktiviti seperti kelas tuisyen, muzik, tarian dan komputer.

“Bagaimanapun, buat masa ini PPKK hanya dibuka untuk kelas tuisyen berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mengehadkan tempoh operasi dan kanak-kanak mengikuti kelas tersebut mengikut slot ditetapkan.

“Pada masa sama, kita khuatir jika terlalu ramai dalam pusat ini dalam satu-satu masa menyebabkan penyelaras sukar menyesuaikan diri, jadi kita tidak mahu langgar tatacara operasi piawai (SOP),” katanya selepas Majlis Pelancaran PPKK semalam.

ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran PPKK pada 23 Ogos 2020. Foto: Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Subang Jaya

Menurut Michelle pusat itu juga menyediakan khidmat kaunseling, kursus pengasuhan serta perkembangan kanak-kanak.

Mengulas perancangan masa depan, katanya, berhasrat menjadikan tempat itu sebagai Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) memandangkan ia sudah memenuhi kriteria Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

“Sebelum ini, kita memang mahu berdaftar di bawah PAKK namun difahamkan tiada peruntukan, jadi apabila ada masa sesuai kita akan buat permohonan sewajarnya.

“Tambahan pula, PPKK mempunyai rekod prestasi yang membuktikan jawatankuasa penyelaras daripada badan bukan kerajaan (NGO) pernah terlibat dalam aktiviti kanak-kanak.

“Malah, kita ada fasiliti yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti kanak-kanak maka kita berharap lot ini memenuhi keperluan mereka (JKM).”

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kos jimat urus sampah di Subang Jaya cecah RM2 juta

SUBANG JAYA, 23 OGOS: Kos penjimatan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mencecah RM2 juta sepanjang tahun lalu, kata ahli dewan negerinya.

Michelle Ng Mei Sze berkata prestasi itu didorong amalan pengasingan sisa buangan dan kitar semula yang diterapkan dalam kalangan masyarakat.

“MPSJ berjaya mengumpul lebih 55,000 tan sampah tahun lalu dengan setiap tan (sampah) bernilai RM36.

“Sekiranya ada penjimatan, maka (peruntukan) boleh digunakan untuk perkara lain misalnya menaik taraf infrastruktur dan menjalankan program pembangunan komuniti,” katanya pelancaran program At-Source Recycling fasa pertama di Padang USJ 5 semalam.

Beliau juga menggesa masyarakat supaya sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan setiap program membabitkan kebersihan alam sekitar khususnya kitar semula.

“Persatuan penduduk juga perlu berperanan menyalurkan maklumat kepada komuniti kawasan mereka berkaitan kepentingan memelihara alam sekitar melalui amalan kitar semula,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM perjelas alamat tidak tepat kes positif di Subang Jaya

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan kes positif yang dilaporkan di Subang Jaya pada 10 Ogos lepas melibatkan seorang warga asing yang menjalani saringan di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata warga asing tersebut tidak bermastautin di situ, tetapi menetap di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, iaitu lokasi kes.

“Sementara menunggu keputusan ujian, majikan kes telah mengambil inisiatif dengan meletakkan kes di bawah kuarantin di sebuah hotel di Subang Jaya, yang merupakan lokasi yang didaftar dalam aplikasi MySejahtera.

“Namun demikian, setelah mendapat keputusan saringan Covid-19, alamat pendaftaran kes itu dipindahkan semula ke alamat tempat tinggalnya iaitu di Bandar Tun Hussein Onn sebelum dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata segala tindakan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan di lokasi tempat kediaman kes, iaitu di Bandar Tun Hussein Onn yang turut dikemas kini menerusi aplikasi MySejahtera sebagai alamat kes.

Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa penularan kes Covid-19 di Subang Jaya susulan pemberitahuan menerusi MySejahtera terdapat kes di kawasan itu.

KKM menasihati orang ramai agar hanya berkongsi maklumat yang terbukti kesahihannya agar tidak menimbulkan panik dalam masyarakat.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Status Subang Jaya jadi bandar raya mulai 20 Oktober

SHAH ALAM, 25 JUN: Status Subang Jaya daripada perbandaran kepada bandar raya berkuatkuasa mulai 20 Oktober depan apabila mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata pihak berkuasa tempatan itu menduduki taraf perbandaran selama 22 tahun sejak 1997.

“Syukur MPSJ mendapat perkenan Sultan Selangor dan tarikh pengisytiharan serta penguatkuasaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) adalah pada 20 Oktober 2020,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MPSJ semalam.

Pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan MPSJ berjaya menukar status kepada MBSJ melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober 2019.

Selain itu Kuala Langat turut dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandar raya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya serta tujuh majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Sepang dan Kuala Langat).

Majlis daerah pula Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.