Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Helikopter terhempas di Subang, dua cedera

SHAH ALAM, 24 MAC: Sebuah helikopter jenis Airbus H125 dinaiki lima lelaki terhempas di kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pagi tadi ketika membuat pendaratan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 pagi dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

Menurut Norazam Khamis dalam kenyataan semua mangsa disahkan selamat dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian kaki dan kepala.

“Seorang lelaki patah kaki kanan manakala seorang lagi cedera ringan di kaki. Tiga lagi tidak mengalami kecederaan. Semua mangsa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya menambah penerbangan berlepas dari Terengganu.

Jelasnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dengan lima pegawai dan anggota bergegas ke lokasi bagi memberi bantuan.

Norazam menambah helikopter tidak mengalami kebakaran dan punca kejadian masih disiasat.

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

Sambut baik perisytiharan Zon Perdagangan Bebas dan Bandar Aero Angkasa

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Kerajaan Negeri menyambut baik pengumuman dalam Belanjawan 2019 Kerajaan Persekutan untuk menjadikan Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan belanjawan Jumaat lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan pengumuman itu merupakan satu suntikan yang sangat bermakna kepada Selangor.

“Saya menyambut baik inisiatif diumumkan antaranya pusat perdagangan bebas di Pulau Indah dan kita sememangnya mempunyai kawasan perdagangan atau perindustrian di Pulau Indah di bawah kawasan Central Spectrum, Ikea dan beberapa kawasan kilang di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perasmian Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Selain itu, Amirudin turut menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Subang sebagai Bandar Aero Angkasa.

Katanya, selain memang wujud pusat perkembangan Aero Angkasa, di Subang juga mempunyai beberapa aset yang mampu merancakkan lagi usaha itu seperti Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

“Maka, dengan perisytiharan tersebut dan usaha membina bandar Aero Angkasa itu saya kira akan menyuntik lagi bagi memperkenalkan Selangor sebagai hub industri Aero Angkasa di negara kita,” katanya,

Ketika menyentuh inisiatif sebanyak RM50 dan RM100 bagi penggunaan kenderaan awam, Amirudin berkata beliau akan mengambil langkah yang selaras dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019 yang akan dibentangkan nanti.

Categories
NASIONAL

Pentadbiran sekolah halang murid guna komputer sumbangan Pakatan

halang murid guna komputer sumbangan Pakatan

SHAH ALAM 26 OGOS: Pentadbiran sebuah sekolah di sini dikatakan menghalang muridnya menggunakan komputer sumbangan kerajaan Selangor berikutan perbezaan fahaman politik.

Hal itu didedahkan seorang Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), R Panner Selvam kepada TV Selangor selepas dimaklumkan guru besar sekolah berkenaan.

“Tindakan tidak masuk akal itu merugikan murid kerana kita ada makmal komputer yang lengkap tetapi tidak digunakan hanya disebabkan alasan politik,” katanya.

Beliau berkata, larangan itu bermula kira-kira lapan bulan lalu sejak pelantikan muka baru PIBG atas alasan makmal itu didakwa beroperasi haram.

Katanya, pentadbiran sekolah itu dikatakan mengenakan yuran RM70 setahun terhadap murid bagi menampung kos penyelenggaraan makmal komputer itu.

“Yuran dikutip dari Januari atau Februari tetapi kelas tak jalan,” katanya yang turut mendakwa kelas komputer itu tidak mengikut jadual.

Timbalan YDP PIBG, Selvarajah Palaniappan, pula berkata PIBG sudah membawa bantahan kepada pentadbiran sekolah.

Mengulas isu itu, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Melawati, S Manikavasagam, berkata kerajaan Selangor pada 2010 berbelanja RM85,000 untuk membeli 45 komputer bagi pembelajaran murid SJKT Ladang Rasak, Subang .

“Ini tidak patut berlaku sebab tidak kiralah siapa yang beri komputer, sekolah harus manfaatkan untuk masyarakat kita,” kata Pengarah Biro Aduan Rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

– FZL

Singgah Selangor – Island BBQ Steamboat & Sejarah Jugra – SALAM SELANGOR

Episod 28

Sinopsis 1: Membawa para penonton ke Subang untuk menikmati makanan yang enak dan lazat. Pelbagai jenis makanan boleh didapati dengan berkonsepkan pulau

Sinopsis 2:Menceritakan tempat-tempat sejarah yang terdapat di Muzium Institut Jugra.

Tetamu: Mohd Asruddin Selamat, Pembantu Muzium Kanan

Categories
NASIONAL

PKR Selangor Lancar Kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia

PETALING JAYA 21 SEPT : Bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus menerajui Selangor, PKR Selangor akan melancarkan kempen ?Jelajah Selangor Tawan Malaysia? yang akan bermula pada 14 Oktober depan.

Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei berkata program gerak gempur yang bertemakan ‘perkukuhkan kemenangan rakyat dan tawan Malaysia’ itu akan memfokuskan kawasan tumpuan.

Antaranya, kawasan Parlimen Selayang, Pandan, Bandar Tun Razak, Kuala Langat, Kapar, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan dan Subang.

Kawasan DUN yang terbabit adalah Kuang, Rawang, Sementa, Kota Anggerik, Batu Tiga, Batang Kali, Permatang, Sri Muda, Sri Andalas, Batu Caves, Bukit Antarabangsa, Ijok, Melawati, Seri Setia, Taman Medan, Bukit Lanjan, Dengkil, Semenyih, Kajang dan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata PKR akan berbincang dengan DAP dan PAS sekiranya mereka ingin dengan PKR dalam program itu.

“Selain mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya 2008, parti itu juga akan menawan kerusi Parlimen dan DUN milik Umno-BN.

?Salah satu misi pilihan raya umum ke-12, PKR Selangor menyasarkan sebanyak 11 kerusi Parlimen untuk dimenangi.
?Berdasarkan statistik terkini kami mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan lapan kerusi Parlimen sedia ada dengan tambahan tiga kerusi milik BN iaitu Sabar Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.

?PKR juga akan mempertahankan 14 kerusi DUN dan menawan tujuh kerusi DUN milik Umno-BN iaitu di kawasan Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,? katanya.

Shuhaimi berkata PKR juga yakin majoriti kemenangan akan meningkat berdasarkan kajian dilakukan parti itu.

?Parlimen Selayang, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kapar dan Kuala Langat kita yakin jumlah majoriti akan bertambah.?

Ketika ini Pakatan memperoleh 35 daripada 56 kerusi DUN manakala BN sebanyak 20 dan seorang Adun Bebas.

Di peringkat kerusi Parlimen pula PR memperoleh 17 daripada 22 kerusi di Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mesyuarat agung tahunan AMK Cabang PKR akan bermula pada 22 September hingga 13 Oktober depan.

Ia akan melibatkan 22 kawasan cabang PKR.

Categories
SELANGOR

PR Berjaya Atasi Projek Rumah Terbengkalai Era BN Di Subang

SHAH ALAM 2 FEB : Kerajaan Negeri Selangor ditadbir Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengatasi masalah projek perumahan di Subang yang terbengkalai hampir 20 tahun yang diwarisi daripada BN.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, projek perumahan terbengkalai bagi penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya, Subang adalah satu daripada 140 projek yang ditinggalkan Umno-BN ketika menerajui Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

Menurutnya, sejak mengambilalih Kerajaan Negeri, PR berusaha mengatasi masalah dihadapi rakyat termasuk projek rumah terbengkalai kerana Umno-BN lebih mengutamakan pemilikan kediaman kepada pemimpin dan ahli parti itu.

Masalah seperti itu, jelasnya dihadapi penduduk rumah panjang tersebut apabila Syarikat Sinar Fadzilat Sdn Bhd telah menukar status kediaman apabila dijadikan kawasan perumahan banglo mewah untuk pemimpin Umno-BN tempatan.

“Ini bermula pada 1994 mereka dipindahkan ke sini ke rumah panjang kerana tempat mereka akan didirikan oleh Sinar Fadzilat Sdn Bhd dan mereka dijanjikan dibina rumah kos rendah di satu tapak bersebelahan dengan rumah panjang sekarang.

“Sepatutnya dalam dua tahun pada masa itu sudah siap dan mereka dapat rumah tetapi tak jadi dan kita kena faham kenapa tak jadi. Sebabnya tanah yang diperuntukkan untuk rumah kos rendah itu diambil oleh pemimpin Umno-BN tempatan sendiri ditukar kepada lot besar untuk banglo,” katanya kepada media di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.

Projek perumahan itu diambilalih ECL Management Sdn Bhd yang akan menyiapkan pangsapuri kos rendah itu dengan jumlah 480 unit dalam tempoh setahun. Penduduk Kampung Bunga Raya diberi hak pemilikan dengan harga jualan RM42,000 manakala pemilik lain dengan harga RM68,000.

Sivarasa berkata, hak penduduk kampung itu dinafikan selama ini serta keadaan itu amat mendukacitakan.

Pihaknya turut mempersoalkan kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shafie Abdullah dalam lawatan ke kawasan itu pada 28 Januari lalu yang berjanji akan menyelesaikan masalah itu sekiranya Selangor dikembalikan kepada Umno-BN.

Tegasnya, sewajarnya Shafie meminta maaf kepada penduduk Kampung Bunga Raya atas kegagalan itu dan penindasan yang dilakukan Umno-BN selama ini.

“Untuk memulihkan projek terbengkalai bukan senang khususnya kos rendah sebab hutangnya besar dan subsidi oleh pemaju yang sudah melarikan diri. Projek ini berhutang berjuta-juta ringgit. Cukai tanah, cukai pintu dan macam-macam,” katanya.

Namun katanya PR komited untuk menyelesaikan masalah itu yang membebani rakyat dalam tempoh lama.

Dr Mohd Nasir pula berkata, PR dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memastikan usaha pemulihan itu berjalan lancar.

Katanya, pastinya apa dilakukan itu adalah demi kebaikan penduduk yang selama hampir 18 tahun mendiami rumah panjang yang dikatakan kediaman sementara.

“Saya percaya dan saya telah berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan MBSA mahu bekerjasama dan membantu mengatasi masalah ini. Menang dalam perjuangan kita dan duduk rumah panjang lebih 18 tahun itu sudah lebih.

Kita anggap dalam dua tahun dah pindah tapi oleh kerana berlaku perkara seperti ini kita kena tanggung beban kita akan berusaha untuk mengatasi masalahnya,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah menyumbang pelbagai bantuan kepada penduduk seperti bayaran bil air, membaikpulih paip air dan yang lain di kawasan rumah panjang tersebut.

Seorang pembeli, M Selvam, 50, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana hasratnya memiliki rumah sendiri terlaksana juga selepas Kerajaan Negeri mengatasi segala masalah dan projek perumahan itu dapat diteruskan hingga disiapkan.

Katanya, kawasan tersebut adalah berpotensi pada masa depan dan menjadi kawasan tumpuan ramai dengan pelbagai pembangunan di sekitarnya.

“Cantiklah. Ini bandar Subang akan mengalami banyak pembangunan dan dikatakan satu stesen LRT akan dibina di sini,” katanya.