Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet setuju beri subsidi ayam, telur semua kategori sehingga Jun

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Kabinet semalam, bersetuju memberikan subsidi 60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 per kg.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataannya berkata Jemaah Menteri turut bersetuju memberikan subsidi sebanyak 5 sen bagi setiap biji telur semua jenis kategori.

“Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Feb hingga 4 Jun depan iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM),” katanya.

Menurut Ronald, tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

Beliau turut berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga berpatutan.

Katanya, anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta.

Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri.

Ini bagi memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan, katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Subsidi belian daging, santan di pasar terpilih sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 9 MEI: Selangor menyediakan subsidi RM50,000 bagi pembelian daging lembu, ayam dan santan di 20 pasar terpilih seluruh negeri sempena sambutan Aidilfitri .

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata tawaran mulai hari ini hingga Rabu meliputi 5,000kg daging lembu, 5,000 ekor ayam dan 5,000kg santan.

“Kita peruntuk RM50,000 bagi subsidi iaitu potongan RM5 bagi sekilogram daging lembu, ayam seekor subisidi RM3 dan santan potongan RM2 untuk sekilogram.

“Kita harap dengan potongan harga ini dapat meringankan beban orang ramai khususnya umat Islam yang bakal meraikan Aidilfitri nanti,” katanya selepas melawat dan memberi kupon potongan harga kepada pengunjung Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini.

Ir Izham berkata setiap lokasi pemberian subsidi mempunyai kuota tertentu berdasarkan jumlah pengunjung di pasar berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata maklumat lanjut program boleh diikuti menerusi Facebook Agro Selangor.

Berikut adalah lokasi terpilih:

9 Mei
1. Pasar Tani Kota Damansara, Petaling
2. Pasar Tani Putra Height, Subang Jaya
3. Pasar Tani Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang
4. Pasar Tani Dataran Puchong Permai
5. Pasar Tani Taman Kosas dan Pasar Tani Stadium (1) Shah Alam

11 Mei
1. Pasar Tani Taman Melawati
2. Pasar Tani Saujana Utama Sungai Buloh
3. Pasar Tani Bandar Kinrara 5, Puchong
4. Pasar Tani Rawang Batu 17
5. Bazar Ramadan Tanah Lesen, Parit Baru
6. Taman Chempaka, Pandan
7. Pusat Operasi Fama Dengkil

12 Mei
1. Pusat Operasi Fama Dengkil
2. Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam
3. Pasar Tani Andalas
4. Pasar Tani Seksyen 6 Kelana Jaya (1)
5. Pasar Tani Taman Seraya, Ampang
6. Pasar Tani Dataran Puchong Permai

Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi minyak masak hanya bungkusan 1 kilogram – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 17 JAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini menjelaskan bermula November 2016, subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan polibeg satu kilogram (kg).

Katanya pelaksanaan itu dibuat menerusi Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

“Tujuan kerajaan mengekalkan pemberian subsidi bagi minyak masak dalam polibeg satu kg adalah untuk memastikan rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak masak bagi kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM2.50 satu kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, pengguna media sosial membanjiri platform itu dengan rungutan harga minyak masak dalam bungkusan lima kilogram dijual pada harga jauh lebih tinggi daripada kebiasaan.

Mengulas lanjut, Nanta berkata pada masa ini sebanyak 60,000 tan minyak masak bersubsidi disediakan setiap sebulan untuk diedarkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan jumlah itu mencukupi bagi kegunaan rakyat Malaysia.

Kementerian komited memastikan keberadaan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran menerusi pemantauan ke atas pengilang dan syarikat pembungkus minyak masak, mengaudit di setiap rantai bekalan minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peringkat peruncit, pemborong dan pasar raya, katanya.

Sementara itu, Nanta berkata sebanyak 477 premis perniagaan diberi amaran agar melakukan penambahbaikan segera terhadap tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka.

Premis terbabit merupakan antara 321,850 premis perniagaan yang diperiksa oleh penguat kuasa kementerian dalam tempoh pelaksanaan PKP pada 13 Jan lalu hingga semalam, katanya, menambah sebanyak 7,355 premis diberi nasihat menambah baik dan mengekalkan pematuhan secara konsisten semasa beroperasi.

Nanta berkata mereka yang gagal mematuhi SOP PKP akan dikompaun RM1,000 menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemutihan subsidi pesawah dilaksana pastikan bantuan telus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 25 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan proses pemutihan subsidi pesawah bagi membolehkan bantuan tersebut sampai kepada penerimanya dengan lebih telus.

Menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, ketirisan dalam pemberian subsidi tersebut menyebabkan ada petani yang tidak menerima bantuan sewajarnya.

Katanya, ia sekaligus menggagalkan usaha kerajaan untuk memantapkan sektor padi negara.

“Proses pemutihan subsidi ini perlu dibuat memandangkan kita lihat ada penerima bantuan yang mana umurnya semakin meningkat dan sebagainya.

“Saya berharap supaya masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, hari ini.

Salahudin bagaimanapun memberitahu, insentif buat pesawah masih lagi kekal dan tiada rancangan bagi meningkatkan jumlah bantuan terbabit.

“Kerajaan hanya akan meningkatkan hasil pesawah ini melalui pemberian baja yang lebih bermutu, itulah tindakan yang akan dilakukan kementerian bagi membolehkan peningkatan hasil padi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tanpa subsidi, petani umpama kerja enam bulan tanpa gaji

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEKINCHAN, 10 DIS: Petani mengalami kerugian kesan penangguhan pemberian subsidi ekoran terpaksa menanggung pelbagai masalah dalam usaha penanaman padi.

Abd Halim Awi, petani dari Sungai Burung, berkata kadar sewa tanah tinggi dikenakan tuan tanah antara masalah yang dihadapi mereka.

Abd Halim“Dalam satu hektar anggaran bayaran subsidi ialah kira-kira RM2,000 tetapi bila bayaran tertangguh maka banyak kos terpaksa ditanggung.

“Kadar sewa sawah kira-kira RM4,000 ke RM4,500 semusim untuk dua tahun dan kita memang mengharapkan bayaran subsidi untuk menampung segala kos pembayaran. Bila tidak diperoleh maka banyak masalah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini selepas menghadiri himpunan di hadapan kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sini, hari ini.

Katanya, keuntungan diraih petani amat sedikit dan pemberian subsidi itu memang banyak membantu serta memberi untung kepada mereka.

“Isu dihadapi kini boleh diandaikan seperti petani bekerja enam bulan tanpa gaji,” katanya.

SamudinSidang Kampung Parit Lapan, Sungai Lima, Samudin Abdullah, berkata keadaan kini amat mendesak bagi petani yang tidak menerima sebarang bantuan dan insentif daripada kerajaan.

“Saya sangat kecewa kerana isu ini memberi masalah kepada golongan petani. Ini kerana kita terpaksa menanggung banyak kos yang perlu dilunaskan,” katanya.

Kira-kira 100 petani di sini mengadakan himpunan bantahan di hadapan kilang Padiberas Nasional Berhas (Bernas) di sini bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap perkara berkenaan.

-nR-