Categories
GLOBAL

TMC Sudan sedia adakan pilihan raya lebih awal

KHARTOUM, 28 MEI: Majlis Peralihan Tentera Sudan (TMC) pada Isnin berkata, pihaknya bersedia andai pilihan raya diadakan lebih awal dalam tempoh tiga bulan, kata Timbalan Pengerusinya, Mohamed Hamdan Daqlu.

Menurut agensi berita Xinhua, Daqlu membuat kenyataan itu ketika berucap di hadapan anggota polis dalam satu majlis di Khartoum pada Isnin.

“Pilihan raya untuk memilih kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat dan bukan pihak lain,” katanya merujuk kepada pakatan pembangkang iaitu Perikatan Kebebasan dan Pembaharuan.

Daqlu menuduh pakatan itu cuba untuk mengecualikan tentera dan pasukan yang lain dari mencampuri urusan politik.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Majlis tentera Sudan pecat enam duta

KHARTOUM, 23 APR: Majlis Peralihan Ketenteraan Sudan (TMC) pada Isnin memutuskan untuk mengkaji semula wakil diplomatik negara itu di luar negara dan memecat enam duta, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan majlis itu.

“TMC telah mengeluarkan beberapa keputusan penting dan dekri perlembagaan berkaitan penstruktruran semula badan-badan kerajaan termasuk melepaskan sejumlah duta,” menurut kenyataan itu.

Majlis itu turut memutuskan untuk mengkaji semula urus niaga dalam matawang asing dan hasil eksport di Bank Pusat Sudan.

TMC, yang dipengerusikan Abdel-Fattah Al-Burhan, memikul tanggungjawab untuk mentadbir hal ehwal negara itu susulan penyingkiran rejim Presiden Omar al-Bashir.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Liga Arab sokong majlis peralihan tentera Sudan

KAHERAH, 15 APRIL: Liga Arab pada Ahad menyuarakan sokongannya terhadap langkah-langkah yang diambil oleh majlis peralihan tentera Sudan susulan penyingkiran Presiden Omar al-Bashir, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan liga itu.

Kenyataan itu menyebut Liga Arab menyambut baik usaha yang dilakukan Leftenan Jeneral Abdel Fattah Burhan, ketua majlis peralihan tentera, setakat ini.

Kumpulan itu, yang berpangkalan di Kaherah, menggesa komuniti antarabangsa agar menyokong semua usaha yang akan membawa kestabilan dan konsensus kepada Sudan.

Pada 11 April lalu, tentera Sudan menggulingkan a-Bashir yang memerintah negara itu sejak 1989, susulan tunjuk perasaan popular selama berbulan-bulan terhadap pemerintahan pemimpin tersebut.

Pihak tentera turut mewujudkan sebuah majlis tentera bagi mentadbir negara itu dalam tempoh peralihan, selama dua tahun.

Pada 13 April lalu, Burhan berikrar akan melaksanakan pembaharuan politik dan ekonomi secara besar-besaran.

Dalam satu ucapan yang disiarkan melalui televisyen, Burhan berkata, tempoh peralihan negara itu selama dua tahun akan berakhir dengan pilihan raya yang adil dan bebas serta berjanji akan mengheret pihak yang terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan dan rasuah di bawah rejim lama ke muka pengadilan.

Sementara itu, beribu-ribu penunjuk perasaan Sudan terus berhimpun di depan ibu pejabat tentera pada 14 April lalu di ibu kota Khartoum bagi menuntut agar kuasa dipindahkan kepada sebuah kerajaan awam.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

2 maut tunjuk perasaan di Sudan

KHARTOUM, 18 JAN: Dua penunjuk perasaan terbunuh dalam bantahan di ibu negara itu, semalam lapor agensi berita Anadolu.

Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan dalam kenyataan berkata, dua terbunuh termasuk kanak-kanak, Mohamed Obied dan Dr Babikir Abdul Hamid.

Kerajaan Sudan sebelum ini menyatakan 24 maut dalam bantahan yang sudah berlarutan selama sebulan itu.

Sejak pertengahan Disember, pelbagai bantahan dianjurkan di beberapa bahagian Sudan.

Penunjuk perasaan membantah kerajaan yang didakwa gagal mengekang inflasi serta tidak mampu mengatasi masalah kekurangan komoditi.

Presiden Omar Al-Bashir yang mengetuai Sudan sejak 1989, berikar untuk segera melaksanakan pembaharuan ekonomi ekoran bantahan berterusan pembangkang.

Sudan yang didiami 40 juta penduduk, bergelut untuk pulih selepas kehilangan tiga perempat daripada hasil minyaknya, sumber utama negara itu untuk mendapatkan matawang asing, selepas Sudan Selatan berpisah dengan negara itu pada 2011.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Pesawat TUDM sedia ke Sudan bawa pulang 105 pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menerbangkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sudan bagi membawa pulang 105 penuntut Malaysia yang terkandas ekoran pergolakan, di negara itu.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, ATM sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini sebelum membawa pulang penuntut terbabit.

“Buat masa ini, mereka diarahkan berehat di rumah di sana dan pihak kedutaan sedang memantau status mereka. ATM akan menunggu perkembangan terbaharu serta bersedia,” katanya selepas selesai majlis Amanat Panglima ATM kepada warga ATM di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini lapor BERNAMA.

Gambar: BERNAMA

Semalam, Kedutaan Malaysia di Sudan menasihati semua pelajar Malaysia supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan politik serta menjauhkan diri dari tempat awam yang boleh menjejaskan keselamatan mereka seperti dataran dan kawasan pasar.

Antara lokasi yang mempunyai risiko lebih tinggi dan harus dielak oleh rakyat Malaysia ialah Souq Omdurman, Souq Al-Araby di Khartoum, Atbara dan al-Gadari.

Pegawai Konsular Kedutaan Malaysia di Khartoum dilaporkan berkata, secara relatif situasi di Sudan stabil dan terkawal selepas beberapa demonstrasi di Khartoum serta beberapa perbandaran lain, sejak 19 Disember lalu.

Katanya, beberapa siri demonstrasi berlaku susulan tunjuk perasaan di Atbara iaitu sebuah negeri di Sungai Nil yang terletak kira-kira 348 kilometer dari Khartoum pada 19 Disember lalu dengan orang ramai turun ke jalanan untuk membantah situasi ekonomi teruk yang menyaksikan bekalan roti berkurangan dan harga meningkat daripada satu paun Sudan kepada tiga paun.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh, yang mula beroperasi pada Disember 2017 diteruskan seperti biasa tetapi bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan.

“Setakat ini, hospital itu mendapat pujian dan diiktiraf badan dunia yang memberi bantuan termasuk beberapa negara lain. Operasi hospital berkenaan diteruskan seperti biasa sehingga ATM menerima arahan selanjutnya,” katanya.

Categories
GLOBAL

Erdogan: Tarik balik sekatan ekonomi Sudan

GLOBAL 26 DIS: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa sekatan ekonomi terhadap Sudan ditarik sepenuhnya.

Agensi Berita Turki ANADOLU AGENCY melaporkan Turki komited untuk memberikan sokongan terhadap Kerajaan Sudan dan terus berdiri bersama-sama rakyat negara itu.

Erdogan dalam ucapan pada majlis penganugerahan Doktor Kehormat Undang-Undang kepadanya oleh Universiti Khartoum menyatakan sekatan itu merompak masa depan Sudan.

“Kasih sayang saudara kami di Sudan membuatkan kami berasa seperti berada di Istanbul, negara kami, bukan di Khartoum,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Amerika Syarikat memutuskan menarik balik sekatan ekonomi ke atas Sudan tetapi masih mengekalkan negara itu dalam senarai negara menyokong keganasan.

Erdogan tiba di ibu negara Sudan itu kelmarin sebagai persinggahan pertamanya dalam lawatan ke Afrika yang turut membawa beliau ke Chad dan Tunisia.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua negara dapat diperkukuhkan dalam bidang pelancongan.

=EZY=