Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran air: Suhakam gesa penalti lebih berat

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan dilaksanakan termasuk penalti lebih berat terhadap pelaku pencemaran sumber air.

Suhakam dalam kenyataan hari ini mencadangkan perkara tersebut bagi mengelak kejadian seperti pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang baru-baru ini yang menjejaskan bekalan air di 1,292 kawasan di Lembah Klang daripada berulang.

“Suhakam maklum kerajaan negeri Selangor telah mengambil tindakan terhadap kilang yang didakwa bertanggungjawab ke atas pencemaran tersebut, namun Suhakam bimbang Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tidak dikuatkuasakan dengan baik bagi melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

“Pencemaran air yang berulang menunjukkan jurang besar undang-undang ini masih belum ditangani,” kata Suhakam yang turut meminta undang-undang berkaitan dikaji semula.

Suruhanjaya itu turut menggesa entiti perniagaan untuk bertanggungjawab dalam memastikan hak asasi manusia dalam mendapat bekalan air bersih dipelihara dan dilindungi.

Ekoran pencemaran minyak daripada sebuah kilang pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Susulan itu, empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang direman enam hari bermula semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suhakam gesa kerajaan sokong larangan penyeksaan

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru kerajaan segera melaksanakan beberapa langkah menyokong larangan penyeksaan di bawah undang-undang adat antarabangsa.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan semalam memaklumkan larangan penyeksaan termaktub di bawah Perkara 3 Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 dan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Menurut Suhakam, antara langkah yang perlu dilaksanakan ialah mengurangkan kadar pemenjaraan tahanan untuk mengatasi kesesakan di pusat tahanan.

“Memastikan penyiasatan segera terhadap semua aduan dan laporan kes penyeksaan dan tidak berperikemanusiaan diikuti pelaksanaan proses pendakwaan dan pendengaran selaras piawaian antarabangsa apabila wujud bukti yang boleh dipercayai,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, Suhakam turut meminta kerajaan memansuhkan apa juga undang-undang melibatkan tindakan penyeksaan dan menggantikannya dengan hukuman alternatif yang tidak melibatkan kecederaan fizikal.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena Hari Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Menyokong Mangsa-mangsa Penyeksaan pada setiap 26 Jun.

Ia sebagai tanda memerangi penyeksaan dan menyokong Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) serta Protokol Pilihan, kata Suhakam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suhakam: Kerajaan perlu semak, pinda akta berkaitan buruh kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menggesa kerajaan mengkaji serta meminda Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350) yang didapati mempunyai banyak kelemahan dan kelompongan.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata antaranya, Akta 350 itu membenarkan kanak-kanak bekerja dalam beberapa keadaan berdasarkan Seksyen 2(2).

“Buruh kanak-kanak adalah satu bentuk penderaan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Menentang Buruh Kanak-kanak Sedunia 2020 hari ini.

Menurutnya, kelemahan akta berkenaan memungkinkan golongan tersebut dieksploitasi oleh majikan, khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 sekarang yang menyaksikan ada ibu bapa kehilangan pekerjaan.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan menggubal peruntukan khas mengenai buruh kanak-kanak sekiranya terdapat keperluan untuk golongan itu bekerja, contohnya bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga.

“Jika tidak, kerajaan perlu berterusan memberikan bantuan kewangan kepada keluarga yang kurang bernasib baik bagi menghindari (isu) buruh kanak-kanak ini,” katanya.

Noor Aziah turut menggesa kerajaan dan pihak berkepentingan agar segera melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Kanak-kanak yang dilancarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kementerian Sumber Manusia pada 1 Oktober 2019, demi melindungi golongan itu daripada menjadi mangsa isu buruh kanak-kanak.

“Suhakam ingin menekankan tentang kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak dan isu buruh kanak-kanak menafikan hak mereka terhadap pendidikan dan pembangunan diri. Ini kerana, apabila kanak-kanak perlu bekerja mereka tidak mempunyai masa untuk bersekolah,” katanya.

Sambutan tahun ini bertemakan “Covid-19: Lindungi Kanak-kanak daripada Menjadi Buruh Kanak-kanak, Kini Lebih dari Sebelumnya”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kakitangan dijangkiti virus, Suhakam tutup ibu pejabat

SHAH ALAM, 12 MAC: Ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Menara Tabung Haji Perdana, Kuala Lumpur ditutup tiga hari mulai semalam selepas seorang pekerjanya positif Covid-19.

Susulan itu, pekerja tersebut diberi pelepasan bekerja dari rumah, manakala aktiviti dan program ditangguh sementara waktu.

“Suhakam mengambil langkah mengenal pasti individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit serta diminta mendapatkan ujian sewajarnya.

“Pihak kami juga mengambil langkah mengawal penyebaran virus terutama dalam kalangan pekerja selain bekerjasama dengan pengurusan bangunan dan Kementerian Kesihatan untuk proses nyahkuman,” kata Suhakam dalam kenyataan semalam.

Suruhanjaya tersebut turut meminta orang ramai yang berinteraksi dengan pegawainya sejak 2 Mac lalu untuk menghubungi pejabat kesihatan daerah jika mengalami simptom.

“Segala kesulitan yang berlaku dalam menangani perkara ini amat dikesali dan pihak kami akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa melalui laman sesawang dan media sosial rasmi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

SUHAKAM cadang sekolah tahfiz dikelola kerajaan pusat, negeri

PUTRAJAYA, 9 NOV: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mencadangkan sekolah tahfiz di negara ini dikelolakan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan berlakunya kejadian keganasan di sekolah berkenaan.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata cadangan itu susulan kes kematian seorang kanak-kanak, Mohammad Aimin Nurul Amin, di Pahang yang merupakan satu lagi tragedi melibatkan pelajar sekolah tahfiz.

“Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada keganasan dan penderaan.

“Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa agama juga bertanggungjawab untuk memastikan tiada kanak-kanak didera di sekolah dan di mana-mana institusi pendidikan kerana ia seharusnya menjadi ruang yang selamat di mana hak kanak-kanak dilindungi dan dihormati,” katanya dalam kenyataan.

Noor Aziah berkata jika didaftarkan, sekolah tahfiz atau mana-mana sekolah lain boleh dipantau melalui peraturan bukan sahaja dari segi kualiti pendidikan malah dari segi keselamatan.

Katanya pemantauan sekolah agama bukanlah sesuatu yang baharu kerana Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) telahpun berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

“Pesuruhjaya Kanak-kanak bersetuju dengan seruan Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) pada awal tahun ini supaya kesemua sekolah tahfiz di seluruh negara didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan memandangkan dalam masa sama, 4,000 Sekolah Agama sudah berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan anggaran 200 lagi yang belum berdaftar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa semua sekolah tidak kira sekolah agama atau sebaliknya, perlu berdaftar dengan kerajaan kerana pendidikan merupakan bidang kuasa kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 13 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pasukan petugas khas dibentuk teliti laporan Suhakam mengenai kehilangan aktivis

PUTRAJAYA, 23 Mei:Kabinet bersetuju supaya sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pasukan itu yang bakal dianggotai antara enam ke tujuh individu, juga seterusnya akan mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Muhyiddin berkata kerajaan sedang mengenal pasti individu-individu yang sesuai untuk menganggotai pasukan tersebut dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Ini kerana, laporan itu antara lain mengatakan polis terlibat dan sebagainya dan pihak yang boleh membuat siasatan, yang ada kuasa polis juga.

“Jadi kita ingin memastikan bahawa pihak-pihak yang dirasakan sesuai akan dinamakan dan akan diberi satu tempoh berpatutan mungkin tiga bulan sebagai contoh untuk mengemukakan keputusan hasil daripada siasatan terhadap laporan Suhakam itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Penerapan Nilai Murni di Bulan Ramadan, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pihak polis akan turut terlibat dalam pasukan itu, namun kementerian akan mencari mereka yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut.

“Tuduhan itu ada membabitkan Cawangan Khas dan lain-lain lagi, jadi kita tak boleh meletakkan orang-orang yang ada berkepentingan sebab itu kita mengambil masa menamakan siapa yang agak sesuai.

“Ada nama-nama yang kita telah kenal pasti tetapi kita nak berhubung dengan mereka supaya mereka setuju, selepas itu barulah kita beri terma rujukan dan lain-lain lagi, serta tempoh berapa lama pasukan ini akan menjalankan tugas,” katanya.

Berdasarkan hasil inkuiri awam yang bermula Oktober 2017, Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa Koh dan Amri.

Koh, 64, diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Feb 2017 sementara Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016.

Mengulas mengenai kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin, bahawa menteri, menteri besar dan exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela, Muhyiddin berkata terserah kepada individu yang dimaksudkan untuk berbuat demikian jika merasakan mereka tidak lagi sesuai berada dalam Kabinet.

“Saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan, tetapi kalau saya, saya berhentilah. Kalau orang lain itu terserah kepada mereka,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sambil menambah kenyataan Kadir itu hanyalah pandangan peribadi seorang pengamal media walaupun beliau merupakan anggota Majlis Tertinggi Bersatu.

“Ini adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri jika beliau ingin mengambil sebarang langkah,” kata Muhyiddin.

Semalam, Kadir melalui blognya berkata selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka memandangkan tempoh itu adalah cukup lama untuk mempelajari cara melaksanakan tugas bagi memenuhi aspirasi rakyat. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

SUHAKAM mahu laporan tahunan dibahaskan di Parlimen

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mahu kerajaan membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM 2018 dalam sidang Parlimen, pada Julai sebagai sebahagian daripada pembaharuan suruhanjaya itu.

Pemangku Pengerusinya, Jerald Joseph berkata, menerusi perbahasan itu, masalah hak asasi manusia dapat ditangani secara efektif.

“Laporan kami tidak pernah dibahaskan sebelum ini dan kami berharap ia dapat dibahaskan. Inilah kebertanggungjawapan kami di Parlimen,” katanya selepas pelancaran Laporan Tahunan SUHAKAM 2018, di sini semalam.

Katanya, SUHAKAM mahu Menteri bertanggungjawab berhubung undang-undang, V.K. Liew membangkitkan usul bagi laporan itu dibahaskan selepas ia dibentangkan pada 11 April, hari terakhir sidang Parlimen yang pertama.

Manifesto Pakatan Harapan menyebutkan bahawa laporan tahunan SUHAKAM akan dibahaskan di Parlimen supaya cadangan yang diusulkan mendapat perhatian sesuai.

Joseph berkata, laporan itu harus dibahaskan kerana mengikut Akta SUHAKAM, suruhanjaya itu bertanggungjawab kepada Parlimen.

Katanya, laporan SUHAKAM dibentangkan di Parlimen sejak 2000 tetapi tidak pernah dibincangkan.

“Ini adalah untuk Anggota Parlimen kita mengambil bahagian dalam isu berkaitan hak asasi manusia. Kami bersedia untuk menyediakan apa jua jawapan yang diperlukan Liew bagi perbahasan ini,” katanya.

Sementara itu, Joseph ketika membentangkan laporan tahunan itu mendedahkan SUHAKAM menerima 1, 180 aduan pada 2018, peningkatan hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, 558 aduan itu datang dari Sabah mengenai orang tanpa kerakyatan dan Suhakam telah membawa perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

“Antara aduan yang diterima adalah 381 mengenai hak kewarganegaraan, 35 hak untuk memiliki harta dan 16 hak pekerjaan dan hak pekerja asing,” katanya.

Laporan itu juga menyatakan terdapat kira-kira 2,599 kanak-kanak tanpa warganegara di Malaysia.

Joseph berkata SUHAKAM berminat untuk mencari penyelesaian mengenai perkara ini dengan memanggil mesyuarat peringkat tinggi dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen kerana tanpa dokumen yang betul, mereka akan dinafikan hak untuk mengakses sekolah dan pendidikan, serta memberi kesan yang ketara ke atas kehidupan mereka.

Aduan lain yang diterima di Malaysia barat adalah penangkapan, penahanan dan dalam buangan (109), hak untuk taraf hidup yang mencukupi (54) serta kebebasan dan keselamatan oknum (34). -BERNAMA

Categories
NASIONAL

SUHAKAM hargai jasa Razali

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) merakamkan ucapan penghargaan kepada Tan Sri Razali Ismail, yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi suruhanjaya berkenaan, pada 15 April lalu.

Pemangku Pengerusinya, Jerald Joseph berkata, Razali berjaya memperkukuhkan profil suruhanjaya itu dan berdiri teguh dengan prinsip hak asasi manusia melalui sokongannya terhadap semua usaha serta pendirian suruhanjaya terbabit, sepanjang menerajuinya selama tiga tahun.

“Ini termasuk penyertaan kepada triti antarabangsa yang akan memastikan perlindungan hak asasi dapat diserapkan di dalam undang-undang.

“Ia juga meliputi dedikasi tanpa henti beliau dalam memperjuangkan perubahan sosial dan institusi yang amat diperlukan bagi perlindungan terhadap kesaksamaan serta keadilan seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Joseph berkata, pengalaman Razali pada peringkat antarabangsa dan sebahagian daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), termasuk kerjasama dengan masyarakat adalah sesuatu yang amat diperlukan dalam usaha dilakukan suruhanjaya itu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Razali meletak jawatan berkenaan dua minggu sebelum tempoh tugasnya tamat, iaitu pada 27 April ini.-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak selesai isu kebajikan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kerajaan memutuskan untuk melantik seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah struktur sedia ada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), bagi menyelesaikan isu berkaitan perlindungan golongan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, suruhanjaya itu sudah mengemukakan kertas cadangan pelantikan itu kepada pihaknya, pada November lalu.

“Pesuruhjaya yang akan dilantik ini sekurang-kurangnya boleh meneliti terlebih dahulu gambaran menyeluruh pelaksanaan hak kanak-kanak di Malaysia.

“Pemerhatian lanjut seterusnya boleh dipertimbangkan untuk penubuhan sebuah suruhanjaya yang ideal untuk kanak-kanak pada masa hadapan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Dato’ Seri Azalina Othman (BN-Pengerang), di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pesuruhjaya itu akan bertindak sebagai semak dan imbang berhubung pengendalian isu kanak-kanak oleh kerajaan, badan bukan kerajaan dan organisasi tempatan atau antarabangsa.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri sudah memulakan proses pengiklanan kepada umum berkenaan pengambilan Pesuruhjaya SUHAKAM, akhir tahun lalu.

“Individu yang mengemukakan pencalonan disaring dan kini sedang dimuktamadkan untuk kelulusan perdana menteri.

“Ia juga dijangka akan membuat pengumuman pelantikan pada bila-bila masa pada bulan ini,” katanya.

Pada 5 Julai lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, menyatakan kesediaan kementerian itu untuk meneliti keperluan mewujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak.

“Bagi tujuan mendapatkan pandangan pemegang taruh terhadap kertas cadangan itu, satu sesi libat urus Pelantikan Pesuruhjaya SUHAKAM bagi portfolio kanak-kanak diadakan,” katanya

 

Categories
NASIONAL

Percepat gubal undang-undang kesaksamaan gender & gangguan seksual

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 MAC: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan terhadap undang-undang kesaksamaan gender dan gangguan seksual.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memperjuangkan hak wanita, sekali gus menangani halangan yang mampu mengugat golongan itu.

“Jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) 1995, SUHAKAM dan kumpulan memperjuangkan hak wanita menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang kesaksamaan gender dan hukuman bagi gangguan seksual untuk dibentangkan di Parlimen, tahun ini.

“Oleh itu, kita menggesa dua undang-undang ini diperluaskan perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan golongan rentan seperti komuniti Orang Asli, pelarian, pekerja asing dan mangsa pemerdagangan manusia,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Wanita Sedunia, semalam.

Pada masa sama, beliau memuji inisiatif Malaysia dalam memperjuangkan hak wanita, namun golongan itu masih didiskriminasi di negara ini.

Katanya, kerajaan perlu bertindak segera menggubal undang-undang bagi mengiktiraf hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita.

“Malah, kita masih belum dapat melihat perwakilan wanita yang setara dalam jawatan kepimpinan dalam setiap peringkat masyarakat.

“Hanya 13.9 peratus wanita menduduki kerusi Parlimen, jadi saya rasa perlu ada usaha tinggi bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik,” katanya.

Terdahulu, Razali merujuk kepada statistik Jabatan Perangkaan, yang separuh daripada kesemua profesional dan pekerja teknikal terdiri daripada wanita.

Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan hanya 54.7 peratus berbanding 80.7 peratus lelaki.

Manakala, hanya 22.2 peratus wanita menyandang jawatan tertinggi peringkat pengurusan dengan purata pendapatan kurang RM9.38 berbanding pekerja lelaki.

Ia termasuk hanya 23.3 peratus Ahli Lembaga Pengarah wanita dilantik dalam 100 syarikat terbesar tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Categories
NASIONAL

Kerap diintip polis, Pengerusi MyWatch minta bantuan SUHAKAM

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Dato’ Sri Sanjeevan bertemu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) setelah mendakwa dirinya diintip secara rahsia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, terbaru beliau diintip dua lelaki tidak dikenali ketika berada di rumahnya, pada 9 Julai lalu.

“Saya mendekati lelaki berkenaan dan pada awalnya kedua mereka tidak mahu memberikan kerjasama memperkenalkan diri, namun setelah disoal siasat pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan perumahan, barulah mereka mengaku sebagai anggota polis dari Bahagian Narkotik.

“Sebelum ini saya pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), namun penahanan itu ditolak oleh majistret kerana tidak mematuhi syarat.

“Disebabkan itu, saya menggesa PDRM henti membuat intipan terhadap saya supaya keluarga saya bebas dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum berkenaan kes terbabit daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kepada SUHAKAM di pejabatnya, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit dan menganggap hak kebebasan individu tidak boleh dicabuli, terutama pihak keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.

Katanya, Sanjeevan adalah pejuang hak asasi manusia yang sepatutnya dilindungi di bawah peruntukan undang-undang.

“Kami menganggap intimidasi dan gangguan itu mengancam keselamatan diri dan keluarganya, dengan ini kami meminta SUHAKAM untuk segera campur tangan dan menghentikan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku terhadap Sanjeevan,” katanya.

Categories
NASIONAL

SUHAKAM siasat dakwaan murid dicabul guru

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan menyiasat segera dakwaan murid darjah empat dicabul guru di sebuah sekolah, di Ampang.

Pesuruhjayanya, Datuk Lok Yim Pheng berkata, hal itu kerana pihaknya memandang serius isu pencabulan kanak-kanak, terutama di sekolah.

Katanya, pihak sekolah juga sepatutnya menyelesaikan masalah berkenaan dengan profesional.

“SUHAKAM akan buat siasatan segera memandangkan kanak-kanak ini perlu ke sekolah untuk belajar.

“Ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya ketika pertemuan bersama ibu dan bapa mangsa, di Pejabat SUHAKAM, di Menara TH Perdana, pagi tadi.

Pada pertemuan sama, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) turut menyerahkan memorandum kes berkenaan kepada Yim Pheng mewakili SUHAKAM.

Projek Koordinator SUARAM, Mohamad Alshatri Abdullah berkata, isu terbabit dibawa kepada pihak mereka setelah ibu bapa mangsa gagal mendapat kerjasama sekolah.

Katanya, pelajar berusia 10 tahun itu mengalami ketakutan sehingga tidak dapat meneruskan persekolahannya dan sedang dalam urusan pertukaran ke sekolah lain.

“Kami mengharapkan kes ini dipandang serius dan diambil tindakan serta-merta bagi membolehkan pelajar terbabit menyambung pelajaran tanpa gangguan serta kerisauan.

“SUARAM juga mahu tindakan lebih pantas diambil pihak sekolah dan sepatutnya memberikan cuti serta-merta kepada guru yang dilaporkan melakukan gangguan seksual terhadap murid,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga memaklumkan akan memberi kerjasama penuh dengan polis berhubung siasatan kes pencabulan guru terhadap murid sekolah yang didedahkan aktivis sosial.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, KPM komited memastikan hak kanak-kanak sentiasa dipatuhi dan keselamatan mereka, terutama semasa berada di sekolah diutamakan semua pihak.