Categories
AGENDA NASIONAL

MB yakin pengalaman luas Haris bantu lancar pentadbiran negeri

PUTRAJAYA,1 NOV: Dato’ Menteri Besar yakin pelantikan Dato’ Haris Kasim sebagai setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa hari ini membantu melancarkan pentadbiran.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam pelbagai agensi, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Haris memberi khidmat terbaik sehingga jawatan terakhirnya sebagai pegawai kewangan negeri.

“Saya berharap beliau mampu meneruskan kerjasama erat dan agenda memajukan Selangor,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri, Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor dan Siemens Malaysia di sini hari ini.

Haris menggantikan Dato’ Nor Azmie Diron.

Sementara itu, Haris berkata fokusnya adalah memulihkan Selangor daripada pandemik Covid-19 yang dibuat menerusi beberapa strategi termasuk dalam Belanjawan Negeri 2022.

Jelasnya, pembentangan belanjawan oleh Dato’ Menteri Besar memerlukan komitmen pelbagai pihak bagi memastikan keberkesanannya untuk membantu segenap lapisan masyarakat.

“Saya menganggap pelantikan ini amanah dan banyak perlu dilakukan kerana Selangor bukan negeri kecil. Saya akan bekerjasama dengan semua pegawai supaya hasrat dan wawasan digariskan dapat diteruskan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

SUK sedia platform media sosial bantu orang ramai dapat maklumat

SHAH ALAM, 15 JAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor menyediakan platform media sosial untuk membantu orang ramai mendapat maklumat terkini berkaitan dasar dan isu semasa.

Perkara yang dikongsi menerusi Facebook, Instagram, Twitter dan laman web antaranya berkaitan borang pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketetapan pelaksanaan solat di masjid serta surau.

Platform tersebut juga memaparkan inisiatif ditawarkan Selangor antaranya permohonan bantuan khas penjaja, bantuan khas pesakit Covid, Skim Air Darul Ehsan dan semakan cukai tanah.

Turut disediakan pautan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor serta agensi peringkat persekutuan.

Maklumat lanjut boleh layari:

https://www.facebook.com/selangorstategovernment
https://www.instagram.com/pejabatsukselangor/
https://twitter.com/SelangorGov
https://www.selangor.gov.my/

Categories
AGENSI SELANGOR

SUK Selangor buka Bilik Gerakan Covid-19

SHAH ALAM, 24 MAC: Kerajaan Selangor membuka bilik gerakan Covid-19 bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) melalui hantaran di Facebook memaklumkan kemudahan itu beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam.

“Orang ramai boleh menghubungi talian hotline 03-55212345 / 03-55212346 / 03-55212347 atau melalui faks di talian 03-55212351 untuk mendapatkan info terkini atau membuat sebarang aduan berkenaan penularan Pandamik Covid-19 di Selangor,” kata kenyataan itu.

Categories
SELANGOR

Urusan Kerajaan Selangor, orang awam secara dalam talian

SHAH ALAM 17 MAC: Urusan membabitkan Kerajaan Selangor dengan orang awam dilaksanakan menerusi kaedah dalam talian, kata Dato’ Seri Amirudin Shari

Dato’ Menteri Besar berkata beberapa urus tadbir kritikal seperti unit penguatkuasaan, unit pengurusan bencana, kewangan dan hasil, operator pusat panggilan dan pengutipan sisa pepejal berjalan seperti biasa,

Katanya bagi memudahkan urusan berkenaan, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan mengeluarkan nombor telefon dan email yang boleh digunakan orang awam termasuk urusan membabitkan Dato’ Menteri Besar, EXCO, SUK dan pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan Selangor akan meneruskan operasi dalam talian yang tidak mempunyai kontak secara terus dengan orang awam

“Semoga usaha ini akan dapat mengurangkan hubungan kontak seperti yang terhasrat dalam Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya pada perutusan khas menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Amirudin mengadakan mesyuarat bersama EXCO Kerajaan Negeri susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini ekoran penularan Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Penjawat awam perlu pantas beri maklum balas rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JAN: Penjawat awam perlu lebih peka memberikan reaksi terhadap sesuatu kes seiring perkembangan teknologi kerana rakyat kini mahu penyelesaian lebih pantas.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama antara jabatan pada peringkat negeri atau persekutuan perlu dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan penyampaian kepada masyarakat.

“Saya percaya semua orang sekurang-kurangnya memiliki satu akaun (laman sosial) tidak kira Facebook, Twitter atau Instagram. Dengan kewujudan akaun seperti ini sebenarnya ia menuntut kita lebih prihatin dengan persekitaran.

“Kita tidak boleh harap berita akan tersebar sama ada satu atau dua jam selepas berlaku tetapi ia akan tersebar dalam satu saat atau kurang kerana semua orang kini mampu melaporkannya,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Beliau berkata penjawat awam perlu memahami langkah ditetapkan Kerajaan Negeri bagi merealisasikan perancangan yang digariskan ke arah Negeri Pintar 2025 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Katanya dasar digariskan Kerajaan Negeri dan perubahan pengurusan pentadbiran yang dilaksanakan perlu diikuti dan dihayati.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah terbuka Aidilfitri SUK amal pendekatan jimat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JULAI: Amalan berjimat cermat diterapkan dalam penganjuran rumah terbuka Aidilfitri jabatan di bawah Kerajaan Negeri tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, walaupun diadakan secara sederhana tetapi majlis yang diadakan tetap berlangsung meriah.

“Jika kita lihat majlis rumah terbuka pada tahun ini diadakan secara bersama membabitkan beberapa jabatan seperti yang kita lihat pada majlis rumah terbuka hari ini.

“Hari ini membabitkan jabatan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri seperti Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Korporat dan Jabatan Perhutanan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dato’ Menteri Besar bersama Warga kerja SUK di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Majlis itu berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 500 warga kerja SUK, pelbagai agensi lain di bawah Kerajaan Negeri dan tetamu undangan.

Selain menikmati pelbagai juadah, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan murid-murid Taska SUK Selangor sebelum menerima duit raya daripada Amirudin.

Tetamu turut disajikan dengan aneka buah-buahan tempatan seperti durian, nangka, manggis, pisang, buah naga, cempedak dan jambu.

Categories
SELANGOR

Lebih 700 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Dato’ SUK

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lebih 700 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, di Kediaman Rasmi Seri Indera, di sini, hari ini.

Majlis yang bermula seawal jam 2.30 hingga 6 petang itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat antaranya Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Amirudin sempat meluangkan masa lebih setengah jam bagi memeriahkan majlis dengan ketibaannya disambut Mohd Amin.

Selain itu, majlis turut dihadiri Exco dan kepimpinan dari seluruh agensi serta rakan korporat anak syarikat Kerajaan Negeri.

Antara tarikan utama majlis itu adalah hidangan durian selain pelbagai menu unik antaranya makanan Korea seperti topokki; makanan Vietnam, miengkam dan goicuon.

Makanan tradisi Aidilfitri turut dihidangkan antaranya lemang, ketupat, kuah kacang dan mi sup.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SUK sedia pelbagai inisiatif hadapi Revolusi Perindustrian 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 APR: Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melaksanakan program bagi menyediakan tenaga sumber manusia kreatif dalam usaha menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 menerusi elemen 4C.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, elemen 4C itu membabitkan communication, critical thinking dan problem solving, collaboration juga creativity.

Katanya, antara program 4.0 yang dilaksanakan adalah kolaborasi bersama Universiti Selangor (UNISEL)-Dharma Andalas, Majlis Agama Islam Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) dalam bidang Big Data Analytics, cloud computing dan sistem automasi industri.

“Penjawat awam di negeri ini perlu menjadi peneraju dan perintis dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa selangkah, di hadapan.

“Hal itu kerana perkhidmatan awam ketika ini berbeza berbanding 20 tahun lalu, sekali gus menyaksikan cabaran yang dihadapi semakin tinggi. Oleh itu, seharusnya kita juga perlu menjadi semakin dinamik, berdaya tahan dan pragmatik mendepani cabaran,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang, di sini, semalam.

Selain itu, antara inisiatif lain adalah kolaborasi bersama Rejimen 502 askar wataniah dengan menggabungkan kursus asas penguatkuasa dan wataniah yang dilaksanakan Pusat Latihan Awam Selangor.

Mohd Amin berkata, ia bagi memberi pendedahan pengetahuan berkenaan tugas penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Inikelebihan yang akan diperolehi oleh anggota penguatkuasa kerana ditauliahkan sebagai askar wataniah. Kumpulan pertama akan menamatkan kursus, pada Mei ini.

“Selain itu, saya juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk bersama PBT, pejabat daerah serta Jabatan Kerja Raya bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri dalam isu pengurusan air,” katanya.

Categories
SELANGOR

Buat kecoh depan SUK, Jamal ditahan polis

SHAH ALAM, 6 OKT: Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunus ditahan polis, di Sekinchan awal pagi tadi atas tindakan memecahkan botol minuman keras di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, pihaknya turut menahan tujuh individu lain selepas menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Kesiksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku dilakukan peserta perhimpunan.

“Tangkapan dibuat kira-kira jam 1.45 pagi dengan lapan individu ditahan di Sekinchan, Sabak Bernam.

“Perintah reman akan dikemukakan di Mahkamah Shah Alam, pagi ini,” katanya dalam kenyataan,

Semalam, Jamal dilaporkan membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke bangunan SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran pesta arak di negeri itu.

Jamal yang tiba bersama kira-kira 10 anggotanya, bagaimanapun dihalang memasuki bangunan berkenaan oleh pengawal keselamatan.

Beliau kemudian bertindak memecahkan kesemua botol minuman keras itu di depan pintu masuk utama bangunan terbabit.

Categories
SELANGOR

Program galak guna pengangkutan awam SUK masuki fasa kedua

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 6 OGOS: Program galakan penggunaan pengangkutan awam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bakal memasuki fasa kedua.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim berkata seramai 50 penjawat awam terbabit dalam program itu yang menggunakan basikal dan pengangkutan awam sekali dalam seminggu.

“Tahniah kepada penjawan awam di SUK di mana kita namakan ia program menggunakan kenderaan awam seminggu sekali.

“Kita akan lancarkan fasa kedua nanti menambah 50 orang lagi menjadi 100 penjawat awam menggunakan kenderaan awam paada setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Bas Smart Selangor MPAJ dan Dataran Transit MPAJ, di sini, semalam.

Katanya, ia adalah antara usaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Prestasi pengurusan kewangan Selangor kekal cemerlang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 OGOS: Tahap Prestasi Pengurusan Kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti Jabatan dan Agensi Negeri terus mencatatkan perolehan cemerlang bagi tahun berakhir 2016.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 (LKAN) yang dikeluarkan pada 31 Julai menunjukkan tujuh agensi pentadbiran negeri berada pada kedudukan cemerlang dengan perolehan melebihi 90 peratus.

Perbendaharaan Negeri berada di kedudukan pertama dengan perolehan (96.88 peratus) diikuti Pejabat Setiausaha Kerajaan (96.20 peratus), Majlis Perbandaran Sepang (96.12 peratus) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (94.86 peratus).

Selain itu, Jabatan Perhutanan dengan jumlah (94.26 peratus), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (91.25 peratus) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (90.85 peratus).

AUDIT2Tujuh agensi lain berada di kedudukan baik dengan jumlah perolehan melebihi 80 peratus meletakkan Jabatan Kerja Raya di kedudukan terbaik dengan 89.12 peratus.

Seterusnya, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (88.45 peratus), Pejabat Daerah dan Tanah Klang (87.06 peratus), Pejabat Daerah dan Tanah Klang (86.00 peratus).

Manakala, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa mencatatkan (84.35 peratus), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (82.64 peratus) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (81.90 peratus).

Bagaimanapun, dua agensi berada di kedudukan memuaskan iaitu Jabatan Vaterinar dengan (75.47 peratus) dan Jabatan Agama Islam Selangor (75.36).

Terdahulu, prestasi cemerlang pengurusan kewangan negeri meningkat kepada tujuh berbanding tahun lalu dengan hanya lima agensi berada di kedudukan cemerlang bagi tempoh 2015.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Penjawat awam diperingat jaga amanah & integriti

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 JAN: Penjawat awam Selangor diingatkan untuk melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti, tegas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak sesekali bertolak ansur dengan sebarang amalan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Katanya, impak perbuatan salah itu bukan sahaja terpalit kepada individu dan keluarga tetapi turut meranapkan imej baik Kerajaan Negeri.

“Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat pembongkaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap gaya hidup melampaui kemampuan dan pendapatan sebagai penjawat awam.

“Pembongkaran ini memberi tanggapan negatif masyarakat terhadap penjawat awam secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Bulanan di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) di sini, pada 16 Januari lalu.

Mohd Amin mengingatkan bahawa bidang perkhidmatan awam bukan bidang yang mampu menjanjikan kemewahan.

“Nasihat saya ukurlah baju di badan sendiri atau ‘live within your means’.

“Sekiranya ada yang berangan ingin hidup mewah, bekerja dengan kerajaan bukanlah caranya,” katanya.

=EZY=