Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor perkenal program CanSEL bantu rawat, pulih pesakit barah

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Negeri memperkenal program Kanser Selangor (CanSEL) bagi membantu proses rawatan dan pemulihan pesakit barah.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif yang menyasarkan rakyat di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksana serentak dengan program Saring Selangor membabitkan kerjasama pelbagai pemegang taruh.

“Program ini menyediakan kemudahan ujian pengesanan awal meliputi ujian mamogram, kolorektal, dan prostat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata sejak tahun lepas, Selangor memberi komitmen terhadap pembangunan solusi penjagaan barah yang mampan melalui inisiatif City Cancer Challenge (CCAN).

Menurutnya, perancangan usaha berkenaan membabitkan Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

“Komitmen terhadap CCAN juga diberikan oleh pelbagai badan termasuk Universiti Malaya (UM), National Cancer Society of Malaysia (NCSM), hospital serta pusat penjagaan swasta dan sebagainya.

“Hal ini termasuklah penglibatan dalam program jaringan CCAN yang diadakan pada 29 Januari 2022 sebagai medan bertukar-tukar pandangan mengenai solusi penjagaan kanser,” katanya.

Sementara itu, Siti Mariah berkata sambutan Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari merupakan peringatan bagi masyarakat untuk menilai kewujudan jurang barah atau gender di negara ini.

Katanya jurang barah harus dinilai dalam beberapa aspek meliputi fasiliti saringan awal, rawatan, ubat-ubatan dan penjagaan kanser mampu milik dan diakses pesakit serta ahli keluarga.

“Semoga usaha-usaha ke arah ‘Mendekatkan Jurang Kanser’ dapat dilakukan secara kolektif dan efisien demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Lebih 1,000 daftar sukarelawan kesihatan, pupuk gaya hidup sihat

SELAYANG, 14 OKT: Lebih 1,000 individu menyertai Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (Suka) anjuran Kerajaan Negeri yang menjalankan aktiviti kesihatan awam terutama berkaitan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah merangkumi keseluruhan ahli di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berusia 18 tahun ke atas serta sihat tubuh badan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari kumpulan itu diberi latihan dan kursus berkaitan modul bersesuaian secara dalam talian memandangkan ahli tidak memiliki latar belakang perubatan.

“Kita juga akan ajar mereka secara bersemuka untuk tambahkan lagi pengetahuan. Ini dapat memudahkan urusan mereka membantu masyarakat.

“Program ini memperuntukkan belanja sebanyak RM1.2 juta dan setiap DUN menerima RM18,000 bagi membolehkan aktiviti bermanfaat berjalan. Kita mahu menjadi negeri maju dan sihat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program.

Amirudin berkata sejak diperkenalkan pada Ogos, Suka terlibat beberapa aktiviti seperti menyediakan kenderaan membawa pesakit Covid-19, melakukan proses nyahkuman, memeriksa individu kuarantin serta bertugas di pusat pemberian vaksin.

“Suka juga bakal menganjur program setempat yang dapat membentuk komuniti sihat dari segi fizikal dan mental.

“Sebagai entiti yang dekat dengan masyarakat, Suka juga bertanggungjawab sebagai duta khas mempromosikan program dan inisiatif Kerajaan Selangor,” katanya.

Selangor melancarkan beberapa program bagi menjamin kesihatan penduduk terutama ketika penularan Covid-19.

Antaranya penubuhan Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor, program Saringan Komuniti dan Vaksin Selangor serta penyediaan kit ujian kendiri percuma.

 

 

Categories
ADN SELANGOR

Sukarelawan Sungai Kandis edar 1,000 pek sarapan buat remaja divaksin

KLANG, 30 SEPT: Sebanyak 1,000 pek sarapan diedar Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) kepada remaja yang menerima vaksin di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin di sini, pagi tadi.

Inisiatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bagi memastikan golongan itu termasuk ibu bapa mengalas perut sementara menunggu giliran suntikan, kata wakil rakyatnya.

“Hari ini seramai 10 sukarelawan terlibat mengedar 1,000 sarapan pagi yang mengandungi air serta roti kepada pelajar dan ibu bapa,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika ditemui.

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan talian khas bagi memudahkan penduduk berhubung dengan Suka untuk mendapatkan bantuan kesihatan khususnya berkaitan Covid-19.

“Khas bagi penduduk Sungai Kandis boleh hubungi 013-2349349 untuk mendapatkan bantuan sama ada memperoleh kit ujian kendiri dan penghantaran ke pusat kuarantin,” katanya.

Pada 5 Ogos, Kerajaan Negeri menubuhkan Suka untuk menjalankan aktiviti kesihatan awam di peringkat komuniti terutama berkaitan pandemik Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata penyertaan terbuka kepada warganegara yang menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

Sukarelawan terpilih akan dilatih modul bertemakan Covid-19 sebelum digerakkan ke seluruh 56 DUN.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sibuk urus enam restoran tidak halang wanita sertai sukarelawan

AMPANG, 17 SEPT: Kesibukan menguruskan enam cawangan restoran makanan Korea di Lembah Klang tidak menghalang seorang wanita melakukan aktiviti sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak.

Puteri Siti Hajar Takrim berkata minat mendalam terhadap kerja murni itu mendorongnya mendaftar dengan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bagi membantu program suntikan pelalian.


Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) Puteri Siti Hajar Takrim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Dari dulu lagi saya memang gemar melaksanakan aktiviti kemasyarakatan walaupun sibuk dengan perniagaan. Saya rasa puas apabila dapat bantu orang, malah sering menyertai misi bantuan banjir di beberapa negeri.

“Hari ini (semalam) merupakan percubaan pertama saya dan dianggap sebagai latihan kerana Suka perlu jalani sesi itu selama tiga bulan,” katanya ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point semalam.

Suka yang ditubuhkan di semua 56 DUN di Selangor akan digerakkan untuk membantu Kerajaan Negeri menjalankan aktiviti berkaitan kesihatan awam dengan tumpuan terhadap pandemik Covid-19.

Sementara itu, wanita berusia 33 tahun itu mengakui teruja diberi peluang bertugas sebagai sukarelawan pengiring di PPV bergerak selain menyifatkan tugas tersebut lebih mudah berbanding kebiasaan.

“Aktiviti sukarelawan sebelum ini lebih mencabar kerana perlu ke kawasan pedalaman, kena bermalam dalam khemah atau kenderaan selain bangun seawal jam 3 pagi untuk meneruskan misi sukarelawan.

“Namun, saya tidak menyangka bertugas di PPV sangat senang kerana orang ramai termasuk warga asing beri kerjasama, cuma kena sentiasa bersedia jika ada yang pengsan,” katanya yang dijadual ke dua PPV selepas ini.

Ditanya pembahagian masa antara perniagaan dan aktiviti kesukarelawan, usahawan yang menetap di Bukit Indah berkata perkara itu tidak menjadi masalah sama sekali.

“Soal itu tidak bimbang sangat, lagipun saya memang akan meminta pekerja untuk jaga restoran sementara berada di luar kawasan dan hanya akan ke sana setiap petang,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1,000 peserta awal sukarelawan Selangor terima Skim Insurans Peduli Sihat

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kerajaan Negeri mewujudkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) untuk menjalankan aktiviti kesihatan awam di peringkat komuniti terutamanya berkaitan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sukarelawan terpilih akan dilatih dengan modul-modul bertemakan Covid-19 secara berkala.

“Kemahiran seperti pengurusan pesakit, ujian Covid-19 di rumah, penggunaan kit penilaian rumah menerusi SELangkah serta pelbagai lagi akan diajar secara profesional.

“Menerusi SUKA, sifat kesukarelawanan dapat dibudayakan dalam masyarakat,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata sebarang pertanyaan lanjut boleh e-mel kepada [email protected] atau layari www.sukasociety.org.

Sementara itu menerusi perkongsian infografik, Amirudin memaklumkan sukarelawan akan menerima manfaat Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS), kit sukarelawan dan latihan berkala secara percuma.

Seramai 1,000 individu yang mendaftar awal akan mendapat manfaat tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tubuh sukarelawan kesihatan, ahli dilindungi skim insurans

SHAH ALAM, 5 Ogos: Kerajaan Negeri menubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti (Suka) bagi menjalankan aktiviti kesihatan awam di peringkat komuniti terutama berkaitan pandemik Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata penyertaan terbuka kepada warganegara yang menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

Sukarelawan terpilih akan dilatih modul-modul bertemakan Covid-19 sebelum digerakkan ke seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

“Sukarelawan dilatih secara berkala antaranya pengurusan pesakit, ujian Covid-19 di rumah, tatacara pemeriksaan pesakit di rumah, penggunaan kit penilaian di rumah dalam aplikasi SELangkah dan pelbagai lagi.

“Bagi memberi nilai tambah kepada program ini, sukarelawan akan menerima manfaat Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) dan kit sukarelawan selain menjalani siri latihan percuma dikendalikan agensi atau pertubuhan berdaftar yang berkelayakan,” katanya menerusi kenyataan.

Bagi yang berminat untuk menyertai Suka, pendaftaran kini dibuka melalui pautan https://bit.ly/SUKA2021.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh emel kepada [email protected]