Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA benarkan sewa dewan untuk sukan, rekreasi mulai hari ini

SHAH ALAM, 10 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membenarkan dewan di kawasan pentadbirannya disewa bagi tujuan sukan dan rekreasi mulai hari ini.

Menerusi lampiran poster yang dikongsi MBSA memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada individu yang telah lengkap menerima dos vaksin dan mereka perlu mengemukakan sijil digital kepada pegawai bertugas.

Aktiviti sukan yang dibenarkan pula adalah badminton, bola tampar, sepak takraw, bola jaring, taekwando, silat dan zumba.

Antara syarat perlu dipatuhi adalah menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup muka sebelum dan selepas aktiviti.

Masa penyewaan dewan seperti berikut :
Sesi pagi
8 – 10 pagi
10 – 12 tengah hari

Sesi petang
12 tengah hari – 2 petang
2 – 4 petang
5 – 7 malam

Sesi malam
7 -9 malam

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.

Negeri yang berada dalam fasa dua akan menikmati beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang mendapat suntikan dua dos vaksin.