Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Liga Akar Umbi tahun depan tumpu sukan kurang aktif di kampung, daerah

SHAH ALAM, 28 NOV: Liga Akar Umbi yang bermula tahun depan dijangka memberi tumpuan kepada beberapa jenis sukan yang kurang aktif di peringkat kampung dan daerah.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata sukan diperhalusi termasuk badminton, sepak takraw, bola jaring dan bola tampar yang wajar diangkat semula bagi melahirkan lebih ramai pelapis baharu.

“Sekarang kebanyakan liga yang ada adalah bola sepak, tetapi untuk sukan lain mungkin kita akan cuba usahakan supaya bakat dari kampung boleh dicungkil.

“Kita kena aktifkan semula sukan berkaitan. Misalnya sepak takraw, kalau kita lihat dulu sukan ini sangat aktif di kampung namun sebaliknya yang berlaku sekarang,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Melalui Belanjawan Selangor 2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan dana sejumlah RM1 juta bagi Liga Akar Umbi yang bakal merancakkan pembangunan sukan dalam kalangan belia Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri cakna dengan perkembangan liga amatur di semua daerah seluruh Selangor.