Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Pegawai kesihatan Jepun cadang Olimpik tanpa penonton

ANKARA, 19 JUN: Lembaga Penasihat Covid-19 Jepun pada Jumaat menyatakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 perlu diadakan tanpa kehadiran penonton, menurut Anadolu Agensi Kyodo.

Ketua Pertubuhan Penjagaan Kesihatan Komuniti Jepun Shigeru Omi berkata demikian pada sidang media di Tokyo.

Beliau berkata langkah itu adalah kaedah terbaik dan berkesan untuk mengurangkan risiko penularan virus.

Omi turut menasihatkan penganjur memikirkan kaedah terbaik untuk mengurangkan risiko dan membuat keputusan secepat mungkin.

Selain itu, 26 pakar, termasuk Ketua Pengarah Institut Penyakit Berjangkit Takaji Wakita turut menyuarakan kebimbangan mereka bahawa Olimpik mungkin akan mencetuskan gelombang baharu wabak Covid-19.

Menteri Olimpik Seiko Hashimoto berkata pihak penganjur akan meneliti perkara itu dengan lebih terperinci dan mencari cara paling sesuai serta selamat untuk penonton, termasuk berunding dengan pakar.

Sukan Olimpik, yang ditunda tahun lalu bakal diadakan pada 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Sapok Biki julang negara di gelanggang tinju

Oleh Kadir Edison

KUCHING, 2 OGOS: Kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik, telah melonjakkan nama Sapok Biki, 46, serta sukan tinju negara yang sebelum ini hanya dianggap sebagai acara sukan pelengkap sahaja.

Walaupun pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996, dua tahun sebelum Sukan Komanwel Kuala Lumpur berlangsung, nama beliau agak kurang dikenali oleh peminat sukan di Malaysia kecuali individu yang betul-betul mengikuti sukan tinju.

“Pada masa itu, saya tidak berapa menyerlah. Mungkin disebabkan sukan tinju ini adalah satu sukan yang masih belum mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air tetapi selepas Sukan Komanwel (ia mula dikenali) mungkin disebabkan faktor Malaysia sebagai tuan rumah dan kejayaan saya sebagai pemenang emas terakhir dalam temasya sukan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Sapok mula berkecimpung dalam sukan tinju pada 1994 sebelum dipilih sebagai antara atlet dalam Program Jaya 98 di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur.

Ketika itu, katanya, sukan tinju bukanlah acara sukan yang diletakkan harapan tinggi untuk memenangi sebarang pingat dalam Sukan Komanwel, namun dengan semangat kental, beliau telah meletakkan dirinya sebagai pakej kejutan seterusnya mengubah landskap sejarah sukan tanah air.

Lakar Kejayaan

Walaupun kejayaan yang dilakarnya itu sudah lebih dua dekad berlalu, namun Sapok berkata segala usaha untuk memperoleh kejayaan itu tidak dapat dilakukan sekiranya negara tidak berada dalam keadaan bebas, merdeka dan aman.

“Saya sebagai bekas atlet, di mana kita dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa perlu rasa risau dan kita tidak ada kekangan daripada sesiapa untuk melakukan aktiviti seharian termasuk bersukan,” katanya.

Sapok berkata usaha untuk melakar kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk sukan adalah mustahil untuk dilakukan jika negara berada dalam keadaan kacau-bilau dan masih dijajah oleh kuasa asing yang pastinya mahu menindas serta mengambil kesempatan atas ketidakstabilan sesebuah negara itu.

“Kita tengok kejayaan atlet-alet kita sebagai contoh, kalau mereka hendak bersukan mereka boleh berjaya dan kalau mereka hendak bekerja, dia boleh sampai ke tahap tertinggi. Ini adalah kerana negara kita aman, mempunyai ekonomi dan struktur pentadbiran stabil, jadi semua orang seperti atlet ini boleh bersukan dengan tenang dan masyarakat boleh bekerja dengan aman damai,” katanya.

Hargai Nilai Kebebasan, Kemerdekaan

Menurut beliau, setiap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira status sosial mereka harus menghargai nilai sebuah kebebasan dan kemerdekaan yang sedang dikecapi kerana generasi terdahulu telah melakukan pengorbanan amat besar untuk memperolehinya.

Tambah Sapok, Rukun Negara yang menjadi asas kepada perpaduan di negara ini juga perlu diperhalusi dan dihayati agar kesepaduan dan kebersamaan yang wujud dalam masyarat Malaysia dapat terus kekal serta diperkukuhkan lagi.

“Setiap prinsip yang terdapat dalam rukun negara itu mempunyai makna yang besar dan kalau kita hayati sepenuhnya kita pastinya akan merasakan bahawa kita adalah orang yang bertuah dapat duduk sama menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Sebagai seorang pegawai tentera yang masih dalam perkhidmatan, beliau berkata perjuangan dalam mempertahankan sebuah kebebasan merupakan sebuah perjuangan yang tidak pernah selesai.

“Rakyat atau diri kita (sendiri) harus mendisiplinkan diri dan sentiasa bersyukur serta berterima kasih kepada apa yang telah kita perolehi dan kecapi daripada hasil perjuangan generasi terdahulu. Generasi masa kini pula harus meneruskan perjuangan tersebut supaya negara kita boleh maju dan terus membangun,” katanya.

Justeru nasihat beliau, generasi muda kini harus didedahkan dengan lebih banyak material yang mempunyai unsur-unsur patriotik agar mereka tidak alpa bahawa kebebasan yang mereka miliki itu bukan sesuatu yang diperoleh secara percuma.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan Olimpik Tokyo dijadual semula tahun depan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Sukan Olimpik Tokyo telah dijadualkan semula untuk diadakan dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, iaitu tepat setahun daripada tarikh asal yang dirancang sebelum ini (24 Julai 2020), kata penganjur ketika mengesahkan perkara itu.

Ia diikuti Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Tarikh baharu itu telah dipersetujui Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun selepas satu persidangan telefon semalam.

Menurut kenyataan IOC, keputusan itu dibuat berdasarkan tiga pertimbangan utama iaitu bagi melindungi kesihatan atlet dan semua orang yang terlibat; membantu pembendungan virus Covid-19; menjaga kepentingan atlet dan Sukan Olimpik serta kalendar sukan antarabangsa.

“Dengan pengumuman ini, saya yakin bahawa menerusi jalinan kerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, Kerajaan Metropolitan Tokyo dan Kerajaan Jepun serta semua pihak berkepentingan, kita boleh menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku ini,” kata Presiden IOC Thomas Bach dalam kenyataan itu.

Thomas dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Selasa lepas bersetuju untuk menunda temasya sukan dunia itu susulan penularan wabak Covid-19, namun namanya kekal Tokyo 2020.

Presiden Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 Mori Yoshir o berkata masa secukupnya diperlukan bagi sesi pemilihan dan kelayakan atlet selain latihan dan persediaan mereka, yang menyaksikan sukan itu dijadualkan semula pada musim cuti musim panas akan datang di Jepun.

“Meskipun penangguhan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik ini adalah yang pertama dalam sejarah dan pelbagai isu lain telah diketengahkan, jadual acara ini merupakan asas bagi persiapan pada masa depan.

“Saya yakin bahawa langkah membuat keputusan ini dengan segera akan membantu mempercepatkan persediaan masa depan. Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 akan terus bekerja keras bagi memastikan kejayaan Sukan Olimpik tahun depan,” katanya.

IOC sebelum ini mengesahkan bahawa semua atlet yang sudah layak dan kuota tempat yang telah disediakan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah kekal tidak berubah.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Impian ke Sukan Olimpik buat pertama kali berkecai

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Skuad hoki wanita negara sekali lagi terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk muncul di pentas Sukan Olimpik buat pertama kali apabila peluang ke temasya edisi 2020 di Tokyo tertutup selepas tewas 3-0 kepada Korea Selatan pada separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland, malam tadi.

Kekalahan yang sudah diduga itu menyebabkan skuad bimbingan Muhamad Dharma Raj Abdullah gagal meraih dua slot untuk layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada Oktober dan November ini.

Susulan kekalahan itu, skuad Malaysian Tigress akan bertemu dengan Republik Czech pada perlawanan penentuan tempat ketiga manakala tuan rumah Ireland akan menentang Korea Selatan di pentas final, hari ini.

Sebelum itu, Ireland mengalahkan Republik Czech 4-0 pada satu lagi saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, Korea Selatan, yang memiliki ranking ke-11 dunia, memulakan jaringan pada minit ke-12 menerusi gol padang Cho Hyein diikuti Kim Hyunji pada minit ke-17 sebelum Cheon Eunbi menutup tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-48.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke Sukan Olimpik sejak acara hoki wanita diperkenalkan pada edisi 1980 di Moscow. – BERNAMA