Categories
AGENDA SUKANKINI

Persatuan olahraga tidak cadang hukum Ziyad, jurulatih

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli dan jurulatihnya Mohd Faizol Harun boleh menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman berikutan isu yang melanda mereka berdua di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lepas.

Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM) dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan kepada sesiapa dalam isu yang membawa kepada kegagalan Malaysia mempertahankan pingat emas acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) di Tokyo.

Sebaliknya, POPM menyanjung tinggi sikap kebertanggungjawaban Muhammad Ziyad serta jurulatihnya untuk terus berjuang dalam kejohanan akan datang.

“Kami akan sentiasa memberikan peringatan kepada pengurusan pasukan termasuk jurulatih dan atlet supaya memberikan perhatian kepada tarikh dan tempoh masa pendaftaran sama ada sebelum sesuatu kejohanan mahupun semasa kejohanan berlangsung,” menurut kenyataan itu.

Jumaat lepas, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi merungkai isu tersebut merumuskan, Muhammad Ziyad dan Mohd Faizol tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu ditetapkan, di bilik panggilan semasa hari pertandingan.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya berkenaan sekali gus tidak berjaya mempertahankan kejayaan diraih pada edisi Sukan Paralimpik Rio 2016.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap tahniah kepada Wei Lun tambah koleksi pingat negara

SHAH ALAM, 1 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada atlet Boccia negara, Chew Wei Lun yang menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.

Dato’Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu membanggakan negara dengan menjadikan koleksi pingat negara terus bertambah.

“Sekalung tahniah buat wira negara, Chew Wei Lun yang telah berjaya merangkul pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara Boccia kategori campuran individu BC1.

“Kejayaan diperolehi beliau di samping mempamerkan semangat juang yang tinggi, menambah satu lagi koleksi pingat negara untuk menjadikan jumlahnya tiga setakat ini. Malaysia bangga dengan anda!,” katanya menerusi Facebook.

Petang tadi, Wei Lun menampilkan tentangan sengit kepada juara bertahan yang juga atlet nombor satu dunia dari Great Britain, David Smith sebelum tewas 2-4 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake.

Untuk rekod, ini adalah penampilan sulung Wei Lun di temasya Paralimpik dan penyertaan pertama Malaysia dalam sukan ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap tahniah, harap kejayaan Bonnie semarak semangat atlet negara

SHAH ALAM, 28 OGOS: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah buat jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang memenangi pingat emas pertama Sukan Paralimpik Tokyo 2020 buat kontinjen kebangsaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berharap semoga kejayaan itu menyemarakkan lagi semangat atlet negara yang sedang bertanding ketika ini.

Bonnie turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada temasya di Rio 2016 iaitu 227 kilogram (kg), dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu tidak berjaya memecah rekod dunianya sendiri iaitu 230 kg yang dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas apabila gagal melakukan angkatan seberat 231 kg dalam percubaan keempatnya.

Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Ziyad ingin perbaharui rekod dunia dimiliki di Paralimpik Tokyo

SHAH ALAM, 13 OGOS: Jaguh lontar peluru F20 negara Mohd Ziyad Zolkefli yakin mampu memperbaharui rekod dunia miliknya pada kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hujung bulan ini.

Menurutnya, keyakinan mengatasi catatan 17.29 meter itu datang selepas melihat kemampuan lontaran sepanjang sesi latihan dijalani untuk temasya sukan antarabangsa tersebut sejak beberapa bulan ini.

“Secara jujurnya saya sudah berlatih sekeras mungkin setiap hari dan yakin mampu baiki rekod peribadi dan dunia dimiliki. Harap kali ini lebih bagus lagi,” katanya pada majlis perjumpaan dan sembang santai bersama atlet Selangor ke Paralimpik Tokyo 2020 secara maya hari ini.

Program disertai EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohd Nizam Marjugi.

Terdahulu Mohd Khairuddin mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Mohd Ziyad dan pelumba basikal Muhammad Hafiz Jamali, dua atlet Selangor yang mewakili negara ke kejohanan sukan antarabangsa bermula 24 Ogos hingga 5 September.

Sementara itu, Mohd Ziyad berkata beliau mula menjalani latihan serius sejak lima bulan lalu di Majlis Sukan Negara bagi memastikan prestasinya terus berkeadaan baik.

“Dua bulan pertama, emosi kurang stabil kerana tinggalkan keluarga, anak, isteri. Namun bila masuk bulan seterusnya saya mula fokus dan baiki setiap teknik hingga dapat lakukan yang terbaik.

“Semua atlet (Paralimpik Tokyo) sedang berusaha dan ada misi tersendiri. Walaupun bukan atlet normal tapi tekad kami tinggi dan akan buat terbaik untuk raih pingat kepada negara,” katanya.

Mohd Ziyad melakar sejarah mencatat rekod dunia itu untuk acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) di Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada Julai 2017.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan Paralimpik Tokyo berlangsung 24 Ogos

TOKYO, 3 OGOS: Jawatankuasa penganjur Tokyo 2020 pada Isnin mengumumkan jadual pertandingan Sukan Paralimpik yang tertunda, akan berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September, 2021, lapor agensi berita Xinhua.

Jadual itu “pada prinsipnya” hampir sama seperti rancangan awal untuk 2020, tetapi atas sebab-sebab operasi, waktu bermula dan berakhir acara tertentu telah disesuaikan.

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan menampilkan 539 acara dalam 22 jenis sukan yang dianjurkan di 21 lokasi.

Pemenang pingat pertama akan ditentukan dalam perlumbaan percubaan masa berbasikal wanita pada 25 Ogos, sehari selepas upacara pembukaan.

Majlis perasmian dan penutup akan diadakan di Stadium Olimpik bermula 20:00 hingga 23:00 waktu tempatan.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Emas Sukan Paralimpik Tokyo jadi buruan Suresh

SEPANG, 11 JUN: Selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Para Memanah Dunia 2019 di Belanda, Ahad lepas, pemanah para negara, S Suresh kini mengintai peluang mengulangi pencapaian sama pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Anak jati Kuala Ketil, Kedah itu mengakui kejayaan berkenaan amat bermakna untuk dirinya selaku pemanah para negara memandangkan ia merupakan penyertaan sulungnya pada Kejohanan Dunia.

“Saya berharap kejayaan ini akan terus menaikkan semangat saya, untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya rasa peluang saya untuk menang pada Sukan Paralimpik 2020 nanti amat cerah, namun saya tidak boleh memandang rendah keupayaan atlet lain, kerana Sukan Paralimpik menampilkan saingan berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini bersama skuad memanah para negara.

Ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Timbalannya, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Suresh pada masa sama turut mendedikasikan emas berkenaan kepada jurulatihnya, Marzuki Zakaria, keluarganya serta rakan sepasukan lain yang banyak memberikan sokongan moral kepadanya, untuk menempa nama di persada sukan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Suresh mengakui jangkaan rakyat Malaysia terhadap dirinya tetap tinggi selepas meraih pingat emas, namun menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa, terutamanya pada Sukan Paralimpik 2020.

Dalam pada itu, Marzuki berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan memanah para negara, dan Bahagian Paralimpik MSN bagi program latihan untuk Suresh, dan skuad memanah para negara bagi menghadapi saingan di Tokyo nanti.

Beliau pada masa sama turut berpuashati dengan kejayaan Suresh yang mengikuti jejak langkah dua pemanah para negara, iaitu Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa pada Kejohanan Dunia 2011 dan Hasihin Sanawi yang memenangi perak pada Sukan Paralimpik London 2012.

Ditanya mengenai resepi kejayaan Suresh, Marzuki mendedahkan ia hasil perancangan rapi barisan kejurulatihan dan Bahagian Paralimpik MSN sejak 2015, menerusi program latihan dan penyertaan dalam pelbagai pertandingan tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, Suresh layak menerima imbuhan sebanyak RM80,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) MSN kerana mengharumkan nama negara pada kejohanan antarabangsa.

Beliau pada masa sama turut meminta rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada atlet negara, terutamanya atlet paralimpik, dalam mencipta lebih banyak kejayaan di persada sukan antarabangsa.

“Insentif tersebut diharap dapat mendorong beliau (Suresh) untuk meraih pingat emas untuk negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” jelas Syed Saddiq.

Pada kejohanan dunia 2019, Suresh mempamerkan prestasi cemerlang selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) pada aksi final recurve individu lelaki, sekali gus menempah tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. – BERNAMA