Categories
SELANGOR

Selangor lokasi terbaik terajui kemajuan sukan permotoran

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 13 MAC: Pemilihan Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini sebagai gelanggang pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 membuktikan Selangor sebagai lokasi tumpuan bagi sukan permotoran di negara ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata penganjuran semula perlumbaan di negeri itu mulai tahun lalu membawa banyak kelebihan demi kemajuan sukan berkenaan.

zaqhwan02“Kita berbesar hati kerana Selangor dipilih sebagai salah satu destinasi di mana kali pertama diadakan di lokasi sama tahun lalu selepas hampir lapan tahun tidak diadakan di negeri ini.

“Ini membuktikan Selangor sebagai salah satu daripada lokasi tumpuan untuk sukan ini,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian selepas selesai majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dalam kejuaraan itu.

Beliau berkata, Selangor amat sesuai sebagai hab sukan permotoran kerana selain MAEPS, negeri itu juga memiliki litar di Sepang dan terbaru litar lumba rakyat di Kuala Selangor.

Katanya, sokongan semua pihak termasuk dari kerajaan dan swasta amat diperlukan bagi menjayakan tujuan itu.

“Litar lumba rakyat di Kuala Selangor baru dibina kira-kira dua ke tiga tahun lalu yang mana sesuai bagi tujuan latihan dan sesi latihan dijalankan hampir setiap minggu.

“Apa membanggakan dari maklumbalas diterima ramai pelumba bertanding di sini terutama bagi acara ‘beginner’ menjalani latihan di litar berkenaan,” katanya menambah ia petanda baik bagi kemajuan litar dan sukan permotoran di Selangor.

Amirudin berkata, usaha berterusan dijalankan termasuk mencari dana dan sokongan daripada semua pihak ke arah memperkukuhkan dan memajukan litar serta sukan berkenaan.

Perlumbaan pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 diadakan di litar MAEPS di sini mulai semalam dan hari ini.

Selepas ini kejuaraan sepuluh pusingan itu akan bersambung ke pusingan kedua di litar Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April depan.

EZY