Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Sukan SEA: Peraturan kuarantin dimuktamad April

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Peserta Sukan SEA Hanoi 2021 mungkin perlu menunggu sehingga akhir April untuk mendapatkan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan Covid-19 yang muktamad, berdasarkan kepada situasi semasa menjelang temasya sukan itu.

Memandangkan virus itu terus ‘berkembang dan melonjak pantas’, penganjur dijangka mengeluarkan SOP muktamad serta langkah pencegahan hanya tiga minggu sebelum bermula sukan itu, yang dijadualkan 12 hingga 23 Mei, dengan lebih banyak maklumat akan disediakan.

Dengan kira-kira 10,000 atlet dan pegawai dijangka bertanding dalam 40 sukan yang terdiri daripada 526 acara dalam sukan dwitahunan yang tertunda lebih setahun akibat pandemik Covid-19 itu, penganjur kini menetapkan pertandingan akan diteruskan walaupun terdapat kes yang disahkan serta lonjakan bilangan kes harian baru-baru ini.

Naib pengerusi Jawatankuasa Kecil Perubatan dan Anti-Doping Sukan SEA ke-31 Nguyen Van Phu berkata berdasarkan cadangan semasa Kementerian Kesihatan Vietnam (MOH), tiada kuarantin diperlukan semasa ketibaan untuk peserta, namun mereka perlu mematuhi peraturan ‘gelembung sukan’.

“Semua orang mesti diuji negatif sebelum ketibaan dan selepas tiba di Vietnam. Jadi sama ada kumpulan kecil atau besar, ia adalah kumpulan negatif (Covid-19). Mereka perlu mengikut pengangkutan yang disediakan untuk perjalanan, yang dikhususkan hanya antara penginapan ke tempat latihan dan pertandingan.

“Bagi kes positif, mereka akan diasingkan dan dikehendaki melakukan ujian susulan sehingga diuji negatif semula, manakala kontak rapat akan dipantau dan diuji secara berterusan,” katanya semasa sidang media antarabangsa pertama Sukan SEA Vietnam di Hanoi secara fizikal dan maya hari ini.

Nguyen berkata jawatankuasa penganjur telah meminta semua wilayah dan hotel terlibat dengan temasya itu, menyediakan bilik tambahan untuk tujuan pengasingan, dan pertandingan mungkin diadakan dengan jumlah penonton yang terhad atau tanpa penonton, berdasarkan situasi Covid-19.

Sementara itu Timbalan Ketua Jawatankuasa Kecil Penerangan dan Komunikasi Le Thi Hoang Yen berkata semua temu bual media fizikal dibenarkan buat masa ini selaras dengan keperluan persekutuan sukan, namun sekiranya situasi Covid-19 bertambah buruk semasa temasya itu, ia akan dijalankan secara dalam talian.

“Kami juga tidak mengehadkan bilangan wartawan asing di sini, kami mahu lebih ramai orang mengetahui tentang temasya itu, tetapi perlu mendapatkan kelulusan yang diperlukan (seperti visa untuk negara bukan ASEAN) dan semua peserta akan mempunyai lorong khusus di lapangan terbang,” katanya. .

Beliau berkata penganjur akan memberikan butiran lanjut mengenai isu asas berkaitan penginapan, pengangkutan dan perubatan selepas dimuktamadkan semasa mesyuarat Chef-de Mission (CDM) kedua pada 18 Mac, yang diadakan bersama-sama dengan pelancaran majlis kiraan detik dan larian obor.

Majlis perasmian dijadualkan pada pukul 8 malam (9 malam waktu Malaysia) pada 12 Mei di Stadium Nasional My Dinh, manakala majlis penutup di Istana Olahraga Hanoi pada masa yang sama pada 23 Mei.

Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Vietnam telah merekodkan 69,128 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lepas dan dengan lebih tiga juta kes kumulatif.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Vietnam sahkan Sukan SEA berlangsung seperti dijadual

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Vietnam mengesahkan Sukan SEA Ke-31 akan berlangsung seperti dijadualkan dari 21 Nov hingga 2 Dis tahun ini di Hanoi, kata Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MOM berkata Vietnam mengesahkan perkara itu semasa mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara maya semalam di tengah-tengah pandemik Covid-19 sementara Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang menyertainya juga mengemas kini keadaan pandemik di negara masing-masing.

“Mesyuarat itu kemudian menugaskan Jawatankuasa Perubatan SEAGF untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Ke-31 Vietnam 2021 untuk menubuhkan langkah dan protokol terperinci Covid-19 untuk dilaksanakan pada Sukan SEA nanti,” kata MOM menerusi satu kenyataan di Facebook, malam tadi.

MOM menyatakan Mesyuarat Chef-de-Mission akan diadakan pada 15 Jun secara dalam talian, sementara buku panduan teknikal untuk semua 40 sukan yang sedia untuk diedarkan pada hari yang sama.

Mesyuarat maya itu juga akan menyaksikan NOC Kemboja membentangkan satu laporan ringkas persiapan penganjuran Sukan SEA ke-32, yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei 2023, di Phnom Penh, Kemboja.

Kemboja merancang untuk menganjurkan 30 hingga 35 sukan pada edisi ke-32 temasya sukan serantau itu.

“Pejabat SEAGF akan menjadi tuan rumah mesyuarat bulanan untuk mengemas kini ahli NOC SEAGF mengenai perkembangan terkini Covid-19 dan bagi menerima laporan kemajuan daripada Jawatankuasa Penganjur edisi Ke-31 Sukan SEA Vietnam 2021 dan edisi Ke-32 Sukan SEA Kemboja 2023,” kata MOM.

MOM diwakili Presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Datuk Dr SS Cheema dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif SEAGF Datuk Seri Chaiyapak Siriwat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Hantar atlet muda ke Sukan SEA, MOM sedia langgar kriteria pemilihan

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menukar kriteria pemilihan atlet ke temasya Sukan SEA 2021, sekiranya cadangan menghantar atlet muda ke sukan dwitahunan itu direalisasikan.

Mengikut kriteria kelayakan sebelum ini, atlet sekurang-kurangnya perlu mengatasi catatan dilakukan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA terdahulu, namun kriteria itu perlu dipinda jika atlet muda atau atlet daripada Sukan Malaysia (Sukma) dihantar mewakili negara di Sukan SEA Vietnam pada November 2021.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pindaan itu akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini menerusi perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), berdasarkan input dan maklum balas yang diterima MOM selepas mengadakan pertemuan empat mata secara berasingan dengan semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) baru-baru ini.

“Cadangan sama ada hendak menghantar atlet muda telah mencetuskan perbahasan kerana Sukan SEA adalah sukan pembangunan dan persahabatan. Ada NSA yang bersetuju, ada yang tidak dan ada yang mahu menggabungkan atlet senior dan junior.

“Kalau kita mahu pertaruhkan atlet muda, tentu kita kena ubah kriteria itu. Kriteria yang dipinda itu akan kita wujudkan menjelang akhir tahun ini, ketika Vietnam mengesahkan senarai sukan yang akan dipertandingkan,” katanya selepas mesyuarat Majlis MOM ke-194 di Wisma OCM hari ini.

Vietnam dijangka mengumumkan senarai acara yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA Hanoi November ini, selepas menerima rayuan daripada negara bertanding untuk menambah beberapa jenis sukan dan acara daripada 36 jenis sukan yang diumumkan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata MOM berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai cadangan membantu industri sukan yang terjejas dengan pandemik Covid-19 apabila banyak kejohanan serta aktiviti sukan dan rekreasi tidak dapat diadakan.

“Kami tidak mahu pengusaha sukan yang ‘nyawa-nyawa ikan’ terus hilang daripada peta kerana tiada aktiviti untuk menjana pendapatan. Kami telah berbincang dengan menteri untuk mengetengahkan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi melihat insentif dan perkara yang boleh memberi nafas baharu kepada industri sukan menerusi Belanjawan 2021,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan Sea: Prestasi pemain sepak takraw lebih penting banding usia

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan usia bukan ukuran, sebaliknya pencapaian semasa menjadi penanda aras untuk dipilih mewakili negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pemain senior tetap menjadi keutamaan bagi membarisi skuad sepak takraw negara jika tiada atlet muda yang mampu menandingi prestasi mereka.

Ahmad menegaskan keputusannya itu bukan menidakkan cadangan dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyenaraikan atlet pelapis ke temasya dwitahunan itu, namun mengambil kira faktor pemain berpengalaman sebagai nadi utama pasukan.

“PSM setuju dengan pendirian siapa yang terbaik, mereka akan pergi ( Sukan SEA Vietnam). Mungkin atlet baru berumur 21 tahun atau lebih sikit. Kalau 25 tahun pun tiada masalah. Kami tidak kisah umur berapa. Hanya yang terbaik akan dipilih.

“Nak tahu siapa yang terbaik, kena ada kejohanan. Dari situ kita akan pilih siapa yang terbaik untuk dihantar ke Sukan SEA. Kita tidak mahu menidakkan bakat atlet sedia ada, disebabkan kriteria baru ini,” katanya, baru-baru ini.

Ahmad berkata perkara sama juga dilakukan musuh tradisi, Thailand, apabila pemain senior turut disenaraikan bagi memperkukuhkan kekuatan pasukan dalam misi mengekalkan pingat emas, di temasya dwitahunan itu.

“Kita lihat yang menjadi pencabar utama kepada kita ialah Thailand. Seluruh peminat tahu atlet mereka berusia dan berpengalaman. Itu antara sebab mengapa Thailand memonopoli sukan ini.

“Pemain Thailand sudah tujuh, lapan kali ke Sukan SEA dan Sukan Asia. Umur bukan ukuran dia, Ponchai (Ponchai Kaokaew) tahun ni dia 39 tahun, dan tahun ni saya dengar dia akan bermain lagi di Sukan SEA, dan mungkin ini yang terakhir.

“Kita kalah selama ini bukan dari segi kemahiran semata-mata, memang ada beza tapi ia lebih kepada mental. Mental tak kuat sebab kena jumpa pemain Thailand yang berpengalaman. Saya yakin dalam masa setahun dua ini, atlet Malaysia juga boleh berada di tahap itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Komited lahir atlet prestasi tinggi, kekal negeri sukan terulung

SHAH ALAM 16 JAN: Kerajaan Negeri komited melahirkan atlet berprestasi tinggi menerusi pelbagai program pembangunan sukan.

EXCO Sukan, Mohd Khairuddin Othman berkata ia selaras dasar Kerajaan Negeri untuk terus menjadi penyumbang utama kutipan pingat negara dalam kejohanan antarabangsa.

“Kita mahukan Selangor kekal sebagai negeri sukan terulung. Bantuan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam penyediaan peralatan sukan banyak membantu meningkatkan mutu pembangunan sukan.

“Kita juga sentiasa bekerja rapat dengan Majlis Sukan Negeri Selangor untuk meningkatkan prestasi sukan,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Atlet Selangor dalam Sukan Sea ke-30 di Filipina, di sini, hari ini.

Penyerahan insentif kemenangan itu disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Mohd Khairuddin berkata insentif kemenangan itu diharap memberi motivasi kepada atlet untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

“Atlet juga jangan cepat berpuas hati sebaliknya perlu berusaha lebih gigih meningkatkan prestasi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

56 atlet & 14 jurulatih Sukan SEA terima RM180,000

SHAH ALAM 16 JAN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan insentif RM180,000 kepada 56 atlet dan 14 jurulatih yang meraih pingat dalam Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Pemenang pingat emas menerima RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM1,500 manakala jurulatih RM2,000.

Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menerima insentif RM15,000 apabila meraih tiga pingat emas.

Sementara itu, Farah Ann berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memberi insentif atas kejayaan beliau dan atlet lain.

“Insentif ini akan dijadikan sebagai dorongan untuk saya mencipta lebih banyak kejayaan pada tahun ini terutama dalam Sukan Olimpik Tokyo,” katanya.

Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA di Filipina dengan meraih 56 pingat emas, 58 perak, dan 71 gangsa.

Daripada jumlah itu, atlet Selangor menyumbang 26 pingat emas, 12 perak dan 17 gangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukan SEA: Atlet Selangor sumbang emas bakal terima insentif

SHAH ALAM, 15 DIS: Atlet Selangor yang menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-30 baru-baru ini bakal menerima ‘durian runtuh’ dijangka pertengahan bulan hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif dijangka RM3,000 hingga RM5,000 itu diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor untuk diberikan kepada atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang pada temasya dwitahunan itu.

“(Peruntukan insentif) Memang kita telah tetapkan tiga ke empat tahun lepas untuk diberi kepada mana-mana atlet Selangor yang menyumbang pingat emas sama ada dalam Sukan Olimpik, Sukan Asia mahupun Sukan SEA.

“Insentif berkenaan umpama sokongan kepada para atlet terlibat kerana daripada 56 pingat emas diraih kontinjen negara, 26 daripadanya disumbang oleh atlet negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Sweat and Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi’ anjuran Kumpulan Karangkraf di sini, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA di Filipina dengan meraih 56 pingat emas, 58 perak, dan 71 gangsa.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan atlet negeri ini yang menyumbangkan sebahagian besar pingat emas kepada negara dalam kejohanan sukan berkenaan.

Baginda turut berharap kejayaan pada temasya sukan itu akan terus menjadi inspirasi kepada para pegawai, atlet serta MSN Selangor.

Ditanya mengenai pasukan bola sepak Selangor yang dikatakan telah ‘diswastakan’ susulan penggabungannya dengan PKNS FC, Amirudin menjelaskan skuad Red Giants masih mewakili negeri ini.

“Ini kerana 50 peratus saham pasukan itu dimiliki anak syarikat Kerajaan Negeri antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan lain-lain anak syarikat akan ditentukan oleh kerajaan negeri.

“Ada juga saham daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), selebihnya (pemilikan saham) daripada orang perseorangan.

“Formula itu akan kekal dan dilihat boleh melonjakkan pasukan Selangor pada saingan liga akan datang menerusi pengurusan dan pentadbiran yang baik serta profesional,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sukan SEA: Sultan Selangor, Raja Muda zahir ucapan tahniah

SHAH ALAM, 14 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menzahirkan rasa sukacita serta tahniah kepada atlet negeri yang meraih pingat pada Sukan SEA di Filipina.

Ucapan keluarga diraja itu dizahirkan melalui Facebook Selangor Royal Office yang turut merakamkan tahniah kepada pegawai terlibat pada temasya berkenaan.

Baginda turut berbangga terhadap pencapaian atlet Selangor yang menyumbangkan sebahagian besar pingat emas, walaupun negara merekodkan pencapaian terburuk dalam sukan dwitahunan itu.

“DYMM Sultan Selangor berharap kejayaan di temasya Sukan SEA ke-30 ini akan terus menjadi inspirasi kepada pegawai dan atlet negeri serta Majlis Sukan Selangor untuk terus berusaha lebih gigih bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang demi kemajuan sukan dan mengharumkan nama Selangor Darul Ehsan,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, baginda turut menggesa supaya masalah dan pertikaian yang berlaku, sama ada membabitkan Majlis Sukan Negeri, Majlis Sukan Negara atau persatuan sukan diselesai secara baik dengan kadar segera.

Sukan SEA Filipina yang melabuhkan tirai pada 11 Disember lalu menyaksikan Malaysia membawa pulang 56 pingat emas, 58 perak dan 72 gangsa.

Daripada jumlah itu, atlet Selangor menyumbang 26 pingat emas, 12 perak dan 17 gangsa.

Categories
ADN SELANGOR

Sukan SEA: Zawawi bangga anak jati Jalan Kebun sumbang Perak

SHAH ALAM, 13 DIS: Anak jati Kampung Jalan Kebun, Hatem Rumijam antara atlet muaythai yang berjaya membawa pulang pingat Perak dalam sukan SEA di Filipina, baru-baru ini.

Kejayaan itu sekali gus membanggakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mengucapkan tahniah kepadanya atas kesungguhan dan perjuangan hebat mengharumkan negara.

“Tahniah dan penghargaan kepada Hatem yang merupakan anak jati Kampung Jalan Kebun dan pasukan Muay Thai atas kesungguhan serta perjuangan hebat mengharumkan nama negara,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata beliau komited untuk membantu Kelab Muaythai Jalan Kebun dalam melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia dengan beberapa program insentif dan pembangunan sukan.

“Tahniah kepada ibu bapanya yang berjaya mendidik lima anak mereka dalam bidang ini hingga peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam sukan SEA di Manila baru-baru ini, pasukan Muaythai Malaysia membawa pulang satu pingat emas, dua pingat perak dan dua gangsa.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN bertanggungjawab atas pencapaian skuad negara di Sukan SEA

NEW CLARK CITY, 11 DIS: Majlis Sukan Negara (MSN) bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan atlet negara mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA Ke-30, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“MSN mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan kontinjen kita pada kali ini,” katanya pada sidang media mengenai prestasi atlet Malaysia pada Sukan SEA 2019 di sini, hari ini.

Prestasi sukan yang disasarkan untuk menyumbang pingat emas kepada Kontinjen Malaysia pada Sukan SEA di Filipina juga adalah mengecewakan.

Beliau mendedahkan hanya 18 daripada 26 jenis sukan yang disasarkan untuk memenangi emas, berjaya menyumbang kutipan 50 emas kepada kontinjen negara pada temasya sukan dwitahunan itu kali ini.

Kegagalan beberapa sukan seperti pelayaran, memanah, tenpin boling, luncur ais dan sukan berhalangan meraih emas, telah menjejaskan kutipan keseluruhan pingat emas kontinjen negara, katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi memuji beberapa sukan yang mempamerkan aksi memberangsangkan dengan menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara pada kali ini.

Sukan-sukan berkenaan adalah gimnastik artistik dan berirama yang menjadi penyumbang tertinggi dengan kutipan sembilan emas, olahraga (lima emas), terjun, karate dan boling padang (masing-masing empat emas), badminton (tiga emas), selain e-sukan yang menyumbang satu emas dalam permainan ‘Hearthstone’ walaupun membuat penampilan sulung pada Sukan SEA kali ini,

Beliau mengakui empat jenis sukan yang kurang diberi perhatian, iaitu snuker dan billiard, dancesport, catur, papan selaju telah menyumbang satu emas, selain wushu dengan kutipan dua emas walaupun tidak disenaraikan dalam sasaran awal kontinjen negara.

“Sebanyak enam pingat emas telah diperoleh dari sukan-sukan yang tidak ditetapkan sasaran awal. Kemampuan sukan-sukan ini untuk menyumbang pingat emas adalah membanggakan kontinjen negara,” katanya,

Pada masa sama, Ahmad Shapawi memuji prestasi luar biasa yang ditampilkan beberapa atlet negara pada kali ini, termasuk Muhammad Haiqal Hanafi, Andre Anura Anuar, Farah Ann Abdul Hadi dan Loh Choon How yang menjadi antara penyumbang kutipan emas tertinggi untuk kontinjen negara.

Muhammad Haiqal ditabalkan selaku Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu selepas mengungguli acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.35 saat, manakala Andre Anura pula mencatat rekod baharu kebangsaan acara lompat jauh dengan catatan 8.02 meter, sekali gus memadam rekod terdahulu, 7.88 meter yang dilakar Josbert Tinus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand.

Farah Ann Abdul Hadi menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara All Round Wanita Akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Rizal Memorial Sports Complex pada 2 Disember 2019. Foto BERNAMA

Farah Ann pula menepati status beliau selaku ratu gimnastik Asia Tenggara selepas memperolehi tiga emas dalam gimnastik artistik, manakala Loh membawa pulang dua emas dalam acara wushu walaupun tidak diletakkan sebagai sasaran emas.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shapawi berkata, tumpuan akan terus diberikan untuk memperkasakan program pembangunan atlet pelapis menerusi sistem latihan yang lebih sistematik untuk persiapan jangka panjang menghadapi beberapa temasya sukan pada masa akan datang.

“Oleh itu, pengurusan MSN akan mempergiatkan program pelapis di pelbagai peringkat dan semua persatuan sukan yang terlibat, diminta untuk merangka program latihan yang lebih baik dan berstruktur,” kata Ahmad Shapawi.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Timbalannya, Nurul Huda Abdullah, serta Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

Malaysia sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 56 emas, 58 perak dan 72 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan.

Tuan rumah, Filipina muncul juara buat kali kedua selepas edisi 2005 di Manila setelah mengumpul 149 pingat emas, 117 perak dan 121 gangsa, diikuti Vietnam (98-85-105), manakala Thailand menduduki tangga ketiga (92-103-123).

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 773 atlet dan 339 pegawai menyertai 52 daripada 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 November, melabuhkan tirai dengan upacara penutupan rasmi di Stadium Olahraga New Clark City malam ini.

Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Irfan lengkapkan hari gemilang skuad olahraga

NEW CLARK CITY, 10 DIS: Jaguh lempar cakera lelaki negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, melengkapkan hari gemilang skuad olahraga negara, selepas menyumbang pingat emas kelima pada hari terakhir acara olahraga Sukan SEA ke-30 di Filipina, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Olahraga New Clark City, juara bertahan sejak edisi 2013 di Myanmar itu sekadar melakukan catatan 57.29 meter (m) pada balingan pertama, namun baki lima lagi balingan dibatalkan juri pertandingan kerana Muhammad Irfan memijak had garisan had balingan.

Balingan itu, bagaimanapun sudah cukup untuk anak jati Negeri Sembilan itu, meraih emas keempat berturut-turut pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Seorang lagi wakil negara, Abdul Rahman Lee pula menamatkan saingan di tempat keempat daripada sembilan peserta dengan balingan sejauh 51.19m.

“Alhamdulillah di atas kejayaan ini, saya jangkakan keputusan lebih baik, tapi dua minggu sebelum bermulanya Sukan SEA, ligamen (kaki) saya mengalami koyakan dan saya agak sedih.

“Saya akan kembali ke Malaysia esok dan akan meneruskan rawatan, sebelum menghadapi beberapa kejohanan pada tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan.

Terdahulu, jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail melakar emas hatrik sejak edisi 2015 di Singapura, selepas mencatat lompatan sejauh 16.68 meter.

Seorang lagi wakil negara, Andre Anura Anuar menduduki tempat kelima, daripada tujuh peserta menerusi catatan 16.00 meter.

Tiga lagi emas Malaysia hadir menerusi Muhammad Haikal Hanafi dalam acara 100 meter lelaki, Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita) serta Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi lelaki.

Tambahan dua emas yang diperolehi pada hari ini menyaksikan Malaysia mengumpul lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa, sekali gus menyamai pencapaian pungutan pingat emas pada edisi 2011 di Indonesia, dengan kutipan lima emas, dua perak dan tiga gangsa.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Kakitangan MDKS sumbang pingat emas Sukan SEA

SHAH ALAM, 10 DIS: Kakitangan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) antara atlet yang berjaya menyumbangkan pingat emas pada Sukan SEA di Filipina, baru-baru ini.

Kejayaan Saiful Bahri Musmin, 28, yang bertugas sebagai Pembantu Operasi Jabatan Kawalan Bangunan diperoleh melalui sukan petanque triples lelaki.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat ketika dihubungi menyifatkan pencapaian itu membanggakan warga MDKS dan penduduk Kuala Selangor.

“Ini adalah pingat emas kedua yang dimenangi selepas Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017.

“Hasil penganjuran pertandingan dan pembangunan fasiliti petanque di Kompleks Sukan Kuala Selangor, daerah ini sentiasa melahirkan atlet sukan petanque terbaik untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, skuad petanque negara membuka tirai Sukan SEA dengan cemerlang apabila menewaskan Thailand, sekali gus memenangi pingat emas acara triples lelaki.

Kejayaan itu menamatkan penantian 18 tahun negara yang kali terakhir memenangi acara triples lelaki pada edisi 2001 di Kuala Lumpur.