Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sukarelawan Selangor ganding bahu bersih rumah baharu OKU mangsa banjir

SHAH ALAM, 6 JAN: Seramai 25 Sukarelawan Selangor (SERVE) menggembleng tenaga membersihkan kediaman baharu seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang menjadi mangsa banjir di Batu 23, Hulu Langat baru-baru ini.

Penolong pengarah bahagian pembangunan generasi muda Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata kerja pembersihan rumah baharu Khaidirratul Alias @ Sopi di Kajang bertujuan meringankan beban mangsa terbabit.

“Dia (Khaidirratul) antara mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana pada 18 Disember tahun lalu. Selepas dimaklumkan dia bersama dua anaknya berpindah, kita segera menggerakkan sukarelawan untuk membantu.

“Selain aspek pembersihan, sukarelawan terbabit turut membantu mengecat rumah baharunya dan mengemas barang-barang,” kata Ahmad Bakrin Sofawi Abu Bakar ketika dihubungi.

Anggota Sukarelawan Selangor (SERVE) mengagihkan bantuan ketika menjalankan kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Bukit Lanchong, Subang Jaya. Foto Facebook Penggerak Belia Selangor

Sementara itu, Khaidirratul yang berusia lingkungan 30-an berterima kasih kepada sukarelawan berkenaan kerana sudi membantu keluarganya.

“Dengan rasa rendah diri, saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas bantuan diberikan. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan saya sekeluarga,” katanya melalui video dikongsi MSN Selangor di Twitter.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir surut, sukarelawan giat bersih rumah

SHAH ALAM, 23 NOV: Banjir kilat setinggi 0.3 meter hingga 1.5 meter sekitar Lembah Jaya, Ampang malam tadi surut selepas tiga jam, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata air mendadak naik mulai jam 7 petang akibat hujan lebat berterusan lebih tiga jam sekitar Lembah Klang.

“Air mula surut pada jam 11 malam dan penduduk terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang. Semalam merupakan antara banjir terburuk di kawasan berkenaan.

“Selain faktor hujan lebat, perparitan juga menjadi punca banjir kilat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata sejak pagi tadi pihaknya bersama agensi Kerajaan Selangor giat membersihkan rumah penduduk serta kawasan persekitaran.

Malam tadi kawasan sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak mengalami banjir kilat. Bagaimana tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Susulan itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pihak berkuasa tempatan, KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN akan memberi bantuan kecemasan serta perpindahan selain Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu kerja pembersihan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ahli sukarelawan Selangor jalani latihan, tingkat kemahiran urus bencana

SHAH ALAM, 23 OKT: Semua ahli Sukarelawan Selangor (SERVE) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjalani latihan pengurusan bencana dalam masa terdekat, kata EXCO jaringan kemasyarakatan dan kesukarelawan.

Danish Hairudin berkata latihan itu penting bagi melengkapkan sukarelawan dengan ilmu dan kemahiran ketika menjalankan misi bantuan khususnya untuk anak muda yang baharu menceburi aktiviti sedemikian.

“Penubuhan SERVE masih baharu, jadi kita perlu beri pendedahan dan bimbingan lengkap kepada mereka sebelum melangkah lebih jauh pada tahun-tahun mendatang.

“Jadi, hasil perbincangan bersama EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan Penggerak Belia Selangor (PeBS), kita setuju untuk adakan latihan kepada mereka sebelum akhir Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata pada program bual bicara “Kenali SERVE: Sukarelawan Selangor” secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Danish berkata ahli SERVE dilindungi insurans bagi menjamin keselamatan ketika bertugas terutama misi bantuan melibatkan bencana besar di luar negeri.

“Misalnya semasa kami ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air baru-baru ini, semua 50 sukarelawan SERVE terlibat mendapat perlindungan insurans.

“Kalau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain mungkin ini (insurans) dianggap remeh, tetapi ia sebenarnya penting kepada sukarelawan sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.