Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukma Johor tahun depan ditangguh ke 2024

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Jawatankuasa tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) bersetuju agar penganjuran temasya sukan terbesar negara itu di Johor pada tahun hadapan, ditangguhkan ke 2024.

Perkembangan itu disahkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut, yang meneliti status laporan terkini penganjuran Sukma dan Para Sukma Johor 2020.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata jawatankuasa sama turut bersetuju supaya Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukma dan Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur.

“Tarikh penganjuran kedua-dua temasya berkenaan akan dicadangkan oleh pihak MSN untuk kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dan Para Sukma akan datang.

“Seterusnya, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan cadangan ini kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tujuan kelulusan pelaksanaan temasya ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sukma Johor 2020, yang sepatutnya berlangsung pada 6 hingga 14 Mac 2021, dan Para Sukma pada 5 hingga 10 April dibatalkan sekali lagi, berikutan peningkatan kes Covid-19 tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MSN Selangor harap KBS longgar syarat umur atlet SUKMA

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Sukan Negeri Selangor berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan atlet melebihi had umur bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2022.

Pengarah Eksekutif Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah itu memberi peluang atlet yang berlatih sejak dua tahun lepas bertanding pada kejohanan yang ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

“Atlet menjalani proses latihan yang sangat sukar dengan norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi.

“Malah atlet yang sudah sampai had umur menjadikan SUKMA sebagai pentas terakhir untuk membuktikan mereka memiliki potensi ke peringkat lebih tinggi, jadi kita wajar beri peluang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk merangka program latihan baharu untuk atlet pelapis sekiranya KBS enggan meminda had umur.

Had umur untuk penyertaan SUKMA adalah 21 tahun ke bawah, namun terdapat acara sukan seperti gimnastik yang menetapkan had umur 15 tahun ke bawah.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan,
pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sasar 45 emas pada Sukma Johor – EXCO

SHAH ALAM, 2 NOV: Sebanyak 45 pingat emas disasarkan pada Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan, kata EXCO pembangunan generasi muda dan sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata turut disasarkan ialah perak dan gangsa masing-masing 40 pingat.

“Pada awalnya, Sukma tahun ini dijadualkan berlangsung pada Julai lalu, namun ditangguhkan kepada April tahun depan.

“Antara persiapan kita menjelang tahun hadapan ialah atlet-atlet yang mempunyai kekangan berlatih di pusat latihan dan sebagainya akan menjalani latihan fizikal di rumah, namun dipantau oleh jurulatih masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Pada Sukma 2018 di Perak, negeri ini menduduki tempat ketiga dengan 47 emas, 68 perak dan 67 gangsa. Emas pertama yang diraih melalui badminton berpasukan wanita.

Sementara pada Sukma 2016 di Sarawak, Selangor muncul juara dengan 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor: Susunan semula jadual tingkat kos latihan

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menyusun semula jadual latihan atlet yang membuat persiapan ke Sukan Malaysia (Sukma) di Johor susulan pandemik Covid-19.

Pengarah eksekutifnya berkata langkah berkenaan menyebabkan kos latihan meningkat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut memaksa atlet berlatih sendirian di rumah.

“Sukma tahun ini telah ditunda ke tahun hadapan menyebabkan semua program persediaan kontinjen Selangor terpaksa diatur semula.

“Ia menyaksikan kos meningkat kerana perlu menempuh norma baharu dengan latihan atlet juga melibatkan saringan Covid-19, penyediaan kelengkapan alat pencegahan dan proses sanitasi ke atas kemudahan,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan keutamaan kini memastikan atlet mengikut modul latihan serta mengelak kecederaan dengan mementingkan penjagaan pemakanan bagi mengekalkan kecergasan supaya beraksi cemerlang seterusnya mampu merealisasikan impian Selangor merangkul pingat emas pada temasya dwitahunan di Johor.

“Di kala situasi tidak menentu akibat pandemik Covid-19 ini cabaran besar menanti program sukan pada 2021. Kita berharap keadaan akan lebih baik selepas ini supaya industri sukan dapat diteruskan,” katanya.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada Sukma Johor yang dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakana Para Sukma bermula 5 hingga 10 April.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sambut baik pinda tarikh Sukma kerana 12 atlet duduki STPM

SHAH ALAM, 21 SEPT: Selangor menyambut baik keputusan meminda tarikh Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 ke April tahun depan selepas tarikh asal bertembung dengan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata keputusan tersebut melegakan pihaknya kerana seramai 12 atlet negeri ini bakal menduduki peperiksaan tersebut.

“Selain atlet terlibat peperiksaan STPM, seramai 114 atlet Sukma Selangor juga bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada awal tahun depan.

“MSN berharap atlet yang terlibat dengan peperiksaan utama dapat membahagi masa sebaiknya antara komitmen untuk pelajaran dan sukan kerana menjadi hasrat kita supaya atlet berjaya dalam kedua-dua bidang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sabtu lalu, Kementerian Belia dan Sukan memutuskan penganjuran Sukma Johor 2020 yang sebelum ini dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan susulan penularan covid-19 ditunda ke 2 hingga 10 April. Para Sukma 2020 yang diputuskan pada 5 hingga 10 April pula diawalkan ke 8 hingga 13 Mac.

Pada 28 Jun, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan STPM 2020 semester 3 bakal berlangsung pada 1 hingga 9 Mac 2021 manakala peperiksaan semester satu STPM 2021 dipinda ke 22 hingga 25 Februari 2021. Peperiksaan SPM pula dipinda kepada 6 Januari hingga 9 Februari tahun depan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukma: Skuad hoki lelaki tumpu latihan asas, pilih pemain terbaik

SHAH ALAM, 20 OGOS: Skuad hoki lelaki Selangor kini giat menjalani latihan kecergasan sebelum menyenaraikan 18 pemain terbaik untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Johor.

Jurulatihnya Mohd Harfizi Baharom berkata latihan itu dilakukan di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas semua pemain kembali susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memang diakui prestasi mereka terjejas kerana lama tidak pegang kayu hoki tetapi kita buat latihan kecergasan dan berlatih untuk mengembalikan teknik permainan sama seperti sebelum PKP.

“Seramai 29 pemain berumur bawah 21 tahun juga menjalani latihan untuk pemilihan ke Sukma di Johor,” katanya ketika mengulas mengenai persiapan pasukan itu ke Sukma tahun depan.

Mengenai sasaran pingat, pengendali berusia 32 tahun itu meletakkan harapan untuk mara ke separuh akhir.

Katanya, kali terakhir Selangor meraih kejayaan ketika temasya di Kedah pada 2006 selepas memenangi pingat gangsa.

Tambah Mohd Harfizi, pasukan itu juga bakal mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hujung minggu ini.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Tujuh atlet tinju Selangor ke Sukma, sasar satu emas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor akan menghantar tujuh atlet tinju dengan sasaran satu pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.

Jurulatihnya, Mohd Nazwan Shah berkata setakat ini sesi latihan berjalan lancar di Seksyen 7 di sini walaupun perlu mematuhi tatacara operasi piawai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Semasa PKP tempoh hari semua atlet perlu menghantar video latihan harian kepada saya. Sekarang sesi latihan masih berjalan seperti biasa cuma belum bebas dan tiada latihan berpasangan berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah kali terakhir Selangor meraih kejayaan pada Sukma 2016 di Sarawak dengan meraih gangsa dan tidak memenangi sebarang pingat di Perak pada 2018.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda pada 6 hingga 14 Mac 2021, manakala Para Sukma dijadualkan pada 5 hingga 10 April tahun depan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Skuad berbasikal sasar enam pingat Sukma Johor

SHAH ALAM, 20 JULAI: Skuad berbasikal Selangor menyasarkan enam pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor awal tahun depan susulan ketiadaan pelumba berpengalaman.

Jurulatihnya, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata pelumba muda ditampilkan dalam pasukan pada kejohanan dwitahunan itu selepas pelumba sebelum ini sudah melebihi had umur 21 tahun.

“Setiap tahun kita memang tidak target banyak. Di Johor (Sukma) hanya enam sahaja iaitu dua emas, dua perak dan dua gangsa.

“Kita rancang mereka mencari pengalaman dahulu dan menjadi tonggak pasukan pada Sukma Selangor (2022) dan Kelantan (2024),” katanya kepada Selangorkini.

Mohd Yusof berkata anak buahnya akan dihantar menyertai perlumbaan terbuka sebelum Sukma berlangsung bagi menguji tahap stamina masing-masing.

“Kita mulakan latihan dari bawah selepas cuti panjang akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Jadi cara itu sebagai strategi melatih atlet,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sukma Johor: Ragbi wanita sasar ke pentas akhir

SHAH ALAM, 12 JULAI: Pasukan ragbi tujuh sebelah wanita Selangor akan menyertai beberapa pertandingan bagi memantapkan corak permainan sebagai persediaan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun hadapan.

Jurutlatihnya, Mohammad Faiz Samsu Khidir berkata keutamaan kini mengembalikan kecergasan pemain selepas penangguhan latihan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membentuk pasukan mantap dengan sasaran ke perlawanan akhir.

“Kita sudah mulakan sesi latihan di Padang Utara, Petaling Jaya dengan tumpuan menguatkan fizikal dan kemahiran pemain.

“Pasukan kita masih baharu kerana kebanyakan pemain tidak mempunyai asas mengenai ragbi tetapi dengan penyertaan beberapa kejohanan selepas aktiviti sukan secara bersentuhan dibenarkan, Insya-Allah kita boleh bersiap dengan lebih baik,” katanya kepada SelangorKini.

Jurulatih ragbi wanita Sukma Selangor, Mohammad Faiz Samsu Khidir. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata pemain tetap menjalani latihan ketika PKP mengikut modul diberikan dengan berkongsi video setiap hari.

Mohammad Faiz menjelaskan acara ragbi tujuh sebelah wanita mula diperkenalkan ketika Sukma Perak 2018 dan Selangor mengutip pingat perak apabila tewas kepada Sabah di perlawanan akhir.

Katanya, kekalahan itu memberikan pengajaran berguna dan pasukan akan berusaha ke peringkat akhir sekali lagi di Johor tahun hadapan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Sukma Johor 2020 ditangguh

SHAH ALAM, 25 MAC: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) sebulat suara bersetuju menangguhkan Sukma Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, kata menteri belia dan sukan.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata keputusan tersebut mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua yang terlibat dalam temasya tersebut.

“Mesyuarat juga mengenal pasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 atau dianjakkan ke 2021 setelah mengambil kira pemantauan berterusan perkembangan wabak Covid-19, tiada pertindihan dengan tarikh penting lain seperti peperiksaan awam, acara sukan utama.

“Mesyuarat juga meneliti kepentingan semua pemegang taruh Sukma Johor 2020, khususnya Johor sebagai tuan rumah,” katanya dalam kenyataan.

Jawatankuasa itu turut bersetuju tarikh baharu akan diputuskan secepat mungkin pada mesyuarat mereka akan datang, selewat-lewatnya pada awal Mei ini.

Reezal Merican turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para Sukma Johor 2020 mengambil tindakan sama menangguhkan temasya tersebut yang dijadualkan selepas Sukma.

Sebelum ini, Sukma 2020 ditetapkan pada 11 hingga 19 Julai manakala Para Sukma dijadualkan pada 16 hingga 22 Ogos.