Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Produktiviti buruh per pekerja turun 16 peratus suku kedua 2020

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Produktiviti buruh per pekerja Malaysia merosot 16.0 peratus kepada RM19,455 per pekerja pada Suku Kedua 2020 dengan jumlah jam bekerja susut kepada 6.2 bilion daripada purata 8.5 bilion jam, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Statistik ini diterbitkan dalam laporan Produktiviti Buruh bagi Suku Kedua 2020 yang membentangkan statistik produktiviti buruh mengikut aktiviti ekonomi, yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja dan nilai ditambah per jam bekerja.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata nilai ditambah per pekerja pada suku tersebut jatuh RM19,455 per pekerja berbanding purata sebanyak RM22,000 per pekerja setiap suku tahunan.

“Seperti yang diumumkan pada 14 Ogos, 2020, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi Suku Kedua 2020 menyusut 17.1 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan marginal 0.7 peratus pada Suku Pertama 2020.

“Pekerja yang direkodkan berjumlah 14.9 juta orang (Suku Pertama 2020: 15.2 juta orang) jatuh 1.3 peratus berbanding pertumbuhan positif 1.6 peratus pada Suku Pertama 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata prestasi lembap produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja adalah berikutan pengekalan pekerja, yang mana golongan ini mempunyai pekerjaan tetapi masih belum bekerja.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini dalam Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Kedua 2020, terdapat 2.7 juta penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu atau tidak dapat bekerja dari rumah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Mengulas berhubung produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, beliau berkata jumlah jam bekerja pada suku tersebut jatuh 28.2 peratus (Suku Pertama 2020: -1.4 peratus) dengan jumlah 6.2 bilion jam, lebih rendah daripada purata 8.5 bilion jam bagi setiap suku tahunan.

Purata jam bekerja pada Suku Kedua 2020 hanya 40.5 jam seminggu berbanding 44.3 jam seminggu pada suku sebelumnya. Ini telah menyebabkan produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja meningkat 15.6 peratus dengan nilai RM46 per jam (Suku Pertama 2020: RM40 per jam).

“Pertumbuhan produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja yang tinggi adalah berikutan kejatuhan jumlah jam bekerja yang lebih berbanding penguncupan nilai ditambah,” katanya.

Dari perspektif sektor ekonomi, Pembinaan mencatatkan penurunan terbesar produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja dengan negatif 40.8 peratus (Suku Pertama 2020: -5.3 peratus).

Ini diikuti oleh sektor pembuatan (-17.3 peratus), perlombongan dan pengkuarian (-17.1 peratus) dan perkhidmatan (-15.6 peratus). Pertanian merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif pada suku tersebut pada 1.5 peratus, pulih daripada -8.9 peratus.

Dari segi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, tiga sektor mencatatkan pertumbuhan dua digit pada suku ini iaitu sektor perkhidmatan (17.2 peratus), pertanian (16.1 peratus) dan pembuatan (15.2 peratus), manakala perlombongan dan pengkuarian tumbuh 6.9 peratus

Pembinaan adalah satu-satunya sektor yang merosot pada Suku Kedua 2020 dengan kadar 3.2 peratus selepas mencatatkan -1.6 peratus pada Suku Pertama 2020.

Di peringkat global, negara yang melaksanakan penyekatan bagi membendung pandemik Covid-19 seperti Singapura dan United Kingdom turut mengalami kesan yang sama terhadap produktiviti buruh mereka.

Kedua-dua negara ini khususnya mencatatkan kejatuhan nilai ditambah per pekerja yang besar pada Suku Kedua 2020 dengan masing-masing mencatatkan kadar negatif 11.6 peratus dan 22.0 peratus.

“Secara prinsipnya, produktiviti buruh mempengaruhi pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita apabila kejatuhan pertumbuhan produktiviti buruh akan mengurangkan KDNK dan PNK per kapita.

“Justeru itu, pada Suku Kedua 2020 PNK per kapita negara adalah sebanyak RM36,493 berbanding purata suku tahunan RM45,000 bagi lima suku lepas berturut-turut,” kata Mohd Uzir.

Di Malaysia, PKP yang bermula pada 18 Mac 2020 dan pelanjutan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah menyebabkan penutupan sementara perniagaan, serta prosedur operasi standard yang harus dipatuhi bagi meneruskan perniagaan mereka.

Situasi ini telah menghadkan pekerja untuk bekerja secara optimum. Justeru itu, senario pada Suku Kedua 2020 merupakan tempoh yang ekstrem untuk dibandingkan dengan data terdahulu.

-BERNAMA