Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih Astro susut kepada RM133.65 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) susut 21 peratus kepada RM133.65 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai, 2020 daripada RM169.34 juta sebelum ini.

Penurunan itu berikutan kemerosotan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta kos pembiayaan bersih, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Margin EBITDA merosot sebanyak 1.3 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas, berikutan kos barangan yang tinggi, dikurangkan oleh kos kandungan yang rendah dan susut nilai belum terima.

Perolehan pada suku tahun semasa turut susut 11.8 peratus kepada RM1.09 bilion daripada RM1.24 bilion pada tahun lepas, berikutan penurunan perolehan langganan dan pengiklanan serta diimbangi oleh peningkatan jualan barangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Henry Tan berkata operasi hampir dengan kapasiti penuh.

“Pemasangan telah disambung semula dan kami melihat Astro Ultra Box meneruskan trajektori pertumbuhannya, dengan lebih 100,000 kotak telah dipasang, naik 60 peratus dalam tempoh tiga bulan.

“Trend pembayaran pelanggan juga menggalakkan, dan produksi tempatan, sukan siaran langsung global dan acara lapangan telah disambung semula,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Mengenai prospek, Astro terus berhati-hati pada separuh kedua tahun kewangan 2021 berikutan ketidaktentuan akibat pandemik Covid, perubahan struktur dalam industri media dan gejala cetak rompak yang berterusan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kerja sektor swasta merosot kepada 8.4 juta suku kedua 2020

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Pekerjaan di sektor swasta menurun kepada 8.4 juta pada suku kedua 2020 berbanding 8.6 juta yang direkodkan semasa suku pertama, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perangkaan yang diterbitkan dalam Statistik Guna Tenaga, suku kedua 2020 berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dijalankan ke atas pertubuhan swasta formal termasuk statistik permintaan buruh, merangkumi pekerjaan, jawatan yang dipenuhi, kekosongan jawatan dan pengwujudan pekerjaan mengikut kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada suku ini, kadar pekerjaan yang diisi jatuh 0.1 peratus berbanding dengan 97:45 peratus sebelumnya, menjadikan jumlah jawatan yang diisi kepada 8.2 juta, manakala peluang pekerjaan yang ditunjukkan melalui kekosongan jawatan adalah 170,000.

“Dengan kebanyakan aktiviti ekonomi tertangguh pada April, dan diberi kelonggaran beroperasi secara beransur-ansur sepanjang Mei dan Jun, perniagaan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, pergerakan penduduk yang terhad berikutan larangan pergerakan antara negeri telah memberi kesan kepada pendapatan perniagaan.

“Ini telah menyebabkan permintaan buruh yang berkurangan oleh industri yang mana dapat dilihat melalui bilangan kekosongan jawatan yang lebih rendah berbanding setahun yang lalu,” katanya.

“Kadar kekosongan turun 0.5 mata peratus dari tahun ke tahun kepada 2.0 peratus tetapi jika dibandingkan dengan suku sebelum ini, ia meningkat secara marginal sebanyak 0.1 mata peratus.

Lebih separuh daripada kekosongan adalah jawatan separuh mahir, manakala kekosongan jawatan mahir mewakili 23.1 peratus.

Mengikut aktiviti ekonomi, 55.1 peratus daripada kekosongan jawatan adalah dalam sektor pembuatan, terutamanya dalam pengeluaran komputer, produk elektronik dan optikal, produk getah dan plastik, produk kimia dan farmaseutikal serta produk makanan.

Bagi sektor perkhidmatan dengan sumbangan 17.3 peratus, sebahagian besar kekosongan adalah dalam industri perdagangan borong dan runcit, pengangkutan darat, gudang dan aktiviti sokongan untuk pengangkutan, makanan dan minuman, serta industri kewangan dan insurans

Walaupun permintaan buruh adalah lebih rendah, sebanyak 12,000 pewujudan jawatan direkodkan pada suku ini, yang mana ianya kurang separuh daripada purata pewujudan jawatan suku tahunan pada tahun lepas.

Menurut Mohd Uzir Mahidin lagi, komuniti perniagaan di Malaysia majoritinya adalah perusahaan kecil dan sederhana. Pakej rangsangan yang diperkenalkan secara berperingkat sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan membantu perniagaan ketika melalui fasa pemulihan ini

Dengan adaptasi normal baharu, perniagaan mula mengatur strategi bagi menangani permintaan pengguna yang berubah dan seterusnya menyebabkan perubahan keperluan bentuk kemahiran pekerja.

Katanya dari sudut penawaran buruh, pencari kerja perlu memanfaatkan kedudukan permintaan buruh semasa dengan menilai semula dan memperkukuh kemahiran serta pengetahuan dan seterusnya dapat mempertingkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja.

-BERNAMA