Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja perlu dipersembah nasihat yang tepat – Sultan Nazrin

TANJUNG MALIM, 17 OKT: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar raja dipersembahkan dengan sebaik-baik nasihat mengenai realiti yang sedang berlaku dan aspirasi majoriti rakyat agar institusi tersebut dapat memahami situasi semasa.

Baginda bertitah ia bagi membolehkan raja mengambil tindakan sewajarnya termasuk melakukan pengubahsuaian agar tidak dianggap sebagai cermin lama, sebaliknya terus kekal relevan.

“… agar raja, ketika bersemayam di takhta pemerintahan, benar-benar memahami lantas melakukan pengubahsuaian tatalaku dan tataurusan agar institusi ini kekal relevan, tidak dianggap sebagai cermin lama untuk melihat wajah yang tua.

“Sebaliknya institusi ini kekal dan terus dihargai sebagai institusi yang berperanan dan berfungsi, diiktiraf sebagai institusi yang dinamik dan bertenaga di samping berjaya merangkaikan tradisi dalam era modenisasi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Kesultanan Perak, Pameran Institusi Diraja Malaysia dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh: Legenda Pendidikan Global Malaysia di Muzium Pendidikan Nasional, Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini hari ini.

Dalam titah bertajuk ‘Menelusuri Jambatan Penghubung Raja dan Rakyat’, Sultan Nazrin menitahkan peserta seminar agar mencabar dan menganjakkan minda untuk menyeberangi sempadan baharu ketika membicarakan mauduk kesultanan.

“Pendekatan yang lebih kontemporari dan relevan wajib diteroka dalam hasrat mahu menyemai pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan apresiasi warga terutama warga muda terhadap sebuah institusi tradisi yang memberikan identiti kepada kerajaan dan negara Malaysia,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Nazrin juga bertitah agar pemahaman dan apresiasi terhadap institusi raja wajib dirakyatkan kerana jika gagal, ia akan bersifat elitis, berlegar dalam kalangan bangsawan serta elit akademik.

Sultan Nazrin juga menarik perhatian apabila menghalusi lirik korus lagu ‘tiga kupang’ berbunyi “raja dalam rumah buat kira-kira, suri dalam rumah makan roti gula”.

Baginda bertitah perkataan ‘kira-kira’ dalam lirik lagu itu bukan bermaksud raja membuat perkiraan matematik, sebaliknya membayangkan seorang raja ketika bersemayam tidak sekadar melahu atau ‘idle’, namun sentiasa berwaspada, melakukan perkiraan atau percaturan mengenai urusan pemerintahan dan negara.

“Lirik lagu ini menyelitkan secara tersirat mesej pendidikan, membolehkan anak sekolah mengenali dan menghargai raja. Minda anak-anak melalui nyanyian yang menghiburkan secara halus tetapi berkesan, disemai dan diasuh, mengenali peranan serta tanggungjawab berat seorang raja yang sentiasa memikirkan urusan negara,” titah Sultan Nazrin.

Dikenali sebagai seorang raja yang peka terhadap semua isu, Sultan Nazrin turut bertitah bahawa ketika ini, bangsawan sudah tinggal dalam sejarah kerana filem bertemakan raja dan istana sudah lama tidak diterbitkan.

“Hari ini fantasi yang digambarkan dalam hikayat lama, sudah tidak lagi memiliki nilai pasaran. Anak-anak pada era ini mempunyai daya fikir yang lebih kritikal, memiliki fantasi yang jauh lebih kompleks, lebih sofistikated,” titah baginda.

Mengambil contoh kisah Puteri Gunung Ledang yang difilemkan pada 2004, Sultan Nazrin bertitah skrip lama apabila diolah dan disuntik dengan dimensi baharu dan dipersembahkan dengan teknik terkini tetap mendapat sambutan generasi semasa.

“Terbukti, cerita lama tidak semestinya tidak bernilai dan tidak semestinya tidak dihargai lagi. Jika ada kebijaksanaan untuk disuntik dimensi baharu dan dipersembahkan dengan teknik baharu yang lebih saintifik, dengan plot cerita yang mengolah romantik baharu, cerita lama akan terus mendapat tarikan,” titah Sultan Perak.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sultan Nazrin lancar buku transformasi 150 tahun Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini melancarkan buku berjudul ‘Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State’.

Buku nukilan baginda setebal 500 helai itu memaparkan transformasi ekonomi dan sosial di Malaysia sejak 150 tahun.

Ia menjejaki evolusi Malaysia sekarang rentetan panjang perdagangan penjajah ketika Penglibatan Pangkor (Perjanjian Pangkor), pada 1874 kepada ekonomi yang luas dan beragam.

Buku itu dibahagikan kepada lima bahagian daripada 10 bab, merangkumi peristiwa dan transformasi serta orang yang melakukan perjalanan itu.

“Buku beta mencatat sejarah ekonomi negara sejak 150 tahun lalu yang menunjukkan ketekunan negara, perubahan institusi dan dalam jangka panjang ‘Berusaha untuk Pembangunan Inklusif’.

“Malaysia yang ada hari ini hasil sumbangan kolektif segenap lapisan masyarakatnya.

“Sejak zaman kanak-kanak hingga sekarang, beta mengalami bagaimana negara kita berkembang. Sama seperti beta yang semakin meniti usia, begitu juga negara menjadi moden dan global.

“Beta melihat bagaimana nasib rakyat berbolak-balik ketika putaran ekonomi dan bagaimana rakyat beralih daripada gaya hidup desa berasaskan pertanian kepada gaya hidup di bandar yang makmur,” titah baginda semasa melancarkan buku itu di St Regis Kuala Lumpur di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, dalam merungkai sejarah baginda melakukan banyak penelitian dan pencarian menerusi penyelidikan, menghabiskan banyak masa meneliti bahan arkib yang berdebu dalam perpustakan yang samar serta cuba untuk menyusan data yang rumit.

“Beta berbincang dengan ramai ilmuan dan ahli sejarah ekonomi serta berunding dengan pakar dalam banyak bidang.

“Terdapat beratus visi dan banyak semakan. Beta menghabiskan banyak malam dengan bersengkang mata meneliti buku yang besar. Beta percaya beta menemui perspektif baharu mengenai sejarah Malaysia, ” titah baginda.

Buku itu turut menjelaskan negara masih menghadapi cabaran besar dan kompleks.

Dalam membangunkan analisis terhadap masa lalu, buku itu menyimpulkan penilaian berpandangan ke hadapan terhadap cabaran ini dalam menetapkan visi Sultan Nazrin Shah untuk masa hadapan yang inklusif dan mampan.

Sebelum ini baginda pernah menghasilkan buku bertajuk “Charting the Economy: Early 20th Century Malaya and Contemporary Malaysian,” yang diterbitkan pada Januari 2017.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Aktiviti parti di rumah ibadat, Sultan Nazrin titah pemimpin politik menghadap

IPOH, 25 MEI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini menitahkan beberapa pemimpin parti politik di negeri ini untuk menghadap baginda susulan dakwaan segelintir pihak menggunakan masjid dan surau untuk aktiviti parti.

Antara pemimpin parti daripada Pakatan Harapan yang hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Perak; Pengerusi Parti Amanah negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PKR negeri , Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Menurut Anggota Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini pertemuan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kira-kira pukul 4 petang tadi.

“Istana akan mengeluarkan kenyataan berhubung pertemuan itu esok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Wanita UMNO dan Muslimat PAS Lumut dilapor mengadakan program di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar, manakala Pemuda UMNO di Masjid Al-Khairiah Kampung Banjar, Teluk Intan.

Selain itu, Surau Klebang Prima di sini turut dilapor digunakan dengan memaparkan kain rentang tertera logo UMNO dan PAS, manakala pemimpin utama PAS dibawa ke Surau Al-Ittihad, Kampung Temiang di sini.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

OKZ11: Ahli Parlimen Perak junjung kasih kepada Sultan Nazrin Shah

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (Pakatan) menyambut baik pengampunan diraja yang perkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ke atas 11 aktivis kerana membantah peralihan kuasa negeri itu, pada 2009.

Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) ketika ditemui menzahirkan ucapan terima kasih atas pengampunan yang diberikan sempena kehadiran bulan Ramadan.

“Mereka tidak membantah Tuanku (Sultan) tetapi ketidakadilan yang berlaku dalam rampasan kuasa.

Penganugerahan pingat Sultan Selangor kepada Raja Nazrin (9)“Mereka hanya ingin menegakkan keadilan. Kita memerlukan lebih ramai orang yang terus berjuang sebegini dan sistem demokrasi lebih telus di Malaysia,” katanya yang juga Adun Sitiawan.

Berita pengampunan itu dimaklumkan Nashita Md Noor iaitu isteri salah seorang aktivis, Bad Latif Mansor melalui Facebook.

OKZ11 mendapat pengampunan Sultan Nazrin Shah dan Lembaga Pengampunan Perak mealuli Peruntukan Pengampunan sempena Ramadhan dan Aidilfitri.

v sivakumarSementara itu, bekas Speaker DUN Perak, V Sivakumar berkata, pengampunan yang diberikan istana adalah tindakan adil dan berita gembira kepada ahli keluarga OKZ11 kerana ramai orang keliru ketika krisis negeri itu.

“Saya ketika itu menjadi Speaker yang membuat pengumuman perlantikan Zambry dan enam exco tidak sah kerana mengikut Perlembagaan Perak, Menteri Besar baru tidak boleh dilantik apabila sedia ada masih memegang jawatan itu.

“Zambry pada masa itu tidak peduli dan terus ke istana untuk melantik dirinya sebagai Menteri Besar. Ia menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka ke sana membuat protes,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah.

-NFN-