Categories
AGENDA NASIONAL

Gerak reformasi pentadbiran, jangan khianat amanah rakyat

SHAH ALAM, 14 DIS: Reformasi institusi harus segera digerakkan menjadi lebih baik, bertanggungjawab dan tidak mengkhianati amanah serta kepentingan rakyat.

Ketua pembangkang berkata pentadbiran juga perlu tegas menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Saya mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Tuanku Sultan yang mutakhir ini memberi gesaan terkait salah guna kuasa, rasuah dan percaturan elit politik.

“Saya fikir ia tidak hanya terbatas pada situasi politik di Perak, malah peringkat persekutuan juga,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan semalam.

Tegasnya, negara perlu kembali ke landasan, garis besar perjuangan dan keabsahan selain menghentikan imej serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba.

Pada 10 Disember, Sultan Perak bertitah pelantikan menteri besar negeri itu sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum ke-14 bukan satu kejayaan tetapi cerminan kegagalan ahli politik mendapat sokongan padu.

Baginda bertitah keadaan itu bukan sejarah yang perlu dibanggakan dan menggesa kemelut kepimpinan kerajaan negeri yang tercetus awal bulan ini ditamatkan.

 

Categories
NASIONAL

Sultan Nazrin lancar buku transformasi 150 tahun Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini melancarkan buku berjudul ‘Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State’.

Buku nukilan baginda setebal 500 helai itu memaparkan transformasi ekonomi dan sosial di Malaysia sejak 150 tahun.

Ia menjejaki evolusi Malaysia sekarang rentetan panjang perdagangan penjajah ketika Penglibatan Pangkor (Perjanjian Pangkor), pada 1874 kepada ekonomi yang luas dan beragam.

Buku itu dibahagikan kepada lima bahagian daripada 10 bab, merangkumi peristiwa dan transformasi serta orang yang melakukan perjalanan itu.

“Buku beta mencatat sejarah ekonomi negara sejak 150 tahun lalu yang menunjukkan ketekunan negara, perubahan institusi dan dalam jangka panjang ‘Berusaha untuk Pembangunan Inklusif’.

“Malaysia yang ada hari ini hasil sumbangan kolektif segenap lapisan masyarakatnya.

“Sejak zaman kanak-kanak hingga sekarang, beta mengalami bagaimana negara kita berkembang. Sama seperti beta yang semakin meniti usia, begitu juga negara menjadi moden dan global.

“Beta melihat bagaimana nasib rakyat berbolak-balik ketika putaran ekonomi dan bagaimana rakyat beralih daripada gaya hidup desa berasaskan pertanian kepada gaya hidup di bandar yang makmur,” titah baginda semasa melancarkan buku itu di St Regis Kuala Lumpur di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, dalam merungkai sejarah baginda melakukan banyak penelitian dan pencarian menerusi penyelidikan, menghabiskan banyak masa meneliti bahan arkib yang berdebu dalam perpustakan yang samar serta cuba untuk menyusan data yang rumit.

“Beta berbincang dengan ramai ilmuan dan ahli sejarah ekonomi serta berunding dengan pakar dalam banyak bidang.

“Terdapat beratus visi dan banyak semakan. Beta menghabiskan banyak malam dengan bersengkang mata meneliti buku yang besar. Beta percaya beta menemui perspektif baharu mengenai sejarah Malaysia, ” titah baginda.

Buku itu turut menjelaskan negara masih menghadapi cabaran besar dan kompleks.

Dalam membangunkan analisis terhadap masa lalu, buku itu menyimpulkan penilaian berpandangan ke hadapan terhadap cabaran ini dalam menetapkan visi Sultan Nazrin Shah untuk masa hadapan yang inklusif dan mampan.

Sebelum ini baginda pernah menghasilkan buku bertajuk “Charting the Economy: Early 20th Century Malaya and Contemporary Malaysian,” yang diterbitkan pada Januari 2017.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Nazrin perkenan pengerusi masjid, surau digantung tugas

IPOH, 26 MEI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik, digantung tugas, sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Sultan Perak hari ini, Dato’ Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, berkata, cadangan penggantungan tugas itu dibuat Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusof Husin.

Katanya, sementara penggantungan tugas itu, Sultan Nazrin menitahkan agar tanggungjawab pengerusi jawatankuasa masjid dan surau diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah, selaras dengan Peraturan 10(2), Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015.

“Baginda menitahkan Pengarah JAIPk melakukan siasatan lengkap untuk dipersembahkan kepada baginda mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah tidak bertauliah,” katanya.

Beliau berkata, ceramah berkenaan berlangsung di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, dan di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei serta program atas nama parti politik di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

Menurut Abd Rahim, Sultan Nazrin bertitah demikian semasa menitah menghadap Ketua Polis Perak. Datuk Razaruddin Hussain @ Abd Rasid; Pengarah JAIPk; Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang kini dipangku oleh Mohd Haidi Sulaiman, petang semalam.

Selain itu, Sultan Nazrin turut menitahkan pemimpin enam parti politik utama di Perak menghadap baginda iaitu Pengerusi BERSATU negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham; Pengerusi Amanah negeri, Asmuni Awi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad; Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria dan Pengerusi PKR negeri ,Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, petang semalam.

Abd Rahim berkata, Sultan Nazrin menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dilangsungkan dalam bangunan dan perkarangan masjid atau surau di Perak.

“Baginda disembah maklum, terdapat pemimpin daripada parti politik berceramah agama tanpa mendapat tauliah daripada MAIPk atas nama parti politik, dilangsungkan dalam masjid dan surau tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa agama Islam negeri.

“Setelah dipersembahkan taklimat, baginda berpuas hati terdapat asas kebenaran aduan yang diterima daripada ramai ahli kariah mengenai parti politik di Perak menganjurkan aktiviti dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau, juga pemimpin parti politik berceramah agama tanpa tauliah,” katanya.

Abd Rahim berkata, dalam sesi menghadap tersebut Sultan Nazrin menegaskan pendirian baginda selaku Ketua Agama Islam negeri untuk tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau.

Sultan Nazrin juga, kata Abd Rahim, merumuskan bahawa persaingan aktiviti yang semakin rancak oleh partii politik sama ada pemerintah atau pembangkang di masjid dan surau merupakan perkembangan sangat tidak sihat yang berpotensi menjejaskan kesucian rumah ibadat itu.

“Baginda bertitah parti-parti ini menggunakan pelbagai alasan, seperti khidmat masyarakat, program kebajikan, majlis ilmu, khatam al-Quran, bantuan, tetapi pada masa yang sama mempamerkan lambang parti politik masing-masing dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau,” katanya.

Katanya, baginda juga bertitah agar parti politik tidak menjemput penceramah tanpa tauliah daripada MAIPk dan jika program ceramah mahu dianjurkan dalam masjid atau surau ia perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa agama Islam negeri.

Baginda, katanya ,menzahirkan kebimbangan kariah masjid akan memiliki identiti dan asosiasi dengan parti politik tertentu jika program atas nama parti politik dibenarkan di rumah ibadat tersebut yang sewajarnya berperanan menyatukan ummah.

Selain itu, katanya, Sultan Nazrin menitahkan pemimpin politik di Perak agar memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadah umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan kepartian.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Aktiviti parti di rumah ibadat, Sultan Nazrin titah pemimpin politik menghadap

IPOH, 25 MEI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini menitahkan beberapa pemimpin parti politik di negeri ini untuk menghadap baginda susulan dakwaan segelintir pihak menggunakan masjid dan surau untuk aktiviti parti.

Antara pemimpin parti daripada Pakatan Harapan yang hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Perak; Pengerusi Parti Amanah negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PKR negeri , Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Menurut Anggota Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini pertemuan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kira-kira pukul 4 petang tadi.

“Istana akan mengeluarkan kenyataan berhubung pertemuan itu esok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Wanita UMNO dan Muslimat PAS Lumut dilapor mengadakan program di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar, manakala Pemuda UMNO di Masjid Al-Khairiah Kampung Banjar, Teluk Intan.

Selain itu, Surau Klebang Prima di sini turut dilapor digunakan dengan memaparkan kain rentang tertera logo UMNO dan PAS, manakala pemimpin utama PAS dibawa ke Surau Al-Ittihad, Kampung Temiang di sini.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Sultan Perak dikurnia Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 Jan: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.) dalam satu istiadat rasmi yang diadakan, di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Darjah Kerabat itu dianugerahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan ke-69 baginda, pada 11 Disember lalu.

Penganugerahan pingat Sultan Selangor kepada Raja Nazrin (1) (1)Istiadat pengurniaan itu turut disaksikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada 11 Disember lalu, 102 menerima darjah dan bintang kebesaran Selangor dalam satu istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-69, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Dua Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi turut dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran datuk.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rakyat pelbagai kaum beri penghormatan terakhir pada Almarhum Sultan Perak

KUALA KANGSAR, 29 Mei: Suasana pilu jelas terasa apabila rakyat tiba untuk menziarahi jenazah Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di pekarangan Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Masyarakat pelbagai lapisan dilihat tiba di pekarangan Istana Iskandariah seawal jam 8.30 pagi dan dibenarkan masuk ke balairung seri, tempat jenazah Almarhum disemayamkan setengah jam kemudian untuk memberi penghormatan terakhir.

Istiadat penghormatan orang awam ini berlangsung bermula jam 9 hingga 11.30 pagi dan akan disusuli orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing bermula jam 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari.

Tuanku-Sultan-Azlan-ShahMemetik BERNAMA, Sesi penghormatan terakhir untuk raja-raja Melayu, yang dipertua negeri, ketua negara dan ketua kerajaan pula akan bermula jam 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.

Alunan ayat-ayat suci al-Quran diperdengarkan beberapa kumpulan termasuk pelajar tahfiz, anggota kariah beberapa buah masjid dan Jabatan Agama Islam Perak sepanjang masa di balairung seri itu.

Terdahulu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar, Tuanku Zara dan kerabat diraja berangkat tiba di balairung seri itu.

Turut berada di dewan itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta pembesar negeri.

Rakyat jelata pelbagai kaum yang kebanyakannya berpakaian serba hitam sebagai tanda berkabung kemudian menuju ke peterana tempat disemayamkan jenazah Almarhum dan membacakan doa mengikut kepercayaan agama masing-masing sebelum berjalan keluar meninggalkan balairung seri.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor ucap takziah kemangkatan Sultan Perak

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 MEI: Kerajaan Selangor dan seluruh rakyat negeri itu merakamkan sembah takziah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Sha, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Ucapan takziah itu disampaikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui laman sosial Twitter dan Facebook miliknya.

“Sebagai tanda berkabung, Kerajaan Selangor akan mengibarkan bendera negeri ini separuh tiang bermula hari ini hingga hari pemakaman,”  katanya.

agungSelain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli turut menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga Almarhum Sultan Perak melalui statusnya di Twitter.

“Al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Perak, Tuanku Azlan Shah yang baru mangkat. Sepanjang saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Almarhum pernah hadir (ke MCKK) sebanyak empat kali dan saya sempat bersua muka dengan baginda,” katanya.

Almarhum yang juga Sultan Perak Darul Ridzuan ke-34 menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Ketika kemangkatan baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta anakanda baginda yang juga Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut berada di sisi.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir mengumumkan berita kemangkatan baginda dan seluruh negeri berkabung.

Selama tempoh perkabungan, bendera Negeri Perak perlu dikibarkan separuh tiang selama 100 hari, manakala bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang selama tempoh perkabungan tujuh hari.

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, selepas Asar esok (29 Mei).

-NFN-

Categories
NASIONAL

Sultan Azlan Shah mangkat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 MEI: Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah disahkan mangkat sekitar jam 1.30 tengah hari, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian Online, Almarhum yang juga Sultan Perak Darul Ridzuan yang ke-34 menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Tuanku-Sultan-Azlan-ShahKetika kemangkatan baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta anakanda baginda ynag juga Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut berada di sisi.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir mengumumkan berita kemangkatan baginda dan seluruh negeri berkabung.

Selama tempoh perkabungan, bendera Negeri Perak perlu dikibarkan separuh tiang selama 100 hari, manakala bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang selama tempoh perkabungan tujuh hari.

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas Asar esok (29 Mei).

Baginda yang dilahirkan pada tahun 1928 di Batu Gajah ditabal secara rasmi sebagai Sultan Perak pada 9 Disember 1985 dan pernah bergelar Yang di-Pertuan Agong Malaysia kesembilan.

-NFN-