Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor sukacita inisiatif LZS bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 24 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa sukacita dengan usaha dan inisiatif Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh Selangor pada 18 Disember tahun lalu.

Ia susulan tindakan proaktif LZS mengagihkan sumbangan awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berupa 5,000 pek makanan bermasak, makanan kering dan barang keperluan harian seperti mana dititah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda menitahkan agensi Kerajaan Negeri itu menyegerakan bantuan kepada mangsa terjejas di setiap daerah sebaik dimaklumkan mengenai bencana terburuk dalam tempoh 20 tahun itu.

“Bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM600 kepada mangsa banjir dalam kalangan asnaf dan bukan asnaf turut disalurkan.

“LSZ turut menyediakan platform portal, LZS Peduli untuk menyegerakan dan mempermudah proses permohonan bantuan,” menurut Selangor Royal Office menerusi Facebook.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop (kanan) melihat keaadaan rumah mangsa banjir ketika LZS turun padang menjalankan bancian dan semakan di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sultan Selangor berharap bantuan LZS itu dapat mengurangkan beban mangsa banjir yang terkesan dan berupaya membantu mereka bangkit kembali selepas dilanda musibah.

LZS mengeluarkan bantuan zakat kepada 47,413 penerima dalam kalangan mangsa bencana itu berjumlah RM37.17 juta sehingga 31 Disember tahun lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jemaah sambut baik kebenaran guna ruang sepenuhnya tunai solat Jumaat

SHAH ALAM, 21 JAN: Jemaah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini menyambut baik kebenaran menggunakan sepenuhnya ruang solat bermula hari ini.

Tinjauan SelangorKini mendapati kebenaran itu diguna sebaik mungkin dengan ramai jemaah memasuki Masjid Negeri dengan masing-masing masih kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menunaikan solat sunat Jumaat.

Petugas masjid juga masih memantau dengan memastikan jemaah yang hadir lengkap divaksinasi serta mendaftar MySejahtera.

Roslan Khairudin, 50. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Pekerja sektor gas dan minyak, Roslan Khairudin, 50, berkata ini adalah peluang terbaik buat umat Islam kembali menunaikan solat Jumaat.

“Mungkin ada yang tidak berkesempatan jadi ini adalah masanya. Gunakan ruang masjid yang besar untuk kembali melakukan perkara yang wajib.

“Saya harap ia dikekalkan, saranan untuk rapatkan saf bagi saya waktu ini belum sesuai cuma pastikan SOP dikekalkan,” katanya hari ini.

Hairul Hakimi Ahmad, 36. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Pekerja bank, Hairul Hakimi Ahmad, 36, berkata kebenaran ini adalah titik pemulaan positif buat umat Islam mengerjakan ibadah secara berjemaah.

“Saya harap dalam tempoh tiga, empat minggu ini kita lihat perkembangannya jika tiada kes membabitkan jemaah adalah lebih baik kita rapatkan saf.

“Jika perkara lain mudah sahaja dibenarkan, jadi kita mudahkan juga urusan mereka yang ingin beribadah,” katanya.

Noor Zulhaziq Noor Zulhilmi, 16. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Bagi pelajar Noor Zulhaziq Noor Zulhilmi, 16, kebenaran ini secara tidak langsung dapat mengelaknya dari terlepas menunaikan solat Jumaat.

“Sebelum ini kena daftar mengikut aplikasi jika terlewat memang akan terlepas dan perlu cari masjid lain.

“Alhamdulilah kebenaran ini memudahkan semua pihak dan harap ia akan terus kekal seperti ini,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat dan ruang limpah masjid serta surau bagi menunaikan solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan membenarkan penetapan jarak satu meter antara jemaah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor lancar buku bekas ketua audit negara

SHAH ALAM, 20 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyempurnakan pelancaran buku Dari AS ke AG – Kenangan seorang pegawai PTD tulisan bekas ketua audit negara

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ambrin Buang kerana menghasilkan buku berkisar pengalaman sepanjang 46 tahun dalam perkhidmatan awam

“Beta mengenalinya (Amrin) semenjak beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor yang ketika itu Beta adalah Pemangku Raja Selangor.

“Beta berterima kasih atas khidmat bakti yang dicurahkan terutama ketika berkhidmat di Selangor,” titah Baginda sambil menyifatkan Ambrin pegawai yang cemerlang.

Sultan Selangor juga berharap buku berbahasa Inggeris bakal mendorong lebih ramai pegawai perkhidmatan awam berkongsi pengalaman sepanjang karier mereka.

“Beta menggalakkan budaya suka menulis buku ditanamkan pada fikiran setiap pegawai perkhidmatan awam agar buku dihasilkan dapat menyumbang kepada penambahan khazanah ilmu di negara ini khususnya di Selangor,” titahnya.

Pelancaran berlangsung di Hotel Concorde di sini. Hadir sama, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali.

Ambrin berkhidmat selama 35 tahun mulai 1971 sebagai penolong setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian manakala jawatan terakhirnya ketua setiausaha di Kementerian Pelajaran pada 2006.

Jawatan penting yang pernah disandang antaranya timbalan ketua pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, timbalan pengarah (pengurusan) Institut Tadbiran Awam Negara dan pengurus besar kanan KL International Airport Berhad.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua audit negara selama 11 tahun sebelum bersara pada 2017.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan harap penjawat awam jauhi rasuah, amanah ketika bertugas

SHAH ALAM, 20 JAN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap penjawat awam khususnya di Selangor mempunyai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Beta berharap agar penjawat awam menjalankan tugas dengan amanah, menjauhi rasuah dan peka dengan masalah yang dihadapi rakyat,” titah baginda di Majlis Pelancaran Buku From AS to AG – Reminiscence of a PTD Officer karya Tan Sri Ambrin Buang di sini, hari ini.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan hadir di majlis itu.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali.

Baginda bertitah Ambrin merupakan Ketua Audit Negara paling lama iaitu selama 11 tahun dan telah mengemudi tugasnya dengan cemerlang.

“Beta berterima kasih atas khidmat bakti ketika beliau berkhidmat di Selangor,” titah baginda.

Ambrin yang telah berkhidmat di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selama 46 tahun, pernah menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dari 1999 hingga 2001.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan perkenan pembukaan DUN Selangor pada 14 Mac

SHAH ALAM, 20 JAN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Ke-14, 2022 yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 14 Mac depan.

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata pembukaan sidang DUN kali ini akan dilaksanakan dengan penuh istiadat termasuk pemeriksaan kawalan kehormat dan istiadat santapan dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.

“Persidangan kali ini dilaksanakan seperti yang dijadualkan dan mendapat perkenan Sultan Selangor untuk istiadat pembukaan. Perbincangan ahli dewan akan berdasarkan titah ucapan baginda yang akan menyentuh berhubung insiden banjir baru-baru ini dan lain-lain isu.

Pertanyaan mulut dan bertulis juga kita jangka perkara ini yang akan (banyak) dibangkit (isu banjir). Itu mungkin antara agenda utama akan dibahaskan oleh ahli dewan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ditanya adakah sidang DUN Khas untuk membincangkan isu banjir akan diadakan, Ng berkata beliau setakat ini belum menerima usul berhubung pelaksanaan sidang itu daripada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

“Jadi kita mungkin akan teruskan kepada istiadat pembukaan bulan Mac ini seperti yang dijadualkan. Mungkin tidak ada (sidang DUN Khas),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah dibenar penuhi ruang solat, Sultan seru kekal patuhi SOP

SHAH ALAM, 20 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru jemaah kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) susulan kebenaran menggunakan sepenuhnya ruang solat masjid dan surau.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mahu setiap jemaah lengkap suntikan dua dos vaksin dan dos penggalak Covid-19.

“Menerusi setiap keputusan yang diambil, Baginda sentiasa memikirkan keselamatan nyawa rakyat di Selangor. Ini kerana mengikut statistik semasa, jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor sahaja telah melebihi 10,000 orang,” jelas kenyataan itu.

Kelmarin, Sultan Selangor berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat dan ruang limpah masjid serta surau bagi menunaikan solat Jumaat mulai esok dengan jarak satu meter.

Sebelum ini, Selangor membenarkan 400 hingga 2,000 orang menunaikan solat Jumaat mulai 1 November kecuali 3,500 orang di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Untuk solat fardu, antara 200 hingga 500 orang dibenarkan, bergantung kepada kategori masjid dan surau dengan jarak 1.5 meter antara makmum bagi membendung penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan benar gunakan sepenuhnya ruang masjid untuk solat Jumaat

SHAH ALAM, 18 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat dan ruang limpah masjid dan surau bagi menunaikan solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan membenarkan penetapan jarak satu meter antara jemaah.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan surat ketetapan berhubung kebenaran itu akan dikeluarkan dan diedarkan kepada 427 masjid serta 316 surau terlibat dalam tempoh terdekat.

“Ketetapan ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah jemaah dibenarkan melalui ketetapan terakhir Jais pada November lalu.

“Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kepada jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berharap ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda dalam mengerjakan solat Jumaat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor gesa graduan UPM sanjung tinggi perlembagaan, undang-undang

SERDANG, 13 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) agar sentiasa menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara.

Baginda juga mengingatkan para graduan agar bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara sekali gus menjadi warganegara bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.

“Beta ingin menggesa para graduan, berjuang untuk meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat yang lebih tinggi dengan ilmu yang dipelajari,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-44 di sini semalam.

Sultan Sharafuddin yang juga Tuanku Canselor UPM dalam titahnya turut menyentuh peranan universiti bukan sahaja untuk menyediakan graduan bagi memenuhi pasaran kerja malah melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk menjadi individu yang aktif, bertanggungjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tinggi tatacara kehidupan insaniah.

“Graduan seperti ini akan membawa rahmat dan kesejahteraan kepada insan lain dan alam persekitaran serta akhirnya menjamin masa depan yang lestari. Kejayaan diraih bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi keperibadian diri graduan,” titah Baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin juga bertitah Pelan Strategik UPM 2021-2025 dilancarkan pada Disember lepas mampu memperkukuh universiti berkenaan sebagai menara ilmu yang memacu kecemerlangan.

Baginda bertitah UPM memberi fokus kepada lima strategi utama di bawah pelan strategik iaitu memacu pertanian berteknologi tinggi; membangun karektor graduan; menaja kampus pintar dan pendigitalan; memastikan kesempurnaan institusi yang mantap dan melaksanakan pembudayaan norma baharu.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menitahkan warga UPM termasuk para graduan yang bakal menjadi alumni untuk menyokong pelaksanaan pelan strategik itu.

“Beta difahamkan pengurusan universiti ini sentiasa melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan untuk mengangkat UPM sebagai sebuah menara ilmu melalui peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional terhadap masyarakat,” titah Baginda.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenan menyampaikan Pingat Emas Canselor kepda Aini Nazihah Hasan ketika Istiadat Konvokesyen UPM ke-44 pada 12 Januari 2022. Foto BERNAMA

Pada istiadat konvokesyen itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan memasyhurkan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim sebagai Pro Canselor UPM selama tempoh tiga tahun mulai 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Baginda juga berkenan menyampaikan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin@Hassan (Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik Dengan Kepujian) Fakulti Sains dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil (Ijazah Sarjana Muda Sains Hortikultur) Fakulti Pertanian.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia Fakulti Ekologi Manusia, Chow Heng Yee pula menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera).

Sultan Selangor turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan warga UPM atas kejayaan berada di tangga 143 dalam penarafan QS World University Ranking 2022 serta kejayaan mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan ranking ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2021.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

145 individu dari tujuh daerah terima pingat Sultan Selangor

SHAH ALAM, 11 JAN: Seramai 145 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74.

Semua penerima terbabit dari tujuh daerah iaitu Hulu Selangor; Gombak; Hulu Langat; Kuala Langat; Kuala Selangor; Sabak Bernam dan Sepang.

Seramai 20 individu dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) manakala 25 Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC); 64 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 36 individu pula Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).

Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj yang mewakili Sultan Sharafuddin di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz hari ini.

Barisan penerima pingat kebesaran pada Istiadat pengurniaan sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

PPT dianugerah kepada individu yang melakukan sesuatu perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala PPC terdiri pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan yang sedang atau berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri dengan cemerlang serta mempunyai kelakuan terpuji.

PJK pula dianugerahkan kepada individu yang lama berkhidmat dan berjasa untuk Selangor, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik.

Manakala PPS dianugerah kepada individu terdiri kakitangan kerajaan yang sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama Kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Timbalan Speaker Hasnul Baharuddin dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pengurniaan pingat kebesaran bagi 2019 ini tertangguh susulan Covid-19 dan bertujuan menghargai jasa serta sumbangan bakti dicurahkan individu terbabit kepada masyarakat dan negeri.

Semalam seramai 209 individu dari daerah Petaling dan Klang menerima pingat kebesaran sempena sambutan ulang tahun yang sama.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

209 individu terima pingat kebesaran Sultan Selangor bagi 2019

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 209 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74.

Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS) dikurniakan kepada penerima dari daerah Petaling dan Klang.

PPT dianugerah kepada 32 individu yang melakukan sesuatu perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala 41 penerima PPC terdiri pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan yang sedang atau berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri dengan cemerlang serta mempunyai kelakuan terpuji.

PJK pula dikurnia kepada 97 individu yang lama berkhidmat dan berjasa untuk Selangor, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik.

Sementara PPS dianugerah kepada 39 individu terdiri kakitangan kerajaan yang sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama Kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.

Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj, yang mewakili Sultan Sharafuddin di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pengurniaan pingat kebesaran bagi 2019 yang tertangguh susulan Covid-19 bertujuan menghargai jasa dan sumbangan bakti dicurahkan individu terbabit kepada masyarakat dan negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor harap tahun 2022 bawa lebih banyak khabar gembira

SHAH ALAM, 31 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta Tengku Permaisuri Norashikin berharap tahun 2022 akan membawa lebih banyak khabar gembira buat rakyat dan sentiasa dalam lindungan Allah.

“Semoga tahun 2022 akan membawa lebih banyak khabar gembira buat sekalian rakyat jelata, kemakmuran berterusan, kesejahteraan yang berpanjangan dan sentiasa di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala,” titah Baginda menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office.

Susulan bencana banjir besar yang melanda pada 18 Disember, Kerajaan Negeri memutuskan tiada sambutan ambang tahun baharu 2022 diadakan.

Sebaliknya ia diganti dengan majlis solat hajat dan munajat supaya dijauhi musibah.

Categories
SELANGOR

Sultan, Tengku Permaisuri berkenan ucap Selamat Hari Natal

SHAH ALAM, 25 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri berkenan mengucapkan Selamat Hari Natal kepada penganut Kristian hari ini.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin turut menyampaikan ucapan sama kepada semua yang meraikan perayaan tersebut.

“DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada penganut agama Kristian dan semua yang meraikannya,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.