Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan titah perkemas pelan tindakan hadapi banjir luar jangka

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah pelan tindakan komprehensif perlu diperkemas bagi berdepan bencana banjir luar jangka.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pelan sedemikian dapat memastikan tindakan pantas dapat diambil sekali gus menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Baginda juga menitahkan semua pihak bertanggungjawab supaya menyegerakan bantuan ke seluruh pelosok kawasan terjejas banjir.

“Baginda turut mengarahkan agar Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menghulur bantuan ke pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal,” menurut kenyataan Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin turut terharu melihat semangat kerjasama masyarakat dan kumpulan sokongan yang membantu antara satu sama lain ketika berdepan situasi meruncing.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha itu diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil

SHAH ALAM, 21 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Turut berangkat ke majlis di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Facebook Selangor Royal Office memaklumkan turut hadir ialah anakanda-anakanda Almarhum antaranya YAM Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Alhaj, YAM Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj, YAM Tengku Puteri Hajah Zahariah serta Orang-Orang Besar Istana.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada 21 November 2021. Foto Facebook Selangor Royal Office

Hari ini genap 20 tahun Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang juga Sultan Selangor kelapan mangkat pada 21 November 2001 dan dimakamkan di Makam Diraja Klang.

Baginda diputerakan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar Temasya, Kuala Langat dan mangkat jam 11.57 pagi, 21 November 2001 bersamaan 5 Ramadan 1422 Hijrah pada usia 75 tahun.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan sukacita 85 peratus rakyat Selangor lengkap vaksin

SHAH ALAM, 18 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan sukacita dengan perkembangan kadar vaksinasi rakyat negeri ini yang mencecah 85 peratus.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dimaklumkan perkara itu selepas berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Istana Kayangan di sini hari ini.

“Pada pertemuan itu Khairy memberi taklimat kepada Sultan Selangor mengenai perkembangan terkini penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Khairy turut menyampaikan laporan terkini mengenai isu antivaksin dan tindakan yang sedang diambil oleh kementerian,” kata kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Dalam pertemuan itu juga Sultan Sharafuddin menyarankan supaya tumpuan dan pelan jangka pendek yang berkualiti diberi kepada perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental negeri ini.

Baginda bersama Khairy turut membincangkan kepentingan fasiliti geriatrik di hospital bagi menampung peningkatan populasi warga emas.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berangkat sama di majlis berkenaan.

Setakat 3 petang tadi, statistik laman CovidNow menunjukkan 69.7 peratus atau bersamaan lebih 22.767 juta rakyat negara ini lengkap vaksinasi.

Dari jumlah berkenaan, 93.8 peratus daripada golongan dewasa 18 tahun ke atas manakala remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebanyak 25.6 peratus.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan seru rakyat segera ambil vaksin, kembali hidup normal

SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat negeri ini segera mengambil vaksin supaya kehidupan normal mampu dikembalikan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga tidak mahu rakyat mementingkan diri dengan menolak suntikan vaksin yang boleh menjejaskan sasaran negara mencapai imuniti kelompok.

Baginda turut menzahir penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang merawat dan menguruskan wabak Covid-19 khususnya kakitangan hospital dan pihak lain terlibat termasuk pengurusan jenazah dan pengebumian.

Dalam kenyataan Facebook Selangor Royal Office pada 30 Ogos, Sultan Selangor juga terharu dengan pengorbanan mereka dan mendoakan urusan mereka dipermudah sepanjang memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Baginda ingin mengingatkan kepada rakyat jelata agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 masing-masing,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahir ucapan Selamat Hari Kemerdekaan ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Baginda berdua juga mengajak rakyat menghayati erti kemerdekaan sebenar di samping menghargai perjuangan tokoh terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara pada 1957.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ahli politik harus galas mandat rakyat, patuh titah Sultan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Semua ahli politik harus bertanggungjawab dan melaksanakan tugas mengikut mandat rakyat, kata timbalan speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Hasnul Baharuddin berkata perebutan kuasa tidak seharusnya berlaku dan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor semalam harus menjadi ingatan.

“Sudah tentu titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkait dengan suasana DNS meskipun kemungkinan untuk berlaku perebutan kuasa itu amat rendah tetapi ingatan Tuanku perlu dipatuhi.

“Setiap ahli politik harus bertanggungjawab dan melaksana tugas mengikut mandat rakyat…sebagai wakil rakyat kita perlu menumpukan usaha menangani penularan wabak Covid-19,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib berkata demikian menerusi rancangan Bual Bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam ini.

Semalam, Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DNS ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Baginda bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan titah umat Islam contohi nabi, tinggalkan sifat khianat, sebar berita palsu

SHAH ALAM, 9 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam mencontohi sifat terpuji Nabi Muhammad SAW dengan membuang segala sifat negatif termasuk hasad dengki dan fitnah di media sosial.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sifat negatif boleh meruntuhkan perpaduan ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang.

“Jauhilah perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik,” titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Menerusi perutusan sempena Sambutan Ma’al Hijrah baginda berharap sambutan kali ini dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran dan kefahaman, pentingnya penghayatan nilai murni dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat, dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Ma’al Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan titah kukuhkan perpaduan, jauhi sengketa

SHAH ALAM, 23 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah supaya rakyat sentiasa bermuafakat dan saling membantu bagi mengukuhkan persaudaraan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat perlu mengambil iktibar pelaksanaan ibadah haji dan korban yang mengajar pengukuhan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.

“Ibadah haji menuntut umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan warna kulit berkumpul bersama-sama sebagai satu jemaah dengan satu tujuan, iaitu semata-mata mahu mengabdikan diri kepada Allah.

“Begitu juga dengan ibadah korban bertujuan mendekatkan diri kepada Allah. Sebagai umat yang bersaudara, kita seharusnya mengelakkan persengketaan, jauhi fitnah dan berburuk sangka sesama sendiri,” menurut kenyataan dikeluarkan Facebook Selangor Royal Office malam tadi.

Sultan Sharafuddin turut mendoakan hubungan persaudaraan rakyat sentiasa kukuh dan masyarakat hidup aman serta harmoni supaya menjadi benteng daripada serangan musuh Islam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sultan nasihat umat Islam tabah, jangan putus doa

SHAH ALAM, 11 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menasihatkan umat Islam di negeri ini kekal tabah serta bersabar dengan penularan Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah wabak yang melanda adalah ujian dan dugaan supaya umat Islam sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT.

“Baginda mahu seluruh umat Islam di Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar menghapuskan wabak berbahaya ini,” maklum kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita terhadap dua perkara susulan penularan wabak berbahaya yang melanda negara sejak tahun lalu iaitu :-

Pertama, baginda sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid dan surau di seluruh negeri dan;

Kedua, baginda sedih serta dukacita apabila melihat peningkatan angka-angka kematian akibat Covid-19 di seluruh pelusuk negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor dan Permaisuri bangga kejayaan ‘Damok’, inspirasi anak muda

SHAH ALAM, 15 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba motosikal negara, Syarifuddin Azman atas kejayaan menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol, Ahad lalu.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan syabas kepada pemuda berusia 19 tahun kelahiran Puchong, Selangor yang merakam sejarah tersendiri apabila berjaya menaiki podium menewaskan pelumba tuan rumah.

“Baginda berharap pencapaian ini akan terus membakar semangat Syarifuddin yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Damok’ untuk melakar lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa, seterusnya menjadi inspirasi kepada anak-anak muda lain,” menurut kenyataan itu.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat, mengatasi dua pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 30 mata selepas tiga pusingan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor doakan Agong teruskan pemerintahan adil, bijaksana

SHAH ALAM, 6 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor mendoakan Yang di-Pertuan Agong dapat terus memerintah negara dengan adil lagi bijaksana berdasarkan Perlembagaan Negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 7 Jun ini.

“Paduka Kekanda mendoakan semoga Seri Paduka Adinda dilanjutkan usia, sihat wala’afiat dan sentiasa berada di dalam pemeliharaan Allah.

“Paduka Kekanda berharap agar Seri Paduka Adinda dapat terus memerintah negara Malaysia ini dengan adil lagi bijaksana berdasarkan Perlembagaan Negara,” titah baginda seperti dikongsi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Selangor juga turut mendoakan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bersabar dalam situasi yang melanda negara pada ketika ini.

“Melihat kepada situasi semasa ketika ini, Paduka Kekanda juga berharap Seri Paduka Adinda sentiasa bersabar dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, berlandaskan agama Islam seperti firman Allah di dalam Al-Quran.

“Semoga Seri Paduka Adinda terus bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan Malaysia dengan beroleh kemuliaan dan kesejahteraannya,” titah baginda.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan, Permaisuri mahu umat Islam jadikan al-Quran sebagai panduan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta Tengku Permaisuri Selangor berkenan agar umat Islam sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Norashikin juga mahu muslimin dan muslimat mengambil pengajaran yang terkandung dalam kitab suci itu.

“Al-Quran telah mengangkat Islam sebagai sebuah agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi untuk kehidupan seluruh manusia.

“Bersempena sambutan Nuzul Quran hari ini, baginda berdua menyeru umat Islam agar menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa turunnya kitab suci Al-Quran itu,” kata kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Nuzul Quran disambut setiap tahun pada tanggal 17 Ramadan bagi mengingati peristiwa turunnya al-Quran ke muka bumi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan terima zakat niaga RM3.6 juta dari dua syarikat korporat

SHAH ALAM, 23 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor semalam berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM3.6 juta daripada dua syarikat korporat.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima RM2.4 juta menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) manakala RM1.2 juta (Kumpulan Syarikat Rafulin).

MBI diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Norita Mohd Sidek manakala Kumpulan Syarikat Rafulin, Pengarah Urusan Dato’ Mohamed Raffee Chekku.

Penyerahan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sultan Sharafuddin ditemani DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi LZS Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop.