Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Titah Sultan Selangor dalam isu murtad

Berikut kenyataan akhbar Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Alhaj

DYMM Sultan Selangor melahirkan rasa amat dukacita dengan sikap dan tingkah laku segelintir individu umat Islam di Negara kita khususnya di Selangor yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan aqidah dan keislaman mereka. Baginda menegaskan apa-apa juga iktikad (pernyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan oleh mana-mana orang Islam yang berhasrat untuk keluar dari agama lslam dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincirnya aqidah dan menyebabkan terkeluarnya seseorang itu dari agama Islam.

Asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui akan keesaan Allah SWT dengan mengucap kalimah syahadah dan seorang Islam perlulah sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya Allah S.W.T. yang berhak disembah dan nabi Muhammad S.A.W. sebagai pesuruh Allah S.W.T. Seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya adalah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan aqidah sepanjang kehidupannya.

Sehubungan dengan itu tindakan segelintir umat lslam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar dari agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan Allah S.W.T. Baginda Sultan sangat berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah SWT kepada umat Islam, maka hendaklah kita menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa (aman) atau kepayahan.

Malah, betapa seriusnya kesalahan perbuatan murtad ini digambarkan di dalam bentuk hukuman mengikut hukum syara’ bagi seseorang yang murtad atau keluar dari agama Islam dan yang telah diberi peluang untuk bertaubat namun tidak mahu bertaubat adalah boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti para ulamak termasuk mazhab imam Syafi’e.

Sehubungan dengan itu Baginda menasihatkan umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada aqidah Islam dan tidak mudah terpesong dari aqidah Islam sebenar. Tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menguatkuasa undang-undang adalah suatu tindakan dan proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang. Malah Baginda telah menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat. Kita sebagai umat lslam dan rakyat di Negara ini khususnya di Selangor seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosidur yang telah digariskan di bawah undang-undang.

Baginda turut menegaskan bahawa Mais dan Jais sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan umat Islam di negeri Selangor ini atas sebarang perkara mengenai hal ehwal Islam, sama ada yang bersifat umum atau peribadi.

Akhir kata, Baginda juga menitahkan agar Mais dan Jais sentiasa memelihara dan mempertahankan Aqidah Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani

 

Categories
BERITA UTAMA

DYMM Sultan Sharafuddin ziarah makam bonda

SHAH ALAM, 11 DIS: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menziarahi makam bonda baginda menjelang Hari Keputeraan ke-75.

Menurut Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin menziarahi makam Almarhumah Raja Saidatul Ihsan Almarhum Raja Bendahara Tengku Badar Shah yang mangkat pada 31 Mei 2011 di Makam Diraja Shah Alam semalam.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta adinda baginda Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.

Setiap tahun menjadi kelaziman Sultan Sharafuddin menziarahi makam berkenaan menjelang Hari keputeraan baginda.

Makam Almarhumah Raja Saidatul Ihsan Almarhum Raja Bendahara Tengku Badar Shah yang mangkat pada 31 Mei 2011 di Makam Diraja Shah Alam. Foto Facebook Selangor Royal Office.
Categories
BERITA UTAMA RENCANA

DYMM Sultan Sharafuddin minati lukisan peristiwa, potret

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Di sebalik kegemaran terhadap kegiatan sukan lasak, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mencintai bidang seni terutama lukisan. Malah, baginda memiliki koleksi potret dan susur-galur keluarga baginda.

Baginda juga menggemari lukisan berdasarkan peristiwa bersejarah di negara ini, antaranya pengisytiharan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan perjanjian penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.

Mengikut Berita Harian, peristiwa itu dilakar semula melalui lukisan bersaiz besar. Bagi menjayakannya, baginda memberi kepercayaan kepada Datuk Azman Yusof sebagai Pelukis Diraja Selangor pada 18 Mac 2010.

Bakat Azman menghasilkan karya berbentuk potret, pemandangan mahupun peristiwa amat dikagumi baginda. Malah, karya Azman turut disukai orang ramai kerana hasil kerjanya penuh estetika.

Selain itu, baginda pernah meminta kakitangan memperaga pakaian seragam pasukan keselamatan dan busana istiadat lama yang ada dalam simpanan untuk dilukis semula bagi menghargai sejarah lampau.

Sultan Sharafuddin juga pernah meminta Azman melukis semula beberapa setem kesayangan baginda. Lukisan itu kemudian dipamer di ruang Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah di Klang.

Bagi berkongsi minat terhadap seni itu bersama rakyat, baginda mempamerkan segala hasil lukisan di bangunan dua tingkat itu yang dibuka kepada umum sejak 19 Oktober 2007.

Galeri itu tidak hanya mempamerkan karya lama sahaja malah menempatkan karya baharu di situ.

Mengikut majalah Massa pada 2003, Sultan Selangor juga meminati kraftangan. Baginda memiliki pelbagai koleksi dalam dan luar negara.

Minat itu melambangkan keperibadian baginda yang menghargai kemampuan dan kebolehan individu berkemahiran.

Mengikut Utusan Malaysia pada 2003, Sultan Sharafuddin kerap menyarankan kursus atau bengkel khas untuk golongan wanita mendalami pengetahuan kraftangan tempatan sebagai warisan bangsa.

Baginda berpandangan bidang itu mampu pergi jauh dan dijadikan aktiviti untuk menambah pendapatan keluarga. Kenyataan itu menunjukkan baginda tidak mahu kraftangan lapuk ditelan zaman.

Baginda juga pengerusi Galeri Shah Alam dan pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan pada 1991.

Galeri seni

Pada tahun sama, Galeri Seni berhampiran Taman Tasik Shah Alam dibangunkan Yayasan Seni Selangor yang kekal berfungsi hingga kini. Proses ubah suai galeri itu menelan belanja kira-kira RM500,000 dengan menampilkan ciri-ciri ukiran tradisional. Galeri itu dirasmikan ayahanda baginda.

Sultan Sharafuddin yang ketika itu bergelar Raja Muda menitahkan galeri itu dijadikan pameran karya pelukis tempatan dan menjadi pusat kegiatan seni berikutan Selangor ramai pelukis tempatan berbakat.

Ketika mula beroperasi, galeri itu mempamerkan hampir 300 lukisan hasil karya 90 pelukis.

Ketika masih pemangku Raja Selangor, baginda juga mencadangkan Shah Alam dijadikan bandar seni dan budaya. Langkah itu dapat menggerakkan lebih banyak kegiatan seni dan budaya selain menjadi tarikan penggiat industri untuk menghasilkan karya bermutu tinggi.

Pada 31 September 2017, Sultan Selangor berkenan merasmikan pameran koleksi peribadi baginda di Galeri Prima Balai Berita Bangsar. Melalui pameran bertema ‘Terrains of the heart’, sebanyak 33 lukisan 14 pelukis tempatan dipamer antara 25 September hingga 20 Oktober tahun sama.

Selain koleksi peribadi, pameran itu turut memperaga 47 foto baginda seawal tahun 1950-an. Pameran itu mencipta sejarah kerana ia galeri pertama di negara ini yang mempamer koleksi baginda kepada umum.

Selain itu, baginda turut menggemari bidang fotografi selain mengumpul setem, topi, keris dan senjata Melayu lama.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terima zakat niaga RM44.6 juta

SHAH ALAM, 13 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada 12 syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM44.6 juta di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Lembaga Tabung Haji diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Nik Mohd Haasyudeen mendahului senarai syarikat korporat pertama dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 sebanyak RM24.1 juta.

Diikuti Central Sugars Refinery Sdn Bhd menerusi Pengerusi Eksekutif, Datuk Bakry Hamzah dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM5.11 juta.

Manakala, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM2.66 juta diwakili CEO, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain, diikuti Pemerbadanan Menteri Besar Selangor diwakili Pemangku CEO, Soffan Affendi Aminudin menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM2.45 juta.

Kumpulan Worldwide Holdings Berhad turut menunaikan sejumlah RM2.01 juta zakat perniagaan tahun 2019 menerusi CEO Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria diikuti Ekuiti Nasional Berhad diwakili CEO, Tuan Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.7 juta.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.52 juta bagi tahun kewangan 2019 disampaikan oleh Pengerusinya, Dato’ Nor Azmie Diron, diikuti Malaysian Allied Health Sciences Academy Sdn Bhd diwakili Pengerusi Eksekutif, Profesor Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.32 juta.

Bank Islam Malaysia Berhad pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.21 juta diserahkan Pengerusi BIMB Holdings, Tan Sri Ambrin Buang.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor diwakili Pengurus Besar Kumpulan, Tamby Omar Mohammed dan Sime Darby Property Berhad mewakilkan Pengarahnya, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah AlHaj masing-masing menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1 juta.

Kumpulan Semesta Sdn Bhd diwakili CEO, Abdul Rahman Ishak menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah M504,526.40.

Upacara penyerahan zakat turut diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor seru rakyat biasakan norma baharu

SHAH ALAM, 5 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat terus membiasakan diri dengan amalan norma baharu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sultan Sharafuddin bertitah walaupun perintah kawalan kini diberi kelonggaran membuka semula sektor ekonomi tetapi rakyat diingatkan kekal berhati-hati menjalankan rutin harian.

“Beta ingin mengingatkan rakyat supaya terus membiasakan amalan norma baharu iaitu keluar dari rumah hanya bila perlu, tidak berhimpun atau menganjurkan rumah terbuka sepanjang Syawal, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan serta sentiasa amalkan penjarakan sosial jika perlu berurusan di tempat awam.

“Umat Islam juga diminta menyambut Aidilfitri kali ini dalam keadaan sederhana tanpa perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan warga emas atau individu yang tidak sihat agar duduk sahaja di rumah bagi memastikan rantaian pandemik itu dapat diputuskan.

“Beta mendoakan agar keadaan kembali pulih dan kita mampu untuk menangani penularan wabak ini sebaik mungkin,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Selangor turut menzahirkan terima kasih dan tahniah kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menjalankan tugas masing-masing dalam memastikan wabak itu dapat dikurangkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor harap rakyat manfaat aplikasi pintar

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berharap lebih ramai rakyat di negeri ini memanfaatkan aplikasi pintar yang disediakan Kerajaan Negeri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah keadaaan itu sekali gus membantu Kerajaan Selangor menyelesaikan masalah orang awam dengan lebih cepat.

“Sehingga kini, inisiatif Smart Selangor yang dilaksana terus mendapat sokongan rakyat kerana ia memberi impak terutama dalam sektor penyampaian awam antaranya Smart Selangor Parking, Waze aduan jalan rosak, Sistem Pengangkutan Pintar Selangor dan e-dompet,” titah baginda pada istiadat pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah beberapa program Inisiatif Peduli Rakyat juga dapat menyelesaikan masalah seperti digariskan Matlamat Pembangunan Lestari yang disyorkan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta bagi pelaksanaan inisiatif Smart Selangor tahun ini,

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor: Pantau kawasan mudah terbakar, elak jerebu

OLEH NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 16 MAC: Pihak berwajib digesa memantau rapi kawasan yang berisiko berlaku pembakaran terbuka berikutan musim panas ketika ini, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pembakaran terbuka berpotensi menyebabkan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang perlu dielakkan sama sekali.

“Ini terutama kepada kawasan hutan, tanah gambut, tanah pertanian dan tapak pelupusan sampah haram di Selangor yang sering dan mudah untuk terbakar.

“Justeru, kawasan ini hendaklah dipantau rapi oleh pihak berwajib dan pemilik tanah supaya tidak berlaku pencerobohan untuk melakukan pembakaran terbuka,” titah baginda pada istiadat pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14, di sini, hari ini.

Hujung Februari lalu, kira-kira 35 hektar daripada kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Banting terbakar, namun berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10 Mac lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor: Henti tohmah kerajaan pintu belakang

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tohmahan berkaitan pembentukan kerajaan pintu belakang atau rampasan kuasa terhadap pentadbiran negara perlu dihentikan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perkara itu tidak tepat berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diberi kuasa menggunakan budi bicara mengikut peruntukan undang-undang.

“Baru-baru ini kita telah melihat perubahan kepada tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan.

“Beta sendiri mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda pada istiadat pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14, di sini, hari ini.

Baginda juga berharap wujud kerjasama erat antara kerajaan Selangor dengan Persekutuan supaya perbezaan politik tidak menyebabkan rakyat  negeri ini terpinggir dari arus pembangunan ekonomi dan sosial.

“Sebagai sultan, beta bertanggungjawab untuk menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian agar tidak melakukan sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan rakyat beta,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada tentera, polis, bomba serta anggota keselamatan yang bertugas dengan dedikasi bagi memastikan keselamatan rakyat dan negeri terus didalam keadaan aman dan sejahtera.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Defisit Selangor dijangka turun kepada RM133 juta

SHAH ALAM, 16 MAC: Belanjawan Selangor tahun ini dijangka mengalami defisit RM133 juta, menurun berbanding tahun lalu, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penurunan itu berpunca daripada peruntukan pembangunan yang diperlukan bagi pembangunan mampan di negeri ini.

“Jumlah defisit ini menyaksikan penurunan berbanding 2019 yang diunjurkan iaitu RM360 juta. Antara perkara yang diberi keutamaan untuk dicapai oleh pentadbiran ini adalah penyempurnaan inisiatif Smart Selangor,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Baginda bertitah Kerajaan Negeri akan berupaya mencapai keseimbangan antara usaha ke arah negeri pintar serta kemampanan pembangunan sosial yang adil.

DNS tahun lalu meluluskan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjumlah RM2.3 bilion.

Belanjawan tersebut menggariskan lima paksi teras iaitu keupayaan ekonomi, pendidikan, keselamatan dan kesihatan, alam sekitar dan sosial bagi mencapai objektif lima tahun akan datang.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin ziarah Makam Diraja Klang

KLANG, 8 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli berangkat menziarahi makam ayahandanya Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Makam Diraja Klang di sini hari ini.

Baginda tiba di makam sekitar jam 11.30 pagi diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, pembesar negeri dan anggota kerabat diraja Selangor.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan bacaan Yasin bersama tetamu lain di Masjid Istana Diraja Klang pada 8 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Istiadat menziarah itu adalah sempena ulang tahun ayahandanya dan baginda berkenan menabur bunga dan menyiram air mawar di makam diikuti Tengku Amir Shah serta anggota kerabat diraja.

Kemudian, bacaan tahlil dan doa dimulakan selama kira-kira setengah jam dipimpin Mufti Selangor Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Sejurus selesai, baginda ke Masjid Istana Diraja Istana Alam Shah untuk bacaan Yasin dan menunaikan solat fardhu Zohor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sukan SEA: Sultan Selangor, Raja Muda zahir ucapan tahniah

SHAH ALAM, 14 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menzahirkan rasa sukacita serta tahniah kepada atlet negeri yang meraih pingat pada Sukan SEA di Filipina.

Ucapan keluarga diraja itu dizahirkan melalui Facebook Selangor Royal Office yang turut merakamkan tahniah kepada pegawai terlibat pada temasya berkenaan.

Baginda turut berbangga terhadap pencapaian atlet Selangor yang menyumbangkan sebahagian besar pingat emas, walaupun negara merekodkan pencapaian terburuk dalam sukan dwitahunan itu.

“DYMM Sultan Selangor berharap kejayaan di temasya Sukan SEA ke-30 ini akan terus menjadi inspirasi kepada pegawai dan atlet negeri serta Majlis Sukan Selangor untuk terus berusaha lebih gigih bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang demi kemajuan sukan dan mengharumkan nama Selangor Darul Ehsan,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, baginda turut menggesa supaya masalah dan pertikaian yang berlaku, sama ada membabitkan Majlis Sukan Negeri, Majlis Sukan Negara atau persatuan sukan diselesai secara baik dengan kadar segera.

Sukan SEA Filipina yang melabuhkan tirai pada 11 Disember lalu menyaksikan Malaysia membawa pulang 56 pingat emas, 58 perak dan 72 gangsa.

Daripada jumlah itu, atlet Selangor menyumbang 26 pingat emas, 12 perak dan 17 gangsa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja

KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-74 di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

Turut bersama baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 3.50 petang disambut Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Majlis dimulakan dengan persembahan kesenian Tarian Menjunjung Duli daripada barisan penari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT).

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memotong pulut kuning pada Majlis Jamuan Teh Diraja di Padang Mahkota, Istana Alam Shah Klang. 11 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada majlis sama, turut diadakan sembah ucapan dari Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Menerusi sembah ucapan, Mohd Amin berkata, seluruh rakyat amat berbangga mempunyai Sultan berjiwa rakyat malahan ilmu dan pengalaman berharga penuh di dada baginda.

Katanya, banyak pengalaman Duli Tuanku peroleh dengan mengembara di seluruh dunia sekali gus mendapat ilham menjadikan Selangor sentiasa makmur dan sentosa.

“Patik sebagai ketua perkhidmatan awam akan memastikan semua penjawat awam sentiasa bekerja keras dan memelihara nilai murni dalam menunaikan amanah diberi oleh Duli Tuanku dan rakyat jelata.

“Kerajaan Negeri sentiasa di bawah teraju Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sentiasa bekerja keras memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini sentiasa terpelihara,” katanya.

Sementara itu, majlis diteruskan dengan upacara Menjamah Pulut Kuning sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor dengan diiringi Amirudin dan Mohd Amin.

Majlis diteruskan dengan Santapan Diraja sambil diiringi Persembahan Silat Seni Seranteh, Persembahan Tarian Piring dari pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Unjur, Klang dan Persembahan Kumpulan Kesenian PADAT diiringi kombo Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mempersembahkan hadiah kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Jamuan Teh Diraja di Padang Mahkota, Istana Alam Shah Klang. 11 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menerima cenderahati daripada Amirudin mewakili Kerajaan Negeri berupa replika kapal penisi diperbuat daripada emas tulen didatangkan khas dari Sulawesi.

Selain itu, Majlis Perbandaran Klang mewakili seluruh pihak berkuasa tempatan Selangor turut berkenan menyerahkan hadiah arca ukiran rumah kepada baginda.

Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Selangor dan keberangkatan pulang baginda sambil bersalam dengan kira-kira 3,000 rakyat jelata yang hadir.