Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Biaya hingga RM2,500, MB seru pelajar IPT mohon bantuan Zakat Selangor

SHAH ALAM, 27 JAN: Anak-anak Selangor yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) diseru memohon Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu khusus untuk penuntut universiti dalam dan luar negara yang boleh didaftar secara dalam talian.

“Anak-anak Selangor yang belajar di IPT dalam dan luar negara boleh memohon SPZAS di www.zakatselangor.com.my/spzas,” katanya di Facebook.

Sumbangan sekali bayar itu boleh dimohon mulai 24 Januari hingga 20 Februari depan bawah peruntukan asnaf fisabilillah.

Pelajar yang menuntut dalam negara akan menerima RM700 manakala RM2,500 untuk penuntut luar negara dengan mematuhi syarat antaranya beragama Islam.

Kriteria lain seperti berikut:

1. Warganegara Malaysia
2. Ketua keluarga/penjaga lahir di Selangor atau bermastautin dan menetap tidak kurang tiga tahun
3. Permohonan dibuka kepada pelajar semester dua dan ke atas bagi IPT dalam negara dan bidang pengajian Islam serta perubatan peringkat Sarjana Muda di Mesir, Jordan dan Maghribi
4. Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 bagi dalam negara dan RM7,000 untuk luar negara