Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang kuih, duit raya untuk 268 pesakit dialisis

SHAH ALAM, 6 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menyumbang kuih dan duit raya kepada 268 pesakit buah di enam cawangan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengurus Besarnya berkata inisiatif saban tahun itu bagi memberi kegembiraan kepada pesakit menjelang Syawal tidak lama lagi.

“Di samping menceriakan anak yatim, pesakit dialisis di bawah pengurusan Yide turut menerima kuih dan duit raya.

“Kecaknaan kita kepada pesakit adalah salah satu manifestasi selain menyediakan perkhidmatan rawatan berkualiti,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Terdahulu, Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya Mohd Salim Sain berkesempatan mengagihkan bantuan tersebut di pusat dialisis cawangan Bukit Jelutong.

Sementara itu, Mohd Razali berkata individu yang mengalami kegagalan buah pinggang dipelawa untuk mendapatkan rawatan di kesemua cawangan pusat dialisis disediakan.

Cawangan berkenaan meliputi Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor dan Taman Melawati.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ serah sumbangan raya kepada 264 kakitangan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 9 JUN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sentiasa mengutamakan kebajikan kakitangannya dalam setiap program kebajikan yang dijalankan.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, hal itu dapat dilihat apabila MPSJ menyampaikan sumbangan hari raya kepada 264 kakitangan Kumpulan D yang bergaji bersih RM2,500 ke bawah dan 14 asnaf serta balu.

“Sebelum melihat pihak luar, kita perlu lihat dulu kakitangan sendiri yang perlu dibantu, maka kita bantu.

“Walaupun sumbangan ini tak seberapa, namun ia dapat membantu kakitangan terbabit meringankan perbelanjaan sempena hari raya, kali ini,” katanya pada program Iftar Warga Kerja MPSJ, di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, semalam.

Noraini berkata, jumlah sumbangan itu akan dipertingkatkan pada masa hadapan jika MPSJ berjaya meningkatkan hasil kutipan cukai, pada tahun ini.

Katanya, sumbangan penghargaan itu mampu merapatkan lagi hubungan antara MPSJ dan kakitangannya.

Selain sumbangan kewangan kepada golongan itu, MPSJ turut menyampaikan bubur lambuk, dodol dan kerepek.

Terdahulu, majlis berbuka puasa bersama kakitangan MPSJ itu turut diisi dengan pelbagai aturcara antaranya penyampaian duit raya kepada anak kakitangan, persembahan nasyid dan bacaan tahlil.

Categories
SELANGOR

Enam anak syarikat serah RM1.95 juta sempena sambutan Aidilfitri peringkat negeri 2 Julai

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan Negeri menerima sejumlah RM1.95 juta sumbangan bagi menganjurkan Majlis Sambutan Eidul Fitr Peringkat Negeri yang bakal berlangsung, pada 2 Julai ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya hari ini mewakili Kerajaan Negeri menerima sumbangan dari tujuh anak syarikat (GLC) pada Majlis Penyampaian Cek Sumbangan di pejabatnya, di sini, hari ini.

Majlis menyaksikan Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) memberi sumbangan terbesar berjumlah RM750,000 yang disampaikan Ketua Pegawai Operasinya, Soffan Affendi Aminudin.

IMG_8206Sumbangan lain diterima daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings, Kumpulan Perangsang Selangor dan Central Spectrum Sdn Bhd dengan masing-masing menyumbang RM250,000.

Tidak ketinggalan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menyumbang RM200,000.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Eidul Fitr Peringkat Negeri Selangor 2017 dijadual berlangsung di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah.

Acara tradisi itu bakal disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri serta terbuka kepada orang awam.