Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tabung khas pemulihan banjir kumpul RM2.23 juta, sumbangan masih dibuka

SHAH ALAM, 27 DIS : Sejumlah RM2.23 juta dikumpul menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit bagi membantu memulihkan kawasan terjejas akibat banjir setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberi sumbangan terdiri individu, syarikat serta kerajaan negeri Kedah dan Kelantan.

“Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang bermurah hati menghulurkan sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini kita akan kembalikan kepada setiap keluarga dan individu memerlukan dalam negeri ini khususnya yang terjejas banjir. Insya-Allah setiap sen akan digunakan sebaiknya kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Amirudin sumbangan masih dialu-alukan dan dibuka sehingga selesai urusan pembersihan banjir di negeri ini.

Individu atau syarikat yang mahu menyumbang boleh melakukan pembayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref : Tabung Ikhtiar).

Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Sebagai permulaan,  Dato’ Menteri Besar menyumbang sebulan gaji bagi membantu mereka yang terkesan dengan insiden terbabit.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Peruntuk RM65,000 bantu 13 pusat kebajikan

SHAH ALAM, 10 DIS : Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan RM65,000 kepada 13 pusat kebajikan untuk membeli barangan keperluan, mendapat rawatan perubatan dan membaik pulih kelengkapan asas.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata sumbangan itu sebagai tanda sokongan kepada pusat kebajikan selain memastikan kesejahteraan dalam kalangan penghuni.

“Setiap pusat kebajikan menerima sumbangan RM5,000. Pandemik Covid-19 mengekang tujuan asal kita untuk bersemuka turun padang bertemu penghuni pusat kebajikan.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada pusat kebajikan. Kita harap sumbangan ini memberi manfaat besar kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program Santuni Pusat Kebajikan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

13 pusat kebajikan yang menerima bantuan adalah Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Selangor dan Wilayah Persekutuan, Pusat Jagaan Persatuan Komuniti Istimewa Ampang, Pusat Jagaan Anak Yatim/Miskin Rukaiyyah dan Pusat Jagaan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat.

Selain itu, turut menerima Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Persatuan Orang Yaang Amat Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan, Pusat Jagaan Rumah Aman dan Pusat Jagaan Rumah Puteri Arafiah.

Manakala, Pusat Jagaan Darul Sakinan Angkasa, Rumah Victory Elderly Home, Pusat Jagaan Persatuan Insan Istimewa Cheras, Persatuan Jagaan Orang-orang Kurang Upaya dan Terbiar Lovely PJ dan Pusat Jagaan Ekliptik juga menerima sumbangan tersebut.

Categories
PBT SELANGOR

Hargai bekas kakitangan, MBSA sumbang lebih RM100,000

SHAH ALAM, 16 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang RM120,000 kepada persatuan bekas pegawai dan kakitangannya bagi menjayakan program bermanfaat.

Datuk Bandar Shah Alam berkata daripada jumlah itu sebanyak RM70,000 diberikan pada tahun lalu diikuti RM50,000 pada Mac tahun ini.

“Para pesara banyak berjasa sepanjang 21 tahun MBSA ditubuhkan. Mereka berkhidmat penuh tenaga, komitmen dan keringat banyak dicurahkan demi kecemerlangan masa kini.

“Atas dasar keprihatinan dan pastikan mereka kekal aktif kita luluskan sejumlah wang untuk mereka laksana aktiviti bermanfaat,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis minum petang sempena sambutan ulang tahun ke-21 MBSA di Klassique Touch yang dulu dikenali sebagai Kelab Warga Emas.

Dalam majlis sama Zamani turut menyampaikan baucar beli belah kepada 122 ahli persatuan berkenaan.

Persatuan juga turut menyampaikan bakul makanan kepada penerima terbabit serta 20 ahli jawatan kuasa Kelab Warga Emas.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Sanggup cuti tanpa gaji demi jaga isteri, anak sakit kronik

SHAH ALAM, 2 OKT: Seorang suami sanggup mengambil cuti tanpa gaji demi menjaga isteri dan anaknya yang menghidap penyakit kronik di Kampung Pulau Meranti, Sepang.

Isterinya, 40, menghidap barah payudara terlantar akibat tulang rapuh susulan perebakan sel manakala anak berusia setahun mempunyai masalah injap jantung.

Lelaki terbabit yang juga berusia 40 tahun menguruskan sepenuhnya urusan hospital selain perlu melunaskan komitmen seperti bayaran sewa rumah.

Nasib keluarga itu mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan memberi bantuan perubatan selain beberapa keperluan lain.

“Kami juga mendaftarkan keluarga ini bawah asnaf miskin agar bantuan lain dapat disalurkan dengan menyeluruh,” kata agensi itu di Facebook semalam.

Bantuan disampaikan Operasi Agihan Daerah Sepang dan Skuad Saidina Umar Zakat Selangor yang melawat keluarga itu baru-baru ini.

Selain bantuan kepada asnaf, LZS giat membantu individu terkesan akibat Covid-19 terutama golongan berpendapatan rendah dengan peruntukan RM10.5 juta tahun ini.

Categories
AGENDA

Perkeso serah sumbangan khairat kematian kepada kakak ipar isteri MB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyerahkan sumbangan khairat kematian kepada kakak ipar isteri Dato’ Menteri Besar yang kematian suami pada Julai.

Penyerahan dibuat Pengarah Perkeso negeri Zainol Abu kepada Ira Maya Ramlie di kediaman rasmi Menteri Besar dengan disaksikan Dato’ Seri Amirudin Shari serta isteri, Datin Masdiana Muhamad.

Ira Maya,39, berkata sumbangan berjumlah RM2,000 selain pencen penakat bulanan membantu meringankan beban dirinya bersama enam anak.

Ira Maya Ramlie

“Walaupun bekerja sebagai guru namun saya perlu membayar rumah, kereta serta tanggung keperluan keluarga. Anak berusia satu hingga 14 tahun dan masih bersekolah,” katanya.

Pada 22 Julai, abang sulung Masdiana, Masrun, 39, yang tinggal di Puchong menghembuskan nafas terakhir selepas 20 hari bertarung melawan Covid-19.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais agih bantuan RM30,300 kepada 303 keluarga di tiga daerah

SHAH ALAM 28 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meneruskan agihan fidyah dengan menyalurkan bantuan kepada 303 keluarga terputus pendapatan akibat Covid-19.

Agensi itu berkata sejumlah RM30,300 diperuntuk untuk bantuan makanan kepada penerima di Hulu Selangor melibatkan 156 keluarga, Kuala Langat (83) dan Kuala Selangor (64) .

“Mereka menerima bantuan makanan asas termasuk beras, tepung, gula bernilai RM100. Pengedaran bantuan kali ini melibatkan tujuh rakan strategik fidyah Mais antaranya masjid dan surau,” menurut kenyataan di Facebook.

Mais memperuntuk sejumlah RM2 juta agihan fidyah bagi membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bantuan dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah, individu dibuang kerja, cuti tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau yang hilang punca pendapatan.

Mereka yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia terima 1 juta dos vaksin Pfizer sumbangan AS esok

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Malaysia akan menerima satu juta dos vaksin Covid-19 Pfizer disumbangkan Amerika Syarikat (AS), esok (5 Julai), kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata sumbangan itu akan membantu meningkatkan lagi proses vaksinasi serta membawa perkembangan bermakna terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawat saya, (Setiausaha Negara) Antony Blinken dan Kerajaan AS atas sumbangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Hishammuddin berkata Malaysia juga amat menghargai sokongan AS melalui kedutaannya di Kuala Lumpur sejak pandemik melanda tahun lalu, termasuk sumbangan dalam bentuk kelengkapan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bernilai US$250,000.

Beliau turut berharap hubungan erat serta mesra antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh demi manfaat bersama.

Dalam usaha memastikan akses global yang adil terhadap vaksin Covid-19, Hishammuddin berkata Malaysia sedia menjalin kerjasama menyeluruh dengan AS dalam penyelidikan, pengembangan dan pengedaran vaksin.

Katanya, menerusi suratnya kepada Blinken pada 4 Jun, Malaysia menyambut baik pengumuman Presiden Joe Biden pada 3 Jun mengenai sokongan untuk mengetepikan secara sementara perlindungan Harta Intelek (IP) vaksin Covid-19.

Di samping itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menerusi ucapannya di Persidangan Antarabangsa Nikkei pada Mei 2021 mengumumkan sokongan Malaysia untuk mengetepikan IP vaksin Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Petronas sumbang RM1.2 trilion sejak 1976 bangunkan negara

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dalam memenuhi permintaan pihak berkepentingan menyumbang hampir RM1.2 trilion sejak tahun 1976 kepada pembangunan negara, terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata sumbangan itu termasuk kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kutipan cukai, pembayaran royalti minyak dan kadar pemberian itu mungkin akan meningkat dalam jangka masa panjang.

Syarikat minyak negara ini turut memperuntukkan sebahagian sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Negara.

Selain daripada sumbangan berbentuk kewangan, Petronas juga menyokong aspirasi dan pembangunan negara menerusi antaranya pemberian biasiswa kepada pelajar yang layak.

“Tidak ramai yang menyedari, bahkan sebelum Covid-19 dan kemudiannya tercetusnya cabaran berikutan pandemik ini, kami tidak pernah menghentikan program biasiswa serta komitmen kami dalam menyokong pertumbuhan koridor utara dan timur negara dengan bekerjasama bersama-sama pihak berkuasa masing-masing untuk melahirkan usahawan.

“Kami terus menyokong dengan memeterai perjanjian bersama Agrobank untuk membantu usahawan tani B40. Kami tidak menghentikannya,” kata beliau kepada Bernama dan Berita Harian dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Tengku Muhammad Taufik berkata syarikat minyak negara ini juga komited dengan peruntukan tahunannya sebanyak RM100 juta kepada Yayasan Petronas.

“Walaupun ada kemampuan untuk berbelanja sehingga RM100 juta setahun dengan kelulusan pihak lembaga Petronas, mungkin disebabkan cabaran yang dihadapi tahun lepas, pemberian bantuan tidak mencapai RM100 juta setahun. Kami akan membuat penzahiran khusus dan tidak akan berhenti,” ujar beliau.

Pada awal November, Yayasan Petronas telah mengagihkan peralatan perubatan dan peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM2.5 juta ke hospital-hospital seluruh Sabah untuk menyokong usaha petugas barisan hadapan perubatan dalam mengurangkan kes Covid-19 di negeri itu.

Selain itu, peralatan perubatan, PPE, pembersih tangan, pembasmi kuman dan pelitup muka serta bekalan makanan bernilai RM5.2 juta telah diedarkan kepada masyarakat dalam operasi domestik dan antarabangsa termasuk Azerbaijan, Brazil, Brunei, Kanada, Gabon, India, Indonesia, Iraq, Mexico, Myanmar, Suriname dan Sudan Selatan setakat 30 Sept, 2020.

Jumlah sumbangan kumpulan ini terhadap usaha dan inisiatif Covid-19 hampir mencecah RM44 juta.

Berikutan cabaran getir yang tercetus daripada pandemik Covid-19, lembaga Petronas turut meluluskan dividen tambahan RM10 bilion kepada pemegang sahamnya pada akhir November 2020, tambahan kepada RM24 bilion, menjadikan jumlah pembayaran dividen kepada RM34 bilion.

Paling penting, syarikat minyak ini juga sentiasa menyokong inisiatif oleh pekerjanya, tegas beliau.

“Kami mempunyai sejumlah program keusahawanan sosial. Antaranya, kami berusaha mempromosikan pembekal produk tempatan dan Petronas Dagangan (menerusi stesen minyak Petronas) sama-sama menyokong dengan menempatkan produk tempatan ini di rak stesen minyak sejak suku ketiga tahun lepas dan berterusan sehingga kini,” kata Tengku Muhammad Taufik.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais sumbang RM200,000 bantu masjid, surau terjejas PKP

SHAH ALAM, 19 JAN: Sebanyak 250 masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat menerima sumbangan berjumlah RM200,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Bantuan wang tunai melalui peruntukan baitulmal meliputi masjid dalam dan luar bandar serta surau yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan dikreditkan ke akaun bank penerima bagi masjid luar bandar manakala selebihnya diproses secara berperingkat.

“Sebanyak RM1,000 diagihkan kepada 150 masjid luar bandar, RM500 kepada 60 masjid dalam bandar dan
RM500 kepada 40 surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan.

Antara masjid terpilih ialah Masjid Ar-Rohmaniah Kuala Langat, Masjid As-Sajidin Batang Kali dan Masjid Tebuk Sultan Sungai Tengar, Sabak Bernam.

Surau pula meliputi Surau Al-Firdaus Taman Seri Kembangan, Surau Kampung Setia Kuang dan Surau Al-Ikhlas Kampung Sungai Purun, Semenyih.

 

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Penduduk Paya Jaras terkesan Covid-19 dapat keperluan asas

SUNGAI BULOH, 6 DIS: Seramai 50 keluarga sekitar Paya Jaras yang terkesan susulan pandemik Covid-19 menerima bantuan barangan keperluan asas dan pelitup muka.

EXCO pembangunan modal insan berkata sumbangan melalui program Rakan Muda Prihatin “We Care” menumpukan individu hilang pekerjaan, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan asnaf.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan program yang pertama kali diadakan mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Selangor sempena Hari Kesukarelawan Belia Malaysia 2020.

“Kita mengajak belia menyantuni keluarga memerlukan dan saya puji inisiatif ini serta berharap lebih banyak badan bukan kerajaan akan turut serta,” katanya yang juga wakil rakyat kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor Hasnata Hasan menghargai sokongan Kerajaan Negeri untuk melatih belia menanam sikap prihatin dan cinta terhadap kerja sukarelawan.

“Program ini juga sedikit sebanyak melahirkan generasi belia yang lebih cintakan negara, masyarakat dan diri sendiri,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

YaPEIM lancar tabung bantuan ringankan beban kewangan Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan bermula hari ini hingga 28 Februari depan bagi membantu meringankan beban kewangan pengurusan Zoo Negara.

YaPEIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran tabung itu sebagai tindak balas terhadap situasi penularan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan kepada sektor pelancongan seperti Zoo Negara yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

“Situasi semasa ini menyaksikan operasi Zoo Negara tidak dapat dijalankan seperti biasa dan kesan pemberhentian operasi juga memberi impak kepada semua haiwan yang terdapat di dalam Zoo Negara yang memerlukan makanan dan penjagaan harian.

“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam tabung yang disediakan di 203 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan bermula 2 Disember hingga 28 Februari 2021,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan kos operasi Zoo Negara secara puratanya mencecah RM1 juta sebulan, meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air RM40,000.

YaPEIM berharap usaha berkenaan akan mendapat sambutan daripada masyarakat serta pencinta haiwan sekali gus membantu meringankan beban pihak pengurusan Zoo Negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boost perkenal dua inisiatif bantu warga Malaysia tangani pandemik

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Aplikasi e-dompet tempatan, Boost memperkenalkan dua inisiatif untuk memastikan rakyat Malaysia dapat dibantu dalam menangani kesan pandemik Covid-19.

Menurut Boost kedua-dua itu bertujuan melindungi dan membantu rakyat Malaysia dalam mengharungi gelombang pandemik.

“Inisiatif pertama adalah menumpukan komuniti dengan pengguna boleh menempah ujian swab Covid-19 untuk dilakukan di kediaman mereka yang selesa, yang kedua ialah menerajui dan menyelaras kutipan bantuan di seluruh negara menerusi pengenalan semula ‘Tabung Covid-19 by Boost’,” menurutnya dalam kenyatan hari ini.

Menurutnya, dana itu bertujuan membantu mengurangkan beban penduduk di Sabah yang secara langsung dan tidak langsung terjejas ekoran pandemik.

Boost telah memperkenalkan ‘Tabung Covid-19 by Boost’ pada Mac dan berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM1 juta untuk Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA dan berkaitan organisasi bukan kerajaan.

Boost, anak syarikat Axiata Digital Services dan sebahagian daripada Axiata Group Bhd, melancarkan tabung sumbangan itu sebagai sebahagian kempen #BoostGotYou.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata orang ramai semakin mengambil langkah berhati-hati untuk memastikan mereka kekal sihat, selamat dan dilindungi dalam tempoh pandemik ini.

“Ini mendorong kami untuk memperkenalkan ciri tempahan dalam aplikasi ujian swab Covid-19 di rumah,” katanya.

Beliau berkata pengguna boleh memilih daripada tiga pakej — ‘Gold’, ‘Platinum’ dan ‘Diamond’ — pada harga bermula serendah RM199.

Bagi mereka yang memerlukan keputusan ujian dengan segera, pakej ‘Diamond’ menawarkan keputusan ujian dalam tempoh 12 jam.

“Ujian swab di kediaman ini merupakan sebahagian Program Saringan Prihatin (PSP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosal (PERKESO) yang menjadikan ia layak mendapat subsidi RM150 yang boleh dituntut oleh semua pencarum, termasuk warga asing.

“Permohonan subsidi mesti dilakukan oleh majikan melalui portal web PSP PERKESO selepas membuat ujian itu,” katanya.

-BERNAMA