Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Beza peranan LUAS, Air Selangor urus sumber air

SHAH ALAM, 22 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merupakan dua entiti yang mengendalikan sumber air kepada pengguna di Lembah Klang.

Menerusi video ringkas yang disediakan LUAS, orang ramai diberi penerangan tentang fungsi dan peranan agensi Kerajaan Negeri itu.

“LUAS merupakan badan berkanun Kerajaan Negeri yang mengurus sumber air mentah yang merangkumi air permukaan seperti sungai serta kolam, air bumi dan perairan pantai tiga baru nautika dari darat ke laut.

“Peranannya menguruskan sumber air dari segi kualiti agar mematuhi piawaian kualiti air mentah yang disyorkan dan kuantitinya supaya cukup untuk dirawat sebagai bekalan air terawat oleh loji rawatan setiap masa.

“Manakala Air Selangor yang dahulunya dikenali sebagai Syabas adalah anak syarikat Kerajaan Negeri yang merawat air mentah kepada air terawat dan membekalkannya kepada pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur,” menurut audio selama 2 minit lebih itu.

Peranan LUAS:

1. Mengurus sumber air (air mentah) dari segi kualiti dan kuantiti
2. Pelesenan dan caj abstraksi sumber air
3. Pelesenan dan caj pelepasan atau kemasukan bahan pencemar ke sumber air
4. Kebenaran bertulis bagi aktiviti pengubahan sumber air
5. Pelesenan dan caj navigasi jalan air pedalaman
6. Pelesenan dan caj pelencongan sumber air bagi janakuasa elektrik

Peranan Air Selangor:

1. Merawat air mentah di loji rawatan air
2. Membekalkan air terawat kepada pengguna
3. Pembayaran bil air
4. Mengendalikan hal berkaitan gangguan bekalan air kepada pengguna
5. Kerja pembaikan paip pecah atau bocor
6. Pendaftaran dan penukaran nama akaun meter air

Tambahnya, orang ramai boleh menghubungu LUAS untuk melaporkan jika terdapat aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hormat keputusan Selangor laksana ECRL jajaran selatan demi sumber air

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan persekutuan diminta menghormati pendirian Kerajaan Negeri agar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor dilaksana di jajaran selatan bagi mengelak pencemaran sumber air.

Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata pameran awam penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek itu untuk laluan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang bermula semalam sehingga 19 Oktober depan membayangkan Putrajaya tidak berganjak dengan cadangannya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri hanya bersetuju jajaran Selatan melalui Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat kerana kesan minimum kepada alam sekitar berbanding di bahagian utara yang melalui kawasan tadahan serta sumber air membabitkan Sungai Selangor.

“Sekiranya berlaku pencemaran, Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang bakal dihenti tugas dan tidak boleh membekalkan air kepada 70 peratus pemegang akaun di Lembah Klang.

“Kesan sosial juga bakal dirasai kampung tradisi dan Orang Asli yang terpaksa dipindah ke kawasan lain,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian menegaskan kedegilan kerajaan pusat menyebabkan Kerajaan Negeri mungkin tidak membantu proses pengambilalihan tanah.

Beliau turut meminta orang ramai supaya memanfaatkan sepenuhnya pameran awam EIA projek ECRL laluan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang untuk mengemukakan bantahan.

Laporan EIA itu boleh dibaca menerusi pautan https://bit.ly/ECRLC2EIA dan memberikan ulasan di https://bit.ly/ECRLC2_EIAFEEDBACK.

Dokumen itu turut dipamer di Jabatan Alam Sekitar (JAS), Putrajaya dan Agensi Pengangkutan Awam Darat di Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Kuala Lumpur.

Selain itu, di Pejabat JAS Selangor di Wisma Sunwaymas, Shah Alam; Menara Majlis Perbandaran Selayang; Majlis Perbandaran Kuala Selangor; Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada kompromi, penjara seumur hidup sabotaj sumber air

SHAH ALAM, 29 DIS: Individu yang didapati sengaja mencemarkan sumber air mentah negeri ini boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

EXCO alam sekitar berkata tindakan tegas mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan (Akta 574) bakal dilaksana tanpa mengira status dan pangkat pelaku.

“Saya beri pesanan kepada mereka yang ada niat untuk mencemarkan Sungai Selangor atau Sungai Langat supaya fikir dahulu sebelum bertindak.

“Sekarang kita guna akta agak keras dan jika sabit kesalahan sesiapa sahaja akan dipenjara seumur hidup,” kata Hee Loy Sian selepas menyerahkan dana kepada badan agama Kristian di sini.

Sementara itu, beliau memaklumkan dua lelaki yang terlibat dalam pencemaran Sungai Selangor antara 2 hingga 10 November lalu bakal berdepan hukuman terbabit.

Hee Loy Sian ketika sidang media selepas melawat loji rawatan kumbahan (IWK) Taman Velox, Rawang pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelas wakil rakyat Kajang, tindakan seumpama itu kali pertama dilakukan di Malaysia selepas mendapat persetujuan peguam negara.

“Sebelum ini Seksyen 430 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara maksimum 30 tahun tetapi kedua-dua mereka disabit mengikut Akta 574 kerana polis menemui unsur sabotaj,” kata Loy Sian.

Beliau turut memaklumkan operasi penguatkuasaan premis haram fasa kedua bakal dipergiat di seluruh negeri dengan tumpuan terhadap ladang ternakan.

Pada 23 November, dua lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mensabotaj perkhidmatan air Selangor.

Kedua-duanya didakwa kerana berniat mendatangkan mudarat terhadap sumber air di Taman Velox, Rawang antara 2 dan 10 November yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kualiti makin baik, Sungai Klang diyakini bakal jadi sumber air

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerajaan Negeri yakin sasaran menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air mampu direalisasi berikutan tahap kualiti airnya yang semakin baik.

EXCO infrastruktur berkata program pembersihan dan pemuliharaan sungai melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) bermula 2016 berjaya mengembalikan ekosistem semula jadi kawasan itu.

“Indeks kualiti air semakin baik hasil pembersihan dan pemuliharaan, jadi kita yakin dapat merealisasikan hasrat menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air baharu Selangor.

Ir Izham Hashim berucap pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sungai Klang Link Sdn Bhd dan Landasan Lumayan Sdn Bhd di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Usaha mengindahkan sungai turut mendorong pelbagai syarikat untuk melabur serta bekerjasama membangunkan sekitar kawasan tersebut,” kata Ir Izham Hashim di sini.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Landasan Lumayan Sdn Bhd dan Sungai Klang Link Sdn Bhd bagi melaksana projek jaringan perhubungan sekitar Sungai Klang.

Pada 18 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata kualiti air Sungai Klang berada pada tahap tiga atau sederhana baik yang selamat untuk aktiviti sukan air.

Dato’ Seri Amirudin Shari menambah kualiti tersebut juga sesuai diproses sebagai air terawat, namun memerlukan kos yang tinggi.

Projek SMG adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga lagi premis tanpa izin diroboh, elak cemar air

RAWANG, 8 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan tiga lagi struktur yang didirikan tanpa kebenaran di Kuala Garing di sini hari ini bagi mengelakkan pencemaran sumber air.

Yang Dipertuanya berkata bengkel jentera berat, kilang kitar semula dan kandang ternakan lembu itu beroperasi secara haram sejak 15 tahun lalu atas rizab tanah kerajaan yang terletak kira-kira 10 meter dari Sungai Rawang.

“Asalnya tanah ini mempunyai pemilik tetapi pajakan sudah tamat tempoh maka menjadi hak milik Kerajaan. Jadi, ada pihak mempertikaikan dengan mendakwa ia tanah persendirian.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Susulan itu, MPS serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak mengeluarkan beberapa kali notis pengosongan kawasan ini termasuk kali terakhir pada minggu lepas namun mereka tidak mengendahkan arahan diberikan.

“Mereka mungkin cuba memohon lesen menduduki sementara tetapi lesen tersebut untuk bengkel yang tidak diluluskan oleh kerajaan sahaja. Tambahan pula, kesemua premis ini berdekatan sungai,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan diketuai PTD Gombak dan dibantu pihak berkuasa tempatan itu termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menceroboh tanah kerajaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor bercakap kepada media selepas operasi merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Shamsul Shahril menambah hanya sebahagian struktur bengkel jentera berat dirobohkan hari ini memandangkan pemilik memohon tempoh untuk mengalihkan kenderaan terbabit.

“Kita beri masa sehari atau dua hari untuk mereka berbuat demikian kerana faham kos mesin digunakan agak mahal namun tindakan penguatkuasaan akan terus diambil sekiranya gagal.

“Sebelum ini ada juga premis yang diberi notis memohon penangguhan untuk mengalihkan sendiri malah kita menggalakkan mereka (pemilik premis) mengosongkan sendiri supaya tiada kerosakan berlaku,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, pihak berkuasa tempatan itu menyita sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat yang beroperasi secara haram di atas tanah rizab sungai di sini.

Manakala, pada 24 November, dua bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang terletak hanya satu meter dari Sungai Rawang turut dirobohkan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak lapan premis yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang akan diroboh.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari premis melibatkan enam bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita sebahagian lembu serta merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
EXCO SELANGOR

Sumber air Selangor dari sungai negeri, sempadan

SHAH ALAM, 4 NOV: Sumber utama bekalan air negeri ini diperoleh dari Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Semenyih dan Sungai Gombak, kata EXCO infrastrukur.

Ir Izham Hashim berkata Selangor juga mengambil sumber air sempadan negeri seperti Sungai Semantan di Pahang, Sungai Bernam (Perak) dan Sungai Labu (Negeri Sembilan).

“Aliran sungai yang mengalir merentasi sempadan negeri pula Sungai Pajam dan Sungai Buah yang juga anak Sungai Semenyih,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung sumber air dan kerjasama antara negeri jika berlaku krisis bekalan.

Ir Izham berkata operator air semua negeri menandatangani memorandum persefahaman untuk menghantar bantuan lori tangki sekiranya berlaku krisis bekalan melebihi dua hari.

“Kita mohon bantuan lori tangki dari seluruh negara, malah lori bomba pun kita gunakan. Sebab itu kita tengok lori ini tertera pelbagai logo ketika krisis air,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Luas guna dron pantau sumber air

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menggunakan dron untuk memantau sumber air bagi memastikan tiada pencerobohan dan pencemaran berlaku.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata teknologi itu juga boleh digunakan untuk mengambil sampel air serta memberi amaran awal sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan, lapor Sinar Harian.

“Projek perintis ini membuktikan Kerajaan Negeri serius mengatasi isu pencemaran sumber air selain penubuhan Skuad Pantas Luas yang melakukan pemantauan 24 jam di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.

“Op Sumber Air dilaksana oleh Luas sejak Mac berjaya mengelak tujuh insiden pencemaran yang boleh menyebabkan henti tugas LRA (Loji Rawatan Air) dan gangguan bekalan air,” Ir Izham Hashim dipetik sebagai berkata.

Pada 10 September, Dato’ Menteri Besar berkata teknologi dron akan digunakan bagi menjalankan pemantauan di kawasan sungai sebagai langkah mengelak insiden luar jangka yang memberi risiko terhadap sumber air mentah di LRA.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan teknologi membolehkan rondaan secara kerap tanpa manusia dilakukan terutama di dua lembangan sungai penting iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat.