Categories
AGENSI SELANGOR

Pasangan kembar teruja sertai program khatan percuma beramai-ramai

GOMBAK, 6 MAC: Pasangan kembar dari Kampung Sungai Kertas di sini teruja apabila dikhatankan beramai-ramai pada program Sunathon Perdana peringkat Selangor secara percuma di Masjid Jamek Al Amaniah, Batu Caves hari ini.

Biarpun terpancar rasa gemuruh, namun Afiq Nazmie Mohd Suhaimi dan Afiq Najmie, sembilan, yang menuntut di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Kertas berjaya melalui proses itu dalam tempoh kurang 10 minit.

Bapa mereka Mohd Suhaimi Mohammad, 51, berkata kedua-dua anaknya bangun seawal 6 pagi kerana tidak sabar untuk berkhatan, apatah lagi ramai rakan seusia sudah berbuat demikian.

Mohd Suhaimi Mohammad, 51. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sebaik pihak sekolah maklumkan mengenai program ini minggu lepas, saya segera beritahu anak. Pada awalnya agak terkejut dan saya serta abang mereka berusia 11 tahun cuba pujuk memberi kata semangat memandangkan ramai kawan seusia sudah bersunat.

“Alhamdulillah tiada bantahan dan hari ini mereka begitu bersemangat sehingga bangun awal pagi,” katanya ketika ditemui di sini.

Nur Hatini Abdullah, 38, pula memanfaatkan musim cuti sekolah untuk mengkhatankan anak keempatnya Muhammad Naim Najwan Mutalib, lapan, selepas pendaftaran dibuat melalui ketua kampung.

Norhatini Abdullah, 38. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya, program percuma itu mampu meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan berikutan kos berkhatan di luar terlalu mahal.

“Sekarang kos bersunat di klinik swasta lebih RM200, tentunya membebankan ibu bapa mempunyai tanggungan ramai. Jadi program ini saya gunakan sebaiknya walaupun perasaan anak seolah-olah bercampur baur,” katanya yang menetap di kampung sama.

Sementara itu, Kamarul Ridwan Rozhan, 31, bersyukur kerana dapat memenuhi hasrat anak sulungnya Muhammad Qusyairi, 10, yang menanti sekian lama untuk tujuan itu.

“Sebelum ini memang dia sering tanya bila boleh bersunat dan kebetulan ada program sebegini, jadi ibu saya tolong daftarkan melalui kawannya.

“Dia nampak tenang dan langsung tidak takut tambahan pula ramai kanak-kanak lain turut serta,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Program khatan percuma seluruh negeri bermula 26 Februari

SHAH ALAM, 6 FEB: Program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 akan diadakan di seluruh negeri secara percuma bermula 26 Februari hingga 13 Mac depan.

Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negeri memaklumkan program dianjur dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk kanak-kanak dari kampung tradisi itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan di semua daerah.

“Objektif utama program adalah untuk membantu mengurangkan beban kos berkhatan sekali gus merapatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat Kampung Tradisi.

“Tarikh tutup pendaftaran adalah 14 hari sebelum tarikh program,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka berminat boleh memuat turun borang penyertaan di pautan https://bit.ly/sunathon-perdana-selangor-2022 atau dapatkan di balai penghulu.

Berikut tarikh dan lokasi program:

1. Hulu Selangor – 26 Februari (Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu)
2. Hulu Langat – 27 Februari (Dewan Pejabat Daerah Hulu Langat)
3. Kuala Selangor – 28 Februari (Stadium Tertutup Kuala Selangor)
4. Sabak Bernam – 1 Mac (Dewan Tun Razak)
5. Klang – 5 Mac (Dewan Pejabat Daerah Klang)
6. Gombak – 6 Mac (lokasi akan dimaklum kelak)
7. Petaling – 7 Mac (Dewan Pejabat Daerah Petaling)
8. Sepang – 12 Mac (Dewan Bandar Baru Salak Tinggi)
9. Kuala Langat – 13 Mac (Dewan Sri Jurga, Banting)