Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

MBI agih 3,300 kain pelikat, bantu keluarga peserta sunat perdana

SHAH ALAM, 9 MAC: Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI menyumbang 3,300 kain pelikat kepada peserta program Sunathon Perdana Selangor 2022.

EXCO pembangunan luar bandar berkata inisiatif itu sangat dihargai kerana ia meringankan beban keluarga peserta dalam menyediakan keperluan berkhatan.

“Dalam masa sama setiap daerah juga menyediakan buah tangan kepada peserta seperti coklat. Ia dapat menghilangkan rasa gementar dan memberi kegembiraan kepada peserta.

“Ada kanak-kanak berusia lima tahun mahu menyertai program ini. Jadi dengan coklat ini mereka tidak akan memikirkan kesakitan,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

Beliau berkata penganjuran program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di setiap daerah.

“Bomba menggunakan peralatan mereka menyiram semua peserta sebagai gimik program ini,” katanya.

Program membabitkan peruntukan RM500,000 bermula sejak 27 Februari hingga 13 Mac itu memberi manfaat kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah atau anak yatim kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

Ibu bapa dipelawa daftar anak sertai acara sunat beramai-ramai di Sepang, Banting

SHAH ALAM, 9 MAC: Lebih 2,500 kanak-kanak dari tujuh daerah menyertai program Sunathon Perdana Selangor 2022 sejak ia dilancarkan pada 27 Februari hingga Ahad lalu.

EXCO pembangunan luar bandar berkata kanak-kanak terbabit adalah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah selain anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Sebelum ini, program yang sama sudah berlangsung di Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Gombak dan Petaling.

“Dua lagi sesi akan diadakan hujung minggu ini dan majlis penutup akan dibuat di Dewan Jugra Kuala Langat pada Ahad ini,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

Beliau berkata lebih 10 doktor bertugas di setiap daerah bagi memastikan program itu berjalan lancar dan terurus.

Dua lokasi terakhir program adalah Dewan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 12 Mac dan Dewan Sri Jugra, Teluk Datuk, Banting, Kuala Langat pada 13 Mac ini.

Mereka yang berminat boleh memuat turun borang penyertaan di pautan https://drive.google.com/file/d/1Iwf9GmKGSRmJB7WnCwYX0n3QUxSx8W11/view atau mendapatkan borang di balai penghulu.

Kerajaan Selangor menyasarkan 3,300 kanak-kanak menerima manfaat program berkenaan dengan peruntukan RM500,000 bagi meringankan beban golongan tertentu dalam menjalani ibadat wajib.

Program anjuran bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu dianjurkan secara percuma dan terbuka kepada kanak-kanak di seluruh kampung tradisi mulai 27 Februari hingga 13 Mac.