SHAH ALAM, 25 OKT: Wakil rakyat menyeru masyarakat sekitar bergotong-royong membersihkan Sungai Ampang sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Penyelaras Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata usaha itu bertujuan memulihkan habitat semulajadi flora dan fauna di samping menghidupkan semula aktiviti tebing sungai.
“Ingin saya tegaskan sungai merupakan antara anugerah Allah yang paling berharga dan wajib kita jaga sebaik mungkin demi kemaslahatan generasi kini dan masa hadapan.

“Oleh itu, saya menyeru penglibatan semua pihak daripada kanak-kanak sehingga warga emas menjadi sebahagian sukarelawan bergotong-royong bersihkan sungai setidaknya sebulan sekali,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri turun padang bagi program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) sambil membersihkan Sungai Ampang di Kebun Komuniti FoSA, Jalan Merbau, Kampung Melayu Ampang semalam.
Program itu dianjurkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jawatankuasa Penduduk MPAJ Zon 7 dan badan bukan kerajaan seperti Friends of Sungai Ampang serta Sahabat Sungai Ampang.
Lebih 100 sukarelawan terdiri daripada masyarakat sekitar turut menyertai misi tersebut.