Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan pantas LUAS kawal pencemaran Sungai Balak, elak gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 4 OKT: Tindakan pantas pihak berkuasa mengesan pencemaran pelepasan efluen berminyak dari sebuah kilang menghasilkan bahan roti di Sungai Balak berjaya mengelak gangguan bekalan air.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sisa minyak di aliran dilaporkan berlaku pelepasan efluen terletak 16 kilometer (km) dari muka sauk Loji Rawatan Air Semenyih Dua, LRA Bukit Tampoi (24.5 km) dan LRA Labohan Dagang (36 km).

Menurutnya, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghentikan operasi LRA Bukit Tampoi pada jam 12 tengah malam dan mengaktifkan bekalan air alternatif dari LRA Sungai Semenyih untuk membekal air sebelum kembali beroperasi jam 9 pagi tadi.

Katanya, LUAS meletakkan dua unit pemecah minyak dan 50 unit pad penyerap minyak bagi mencegah kemasukan efluen minyak ke Sungai Balak selain mengambil sampel air dari tiga lokasi berbeza yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa.

“Hasil siasatan dijalankan LUAS dan Air Selangor berdasarkan pensampelan di Sungai Balak mendapati kesan dan bau halus minyak masak.

“Pensampelan ujian bau di Sungai Langat pada jam 7 pagi di Jambatan Kampung Teras Jernang dan 7.30 pagi di LRA Bukit Tampoi mencatatkan bacaan sifar ton dan aliran sungai normal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Loy Sian berkata siasatan Jabatan Alam Sekitar Selangor mendapati pencemaran berpunca apabila tangki simpanan minyak marjerin kilang di Kampung Balakong Baru itu tidak berfungsi dan bocor menyebabkannya memasuki dalam longkang berhampiran.

Jelasnya, premis itu telah diarah menghentikan operasi, membuat benteng pasir dalam longkang dan membersihkan kawasan tercemar.

“Majlis Perbandaran Kajang mengeluarkan kompaun kerana kesalahan mengalirkan efluen minyak ke sistem saliran awam sebelum dirawat dan menggantung lesen premis terbabit sehingga kerja pembaikan selesai.

“LUAS pula mengeluarkan surat arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit untuk melaksanakan tindakan pembersihan dan pemuliharaan segera di Sungai Balak dan Sungai Langat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan pencemar sumber air yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda di antara RM200,000 hingga RM1 juta mengikut Seksyen 79,
Enakmen LUAS 1999