Categories
AGENDA NASIONAL

Projek ternakan ikan kelah di Taman Pengeluaran Makanan mula tahun depan

SEMENYIH, 8 OKT: Projek ternakan ikan kelah akan dilaksanakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Batangsi bermula tahun depan.

EXCO pertanian dan industri asas tani berkata keadaan air bersih daripada hulu sungai sesuai untuk ternakan selain berpotensi menghasilkan ikan bernilai tinggi.

“Pengusaha ikan talapia merah di sini akan membantu kita membangunkan projek ini pada tahun depan.

“Kita akan membantu ternakan ini supaya lebih mesra alam menggunakan teknologi rawatan bio supaya dapat mengawal mutu air,”katanya selepas melawat di TKPM Batangsi semalam.

Jelas Ir Izham, penggunaan rawatan bio dapat mengurangkan kos elektrik serta membantu membuang kelodak menjadikan ikan dipelihara lebih sedap dan tiada unsur pencemaran.

TKPM Sungai Batangsi seluas 65 hektar diuruskan Jabatan Pertanian Selangor dan terdapat 10 pengusaha yang mengusahakan pelbagai tanaman seperti nangka dan ternakan ikan talapia merah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

KSSB Tidak Berkompromi Terhadap Penyelewengan Pasir

curi pasir

SHAH ALAM 22 JUN:  Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) tidak berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan terutamanya aktiviti mencuri pasir seperti dilaporkan berlaku di Sungai Batangsi, Kampung Pasir Baru, Semenyih baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Dr Azimuddin Bahari berkata, KSSB tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan penguatkuasaan kerana ia adalah bidang kuasa Pentadbir Tanah di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara.

Namun katanya, KSSB sentiasa memantau kejadian pemindahan pasir tanpa permit dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“KSSB sentiasa memantau dan melaporkan kepada polis, Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pejabat Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) untuk tindakan mereka di bawah peruntukan undang-undang masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai laporan kecurian pasir di Sungai Batangsi, Dr Azimuddin berkata, pihak berkuasa seperti Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTD), PTGS dan Luas telah beberapa kali membuat serbuan dan menyita mesin berkenaan.

Dr Azimuddin berkata, dakwaan bahawa aktiviti perlombongan pasir haram itu berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM300,000 adalah tidak munasabah.

“Kuantiti pengeluaran untuk mencapai keuntungan sebegini adalah melebihi pengeluaran sebuah lombong pasir sedangkan operasi yang dijalankan hanyalah operasi mengambil pasir dari sungai yang terhad kuantiti pasirnya,” katanya.

Tambahnya, tuduhan yang mengatakan aktiviti mengorek pasir sungai menyebabkan banjir juga tidak tepat.

“Pengalaman KSSB menunjukkan operasi cucigali sungai yang dijalankan secara teratur dan mengikut peraturan adalah sebagai salah satu kaedah menghalang banjir,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, penubuhan KSSB membuktikan peningkatan kutipan royalti pasir melebihi tiga kali ganda kutipan tahunan sebelum tahun 2008 dan jumlah ini semakin meningkat dari setahun ke setahun.