Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelajar B40 Sungai Buloh terima tajaan ulang kaji percuma dalam talian

KOTA DAMANSARA, 11 FEB: Pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di Parlimen Sungai Buloh menerima tajaan penggunaan aplikasi ulang kaji Osem selama 12 bulan.

Wakil rakyatnya R Sivarasa berkata pihaknya menyasarkan seramai 5,000 calon peperiksaan dari seluruh sekolah kawasan terbabit menerima manfaat aplikasi percuma itu tidak lama lagi.

“Setakat ini seramai 1,422 pelajar daripada enam sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah telah terima manfaat tersebut.

“Kita sambut baik tajaan dari pihak Osem kerana sudi membantu pelajar yang kurang berkemampuan. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu calon ini menghadapi peperiksaan tidak lama lagi,” katanya pada majlis Pelancaran Aplikasi Osem di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh hari ini.

Sivarasa berkata bantuan itu tepat pada masanya memandangkan sekolah masih ditutup sekali gus dapat membantu mereka belajar secara dalam talian.

Tajaan aplikasi Osem di kawasan itu dikhususkan kepada pelajar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aplikasi berkenaan turut menawarkan kira-kira 2,000 soalan setiap minggu yang disediakan oleh lebih 17,000 guru seluruh Malaysia.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC: Jangkitan Covid-19 di Selangor terkawal

SHAH ALAM, 23 SEPT: Jangkitan Covid-19 di negeri ini masih terkawal walaupun satu kes tempatan di kesan di Sungai Buloh, menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Satu kes jangkitan tempatan dikesan di Sungai Buloh yang menyebabkan pertukaran status zon bagi mukim serta daerah tersebut.

“Terus amalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka, basuh tangan secara kerap. Tentukan mukim anda dan rujuk info grafik berdasarkan mukim anda untuk mengetahui status kes aktif Covid-19 di tempat anda,” katanya.

Daerah Hulu Langat, Petaling dan Sepang berstatus zon kuning selepas masing-masing merekodkan satu kes aktif.

Malaysia merekodkan 82 kes baharu semalam dengan 72 daripadanya jangkitan tempatan manakala 10 kes import.

Seramai 168 pesakit Covid-19 pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 9,563 atau 92.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompleks arked dibina bantu peniaga, penjaja Sungai Buloh

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kerajaan Negeri mengenal pasti beberapa lokasi untuk membina kompleks arked niaga di Bandar Baru Sungai Buloh, kata Ahli Dewan Negeri Paya Jaras.

Mohd Khairuddin Othman berkata kompleks tersebut boleh menempatkan lebih 200 peniaga sekali gus menyelesaikan isu peniaga dan penjaja di bahu jalan.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ada cadangkan beberapa lokasi dan kita akan lihat kesesuaian lokasi sebelum diwartakan bagi membolehkan pembangunan dilakukan.

“Kita jangka kompleks arked niaga siap dibina dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan diharap memberi kemudahan kepada peniaga dan masyarakat sekitar Sungai Buloh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Jalan 1D di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berkata cadangan membina kompleks perniagaan tersebut telah lama dirancang namun tergendala susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kampung Melayu Sungai Buloh diisytihar Hab Floris Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Kampung Melayu, Sungai Buloh diisytiharkan sebagai Hab Floris Selangor ekoran perkembangan pesat perusahaan terbabit, di kawasan terbabit.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, data Agrisgeoportal Jabatan Pertanian Selangor menunjukkan nilai pengeluaran hasil florikultur di Sungai Buloh bagi tahun 2017 mencecah RM4.86 juta daripada nilai hasil seluruh Selangor berjumlah RM13 juta.

“Mengikut data ini, Jabatan Pertanian Selangor mempunyai kawasan industri florikultur seluas 69 hektar dengan pembabitan 79 usahawan.

“Di bawah kawasan khidmat pengembangan pertanian Daerah Gombak/Petaling, keluasan kawasan industri florikultur ini adalah seluas 57.61 hektar dengan 47 usahawan dalam industri ini.

“Bagi Hab Bunga Florikultur Sungai Buloh khususnya, keluasan kawasan industri florikultur adalah seluas 25.15 hektar dengan pembabitan 32 usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Flori Selangor 2018 di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Zaidy berkata, 40 peratus usahawan florikultur yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Selangor berada di kawasan Hab Bunga Kampung Melayu Sungai Buloh.

Katanya, industri itu dijangka terus berkembang apabila tanaman bunga-bungaan semakin mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat pengguna khususnya penggemar bunga-bungaan untuk dijadikan hadiah atau perhiasan di laman kediaman, taman awam, bangunan pejabat dan lokasi lain.

“Malah, bunga-bungaan turut dijadikan simbol istiadat keagamaan serta sebagai produk herba, produk kecantikan dan terapi kesihatan kepada manusia,”katanya.

Categories
NASIONAL

Harga Ayam Naik : Menteri Minta Ubah Selera, Rakyat Terus Tertekan

harga-daging-ayam

SHAH ALAM 17 JULAI : Kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini terutama menjelang sambutan Aidilfitri mengundang resah di kalangan rakyat Selangor yang merasa terbeban dengan isu tersebut.

IMG_0990

Malah saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek supaya orang ramai ‘menukar’ selera kepada menu lain seperti ikan dan daging dalam usaha mengekang kenaikan harga ayam, tidak boleh diterima kerana kerajaan sewajarnya mengelak kenaikan harga itu.

Seorang peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Johari Josi, 40, berkata, jika dibandingkan dengan negara lain, rakyat Malaysia adalah di antara yang teramai mengemari dan memilih ayam sebagai makanan pilihan.

“Jadi untuk memboikot dan menukar selera kepada makanan lain, bagi saya sukar. Sebelum membuat kenyataan, saya harap menteri bertanya atau meninjau dulu pendapat orang ramai.

IMG_0998

“Semacam ada pihak yang mengambil kesempatan dalam isu ini. Saya harap kerajaan memantau harga ayam selain mengurangkannya kerana tidak lama lagi masyarakat Islam iaitu majoritinya orang Melayu akan merayakan Aidilfitri pastinya ayam akan dibeli dengan banyak,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Seorang pengguna dari Sungai Buloh, Musral Dharno, 50, menjelaskan kenaikan harga ayam sukar diterima dan ia memberi tekanan kepada orang ramai untuk berbelanja.

Katanya, kerajaan Persekutuan perlu bertindak segera menangani masalah itu sebelum ia menjadi semakin sukar kepada rakyat.

“Ia bebankan rakyat. Saya harap harga ayam diturunkan kembali macam biasa. Saya yakin orang ramai yang lain juga susah untuk bertukar selera kepada makanan lain. Harga ikan dan daging pun lebih kurang mahal juga,” kata bapa kepada empat anak itu.

Peniaga pakaian, Nurul Abdul Rahman, 27, turut sependapat dengan mengatakan ayam adalah makanan kegemarannya.

“Nak tukar kepada makanan lain, susahlah memang tak boleh. Saya mesti makan ayam.

IMG_0992

“Bila harga naik, memang jadi beban kepada saya. Saya harap harganya turun macam biasa tambahan nak Aidilfitri ni. Saya rasa orang lain pun suka ayam mungkin menteri pun suka,” katanya.

Hasaan dalam laporan media mengajak orang ramai ‘menukar’ selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Beliau berkata langkah itu dianggap perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

Harga ayam sebelum ini di sekitar RM6.50 hingga RM7.00 naik mendadak melebihi RM7.50 iaitu RM8.00 hingga RM9.00.

Rodziah : OSCC Bantu Mangsa Rumah Tangga Di Luar Bandar

rodziah 01

KLANG 16 JULAI : Program kesedaran berhubung peranan Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC) akan diperluaskan ke semua peringkat khususnya di luar bandar di Selangor.

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata langkah itu diambil bagi memastikan masyarakat luar bandar mengetahui wujudnya pusat dan akta yang melindungi mangsa keganasan rumah tangga.

Selain itu, ia juga sebagai usaha memantapkan peranannya sebagai pusat khidmat sehenti yang berobjektif memastikan masalah terhadap mangsa dapat dikurangkan.

rodziah 02Menurut Rodziah, matlamat OSCC memberi perlindungan serta menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa bagi mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, penderaan dan juga kes-kes rogol.

Tambahnya, walaupun pusat ini sudah beroperasi selama tiga tahun lalu tetapi beliau masih belum puas hati dengan tahap kesedaran daripada masyarakat bandar dan luar bandar.

“Kadangkala mereka (mangsa) ini tidak tahu ada akta yang boleh melindungi mereka yang membolehkan mereka membawa pesalah ke peringkat mahkamah. Jadi kita mahu beri mereka pengetahuan tentang hal ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat pusat itu bagi daerah Klang, di Pejabat Daerah/Tanah Klang, di sini.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Rodziah berkata Kerajaan Negeri akan memastikan taklimat-taklimat berkenaan peranan pusat itu dilaksanakan di peringkat kampung, masjid, rumah ibadat dan Pusat Wanita Berdaya seluruh Selangor.

rodziah 03“Sebelum itu, kita akan membimbing pemimpin seperti ketua kampung supaya mereka memahami dan mengetahui OSCC, sekali gus membimbing penduduk di kawasan luar bandar untuk memanfaatkan perkhidmatan yang diberikan oleh OSCC.

“Kita mahu mereka mengadakan taklimat ini sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan,” katanya.

Selain itu, pihaknya akan turut mengeluarkan buku dan risalah sebagai sebaran kepada masyarakat di seluruh pelusuk negeri.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 sebagai bantuan kepada promosi ini selain peruntukkan keperluan hospital dan keperluan peribadi mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Rodziah memaklumkan terdapat lebih 1,000 kes yang dilaporkan di seluruh Selangor.

“Di Selangor, kita mempunyai enam buah OSCC yang terdapat di hospital besar, antaranya Hospital Klang, Ampang, Kajang, Sungai Buloh dan Selayang. Kita juga akan usahakan untuk ke peringkat Hospital Daerah Sabak Bernam dan Kuala Langat,” katanya.