SHAH ALAM, 1 SEPT: Wakil rakyat pembangkang negeri ini mewujudkan pusat makanan di masjid dan surau bagi membantu penduduk yang memerlukan sepanjang tempoh pandemik.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong berkata usaha itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menyantuni golongan terkesan di setiap kawasan.
“Sekarang di Sungai Burong kita mewujudkan pusat makanan untuk memudahkan penduduk datang dan ambil di mana lokasinya adalah di surau dan masjid.
“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan sebuah kedai di mana penduduk yang terkesan boleh mengambil barangan keperluan mereka di kedai berkenaan,” kata Dato’ Mohd Shamsudin Lias.
Beliau berkata sebanyak RM200,000 dibelanjakan bagi mengagihkan bakul makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasa awal tahun ini.
Sementara itu, ADN Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berkata bantuan diagihkan sepanjang masa meskipun kawasannya terletak di luar bandar dan mencatatkan kes Covid-19 yang rendah.
“Saranan Tuanku itu memang wajar dan akan diteruskan kerana ramai yang menghadapi kesulitan pada ketika ini. Sebanyak 6,000 bakul makanan telah diagih sepanjang tahun ini,” katanya.
Pada 23 Ogos, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.
Baginda bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.