Categories
AGENDA NASIONAL

Projek indahkan Sungai Gombak, Klang hampir siap

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Usaha mentransformasi Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada ikon ‘waterfront’ atau tepian air yang dinamik dan berdaya huni menerusi projek Sungai Kehidupan (RoL) kini berada pada tahap kemajuan 94.85 peratus, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pelaksanaan projek RoL itu melibatkan lapan batang sungai sepanjang 110 kilometer (km) di sekitar ibu kota iaitu Sungai Klang, Gombak, Batu, Jinjang, Keroh, Kerayong, Ampang dan Bonus.

Beliau berkata kerja-kerja pengindahan projek RoL sudah mencapai 100 peratus melibatkan kerja naik taraf taman awam dan fasiliti laluan pejalan kaki serta berbasikal di pinggiran Sungai Klang dan Sungai Gombak sepanjang 10.7km.

“Komponen pembersihan sungai sudah capai 95 peratus manakala komponen pengindahan sudah 100 peratus siap, bagi pembangunan kawasan tanah (di pinggiran RoL) pula mengambil peringkat demi peringkat,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Muhammad Zahid Md Arip yang ingin tahu perancangan kerajaan mengindahkan Sungai Gombak dan Sungai Klang menggunakan kaedah seperti projek pengindahan Sungai Melaka.

Jalaluddin berkata keadaan Sungai Gombak dan Sungai Klang yang lebih agresif dan dinamik, terutama di kawasan yang merentasi Bandaraya Kuala Lumpur, menjadi cabaran untuk projek RoL dilaksanakan berbanding projek pengindahan Sungai Melaka.

“Lokasi projek pengindahan Sungai Melaka terletak berhampiran dengan laut Selat Melaka menyebabkan pengaliran air sungai tenang dan boleh dikawal dengan pintu air,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan Korea Selatan yang berjaya menghidupkan semula sungai mati iaitu Sungai Cheonggyecheon sepanjang 5.8km yang kini menjadi kawasan tumpuan pelancong, beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan sudah ada perancangan menjadikan projek tersebut sebagai model kepada projek sungai di negara ini.

Bagaimanapun, menurutnya setelah kajian dilaksanakan dengan meneliti pendekatan sungai dua tingkat yang memakan perbelanjaan sebanyak RM1 billion sepanjang dua km, kerajaan memutuskan menggunakan perbelanjaan itu untuk memenuhi keperluan rakyat memandangkan negara kini dalam fasa pemulihan ekonomi.

“Kajian dibuat untuk dua km sungai, ada dua tingkat air, (bahagian) bawah aliran biasa manakala atas air buatan yang memakan belanja RM1 billion untuk sepanjang dua km.

“Dalam keadaan negara menghadapi tekanan ekonomi, kementerian fikir kewajaran membelanjakan sejumlah wang itu adalah lebih afdal kalau diberikan kepada keperluan rakyat. Kemungkinan ini boleh dijadikan perancangan masa hadapan,” katanya menjawab soalan tambahan Muhammad Zahid berhubung penghidupan semula Sungai Cheonggyecheon di Korea Selatan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kereta terjunam ke Sungai Gombak

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Gombak berdekatan Bank Negara di Jalan Kuching, di sini hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, lelaki terbabit yang dalam perjalanan dari Sri Sina Segambut untuk bertemu rakannya hanya mengalami cedera ringan di tangan kiri dan belakang badan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Supt Sarifudin Mohd Salleh berkata, kenderaan yang dipandu lelaki terbabit hilang kawalan lalu melanggar bahagian kiri jalan dan terjunam ke dalam sungai itu.

“Dia bagaimanapun berjaya keluar dari kenderaan dan berenang untuk menyelamatkan diri. Kereta Honda City lelaki itu ditarik keluar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kejadian yang berlaku pada waktu puncak awal pagi itu menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk di sepanjang Jalan Kuching. -BERNAMA